A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Memilih Kerusi Roda yang Sesuai

Kerusi roda merupakan alat bantuan pergerakan untuk seseorang individu yang tidak mampu berjalan akibat penyakit, kecederaan dan amputasi.

Kerusi roda merupakan alat bantuan pergerakan untuk seseorang individu yang tidak mampu berjalan akibat penyakit, kecederaan dan amputasi. Kerusi roda membolehkan penggunanya bergerak bebas dan melakukan aktiviti harian (activities of daily living – ADL), bersekolah, bekerja dan aktiviti riadah secara berdikari. Kerusi roda dapat meningkatkan tahap keyakinan penggunanya apabila membolehkan penggunanya menikmati kehidupan seharian secara optimal seperti individu lain.

wheelchair-11

Contoh kerusi dan aksesori

Sebelum pengguna atau penjaga membeli sesebuah kerusi roda, empat (4) isu perlu dipertimbangkan. Isu pertama adalah jangka masa penggunaan kerusi roda – sama ada jangka panjang atau pendek. Bagi pengunaan jangka masa pendek, kerusi roda standard sudah memadai. Manakala bagi penggunaan jangka masa panjang, kerusi roda itu perlulah mengikut spesifikasi pengguna dan memenuhi tujuan penggunaannya.       

Isu kedua adalah tujuan penggunaan kerusi roda itu sendiri, sama ada untuk pengurusan kendiri pengguna di dalam rumah sahaja atau untuk kegunaan dalam dan luar rumah seperti di tempat kerja atau sekolah. Bagi kegunaan di dalam rumah, kerusi roda yang diperbuat dari besi sudah memadai. Manakala bagi kegunaan luar rumah, pengguna disyorkan mendapatkan kerusi roda yang diperbuat dari aluminium. Ini kerana kerusi roda yang diperbuat dari aluminium adalah lebih ringan, mudah dan menjimatkan tenaga untuk dikendalikan.

Isu ketiga adalah sama ada kerusi roda tersebut mudah di bawa masuk dan keluar dari kenderaan pengguna. Bagi pengguna yang ingin membawa kerusi roda ke dalam kenderaan, kerusi roda jenis detachable adalah digalakkan. Kerusi roda jenis detachable ini membolehkan pengguna membuka sebahagian aksesori kerusi roda menjadi lebih kecil dan mudah untuk dimasukkan ke dalam kenderaan.

wheelchair-22 wheelchair-33

Contoh kerusi roda jenis detachable

Isu keempat adalah isu pengendalian kerusi roda, sama ada ia akan dikendalikan oleh pengguna sendiri atau pengguna memerlukan bantuan luar untuk mengendalikan kerusi roda itu. Biasanya pengguna kanak-kanak, pengguna yang mengalami kecederaan serius pada tulang belakang dan warga emas memerlukan bantuan luar untuk mengendalikan kerusi roda. Kerusi roda yang memerlukan bantuan luar untuk dikendalikan mempunyai tayar yang lebih kecil berbanding kerusi roda yang dikendalikan oleh pengguna sendiri.

Secara umumnya, terdapat 3 jenis kerusi roda yang terdapat dalam pasaran. Jenis pertama ialah kerusi roda yang boleh dikendalikan oleh pengguna sendiri. Pengguna perlu mempunyai kekuatan anggota atas yang mencukupi untuk menggunakan kerusi roda jenis ini. Pengguna yang berpotensi untuk pulih anggota atasnya juga digalakkan menggunakan kerusi roda jenis ini bagi mendorong pengguna untuk bergerak secara berdikari kelak. Kerusi roda yang diperbuat daripada besi lebih berat dari kerusi roda yang diperbuat daripada aluminium. Biasanya bagi penggunaan yang kerap, pengguna dinasihatkan membeli kerusi yang diperbuat daripada aluminium kerana ia lebih ringan, mudah dan menjimatkan tenaga untuk dikendalikan. Namun kos membeli kerusi roda aluminium adalah lebih tinggi berbanding kerusi roda besi.

 wheelchair-44  wheelchair-55

Kerusi roda aluminium dan Kerusi roda besi

Jenis kedua ialah kerusi roda yang memerlukan bantuan orang lain untuk dikendalikan. Kerusi roda jenis ini selalunya digunakan untuk kanak-kanak, pesakit terlantar dan warga emas yang tidak mampu mengendalikan sendiri kerusi roda mereka. Penyandar kerusi roda ini biasanya boleh diturunkan mengikut kesesuaian pengguna.

wheelchair-66 wheelchair-77 wheelchair-88

Contoh kerusi yang memerlukan bantuan untuk kendalian

Jenis ketiga ialah kerusi roda berkuasa elektrik. Kerusi roda ini sesuai digunakan di dalam dan di luar rumah. Kos kerusi roda ini lebih tinggi berbanding kedua-dua jenis kerusi roda di atas. Kerusi roda ini biasanya mempunyai pengecas elektrik dan tombol untuk mengendalikan arah atau haluan kerusi roda. Kerusi roda ini disyorkan kepada pengguna yang ingin bergerak secara berdikari dan pantas seperti di tempat kerja, di sekolah, di pusat membeli belah dan lain-lain.

wheelchair-99 wheelchair-1010

Contoh kerusi roda berkuasa elektrik

Ketiga-tiga jenis kerusi roda ini boleh didapati dalam ukuran standard (14 inci, 16 inci, 18 inci dan 20 inci) dan ukuran sebenar pengguna (custom made). Saiz kerusi roda yang terlalu kecil akan mengakibatkan pengguna mengalami ketidakselesaan dan tekanan pada kedua-dua belah paha. Manakala kerusi roda yang terlalu besar akan mendorong pengguna untuk duduk dalam posisi yang tidak betul, menggalakkan pembentukan tulang belakang yang tidak normal (scoliosis) dan menyukarkan pengguna untuk mengendalikan kerusi roda tersebut. Kerusi roda standard adalah lebih murah berbanding kerusi roda custom made. Pengguna boleh memilih berdasarkan tahap kewangan masing-masing dan tujuan penggunaan kerusi roda itu sendiri.

Kerusi roda juga dilengkapi dengan aksesori seperti kusyen atau pelapik tempat duduk, tempat letak tangan (armrest), tempat letak kaki (footrest) dan tali pinggang keselamatan. Aksesori ini penting bagi menjamin keselamatan pengguna dan memberi keselesaan sepanjang penggunaan kerusi roda.

Kusyen kerusi roda juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan kesihatan yang baik kepada pengguna. Bagi pengguna kerusi roda untuk jangka masa panjang, kusyen atau pelapik tempat duduk perlu digunakan bagi mengelakkan kulit punggung pengguna melecet atau melepuh dan mendapat kudis tekanan. Senaman mengelakkan tekanan pada punggung (pressure release exercise) juga perlu diamalkan oleh pengguna kerusi roda bagi menggalakkan peredaran darah yang baik ke anggota bawah badan.

wheelchair-1111 wheelchair-1212 wheelchair-1313

Contoh kusyen kerusi roda

Tempat letak tangan (armrest) penting bagi memastikan tangan pengguna dapat diposisikan dalam kedudukan yang betul. Tempat letak tangan (armrest) yang terlalu tinggi akan memberi tekanan kepada sendi bahu pengguna dan menyebabkan kesakitan. Ia juga menyukarkan pengguna untuk mengendalikan kerusi roda tersebut. Jika tempat letak tangan (armrest) terlalu rendah pula, ia akan mengakibatkan tekanan pada tulang punggung, menggalakkan sendi bahu terkeluar dari soketnya (subluxation). Selain itu ia juga menggalakkan postur badan yang tidak betul (scoliosis) dan membongkok (kyphosis).

wheelchair-1414 wheelchair-1515

Contoh tempat letak tangan (armrest)

Tempat letak kaki (footrest) bertujuan membantu pengguna untuk memposisikan kaki dalam posisi yang betul. Pesakit kencing manis (diabetes) terutamanya mengalami masalah kekurangan deria sentuh di bahagian anggota bawah badan. Tempat letak kaki (footrest) dapat mengelakkan kaki pengguna daripada terseret atau tercedera ketika pengendalian kerusi roda. Tempat letak kaki (footrest) mestilah berada di posisi yang betul. Tempat letak kaki (footrest) yang terlalu panjang akan mengakibatkan tekanan pada otot-otot paha pengguna dan menggalakkan pembengkakan pada kaki. Manakala tempat letak kaki yang terlalu pendek pula akan mengakibatkan tekanan pada tulang punggung dan menyebabkan ketidakselesaan pada pengguna.

wheelchair-1616 wheelchair-1717 wheelchair-1818

Contoh tempat letak kaki (footrest)

Tali pinggang keselamatan digunakan untuk menghalang pengguna daripada jatuh dari kerusi roda. Pengguna kanak-kanak dan warga emas yang tidak mempunyai kekuatan tulang belakang (trunk control) adalah digalakkan untuk memakai tali pinggang ini. Saiz dan panjang tali pinggang mestilah bersesuaian dengan saiz badan pengguna.

wheelchair-1919 wheelchair-2020

Contoh tali pinggang keselamatan kerusi roda

Sekiranya pengguna atau penjaga masih mempunyai keraguan dan persoalan berkaitan kerusi roda, anda bolehlah berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja atau Jurupulih Perubatan Carakerja di klinik atau hospital kerajaan yang berhampiran bagi mendapatkan khidmat konsultasi dan informasi yang lebih teliti dan mendalam.

Rujukan

  1. Tips for choosing a wheelchair (2012). Retrieved on 25 April 2014 from http://www.nhs.uk/CarersDirect/guide/practicalsupport/Pages/Tips-for-choosing-a-wheelchair.aspx
  2. Proper fit of a wheelchair (2009). Retrieved on 20 April 2014 from http://atwiki.assistivetech.net/index.php/Proper_fit_of_a_wheelchair
  3. Wheelchair (2014). Retrieved on 15 April 2014 from http://www.thefreedictionary.com/wheelchair
Semakan Akhir : 28 August 2020
Penulis : Noor Emellia bt. Jamludin
Akreditor : Premalatha a/p Sundram
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

Rabun Silau

Pengenalan Apakah itu rabun silau? Rabun silau atau astigmatisma adalah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,002

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia