A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kanser Kulit

Barah kulit merupakan ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh sel yang tidak normal

Pengenalan

Barah kulit merupakan ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh sel yang tidak normal. Terdapat pelbagai jenis barah kulit yang berasal dari sel-sel lapisan kulit yang berlainan. Tiga jenis barah kulit yang utama adalah basal cell carcinoma, squamous cell carcinoma dan melanoma. Melanoma merupakan barah kulit yang paling bahaya di mana ia membesar dan merebak ke organ badan yang lain dengan cepat.

Faktor risiko

Terdapat banyak faktor risiko yang menyebabkan barah kulit pada seorang pesakit. Ianya termasuk:

Pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu

Pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu (UV) dari sinaran matahari akan merosakkan DNA dan seterusnya menyebabkan kejadian barah kulit. Kulit yang kerap terdedah kepada UVA dan UVB dalam jangkamasa yang panjang samada dari sinaran matahari atau penggunaan alat pancaran UV akan meningkatkan risko seseorang mendapat barah kulit.

Jenis kulit

Individu yang mempunyai jenis kulit yang cerah mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding individu yang gelap warna kulitnya.

Faktor genetik

Terdapat beberapa jenis penyakit genetik yang menyebabkan pesakit lebih sensitif kepada pancaran matahari. Sebagai contoh, pesakit yang menghidapi xeroderma pigmentosum tidak dapat memulihkan sel-sel kulit yang rosak selepas pendedahan kepada pancaran matahari kerana kekurangan mekanisma untuk memperbaiki DNA yang rosak berbanding dengan orang normal. Akibatnya, kulit pesakit sangat sensitif dan kerapkali terbakar jika terdedah kepada pancaran matahari. Mereka lebih cenderung menghidap penyakit barah pada usia yang muda. Walaubagaimanapun, penyakit genetik sedemikian amat jarang berlaku.

Kelemahan sistem pertahanan badan

Pesakit yang mendapatkan rawatan selepas pemindahan organ mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat penyakit barah kulit.

Jangkitan Human Papilloma Virus

Jangkitan virus ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan barah terutamanya kanser di bahagian kemaluan.

Pendedahan kepada arsenik dan radiasi

Pendedahan kepada bahan kimia seperti arsenik boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat barah kulit. Kadar arsenik yang lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan boleh disebabkan oleh air minuman dari perigi yang tercemar. Sumber lain keracunan arsenik adalah dari ubat-ubatan tradisional. Selain itu, pendedahan seseorang kepada pancaran radiasi juga meningkatkan risiko mendapat barah kulit.

Merokok

Merokok juga dihubungkait dengan kejadian barah kulit

Kronik ulser

Individu yang mempunyai ulser yang tidak sembuh selepas bertahun-tahun ataupun parut yang tertentu mungkin mempunyai kecenderungan menjadi barah kulit pada jangka masa yang panjang.

Tanda-tanda klinikal penyakit

Barah kulit lebih cenderung melibatkan bahagian badan seperti muka, kepala, leher, serta lengan. Ini disebabkan bahagian-bahagian tersebut tidak dilindungi dan terdedah terus kepada pancaran matahari. Barah kulit mempunyai rupa yang berlainan bergantung kepada jenisnya. Ini termasuk perubahan pada kulit yang tidak boleh sembuh, ulser, perubahan warna dan perubahan rupa tahi lalat yang sedia ada. Basal cell carcinoma (Gambar 1) mungkin bermula dari hanya satu tompok kulit yang kecil dan semakin membesar menjadi tompok yang bulat atau bujur dan seterusnya tumbuh menjadi ketumbuhan yang mempunyai rolled edge. Barah ini mungkin berdarah pada bahagian tengahnya dan seterunya membentuk ulser yang bernama rodent ulcer.

Squamous cell carcinoma (Gambar 2) pula berwarna merah dan berbentuk tidak sekata. Ianya sakit bila disentuh dan boleh juga membentuk ulser. Bahagian tepi barah juga lebih tinggi berbanding bahagian tengah. Melanoma (Gambar 3) biasanya berwarna gelap atau hitam walaupun kadangkala mempunyai warna coklat terang. Permukaan barah ini biasanya tidak sekata. Pada peringkat awal, ia kelihatan seperti tahi lalat mempunyai bahagian tepi yang tidak sekata dan mempunyai berbagai warna pada permukaannya. Diameter barah ini biasanya melebihi 6mm.

Gambar 1: Basal cell carcinoma
Tompok hitam dengan permukaan yang tidak sekata pada pipi

 

Gambar 2 : Squamous cell carcinoma
Ulser pada pangkal paha

 

Gambar 3 : Melanoma
Ketumbuhan hitam pada tapak kaki

Diagnosa

Diagnosa barah kulit memerlukan gabungan tanda-tanda klinikal penyakit dan biopsi kulit. Oleh yang demikian, sebarang keadaan kulit yang mencurigakan perlu mendapat nasihat daripada doktor dengan segera. Anda akan dirujuk kepada pakar kulit atau pakar bedah untuk menjalani biopsi kulit bagi pemerikasaan histologi dengan mikroskop.

Rawatan

Rawatan barah kulit bergantung kepada jenis barah kulit, lokasi, saiz barah, umur pesakit serta samada barah kulit ini pertama kali berlaku atau berulang semula. Kadangkala rawatan barah kulit ini memerlukan satu pasukan pakar yang terdiri dari pakar kulit, pakar bedah dan pakar onkologi untuk membincangkan kaedah rawatan yang paling sesuai untuk seseorang pesakit.

Basal cell carcinoma boleh dirawat dengan cara pembedahan. Jika barah ini tidak dapat dibedah sepenuhnya disebabkan lokasi seperti berhampiran dengan mata, pesakit boleh diberikan rawatan radioterapi. Kaedah rawatan lain untuk barah ini termasuk cryotherapy, kemoterapi setempat (ubat imiquimod atau 5-fluorouracil) dan topical photodynamic therapy.

Untuk squamous cell carcinoma pula, pembedahan boleh dijalankan jika ketumbuhan boleh dibedah sepenuhnya. Jika barah ini tidak dapat dibedah, pesakit boleh diberikan rawatan radioterapi.

Oleh kerana melanoma tumbuh dan merebak dengan cepat kepada organ berdekatan seperti kelenjar limpa dan organ dalaman, pesakit perlu melalui proses staging dengan CT scan dan biopsi kelenjar limpa. Jika barah tidak merebak, ketumbuhan ini boleh dibedah dengan sepenuhnya bersama sebahagian kulit yang normal. Jikalau barah ini sudah merebak, rawatan kemoterapi akan diberikan walaupun kebiasaannya kurang berkesan.

Pencegahan

Kejadian barah kulit pada seseorang dapat dikurangkan dengan beberapa langkah seperti berikut:

  • Mengurangkan pendedahan kepada pancaran matahari terutamanya individu yang mempunyai warna kulit yang cerah
  • Mengelakkan pendedahan kepada pancaran matahari pada waktu yang mempunyai kadar UV yang tinggi iaitu dari pukul 9 pagi hingga 3 petang
  • Memakai pakaian berlengan panjang serta memakai topi bila melakukan aktitiviti di bawah pancaran matahari
  • Menggunakan krim pelindung matahari (topical sunscreen) yang dapat menhalang pancaran UVA dan UVB satu jam sebelum terdedah kepada pancaran matahari

Prognosis

Beberapa faktor termasuk jenis barah kulit dan tempuh pengesanan barah dapat mempengaruhi prognosis barah kulit.  Basal cell carcinoma dan  squamous cell carcinoma jarang merebak kepada organ berdekatan dan peluang untuk sembuh lebih baik berbanding melanoma.

Rujukan

  1. Rook, Wilkinson, Ebling.  Textbook of Dermatology. Vol 4, Sixth edition.
  2. Igal L. Elbovitch et al. Basal cell carcinoma treated with Mohs surgery in Australia. Experience over 10 years. J Am Acad Dermatology Sept 2005;445-451
  3. Michael Veness et al.Role of modern radiotherapy in treating skin cancer. Australian Journal of Dermatology 2003;44,159-168
  4. Motley, Kersey, Lawrence. Multiprofessional guidelines for the management of the patient with primary cutaneous squamous cell carcinoma. British Journal of Dermatology 2002; 146: 18-25.
  5. Telfer, Colver, Bowers. Guidelines for the management of basal cell carcinoma. British Journal of Dermatology 1999; 141: 415-423.
  6. Preston, Stern. Nonmelanoma cancers of the skin. N Engl J Med 1992 Dec 3; 327(23): 1649-62.
  7. UK Guidelines for the management of cutaneous melanoma. BJD 2002; 146: 7-17
  8. Surgical treatment of melanoma BJD 2003;149:2-12
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Ng Ting Guan
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Kanser Paru-paru

Pengenalan Kanser terjadi apabila sel-sel normal melalui satu proses transformasi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,826

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia