A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kerap Kencing di Kalangan Warga Emas

Masalah kencing di kalangan warga emas kerap terjadi namun ianya jarang dilaporkan.

Masalah kencing di kalangan warga emas kerap terjadi namun ianya jarang dilaporkan. Kajian  yang dijalankan di luar negara mendapati  7 hingga 42 % warga emas mengalami masalah kencing. Kajian lain juga melaporkan bahawa masalah kencing berlaku ke atas 10 % daripada wanita berumur kurang 30  tahun dan meningkat kepada 23.5% di kalangan mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Kajian tersebut juga melaporkan 55.7 % daripada warga emas yang tinggal di dalam institusi mengalami masalah kencing. Satu kajian tempatan yang diadakan dalam masyarakat luar bandar di Selangor mendapati satu setiap 10 orang warga emas mengalami masalah kencing. Angka ini adalah kurang berbanding dapatan kajian di negara barat dan ia mungkin disebabkan oleh persepsi yang menganggap masalah kencing merupakan sebahagian daripada proses penuaan dan warga emas masih boleh bertolak ansur dengan masalah tersebut.

Proses penuaan normal mengakibatkan kapasiti pundi kencing mengurang kepada separuh daripada isipadu asal mengakibatkan perlunya pengosongan pundi kencing dengan lebih kerap.

Apakah makna masalah kerap kencing?

Masalah kerap kencing merujuk kepada penambahan kekerapan seseorang tersebut kencing setiap hari. Ia berbeza di kalangan setiap individu bergantung kepada tabiat pundi kencing, tabiat minum dan jenis personaliti. Kebanyakan orang kencing 3 hingga 7 kali pada siang hari dan sekali pada waktu malam. Jumlah isipadu air kencing yang dikeluarkan sehari ialah lebih kurang 1 hingga 2 liter.

Masalah kerap kencing mengikut definasi Kesatuan Kontinen Antarabangsa adalah seperti berikut:

  • masalah kerap kencing pada waktu siang berlaku apabila seseorang itu mengadu bahawa dia kencing lebih daripada biasa pada waktu siang
  • nokturia apabila seseorang itu perlu bangun untuk kencing lebih daripada sekali pada waktu malam.

Apakah tanda- tanda kerap kencing yang luar biasa?

Warga emas mungkin akan mengadu kencing lebih daripada biasa di waktu siang atau/dan kencing di waktu malam lebih daripada sekali.

Masalah kerap kencing mungkin berkaitan dengan tanda- tanda masalah kencing yang lain seperti kesakitan atau pedih semasa kencing, mengeluarkan darah atau batu sewaktu kencing, tidak boleh mengawal pundi kencing atau merasa tidak puas walaupun baru kencing.

Kefahaman mengenai tanda- tanda lain yang berkaitan dengan masalah kerap kencing adalah penting bagi membezakan tabiat kencing yang normal daripada masalah yang diakibatkan oleh penyakit.

Apakah sebab – sebab masalah kerap kencing?

Masalah kerap kencing boleh disebabkan oleh iritasi pundi kencing, pertambahan isipadu air kencing atau pengurangan kapasiti pundi kencing.

Berikut adalah sebab-sebab peningkatan kekerapan kencing yang bukan disebabkan penyakit:

  • Pengambilan cecair yang banyak sepanjang hari.
  • Cuaca sejuk
  • Minum minuman yang boleh meningkatkan penghasilan air kencing seperti kopi dan alkohol
  • Keresahan.

Berikut pula, adalah sebab-sebab masalah kerap kencing yang patologikal:

  • Ubat – ubatan
    Sebilangan ubat untuk tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerap kencing. Pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat tersebut pada siang hari atau sebelum lewat petang daripada mengambil ubat tersebut pada waktu malam bagi mengelakkan masalah kerap kencing di waktu  malam.
  • Jangkitan salur kencing
    Ini adalah disebabkan oleh kuman daripada najis yang tercemar ke salur kencing dan pundi kencing. Tanda- tanda lain yang berkaitan ialah rasa pedih semasa kencing dan darah dalam kencing.
  • Kencing Manis
    Masalah gula badan yang tidak terkawal boleh mengakibatkan gejala-gejala seperti kerap kencing, kencing berlebihan dan rasa dahaga.

  • Diabetes Insipidus
    Satu keadaan yang disebabkan oleh pengurangan paras hormon antidiuretik. Ini akan menyebabkan penghasilan air kencing yang cair secara berlebihan. Akibatnya, penghidap penyakit ini akan megalami masalah kerap kencing.
  • Penyakit kelenjar prostat
    Pembesaran kelenjar prostat di kalangan lelaki menyebabkan saluran kecing menjadi sempit. Penghidap penyakit perlu kencing dengan lebih kerap untuk mengosongkan pundi kencing.
  • Penyakit buah pinggang kronik
    Buah pinggang yang rosak tidak berupaya untuk menyerap air ke dalam badan dengan berkesan.
  • Batu karang
    Batu karang boleh menyebabkan radang dan halangan kepada pundi kencing dan salur kencing.
  • Sindrom Pundi Kencing overaktif
    Keadaan ini berlaku apabila otot-otot dinding pundi kencing menjadi terlalu aktif dan mengecut dengan kerap tanpa mengira kuantiti kandungan kencing di dalam pundi kencing. Ia akan mengakibatkan seseorang itu kerap kencing dan air kencing menitis tanpa kawalan (inkontinen kencing).
  • Pundi kencing neurogenik

    Keadaan ini berlaku apabila terdapat kerosakan pada saraf yang mengawal fungsi pundi kencing. Ia menyebabkan kapasiti pundi kencing mengurang atau meningkatkan isipadu kencing residual.

  • Cystocoele
    Keadaan ini berlaku di kalangan wanita apabila dinding pundi kencing menekan ke dalam dinding vagina. Ia menyebabkan saluran keluar air kencing menjadi sempit.
  • Atropi vagina
    Dinding vagina menipis dan mengalami radang disebabkan oleh pengurangan hormon wanita semasa menopous. Ianya memberi kesan terhadap pundi kencing kerana kedudukan dinding vagina dan pundi kencing yang berhampiran.

Apakah komplikasi yang terjadi sekiranya penyakit yang menyebabkan masalah kerap kencing tidak dirawat?

Masalah kerap  kencing boleh menyebabkan kesan negatif dari segi perubatan, sosial dan ekonomi. Ia boleh menyebabkan iritasi kulit dan lecet. Warga emas mungkin mengelak daripada bersosial kerana kekerapan penggunaan tandas adalah menyusahkan dan  mungkin dianggap memalukan. Masalah – masalah ini mungkin mengakibatkan pesakit mengasingkan diri dan murung.

Apakah rawatan bagi masalah kerap kencing?

Rawatan bagi masalah kerap kencing bergantung kepada penyebab penyakit yang berkaitan. Doktor akan menanyakan keterangan masalah dengan lebih lanjut, melakukan pemeriksaan fizikal dan menjalankan penyiasatan yang berkaitan bagi mengenalpasti diagnosa.

Penyiasatan yang berkaitan termasuklah ujian mikroskopi air kencing serta ujian-ujian darah seperti ujian fungsi buah pinggang dan ujian gula darah. Untuk gologan lelaki, ujian antigen spesifik kelenjar prostat mungkin akan dijalankan. Ujian imbasan seperti x- ray dan ultrasound buah pinggang, salur ureter dan pundi kencing mungkin dijalankan bergantung kepada diagnosa yang disyaki.

Masalah kerap kencing yang disebabkan oleh jangkitan saluran kencing memerlukan rawatan antibiotik bagi membunuh kuman. Alkaliniser kencing mungkin digunakan untuk mengurangkan gejala-gejala jangkitan.

Untuk kes-kes tertentu, penggunaan krim estrogen pada dinding vagina mungkin boleh mencegah jangkitan salur kencing dengan meningkatkan pembiakan kuman tidak merbahaya pada dinding tersebut.

Rawatan pundi kencing terlalu aktif ialah latihan menguatkan otot-otot pelvik dan ubat anti kolinergik. Senaman otot pelvik secara berkala untuk menguatkan otot pelvik juga disarankan bagi rawatan cystocoele ringan.

Rujukan

  1. The epidemiology of urinary incontinence within the community Australia, www.bladderbowel.gov.au/…/EpidemiologyofUrinaryIncontinenceReport retrieved on 2014 – 06-18
  2. MS Sherina. The Prevalence of urinary incontinence among the elderly in a rural community in Selangor.  The Malaysian Journal of Medical Sciences 2010 Apr-Jun; 17(2): 18–23.
  3. The standardization of terminology of lower urinary tract function www.ics.org/Publications/ICI_3/v2.pdf/abram.pdf retrieved on 2014 – 06 – 18
  4. Edited by H Kenneth Walker, MD, W Dallas Hall, MD, and J Willis Hurst, MD.Clinical Methods 3rd Edition, The History, Physical and Laboratory Examination. Emory University School of Medicine, Atlanta, Georgia. Boston, Butterworths 1990.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Radziah Bt. Abdul Rashid
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,431

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia