A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mulakan Awal – Mulut Sihat Hidup Sihat

Penjagaan gigi perlu dilakukan daripada peringkat awal mulai daripada masa bayi. Ibu bapa/ penjaga / pengasuh perlu peka tentang risiko-risiko kepada kesihatan pergigian dan harus mengambil langkah-langkah pencegahan yang tertentu supaya kesihatan pergigian kanak-kanak kekal dalam keadaan sihat.

Kenapa perlu dimulakan awal?

Kesihatan pergigian yang baik adalah penting pada semua peringkat umur, lebih-lebih lagi pada awal kehidupan kanak-kanak.

Pertumbuhan badan dan perkembangan minda yang sihat dan sempurna memerlukan pemakanan yang sihat.

  • Gigi yang sihat bukan sahaja membolehkan kanak-kanak mengunyah makanan dengan selesa tetapi juga menyumbang kepada pencapaian potensi hidup mereka sepenuhnya.
  • Penyusuan yang sesuai dan amalan pemakanan sihat meningkatkan status pemakanan kanak-kanak serta tahap kesihatan pergigian mereka.


Kanak-kanak memerlukan gigi susu yang sihat untuk menikmati buah-buahan kegemaran!

  • Pertumbuhan kanak-kanak mungkin terjejas di kalangan mereka yang mempunyai kesihatan pergigian yang tidak baik.  Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengalami kerosakan gigi yang teruk didapati lebih rendah berat badan berbanding dengan mereka yang tiada karies gigi.
  • Kanak-kanak yang mengalami karies gigi pada set gigi desidus (gigi susu) didapati lebih cenderung  untuk mendapat / menghidapi karies gigi pada gigi kekal mereka di masa akan datang.

Mulut yang sihat adalah hasil daripada penjagaan yang rapi.

Penjagaan gigi perlu dilakukan daripada peringkat bayi. Ibu bapa/ penjaga / pengasuh perlu peka tentang risiko-risiko kepada kesihatan pergigian dan harus mengambil langkah-langkah pencegahan yang tertentu supaya kesihatan pergigian kanak-kanak kekal dalam keadaan sihat.

Bagaimana mulut yang sihat menyumbang kepada kehidupan yang lebih sihat?

  • Kesihatan pergigian yang optimum membolehkan kita menikmati pelbagai jenis makanan sihat serta memberikan keyakinan diri terutamanya semasa berinteraksi sosial dalam kehidupan harian.
  • Pemeliharaan kesihatan pergigian yang baik memberi manfaat kepada kesihatan badan secara menyeluruh serta mengurangkan risiko kejadian penyakit yang serius. Kini, semakin banyak bukti mengaitkan penyakit seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan kelahiran bayi yang kurang berat badan dengan kesihatan pergigian yang tidak baik.

Kesihatan pergigian sepanjang hayat bermula daripada gigi susu yang sihat.

  • Gigi susu perlu dijaga dengan baik supaya dapat berfungsi dengan sempurna. Gigi yang sihat membolehkan kanak-kanak mengunyah makanan dengan selesa serta bertutur dengan jelas. Ia juga memberikan mereka keyakinan diri dalam pergaulan dengan kawan-kawan.
  • Penjagaan gigi susu juga penting kerana membantu pembentukan paras muka yang sempurna dan menyediakan ruang untuk gigi kekal tumbuh dengan teratur.
  • Pertumbuhan gigi kekal yang sihat dan teratur akan meningkatkan potensi gigi untuk kekal berfungsi di sepanjang hayat.

Gigi susu terdedah kepada risiko karies gigi sebaik sahaja gigi tumbuh dalam mulut. Karies gigi yang terjadi pada kanak-kanak di bawah umur 4 tahun dinamakan karies awal kanak-kanak atau early childhood caries (ECC). Biasanya ECC bermula dengan melibatkan gigi insisor atas (kacip).

  • Tabiat penyusuan dan pemakanan yang kurang sesuai kebiasaannya dikaitkan dengan kejadian karies gigi di kalangan kanak-kanak.  Plak gigi (lapisan bakteria yang lekit pada permukaan gigi) menghasilkan asid akibat tindak balas dengan gula dalam mulut. ECC terjadi apabila gigi seorang kanak-kanak sering terdedah kepada serangan asid setiap kali makanan/minuman yang manis diambil. Sakit gigi, kebengkakan gusi dan akhirnya kehilangan gigi akibat infeksi gigi dan gusi akan terjadi sekiranya ECC dibiarkan dan tidak mendapat rawatan yang sewajar dengan segera.
  • Ibu bapa/penjaga/pengasuh boleh menjadi sumber jangkitan bakteria (mutans streptococci) yang merupakan punca masalah karies gigi kepada bayi. Jangkitan ini meningkatkan risiko kejadian karies kepada kanak-kanak.  Bakteria dijangkiti melalui air liur. Oleh itu, elakkan daripada berkongsi sudu atau perkakas makan/minum dengan bayi atau kanak-kanak. Ibu bapa, ahli keluarga yang lain serta pengasuh kanak-kanak perlu juga mendapatkan rawatan pergigian untuk sebarang penyakit pergigian. Ini akan mengurangkan tahap bakteria tersebut dalam mulut mereka.
  • Kebersihan mulut yang terabai juga sering dikaitkan dengan kejadian karies gigi di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Apakah langkah-langkah awal yang harus diambil untuk memastikan kesihatan pergigian yang baik?

Yang penting kita haruslah mulakan dari awal! Ibu bapa / penjaga / pengasuh memainkan peranan penting dalam mengasuh, mendidik dan menggalakkan kanak-kanak tentang penjagaan kesihatan pergigian supaya gigi dan gusi mereka kekal dalam keadaan yang sihat. Penjagaan gigi perlulah dilakukan ketika masih bayi sehinggalah mereka boleh memberus dan menjaga kesihatan pergigian mereka sendiri dengan berkesan.

 

 

 

 

 

 

 
Galakkan kanak-kanak menjaga kesihatan pergigian mereka dari awal

4 Langkah Mudah Penjagaan Awal Kesihatan Pergigian

  1. Pupuk tabiat pemakanan sihat dari kecil.
  2. Pastikan mulut dan gigi anak dibersihkan setiap hari.
  3. Periksa gigi anak dengan kerap.
  4. Bawalah anak anda untuk pemeriksaan gigi seawal usia satu tahun.
  1. Pupuk tabiat pemakanan sihat dari kecil.
    • Jangan biarkan anak tertidur dengan botol yang mengandungi susu atau air manis di dalam mulutnya. Penyusuan ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Sekiranya botol susu terpaksa digunakan, tabiat ini harus diberhentikan apabila anak meningkat umur 12 hingga14 bulan. Ini adalah kerana semakin banyak gigi tumbuh dalam mulut bayi pada masa itu. Gigi akan terdedah kepada risiko karies gigi ketika anak mula berumur 6 bulan apabila gigi desidus yang pertama muncul dalam mulut bayi.
    • Pilih makanan yang kurang mengandungi gula. Galakkan pengambilan snek yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menggantikan konfeksi dan biskut. Pupuk tabiat pemakanan yang sihat.
  2. Pastikan mulut dan gigi anak dibersihkan setiap hari.
    Gunakan tuala kecil untuk membersihkan mulut bayi semasa mandi. Gunakan berus gigi yang sesuai apabila giginya muncul. Jadikan sebagai amalan membersihkan mulut bayi dengan air setiap kali perbuatan selepas menyusu atau makan.
  3. Periksa gigi anak dengan kerap.
    • Kenali gigi anak anda dari awal apabila giginya dalam keadaan sihat. ‘Angkat bibirnya’ setiap bulan. Ini adalah prosedur yang ringkas untuk mengesan gigi kotor dan tanda-tanda awal karies gigi.
    • Perhatikan tanda-tanda awal karies gigi. Ini merupakan garisan/ tompok-tompok putih bersebelahan garisan gusinya.
  4. Periksalah gigi di klinik pergigian apabila mencapai umur satu tahun.
    Lawatan yang pertama ke klinik pergigian harus dijadikan sesuatu peristiwa yang manis – tanpa perasaan sakit atau takut. Jadikan anggota kesihatan pergigian sahabat karib dalam penjagaan kesihatan pergigian sepanjang hayat.

Mulut yang sihat memberi manfaat kepada kesihatan badan kita. Kita boleh mengambil langkah-langkah mudah yang tertentu untuk mencegah penyakit pergigian. Gigi kekal seharusnya dapat berfungsi sepanjang hayat kita sekiranya dijaga dengan baik dari peringkat awal, risiko-risikonya diawasi dan pemeriksaan pergigian secara berkala dilakukan.

Mulakan Awal – Mulut Sihat Hidup Sihat


Gigi susu yang sihat – permulaan kesihatan pergigian sepanjang hayat

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Chew Yoke Yuen
Akreditor : Dr. Cheng Lai Choo
Penyemak : Dr. Sharol Lail b. Sujak

 

Artikel Berkaitan

Rahang Tersekat

Rahang tersekat (lockjaw) atau trismus merujuk kepada keadaan di mana seseorang kurang berupaya membuka mulut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,965

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia