A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kancing Gigi (Tetanus)

Pengenalan

Kancing gigi atau tetanus berlaku di seluruh dunia. Ia kerana spora bakteria Clostridium tetani terdapat di mana-mana terutama di kawasan pertanian dan kawasan yang terlibat dalam aktiviti mengendalikan najis haiwan.  Spora Clostridium tetani masuk ke dalam tubuh manusia melalui luka; sama ada luka tercucuk atau luka terbuka.

Agen penyebab: Bakteria Clostridium tetani. Gejala jangkitan ini disebabkan oleh neurotoksin berbahaya yang dihasilkan oleh bakteria tersebut dalam tisu mati (contohnya dari luka yang kotor).

Cara jangkitan: Terdedah kepada spora Clostridium tetani.

Tempoh pengeraman: 3 hingga 21 hari, purata tempoh: 10 hari.

Tanda dan Gejala

  • Kekejangan otot yang menyakitkan, lazimnya ia bermula dengan otot-otot rahang dan dipanggil lockjaw atau trismus.
  • Kekejangan juga boleh melibatkan otot leher, otot peha, otot belakang badan, otot pernafasan dan lain-lain kumpulan otot badan.
  • Kekejangan yang berpanjangan boleh menyebabkan otot koyak dan tulang patah.
  • Rangsangan luar yang sederhana boleh mencetuskan kekejangan, sehingga menyebabkan komplikasi kancing gigi yang serius.

Komplikasi

Kadar kematian antara 10% hingga lebih 80% terutama di kalangan mereka yang tidak pernah menerima pelalian, mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau bayi baru lahir.

Selain otot koyak dan tulang patah akibat kekejangan yang lama, jangkitan paru-paru (pneumonia) boleh berlaku akibat aspirasi makanan atau cecair ke dalam paru-paru semasa kekejangan.

Rawatan khusus

  • Antitoksin dan antibiotik hendaklah diberikan seiring; antitoksin untuk menawarkan toksin bakteria dalam badan dan antibiotik untuk membunuh bakteria yang ada.
  • Immune Globulin (GIT) disuntik ke dalam otot dengan dos sebanyak 3000 – 6000 IU; atau antitoksin tetanus dalam satu dos yang besar disuntik ke dalam vena selepas ujian sensitiviti dijalankan.
  • Antibiotik Metronidazole dalam dos yang besar disuntik ke dalam vena dan diberikan dalam tempoh 7 hingga 14 hari.

Pelalian Pencegahan

Kanak-kanak:

Pelalian menggunakan vaksin Toksoid Tetanus diberikan sekurang-kurangnya 3 dos semasa bayi, dan dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan.

Jadual pelalian: Dos prime pada umur 2, 3 dan 5 bulan; dos tambahan pada umur 18 bulan, 7 dan 15 tahun (Jadual Program Imunisasi Kanak-kanak di Malaysia).

Kontraindikasi: Jika mengalami kesan sampingan selepas menerima pelalian terhadap dos sebelumnya.

Kesan sampingan vaksin: Setempat atau sistemik ringan. Lazimnya ia ringan dan pulih dengan sendiri.

Ibu mengandung:

Ibu mengandung diberi pelalian toksoid tetanus supaya antibodi boleh memasuki tubuh bayi yang baru lahir dan mencegah bayi dari mendapat tetanus. Bayi boleh mendapat tetanus sekiranya tali pusat dipotong dengan menggunakan peralatan yang tidak disucikuman dan juga melalui penjagaan tali pusat yang tidak bersih seperti meletakkan ubat-ubatan tradisional di pusat.

Pelalian toksoid tetanus sebanyak 5 dos mengikut jadual ditetapkan (0, 1 dan 6 bulan; setahun dan setahun) boleh memberi perlindungan sepanjang hayat.

Pelalian Rawatan

Sekiranya individu mengalami luka terutama luka yang kotor, dapatkan pelalian toksoid tetanus kerana antibodi yang lazimnya terbentuk dalam masa empat (4) hari selepas pelalian akan dapat melawan toksin bakteria. Manakala paras toksin bakteria Clostridium tetani yang boleh menyebabkan gejala lazimnya berlaku dalam tempoh enam (6) ke tujuh (7) hari selepas mengalami luka.

 

Semakan Akhir : 14 November 2014
Penulis : Dr. Norhayati bt. Rusli
Penterjemah : Noorhayati bt. Kassim
Akreditor : Dr. Husna Maizura bt. Ahmad Mahir

 

Artikel Berkaitan

Talasemia – D

Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,018

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia