A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Talasemia – D

Talasemia – D

Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi.

Apa itu Talasemia?

Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan haemoglobin telah terjejas. Haemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.

Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan, di mana anak mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ianya bukan penyakit berjangkit , iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara dan air , atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.

Jenis-jenis Talasemia

Terdapat dua jenis talasemia yang utama iaitu

  • Pembawa talasemia( Talasemia minor)
  • Pesakit talasemia (Talasemia major)

Pembawa talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh dibuat melalui saringan ujian darah. Seorang pembawa talasemia boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya.

Manakala pesakit talasemia akan menunjukkan tanda-tanda sejak dari umur 4 bulan hingga 2 tahun. Tanda dan gejala termasuk:

  • Keadaan pucat yang semakin ketara, sentiasa lemah dan resah
  • Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas
  • Kulit, mata dan mukosa menjadi kuning
  • Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa
  • Tumbesaran terbantut
  • Semakin anak membesar terdapat perubahan pembentukan di bahagian muka

Bagaimana gen Talasemia diturunkan kepada anak?

Anak mewarisi gen talasemia daripada ibubapa. Contohnya, jika kedua-dua ibubapa adalah pembawa gen talasemia, berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi berpenyakit talasemia adalah tinggi

Rawatan untuk pesakit Talasemia

Pesakit talasemia perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak 1-2 kali sebulan dalam seumur hidup. Ini akan mengembalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Akan tetapi, transfusi darah yang berpanjangan akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting di dalam badan.Fungsi organ-organ seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin akan terjejas dan ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap pesakit.

Oleh itu, rawatan penyingkiran zat besi adalah amat penting bagi pesakit talasemia. Ia boleh diberikan secara suntikan atau oral. Rawatan lain adalah pembedahan membuang limpa yang dijalankan terhadap pesakit talasemia major dan ianya bergantung pada situasi tertentu.

Rawatan pemindahan sum-sum tulang daripada adik-beradik dan penderma yang tiada kaitan saudara yang sesuai juga boleh dijalankan. Sementara itu, rawatan gen masih di dalam kajian.

Komplikasi Talasemi

Jika hanya mendapat rawatan transfusi darah tanpa rawatan penyingkiran zat besi, zat besi yang terkumpul di dalam organ-organ akan mengganggu fungsi organ tersebut.

Jika tidak dirawat, pesakit talasemia boleh membawa maut yang disebabkan oleh kesan anemia yang serius, kegagalan jantung dan jangkitan kuman.

Bolehkah Talasemia dicegah?

Talasemia hanya boleh dicegah dengan mengenal pasti pembawa gen melalui ujian saringan dan mengelak perkahwinan sesama pembawa-pembawa gen talasemia.

Adakah kumpulan sokongan untuk pesakit Talasemia?

Sila hubungi hospital berhampiran, klinik atau Persatuan Talasemia Malaysia.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Muhd Zanapiah Zakaria
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Tips Berkomunikasi dengan Pesakit Strok

Ahli keluarga/ penjaga dan orang ramai perlu memahami bahawa strok boleh memberi kesan kepada komunikasi bagi mereka yang mengalaminya. Individu yang mengalami strok sering dikaitkan dengan masalah tidak boleh bercakap selepas strok.

Kecederaan Mata

Pengenalan Kecederaan mata adalah merupakan kes kecemasan yang sering dirujuk

Gout

Gout adalah sejenis penyakit disebabkan berlebihan asid urik di dalam badan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,818,398

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia