A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Nasib Si ‘Keldai Dadah’

Nasib Si ‘Keldai Dadah’

‘Keldai dadah’ merujuk kepada individu yang mengangkut dadah haram atau barang larangan melintasi sempadan antarabangsa bagi pihak kumpulan jenayah atau peniaga dadah.

Siapakah ‘Keldai Dadah’?

‘Keldai dadah’ merujuk kepada individu yang mengangkut dadah haram atau barang larangan melintasi sempadan antarabangsa bagi pihak kumpulan jenayah atau peniaga dadah.

Mereka bertindak sebagai kurier, membawa dadah dalam pelbagai bentuk, seperti disembunyikan dalam bagasi, pakaian, atau badan mereka. Istilah ‘keldai’ diambil dari haiwan pekerja yang membawa beban berat, dan dalam konteks ini, ia merujuk kepada peranan individu-individu ini dalam mengangkut bahan larangan.

‘Keldai dadah’ boleh menjadi seorang yang rela terlibat dalam aktiviti haram ini untuk mendapatkan keuntungan kewangan, atau mereka mungkin menjadi mangsa yang tidak sedar sedang diperalatkan, dipaksa, atau ditipu untuk membawa dadah tanpa menyedari kandungan barang yang dibawa. Kumpulan jenayah ini sering menyasarkan individu yang rentan, termasuk mereka yang menghadapi kesukaran ekonomi atau mudah dipengaruhi.

Teknik Penyuludupan

‘Keldai dadah’ menggunakan pelbagai kaedah penyeludupan untuk seludup dadah haram melintasi sempadan antarabangsa. Kaedah-kaedah ini sering digunakan agar tidak mudah dikesan oleh pihak berkuasa dan pegawai kastam. Beberapa kaedah penyeludupan yang lazim digunakan oleh ‘Keldai dadah’ adalah seperti berikut:

Kaedah penyeludupan

Deskripsi

Seludup dalam bagasi

Dadah disembunyikan dalam bagasi, diletakkan bersama atau di antara barang-barang sah bagi mengelakkan kecurigaan semasa pemeriksaan bagasi.

Disorok dalam rongga badan

Bungkusan berisi dadah dimasukkan ke dalam rongga badan seperti perut, dubur dan vagina menggunakan kondom atau belon.

Telan

Bungkusan berisi dadah ditelan dan dikeluarkan semula melalui najis.

Sembunyi dalam pakaian

Dadah disembunyikan dalam jahitan atau lapisan pakaian, kasut atau aksesori ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

Dilekatkan pada badan

Dadah dilekatkan pada badan dengan menggunakan pita pelekat, ditutupi dengan pakaian agar tidak dikesan.

Ruang tersembunyi

Beg pakaian atau bekas dengan ruang tersembunyi digunakan untuk menyembunyikan dadah.

Telan belon berisi cecair dadah

Cecair dadah diisi dalam balon kecil dan ditelan.

Kanak-kanak dan haiwan

Penyeludup dadah mungkin mempergunakan kanak-kanak atau haiwan untuk membawa dadah dalam kuantiti yang lebih kecil kerana kurang curiga.

Salahguna barangan dibenarkan

Dadah disembunyikan dalam penghantaran barang yang dibenarkan.

Guna barangan yang tidak curiga

Dadah disembunyikan dalam barang-barang yang kelihatan tidak berbahaya seperti produk makanan, mainan atau barangan rumah.

Hukuman ‘Keldai Dadah’

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di Malaysia, ‘keldai dadah’ yang ditangkap mengedar dadah dalam jumlah yang banyak berdepan hukuman yang berat, termasuk hukuman mati mandatori. Hukuman di bawah akta ini bergantung kepada jenis dadah dan kuantiti khusus bagi setiap dadah yang di mana hukuman mati boleh dijatuhkan jika sabit kesalahan.

Berikut merupakan contoh dadah dan kuantiti yang membolehkan hukuman mati mandatori dijatuhkan.

Jenis dadah

Kuantiti

Opiat (heroin, morfin)

15 gram atau lebih

Kokain

40 gram atau lebih

Methamphetamine (syabu)

50 gram atau lebih

Kanabis (marijuana)

200 gram atau lebih

Daun koka

2 kilogram atau lebih

Pemilikan kuantiti dadah yang ditentukan ini akan dianggap sebagai pengedaran dadah, dan jika sabit kesalahan, individu tersebut akan dihukum mati. Undang-undang ini juga menyediakan langkah-langkah pencegahan untuk memerangi pengedaran dadah.

Rujukan

  1. Attila, N. 2013. GIZMODO: Thirteen Shockingly Creative Ways Drugs Have Crossed the Border. http://gizmodo.com/5988877/13-shockingly-creative-ways-drugs-have-crossed-the-border [19 Mac 2013].
  2. Bovard, J. 1995. Lost Rights: The Destruction of American Liberty. pg. 408. US: St. Martin’s Press.
  3. Dueñas-Laita, A., Nogué, S., Burillo-Putze, G. (2004). Body Packing. N Engl J Med 350 (12): 1260–1.
  4. Hergan, K., Kofler, K. and Oser, W. (2004). Drug Smuggling by Body Packing: What Radiologists Should Know About It. Eur Radiol 14 (4): 736–42.
  5. Jabatan Kimia Malaysia (JKM). 2009. Laporan Dadah Januari 2009: Ringkasan Undang-undang Dadah di Malaysia.
  6. Jabatan Kimia Malaysia (JKM). 2006. Laporan Tahunan 2006: Bahagian Forensik – Keadilan Berasaskan Sains.
  7. Lyle, D. P. 2004. Finding Drugs and Poisons: The Toxicology Lab. 1st Ed. Forensic for Dummies  pg. 243–264. Indiana: Wiley Publishing Inc.
  8. Olson, K. R. 2004. Specific Poisons and Drugs: Diagnosis and Treatment. 4th Ed. Poisoning & Drug Overdose pg. 72–302. US: Lange Medical Books/McGraw-Hill, Inc.
  9. Pidoto, R.R., Agliata, A.M., Bertoline, R., Mainini, A., Rossi, G., Giani, G. 2002. A New Method of Packaging Cocaine For International Traffic and Implications For The Management of Cocaine Body-packers”. J Emerg Med 23 (2): 149–53.
  10. Traub, S. J., Hoffman, R. S., Nelson, L. S. 2003. Body Packing: The Internal Concealment of Illicit Drugs. N Engl J Med 349 (26): 2519–26.
Last Reviewed : February 2024
Writer : Lai Poh Soon
Reviewer : Nurhusni binti Mohammad Room

Artikel Berkaitan

Sindrom DiGeorge

Pengenalan Sindrom DiGeorge juga dikenali sebagai 22q11.2 deletion sindrom ialah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,647

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia