A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Radioterapi Dan Kesihatan Oral

Radioterapi Dan Kesihatan Oral

Apa Itu Radioterapi?

Ia adalah satu modaliti untuk merawat kanser. Ia digunakan sebagai rawatan utama atau rawatan sampingan selepas pembedahan membuang kanser dilakukan. Radiasi hanya diberikan kepada kawasan yang mempunyai sel kanser oleh pakar onkologi dalam jumlah yang kecil (fractions), setiap hari, selama 10 hingga 15 minit, dalam jangkamasa 20 sehingga 30 hari. Dos harian biasanya ialah 2Gy(Grays) dan diberikan sehingga dos maksimum sebanyak 64-70Gy. Dos yang diberikan biasanya tidak mengakibatkan kerosakan pada tisu normal.

Apabila radioterapi dilakukan kepada bahagian kepala,leher dan mulut, ia boleh memberikan kesan kepada kesihatan mulut.

Kesan Radioterapi Dan Kesihatan Oral

Kesan radioterapi terhadap pesakit boleh dibahagikan kepada:

  1. Kesan–Kesan Peringkat Awal
  2. Kesan-Kesan Lewat

Kesan–Kesan Peringkat Awal

  1. Mukositis

    Mukositis ialah keradangan mukosa oral (tisu lembut). Ia terjadi selepas 10 hingga 12 hari rawatan radioterapi dilakukan. Simptom-simptom seperti kerengsaan dan sakit disebabkan oleh ulser dalam mulut. Mukositis akan sembuh dengan sendirinya selepas rawatan radioterapi tamat. Sementara itu, kebersihan mulut harus dijaga dengan menggunakan berus gigi berberus lembut dan jika tidak dapat menggunakan berus gigi, mulut harus dibersihkan dengan menggunakan kain bersih yang dibasahkan dengan air garam dan berkumur dengan 0.01% chlorhexidine. Anaestetik topikal disapu di tempat yang sakit dan ubat tahan sakit akan diberikan. Ubat kumur Benzydamine juga berkesan kerana ia boleh membuat mulut merasa kebas dan mengurangkan kesakitan. Semasa radioterapi dijalankan, merokok harus dihindarkan dan penggunaan gigi palsu tidak disarankan.

  2. Disfagia(rasa susah untuk menelan)

    Ini adalah kerana pengurangan jumlah air liur di dalam mulut (xerostomia), mukositis,ataupun disebabkan oleh pembedahan. Sejurus selepas pembedahan, pesakit dipasangkan dengan tiub makanan melalui hidung dan cecair bernutrisi diberikan. Alternatif lain, pesakit akan dipasangkan dengan tiub gastrotomi (tiub ke dalam perut) dan ahli keluarga diajar tentang pemakanan pesakit.

  3. Xerostomia (mulut kering)

    Kelenjar liur dan mukos mudah terkena kesan radiasi. Mulut kering terjadi selepas beberapa hari memulakan rawatan radioterapi. Pada kebanyakan pesakit, keadaan ini akan menjadi lebih teruk selepas beberapa minggu dan kesannya akan berpanjangan sehingga selesai rawatan. Disebabkan oleh kekeringan mulut, masalah seperti susah mengunyah, susah menelan(disfagia), gigi reput dan sebagainya berlaku. Pesakit dinasihatkan untuk meminum air secara kerap dan mengambil air liur tiruan jika perlu.

  4. Hilang deria rasa (di lidah)

    Hilang deria rasa boleh menyebabkan kemurungan dan hilang selera makan. Deria rasa biasanya akan pulih selepas beberapa bulan.Hilang deria rasa berpanjangan boleh dirawat dengan mengambil ubatan yang sesuai.

  5. Reaksi kulit

    Biasanya terjadi dalam 3 minggu selepas rawatan radioterapi dijalankan. Ia dirawat secara konservatif dan mengambil masa sebulan untuk pulih selepas rawatan radioterapi tamat.

  6. Epilasi (keguguran rambut)

    Biasanya berlaku di kawasan yang berhampiran dengan radioterapi. Kemungkinan masalah ini akan kekal.

  7. Jangkitan

    Apabila mukositis, atau xerostomia berlaku, berkemungkinan pesakit akan mengalami jangkitan kedua oleh fungi candida. Amalan memberus gigi dengan baik semasa rawatan radiasi dijalankan dan penggunaan ubat kumur 0.01% chlorhexidine selama 1 minit sebanyak 3 hingga 4 kali sehari adalah penting. Jika diperlukan, penggunaan gel anti fungal disapukan di tempat terbabit. Ubat anti fungal sistemik mungkin diperlukan jika kultur darah adalah positif.

Kesan-Kesan Lewat

  1. Nekrosis tisu lembut (ulser kulit)Ini berlaku selepas beberapa lama radiasi dilakukan menyebabkan “radionecrotic ulcer” terutamanya di kawasan yang terlibat. Ulser mempunyai permukaan rata, rasa kesat, dan rasa sakit ketika disentuh. Ia seharusnya tidak disalah diagnosakan sebagai kanser berulang.
  2. Trismus (bukaan mulut yang terhad)

    Ini berlaku kerana fibrosis atau pengerasan otot di kawasan oral menyebabkan sukar untuk membuka mulut. Pesakit biasanya akan dirujuk untuk rawatan fisioterapi kerana keadaan ini mungkin akan menjadi keadaan yang kekal jika dibiarkan.

  3. Osteoradionekrosis (kematian tulang)

    Ini bermaksud, berlaku kematian pada tulang yang diradiasi. Radioterapi menyebabkan kehilangan kekal atau sementara salur darah kepada tulang terutamanya tulang yang terlibat dengan radiasi. Ia adalah satu penyakit yang serius dan sering terjadi pada rahang bawah. Penyakit ini memusnahkan tulang dan sel tulang, dan menyebabkan ketidakupayaan tulang untuk membina tulang yang baru. Ini boleh terjadi secara spontan ataupun disebabkan oleh trauma dengan penggunaan gigi palsu sekaligus tisu lembut hilang dan terjadinya nekrosis tulang.

    Ia juga boleh berlaku selepas rawatan cabutan gigi. Tulang nekrosi juga boleh dijangkiti kuman. Tulang yang terbabit perlu dirawat melalui pembedahan. Disebabkan oleh komplikasi yang bakal berlaku, sebarang rawatan cabutan gigi atau penyakit gusi perlu dibuat sebelum radiasi. Osteoradionekrosi adalah komplikasi serius yang bakal berlaku kepada pesakit yang membuat rawatan cabutan gigi selepas radioterapi.

  4. Karies radiasi (gigi berlubang)

    Gigi yang telibat dengan radiasi akan menjadi sensitif dan mudah mendapat karies. Lebih-lebih lagi ulser di dalam mulut menyebabkan sukar untuk memberus dengan baik. Kurang air liur juga menyumbang kepada karies. Ini selalunya berlaku sepanjang garisan gusi, melibatkan leher gigi. Lama-lama, jika tidak dirawat, korona gigi boleh patah dan meninggalkan akar.

    Untuk mengurangkan kesan karies radiasi, pesakit dinasihatkan mengamalkan penggunaan berus gigi berberus lembut dan ubat gigi berfluorida. Berkumur dengan chlorhexidine juga perlu diamalkan. Pesakit juga dinasihatkan untuk berjumpa doktor gigi untuk menerima aplikasi gel atau varnis fluorida.

Apa yang perlu dilakukan sebelum radioterapi?

Pesakit perlu dirujuk ke klinik gigi sebelum rawatan radioterapi. Pesakit akan diajar mengenai cara penjagaan mulut dan komplikasi yang bakal berlaku semasa atau selepas radioterapi. Penjagaan mulut yang baik dan pemeriksaan gigi berkala adalah mandatori. Doktor gigi akan:

  • Menilai prognosis tampalan sedia ada
  • Menilai status gusi
  • Merawat gigi yang tidak elok (cabutan dilakukan sekurang-kurangnya 4 minggu sebelum radioterapi)
  • Membuat gigi palsu baru jika yang lama tidak elok
  • Mengajar cara memberus dan menjaga gigi dengan betul.

Apa yang perlu dilakukan selepas radioterapi?

  • Penjagaan oral dengan baik. Penggunaan berus gigi berberus lembut atau kapas dibasahkan dengan air garam digunakan untuk membersihkan gigi selepas radioterapi. Ubat gigi berfluorida digunakan dan biasanya pesakit diberi varnis gigi berfluorida.
  • Nasihat pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula.
  • Rokok dan pengambilan alkohol harus dielakkan.
  • Kerap meminum air untuk membasahkan mulut.
  • Penggunaan air liur tiruan dan mengunyah gula getah (untuk pesakit yang tidak menggunakan gigi palsu) jika mulut terasa kering disebabkan kurang penghasilan air liur.
  • Kerap berjumpa doktor gigi dan aplikasi varnis fluorida.

Apa yang perlu dilakukan jika mulut terasa kering?

Mulut kering disebabkan oleh kelenjar liur tidak dapat menghasilkan air liur yang mencukupi. Cara untuk menangani mulut kering -:

  • Kerap minum air. Ini dapat membantu membasahkan mulut dan memudahkan proses menelan. Kebanyakan pesakit membawa bersama botol air ke mana saja mereka pergi.
  • Minum air berasaskan citrus.(lemonad/jus oren)kerana ini boleh meningkatkan jumlah air liur.
  • Mengunyah gula getah bebas gula kerana ini boleh meningkatkan jumlah air liur dan membasahkan mulut.
  • Makan makanan yang mudah ditelan (bubur)
  • Elak merokok dan mengambil minuman beralkohol kerana ini boleh menyebabkan mulut kering.
  • Elak makanan yang pedas, masin, masam dan keras.
  • Menggunakan lip balm supaya bibir tidak terasa kering.
  • Berkumur setiap 1-2 jam.(campurkan 1/4 sudu teh serbuk penaik dan 1/8 sudu teh garam bersama segelas air)

Rujukan

  1. Meurman JK, Scully C (2011). Other risk factors. Dental Update, 38(1), 66-68
  2. Waal IVD, Scully C (2011). Potentially malignant disorder of oral and oropharyngeal mucosa. Dental Update, 38(2), 138-140
  3. Nutting CM, Scully C (2011). Radiotherapy and chemotherapy. Dental Update, 38(10), 717-719
  4. Langdon JD, Henk JM (1995). Tumours of the mouth, jaws and salivary glands. Edward Arnold

 

Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis : Dr. Sathiadeva a/l Sathiavan
Penterjemah : Dr. Rosliza bt. Parumo
Akreditor : Dr. Yuen Kar Mun
Penyemak : Dr. Mukhriz b. Hamdan

Artikel Berkaitan

Tanda – Tanda Bukan Verbal Sakit Gigi

Kemahiran berkomunikasi merupakan asas untuk berhubung secara inter-personal. Walau bagaimanapun, komunikasi bukan verbal merupakan cara utama yang digunakan oleh golongan yang tidak boleh bercakap.

Sindrom Bahang Mulut

Sindrom bahang mulut adalah berpunca daripada pelbagai faktor yang melibatkan keadaan psikologi dan fisiologi pesakit. Pengetahuan serta penerangan tentang penyakit ini kepada pesakit adalah penting.

Rawatan Pengekalan Penyakit Gusi

Rawatan pengekalan adalah satu fasa rawatan yang penting dan biasanya bermula selepas selesai rawatan aktif bagi penyakit gusi. Rawatan ini berterusan selama hayat gigi tersebut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,738

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia