A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Kegunaan Dan Manfaat Sinaran...

Kegunaan Dan Manfaat Sinaran Mengion Dalam Radiologi

Pengenalan

Sinaran ialah satu bentuk tenaga yang bergerak melalui ruang atau bahan. Gelombang elektromagnetik merupakan satu bentuk sinaran. Gelombang radio, gelombang mikro, infra merah, cahaya nampak, sinar ultraviolet (UV), sinar-X dan sinar gamma adalah sinaran elektromagnetik. Sinaran yang dapat dikesan oleh mata manusia adalah cahaya nampak sahaja. Terdapat dua jenis sinaran elektromagnetik iaitu sinaran tidak mengion dan sinaran mengion. Sinaran tidak mengion adalah sinaran yang tidak menghasilkan ion apabila ia mengena sesuatu bahan. Manakala sinaran mengion menghasilkan ion apabila ia bertindakbalas dengan atom sesuatu bahan dan ia bertenaga lebih tinggi daripada sinaran tidak mengion.

Sinar-X dan sinar gamma adalah sinaran mengion dan boleh menembusi badan manusia. Radiologi adalah salah satu cabang perubatan yang menggunakan sinar-X untuk menjalankan diagnosis atau merawat penyakit dalam badan manusia. Kebiasaannya, perkhidmatan radiologi di hospital disediakan oleh Jabatan Pengimejan Diagnostik.


Rajah sinaran elektromagnetik.
Sumber Ilustrasi : www.ducksters.com

Kegunaan dan Manfaat Sinaran dalam Radiologi

Sinar-X boleh menembusi badan manusia dan akan menghasilkan imej seperti bayang struktur dalam badan manusia contohnya tulang, sebahagian organ, dan juga gejala penyakit atau sebarang kecederaan. Imej tersebut dipanggil radiograf. Radiograf adalah imej yang tidak bergerak seperti gambar fotograf biasa tetapi tanpa warna. Sinar-X dihasilkan oleh radas yang dikenali sebagai modaliti atau mesin sinar-X. Modaliti sinar-X akan menghasilkan sinar-X apabila juru X-ray menekan satu butang  yang dikenali sebagai butang dedahan. Terdapat pelbagai jenis modaliti sinar-X iaitu radiografi am, floroskopi, angiografi, pengimbas tomografi berkomputer (CT scan), dan mammografi. Setiap modaliti tersebut menjalankan jenis pemeriksaan yang berbeza walaupun menggunakan sinaran yang sama iaitu sinar-X untuk beroperasi. Semua modaliti sinar-X mempunyai satu persamaan iaitu mempunyai tiub sinar-X untuk menghasilkan sinar-X. Selain daripada itu, rekabentuk setiap modaliti adalah berlainan walaupun ia adalah jenis modaliti yang sama. Pengilang yang berbeza akan menghasilkan rekabentuk modaliti yang berlainan. Setiap pengilang mempunyai rekabentuk khas untuk modaliti buatan mereka. Terdapat beberapa pengilang modaliti X-ray yang diiktiraf seperti Philips, Siemens, GE, Toshiba, Carestream, Samsung dan lain-lain.


Tiub X-Ray
(Sumber : www.impactscan.org)

Contoh modaliti radiografi am
(Sumber : www.apex.lt)

Contoh modaliti floroskopi
(Sumber : www.radiology-equipment.com)

Contoh modaliti angiografi
(Sumber :   en.wikipedia.org)

Contoh modaliti CT Scan
(Sumber : www.norwalkradiology.com)

Contoh modaliti mammografi
(Sumber : www.news-medical.net)

Kegunaan dan Manfaat Sinaran dalam Radiologi

Radiografi am digunakan untuk menjalankan pemeriksaan sinar-X yang tidak memerlukan sebarang prosedur khas seperti meminum, menyuntik atau memasukkan kontras ke dalam badan pesakit. Antara contoh diagnosis yang boleh dilakukan oleh radiografi am adalah paru-paru tidak normal, tulang patah atau retak, tertelan bendasing yang keras dan tegap seperti duit syiling dan banyak lagi. Tetapi, sekiranya kesakitan pesakit melibatkan organ yang bertisu lembut, seperti buah pinggang, pundi kencing ataupun usus, radiografi am tidak dapat memberikan imej yang jelas. Maka, satu bahan yang dipanggil agen kontras digunakan untuk tujuan ini. Bahan kontras ini adalah bersifat radio-opak. Radio-opak ialah satu ciri yang merujuk kepada tidak telus kepada sinar-X. Contohnya, intravenous urography (IVU) yang merupakan kaedah diagnosis sinar-X bagi penyakit yang melibatkan saluran kencing. Modaliti IVU juga termasuk dalam jenis radiografi am. Bagi prosedur IVU, pesakit akan disuntik dengan agen kontras. Apabila pesakit diberikan dedahan sinar-X, imej organ yang terlibat seperti ginjal, pundi kencing dan ureter akan kelihatan di dalam radiograf pesakit. Bahan kontras ini akan dikeluarkan semula oleh badan pesakit melalui pembuangan urin selepas prosedur selesai. Sekiranya kontras tidak digunakan, organ-organ tersebut tidak dapat dilihat di dalam radiograf kerana ia terdiri daripada tisu lembut.


Imej radiografi am

Imej radiografi IVU
Rajah contoh perbandingan imej radiografi am dengan IVU.
(Sumber : http://www.e-radiography.net/technique/ivu/ivu.htm)

Fluoroskopi digunakan untuk melihat imej struktur dalam badan pesakit secara langsung. Floroskopi berfungsi seperti televisyen konvensional ataupun video. Maka, imej yang ditunjukkan oleh floroskopi adalah bergerak. Tetapi ia juga boleh memberikan imej yang pegun seperti imej radiograf. Tujuan utama floroskopi adalah untuk memandu prosedur klinikal yang sedang dilakukan oleh doktor. Contohnya, prosedur endoscopic retrograde cholangiopancreatography (ERCP) dilakukan dengan  floroskopi. ERCP dijalankan untuk merawat masalah saluran hempedu dan pankreas, oleh sebab itu,  floroskopi digunakan untuk melihat saluran tersebut dan mencari kawasan yang mengalami masalah penyempitan atau penyumbatan. Pelbagai masalah kesihatan manusia yang lain boleh didiagnosis menggunakan floroskopi, antaranya batu karang, ketidaknormalan struktur organ dalam badan pesakit, penyumbatan saluran ureter, tiub falopio dan lain-lain lagi yang semestinya berpandukan pemeriksaan dan rawatan doktor. Terdapat juga modaliti fluoroskopi untuk kegunaan khas yang dipanggil angiografi. Modaliti angiografi menggunakan prinsip dan operasi yang sama dengan floroskopi tetapi angiografi adalah khusus digunakan untuk diagnosis dan rawatan sistem salur darah manusia. Masalah penyumbatan saluran darah selalunya dapat dirawat melalui prosedur angiografi. Imej yang dihasilkan oleh modaliti angiografi juga adalah secara langsung dan bergerak seperti rakaman video. Floroskopi dan angiografi juga memerlukan bantuan agen kontras untuk penghasilan imej yang lebih baik.


Rajah menunjukkan contoh imej angiografi
(Sumber : www.biomedcentral.com)

CT scan merupakan mesin digital yang menggunakan sepenuhnya aplikasi sinar-X dan sistem komputer untuk menjalankan fungsinya. CT scan boleh memberikan hasil diagnosis penyakit yang lebih menyeluruh. Ia juga dapat memberikan diagnosis yang menjadi limitasi kepada radiografi am dan floroskopi. CT scan boleh digunakan untuk mendiagnosis pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Antara contohnya, sakit kepala, trauma, peringkatan kanser, sakit jantung, masalah buah pinggang dan lain-lain lagi. Doktor akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu ke atas pesakit dan menjejak simtom-simtom serta indikasi penyakit sebelum meminta pemeriksaan menggunakan CT scan dijalankan ke atas pesakit. Ada sesetengah pemeriksaan yang memerlukan bantuan agen kontras. Jika perlu, pesakit akan diberikan kontras sebelum atau semasa pemeriksaan.


Contoh imej CT brain (Sumber : www.two-views.com)

Mammografi pula digunakan khusus untuk mendiagnos payudara pesakit. Kanser payudara boleh didiagnos melalui pemeriksaan mammografi. Modaliti ini memang khusus direka untuk mendiagnosis tisu lembut payudara. Bagi menjalankan pemeriksaan mammografi pula, juru X-ray yang bertugas hanya terdiri daripada juru X-ray perempuan.

Contoh imej mammografi
(Sumber : www.koningcorporation.com , www.blaqueberry.com)

Kesimpulan

Sinar-X merupakan sinar mengion yang digunakan secara meluas di dalam bidang radiologi. Tiub sinar-X merupakan sumber penghasilan sinar-X yang dibina di dalam setiap jenis modaliti sinar-X seperti radiografi am, floroskopi, CT scan dan lain-lain lagi. Setiap satu modaliti sinar-X menjalankan fungsi dan aplikasi klinikal yang berbeza. Dengan penggunaan sinar-X di dalam bidang radiologi, badan manusia dapat diperiksa bagi melakukan diagnosis penyakit atau merawat sesetengah penyakit. Walaubagaimanapun, selain daripada sinar-X memberi banyak manfaat kepada perkhidmatan radiologi, ia juga berbahaya. Dengan ini, penggunaan sinar-X dalam perubatan radiologi mestilah serendah yang munasabah dapat dicapai (ALARA). Selain daripada itu, orang awam mestilah sentiasa berwaspada dengan tanda amaran radiasi yang diletakkan di setiap pintu masuk bilik sinar-X. Tanda amaran tersebut bertujuan untuk melindungi sesiapa sahaja daripada terdedah secara tidak sengaja kepada sumber sinaran di bilik tersebut.


Simbol tanda amaran radiasi

Rujukan

  1. www.sprawls.org
  2. www.rpop.iaea.org
  3. Bushberg.T et al., (2002), The Essential Physics of Medical Imaging 2nd Edition,

Semakan Akhir : 15 Januari 2015
Penulis / Penterjemah : Tuan Solawati bt. Tuan Muda
Akreditor : Nik Mohamed Hazmi b. Nik Hussain

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,677

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia