A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tugas Am Pengendali Makanan Di Premis Makanan Mengikut Perspektif Undang-Undang

PENGENALAN

Keselamatan makanan bermaksud makanan itu bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bersih daripada najis dan bahan buangan yang lain. Makanan yang tidak bersih boleh mengandungi bahan-bahan berbahaya atau bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti taun, tifoid, keracunan makanan, hepatitis A dan lain-lain lagi.

Merujuk kepada tafsiran Peraturan-Peraturan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281), “Pengendali makanan” termasuklah mana-mana orang yang terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan, menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan dan mengendalikan makanan yang berbungkus atau tidak dibungkus atau perkakas dalam mana-mana premis makanan.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PENGENDALI MAKANAN

Latihan

Sebelum mengendalikan apa-apa makanan di premis makanan, seseorang pengendali makanan hendaklah menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat Sijil Latihan Pengendali Makanan daripada institusi yang ditentukan oleh Pengarah (Kementerian Kesihatan).

Pemeriksaan kesihatan

Pengendali makanan juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan vaksin daripada pengamal perubatan berdaftar sebelum dibenarkan mengendali makanan di premis makanan.

Adalah menjadi tanggungjawab pengendali makanan yang menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan untuk tidak memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat daripada segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar.

Pakaian

 Pakaian

Pengendali makanan juga perlu memastikan pakaian yang dipakai semasa mengendalikan makanan hendaklah bersih, sesuai dan wajar serta tidak menyumbang kepada apa-apa pencemaran makanan; sebagai contoh memakai baju luar yang bersih, sesuai dan berwarna cerah atau apron berwarna cerah, penutup kepala dan kasut. Sebagai peringatan, pakaian luar hendaklah tidak dipakai selain dalam premis makanan dan hendaklah sentiasa disimpan di dalam almari atau loker yang sesuai apabila tidak digunakan.

Kebersihan diri

Adalah menjadi tanggungjawab pengendali makanan untuk mengekalkan kebersihan diri pada tahap yang tinggi termasuklah:

  • Menyimpan kuku yang pendek dan bersih.
  • Menanggalkan baju luar atau penutup kepala atau apron sebelum ke tandas.
  • Membasuh tangan sebelum memulakan kerja, sebaik selepas menggunakan tandas dan selepas mengendalikan bahan makanan mentah atau apa-apa bahan yang tercemar.
  • Tidak melakukan apa-apa kelakuan atau tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan contohnya; tidak batuk, meludah, menjilat jari, menggaru tubuh badan, menghembus hingus, merokok atau mengunyah tembakau, pinang atau gula-gula getah.
  • Tidak meletak apa-apa barang di dalam poket mana-mana pakaian atau apron yang boleh menyebabkan kepada apa-apa pencemaran makanan
  • Tidak memakai perhiasan diri, jam, pin atau aksesori yang lain.

Antara contoh pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan semasa mengendali makanan:

Batuk ke arah makanan
Merokok semasa menyediakan makanan

Kebersihan persekitaran premis

Pengendali makanan juga bertanggungjawab memastikan bahawa premis makanan di mana makanan dikendalikan kekal bersih dan bebas daripada sampah, haiwan perosak, kotoran atau jelaga, sisa abu, sisa bahan mentah dan sarang labah-labah pada setiap masa.

Mengendali makanan, perkakas, dsb.

Pengendali makanan hendaklah memastikan pengendalian makanan dan penggunaan perkakas makanan dan bekas makanan dikendalikan dengan bersih dan selamat. Pastikan makanan tidak diletakkan merata-rata lalu bersentuhan dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu.

Pastikan semua perkakas dan bekas yang digunakan hendaklah dikekalkan dalam keadaan baik, mudah dibersihkan, dan jika perlu, dinyah jangkitkan pada setiap masa. Penggunaan bahan pencuci, sebatian pencuci dan pelelas untuk pembersihan hendaklah betul-betul dibilas dari permukaan yang menyentuh makanan dengan air bersih dan selamat.

Penyediaan, Pembungkusan dan Penghidangan Makanan

Pengendali makanan yang menyedia, membungkus atau menghidangkan makanan untuk dijual hendaklah sentiasa memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran.

Contoh – Tidak menggunakan tangan yang tidak berlapik untuk mengendalikan mana-mana makanan yang tidak berbungkus dan mengambil semua langkah yang munasabah untuk menghalang pelanggan daripada menggunakan tangan yang tidak berlapik untuk mengambil apa-apa makanan yang tidak berbungkus.

Tidak menggunakan nafas untuk membuka apa-apa beg atau pembalut yang dikhususkan untuk penyediaan pembungkusan dan penghidangan.

Tidak menyimpan apa-apa bahan mentah, ramuan, hasil makanan pertengahan atau hasil makanan siap pada suhu yang mungkin boleh membantu pembiakan semula mikroorganisma patogen atau pembentukan toksin.

Memastikan pemanas makanan mengekalkan suhu makanan pada suhu melebihi 60°C, jika makanan yang hendak dihidangkan panas.

Penyimpanan, Pendedahan atau Pameran Makanan untuk Jualan

Pengendali makanan hendaklah tidak menyimpan, mendedah atau mempamerkan mana-mana makanan yang siap dimakan untuk dijual dalam mana-mana premis makanan melainkan jika makanan itu terlindung secukupnya daripada pencemaran oleh sesiapa yang bersentuhan dengan makanan itu atau lain-lain punca pencemaran; dengan cara yang berkesan dan menggunakan kabinet, almari pameran, bekas penutup atau peralatan perlindungan, sistem atau peranti lain yang mudah dibersihkan.

Rujukan.

  1. Peraturan – Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
    Semakan Akhir : 20 Januari 2016
    Penulis : En. Hanifar bin Sulaiman
    Akreditor : En. Ahmad Fakurazi bin Abu Bakar

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,312

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia