A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Perbezaan Antara Buta Dan...

Perbezaan Antara Buta Dan Penglihatan Terhad

Pengenalan

Sehingga Jun 2012 terdapat kira-kira 285 juta orang mengalami masalah penglihatan di serata dunia dengan 39 juta daripadanya dikategorikan sebagai buta dan selebihnya iaitu seramai 246 juta lagi mengalami penglihatan terhad. 90% daripada mereka ini berada di negara membangun. Dianggarkan 80% daripada masalah penglihatan ini boleh dielak atau dipulihkan. Penyebab utama masalah penglihatan adalah rabun yang tidak dibetulkan. Manakala katarak pula adalah penyebab utama kebutaan di negara yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana. Takrifan penglihatan terhad dan kebutaan mengikut definisi yang diberikan oleh World Health Organizatin (WHO) mengikut  International Statistical Classification of Diseases, Injuries and Causes of Death adalah seperti berikut :

  1. ‘Penglihatan terhad’ – seseorang individu dikatakan mempunyai penglihatan terhad apabila tahap penglihatan pada mata terbaik selepas pembetulan kurang daripada 6/18 hingga 3/60. Atau keluasan medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari titik fiksasi.
  1. ‘Kebutaan’ – seseorang individu dikatakan buta apabila mempunyai tahap penglihatan di mata terbaik selepas pembetulan kurang daripada 3/60.

Pengkelasan antara penglihatan terhad dan buta yang digunakan oleh WHO ataupun oleh sesuatu negara ini biasanya digunakan untuk mengesahkan status penglihatan dan hak seseorang mengikut istilah perundangan. Mereka yang dikategorikan buta mengikut pengkelasan ini kebanyakannya masih lagi mempunyai sedikit sebanyak sisa penglihatan yang boleh dimanfaatkan. Manakala daripada segi perubatan pula, kebutaan sebenar hanya terjadi ke atas individu yang tidak mempunyai sebarang sisa penglihatan  walaupun untuk melihat cahaya iaitu tidak dapat membezakan keadaan antara gelap dan terang pada mana-mana mata. Berdasarkan kepada definisi oleh WHO – yang membezakan antara seseorang yang berpenglihatan terhad dan buta adalah keupayaan dan potensi maksimum mereka dalam memanipulasikan sisa penglihatan yang masih ada. Ringkasnya tahap penglihatan dan keluasaan medan penglihatan individu yang berpenglihatan terhad adalah lebih baik daripada individu buta. Oleh itu proses penyesuaian dan rehabilitasi penglihatan ke atas individu berpenglihatan terhad  adalah lebih mudah berbanding ke atas individu yang mengalami kebutaan. Di Malaysia, istilah Kurang Upaya Penglihatan yang boleh didaftarkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah bermaksud buta di kedua-dua belah mata ATAU buta sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain-lain gangguan penglihatan kekal. Bagi mana-mana individu yang tergolong dalam kategori seperti yang dinyatakan di atas, boleh memohon untuk didaftarkan sebagai OKU penglihatan setelah mendapat pengesahan daripada Pakar Oftalmologi. Di Malaysia pendaftaran OKU bukanlah sesuatu yang diwajibkan; namun begitu sekiranya anda telah berdaftar, anda layak mendapat semua keistimewaan yang sepatutnya anda peroleh sebagai seorang OKU.

Simptom dan Tanda

Individu yang mempunyai masalah penglihatan biasanya akan mengadu simptom sukar untuk melihat dengan jelas. Bagaimanapun, kesan simptom ini berbeza antara individu walaupun masalah penglihatan yang mereka alami hampir sama. Seseorang yang dilahirkan sebagai buta lebih mudah menyesuaikan diri berbanding individu yang mengalami kebutaan agak lewat dalam fasa kehidupan mereka. Individu yang kehilangan penglihatan secara tiba-tiba juga mengalami kesukaran menyesuaikan diri berbanding mereka yang kehilangan penglihatan secara beransur-ansur. Pelbagai masalah penglihatan lain juga boleh menjadi petanda seseorang itu akan menjadi buta; antaranya adalah melihat objek menjadi herot, melihat titik-titik hitam, melihat cahaya terang secara tiba-tiba dan penglihatan berganda. Tanda-tanda awal individu yang berisiko menjadi buta adalah melihat cahaya yang sangat terang dalam penglihatan mereka. Cahaya tersebut boleh jadi malap, sangat terang atau muncul berwarna-warni. Cahaya terang seperti ini mungkin menjadi petunjuk awal kepada kelekangan atau koyakan pada retina yang akhirnya boleh menyebabkan kebutaan. Kehilangan penglihatan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu setiap simptom dan tanda yang dialami oleh seseorang individu tidak boleh dipandang ringan. Namun begitu ia tidaklah bermakna jika seseorang itu mengalami satu atau dua daripada simptom seperti yang dinyatakan, beliau akan mengalami kebutaan secara automatik.

Komplikasi

Kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh kerosakan saraf optik, diabetes retinopati, glaukoma, kelekangan retina dan degenerasi makula adalah bersifat kekal dan tidak boleh dibetulkan. Manakala kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh rabun atau katarak adalah bersifat sementara dan boleh dibetulkan dengan pembedahan. Walau bagaimanapun, kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh masalah pada kornea, adakalanya boleh dibetulkan dengan pembedahan atau kanta lekap bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi.

Rawatan

Rawatan kepada masalah penglihatan terhad dan kebutaan ini juga bergantung kepada penyebabnya. Di negara dunia ketiga, di mana penyebab utama masalah penglihatan adalah disebabkan oleh rabun, pemberian preskripsi dan sepasang cermin mata sudah mencukupi untuk menangani masalah ini. Masalah nutrisi juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan pengolahan diet mungkin boleh membantu mengurangkan komplikasi penglihatan. Selain dari itu, terdapat beratus ribu pesakit katarak yang boleh mendapat semula penglihatan normal mereka sekiranya mereka berpeluang menjalani pembedahan membuang katarak tersebut.

Pencegahan

Antara 80-90% masalah penglihatan di dunia boleh dicegah melalui kombinasi pendidikan dan kebolehcapaian kepada penjagaan kesihatan yang baik. Kebanyakan kes yang disebabkan oleh trauma/kecederaan boleh dicegah melalui amalan menggunakan peralatan perlindungan mata yang bersesuaian semasa melakukan kerja-kerja yang berisiko. Bagi kes yang berkaitan dengan nutrisi boleh dicegah melalui pengambilan diet yang betul. Bagi kes yang berkaitan glaukoma, kehilangan medan penglihatan boleh dicegah melalui rawatan yang bersesuaian di peringkat awal. Bagi kes yang berkaitan dengan jangkitan kuman, ianya dapat dikurangkan melalui promosi kesihatan awam. Kebanyakan masalah penglihatan yang berpunca daripada diabetik retinopati, boleh dielakkan melalui kawalan tahap glukosa dalam darah, senaman, elakkan diri daripada menjadi obes dan elakkan daripada merokok. Penekanan juga harus diberikan kepada pengambilan makanan yang tidak meningkatkan jumlah gula dalam darah. Peningkatan jangka hayat populasi dunia juga mendedahkan mereka kepada masalah penglihatan yang disebabkan oleh penuaan seperti degenerasi makula. Pemeriksaan mata secara berkala dapat mengesan sebarang penyakit yang berpotensi mendatangkan kerosakan pada penglihatan dan medan penglihatan dan dengan itu rawatan yang bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit.

Rehabilitasi

Bagi pesakit yang mengalami masalah penglihatan terhad dan kebutaan yang tidak boleh dirawati, mereka perlu mengatur semula kehidupan mereka daripada segi rutin harian dengan berlatih melakukannya dalam bentuk dan cara yang berbeza. Alat bantuan penglihatan terhad selalunya dapat memudahkan mereka yang berpenglihatan terhad untuk menjalani rutin mereka.

Rajah 1 : Alat bantuan optikal dan bukan optikal serta peralatan elektronik untuk kegunaan orang berpenglihatan terhad dan buta

Rajah 2 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglihatan Bagi mereka yang mengalami kebutaan, program orientasi dan mobiliti membolehkan mereka bergerak tanpa bantuan di persekitaran yang biasa. Di sesetengah negeri terdapat projek Program dalam Komuniti yang melibatkan lawatan daripada pakar orientasi dan mobiliti, ahli terapi cara kerja dan profesional-profesional lain yang boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran. Bagi yang berminat untuk membaca dan menulis, mereka boleh menghadiri kelas Braille ataupun datang ke mana-mana pusat rujukan untuk OKU penglihatan dan mendapatkan latihan di bidang yang berkaitan dengan minat mereka.

 

Rajah 3 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglihatan

Pertubuhan Sokongan

  • Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah masing-masing untuk pendaftaran OKU penglihatan
  • Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (Malaysian Association for the Blind (ROS358/51))
    • No.94b, Jalan Tun Sambathan, 50470 Kuala Lumpur
    • Tell : 03-2272 2672 / 2677 / 2679
    • Fax: (603) 2272 2676
    • e-mail: enquiry@mab.org.my
  • Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia – Braille Resource Centre
    • No. 166-1, Jalan Tun Sambathan, 50470 Kuala Lumpur
    • Tell : 03-2741 722
    • Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
    • No. 32A, Tingkat 1, Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman, 53100 Gombak, Kuala

 

    Lumpur.
  • PPOBM – Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia ( www.ppob.org.my)
    • Tel: 03 22741212 / 03 22721673 / 017 4927717
  • International Council For Education Of People With Visual Impairment (Icevi)
    • No.37, Jesselton Crescent, 10450 Penang.
    • Tell : 04-2290 933
  •  Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia
    • No. 94b, Jalan Tun Sambanthan , 50470 Kuala Lumpur
    • Tell : 03-2272 4959
  • Persatuan Orang Buta Sarawak
    • Kuching Division Branch, Ong Tiang Swee Road
    • P.O.Box 515, 93710 Kuching, Sarawak
    • Tell : 082-424046
  • Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah
    • P.O.Box 10720 , 88807 Kota Kinabalu, Sabah
    • Tell : 088-218130
  • Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
    • No.40a, Jalan Padang Belia, 50470 Kuala Lumpur
    • Tell : 03-2274 6162
  •  Pusat Latihan Gurney ( Orang-Orang Buta)
    • Jalan Tun Sambathan 4, 50470 Kuala Lumpur
    • Tell : 03-2272 2677
  • St. Nicholas Institute For The Visually Handicapped
    • P.O.Box 3031, No.4, Jalan Jermal Road 10990 Penang
    • Tell : 04-217 3294
  • Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Cawangan Perak
    • No.22, Selasar Rokam 28, Taman Ipoh Jaya 31350 Perak
    • Tell : 05-313 4248

 

Rujukan

  1. enquiry@mab.org.my
  2. www.ppob.org.my

 

Semakan Akhir : 18 Jun 2014
Penulis : Cik Ruwaidah Bt. Saidin
Akreditor : Pn. Nor Azizah Binti Ismail

 

Artikel Berkaitan

MAMOGRAFI

Mamografi ialah pemeriksaan x-ray ke atas payudara sebagai salah satu langkah pengesanan awal bagi kanser payudara jika wujud tanda-tanda seperti ketumbuhan (Lump) dan kesakitan payudara (breast pain).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,892

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia