A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Tip/Panduan
  6. /
  7. Simpan ubat dalam peti...

Simpan ubat dalam peti sejuk : Kekalkan

Setiap ubat ada cara penyimpanan yang disarankan oleh pengilang setelah menguji kestabilan ubat-ubat tersebut pada suhu berlainan untuk jangka masa tertentu. Ada ubat yang perlu disimpan pada tahap beku, ada yang boleh disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk.

Pengenalan

Setiap ubat ada cara penyimpanan yang disarankan oleh pengilang setelah menguji kestabilan ubat-ubat tersebut pada suhu berlainan untuk jangka masa tertentu. Ada ubat yang perlu disimpan pada tahap beku, ada yang boleh disimpan pada suhu bilik dan ada juga yang perlu disimpan dalam peti sejuk.

Sesetengah ubat disimpan dalam peti sejuk di farmasi tetapi boleh disimpan pada suhu bilik oleh pesakit. Ada juga ubat yang perlu dikekalkan simpan dalam peti sejuk walaupun setelah dibawa pulang. Uniknya, ada ubat yang pada asalnya disimpan dalam suhu bilik tetapi perlu disimpan dalam peti sejuk semasa digunakan.

Artikel ini mengupas tips-tips penyimpanan ubat peti sejuk yang betul, cara mengendalikan ubat peti sejuk dalam perjalanan, dan kepentingan mengekalkan suhu penyimpanan ubat.

Tips Mengetahui Cara Penyimpanan Ubat

Bagaimanakah cara mengetahui cara penyimpanan ubat yang betul? Anda boleh mengikuti tips-tips berikut:

  1. Cara penyimpanan ubat biasanya dinyatakan pada sisi kotak atau bungkusan asal ubat.
  2. Cara penyimpanan ubat boleh didapati dalam sisipan produk di bawah tajuk “penyimpanan” atau “storage”.
  3. Pihak farmasi mungkin meletakkan pelekat dengan arahan penyimpanan pada bekas ubat.
  4. Anda boleh bertanya terus kepada ahli farmasi yang memberi ubat.

ubat1

Contoh arahan penyimpanan pada kotak bungkusan ubat

Ubat Simpanan Peti Sejuk

Jika arahan pada bungkusan ubat menyatakan “simpan pada suhu 2 – 8°C”, “keep refrigerated” atau “store at 2 – 8°C” ia bermaksud anda perlu menyimpan ubat tersebut dalam peti sejuk.

Peti sejuk di farmasi terdapat alat kawalan suhu dan penanda suhu semasa. Namun, kebanyakan peti sejuk domestik tidak menunjukkan suhu semasa peti sejuk. Oleh itu, langkah-langkah berikut disarankan untuk penyimpanan ubat dalam peti sejuk domestik:

  1. Simpan ubat di rak tengah peti sejuk serta jarakkan dari barang-barang lain dalam peti sejuk.
  2. Jauhkan ubat dari bahagian sejuk beku dan lubang udara untuk mengelak pembentukan kristal ais yang merosakkan ubat.
  3. Tidak menyimpan ubat di bahagian pintu peti sejuk kerana ubat akan terdedah kepada suhu yang tidak sekata setiap kali pintu peti sejuk dibuka.
  4. Pastikan ubat sukar dicapai oleh kanak-kanak.

Antara ubat yang perlu disimpan dalam peti sejuk di farmasi dan di rumah ialah seperti berikut:

  1. Suntikan insulin (yang belum digunakan)
  2. Suntikan erythropoietin (contoh: Eprex® dan Recormon®)
  3. Sesetengah suntikan interferon (contoh: Pegasys®)
  4. Suntikan filgrastim (contoh: Neupogen®)
  5. Ubat titis mata (contoh: latanoprost (Xalatan®) dan chloramphenicol)
  6. Ubat titis telinga (contoh: chloramphenicol)
  7. Semburan hidung synthetic salmon calcitonin (contoh: Miacalcic®)
  8. Ubat titis mulut alfacalcidol (contoh: One-Alpha®)
  9. Kapsul ritonavir (contoh: Norvir®)

Selain itu, sesetengah sediaan ubat yang dibancuh atau dicairkan di fasiliti kesihatan juga perlu disimpan dalam peti sejuk. Ubat-ubat ini biasanya mempunyai tarikh luput yang lebih pendek. Contohnya ialah:

  1. Ubat minum seperti suspensi omeprazole dan sirap spironolactone
  2. Ubat titis mata seperti cyclosporin dan sodium chloride 3%
  3. Ubat titis telinga seperti sodium bicarbonate 5%
  4. Ubat sirap / suspensi antibiotik (yang dibancuh dari serbuk) seperti suspensi amoxycillin

Ubat Simpanan Dingin Beku

Ubat simpanan dingin beku bermaksud ubat yang disimpan di bawah paras beku iaitu -10 hingga -20°C. Sesetengah jenis vaksin dan ubat pesari perlu disimpan dalam suhu dingin beku di fasiliti kesihatan dan hanya diletakkan pada suhu bilik sejurus sebelum digunakan.

Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini hanya digunakan ke atas pesakit di dalam fasiliti kesihatan. Ini bermakna pesakit tidak dibekalkan dengan ubat tersebut untuk dibawa balik ke rumah.

Keperluan Mengekalkan Suhu

Tiga sebab utama ubat disimpan dalam peti sejuk adalah untuk:

  1. Mengekalkan keberkesanan ubat.

    Ubat simpanan sejuk akan hilang keberkesanannya apabila diletakkan di luar suhu yang disarankan selepas tempoh tertentu. Jangka masa ketahanan adalah bergantung kepada jenis ubat dan biasanya dinyatakan dalam sisipan produk.

  2. Mengekalkan kesterilan ubat.

    Steril bermaksud ubat bebas daripada mikroorganisma seperti bakteria. Sesetengah ubat, terutama ubat titis mata atau telinga yang dibancuh di fasiliti kesihatan secara aseptik (bebas kuman) dan tanpa pengawet perlu sentiasa disimpan dalam keadaan sejuk untuk melambatkan pembiakan bakteria.

  3. Mengekalkan bentuk fizikal ubat.

    Sesetengah ubat dalam bentuk supositori perlu disimpan dalam peti sejuk supaya tidak mencair sebelum digunakan.

Walau bagaimanapun, bukan semua ubat yang disimpan dalam peti sejuk di farmasi perlu disimpan dalam keadaan yang sama oleh pesakit di rumah. Contohnya, insulin yang sedang digunakan boleh diletakkan pada suhu bilik dengan ketahanan sehingga sebulan, bergantung kepada jenis insulin.

ubat2

Contoh insulin yang sedang digunakan

Terdapat juga ubat yang pada asalnya disimpan pada suhu bilik di farmasi tetapi perlu disimpan dalam peti sejuk semasa digunakan. Contohnya ialah kebanyakan sirap antibiotik dalam bentuk serbuk yang dibancuh dengan menambah air seperti amoxicillin trihydrate. Walaupun disimpan dalam peti sejuk setelah dibancuh, sirap antibiotik tersebut hanya bertahan selama tujuh hari sebelum hilang keberkesanannya.

ubat3

Contoh ubat yang perlu disimpan dalam peti sejuk setelah dibancuh.

Tips Untuk Perjalanan

Perjalanan membawa ubat boleh mengambil masa yang lama dan mendedahkan ubat kepada persekitaran panas yang menjejaskan kualitinya. Jika anda terpaksa melakukan perjalanan dengan ubat-ubat simpanan peti sejuk, pastikan anda mempunyai bekas kalis haba dan pek ais.

ubat4

Contoh bekas kalis haba untuk mengisi ubat sejuk dalam perjalanan

Bekas kalis haba dan pek ais boleh dibeli di pasaraya atau kedai barangan bayi. Anda juga boleh membuat pek ais sendiri dengan memasukkan ketulan ais ke dalam plastik kalis bocor kemudian dibalut dengan kain.

Berikut adalah tips perjalanan dengan membawa ubat simpanan peti sejuk:

  1. Simpan ubat dalam bekas kalis haba yang berisi pek ais.
  2. Pastikan ubat tidak tersentuh secara langsung dengan pek ais untuk elakkan ubat membeku.
  3. Bawa bekas kalis haba bersama-sama di tempat duduk penumpang.
  4. Jika terpaksa berhenti dan keluar dari kenderaan, bawa bersama-sama bekas kalis haba tersebut.
  5. Simpan ubat dalam peti sejuk sebaik sahaja tiba ke destinasi.

ubat5

Rantaian Sejuk

Ubat simpanan peti sejuk sensitif terhadap perubahan suhu dan akan rosak apabila terdedah kepada suhu di luar julat untuk tempoh tertentu. Oleh itu, suhu yang sesuai perlu dikekalkan sepanjang proses pemindahan ubat tersebut dari kilang ke tangan pesakit. Pengekalan julat suhu yang sesuai sepanjang proses pemindahan ubat dipanggil rantaian sejuk atau “cold chain”.

Ubat-ubat simpanan peti sejuk yang telah terdedah kepada suhu bilik adalah berbeza dari segi ketahanannya. Sebagai contoh, insulin boleh bertahan sehingga sebulan pada suhu bilik tetapi filgrastim dan erythropoietin hanya bertahan beberapa jam sebelum hilang keberkesanan.

Oleh itu, pesakit akan dinasihatkan untuk membawa bekas kalis haba dan pek ais jika mereka dibekalkan dengan ubat-ubat simpanan peti sejuk yang tidak mampu bertahan lama.

Kesimpulan

Sesetengah ubat perlu disimpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan keberkesanan, kesterilan atau bentuk fizikalnya. Anda perlu peka dengan label ubat dan arahan penyimpanan yang diberikan oleh ahli farmasi. Amalkan tips perjalanan yang disarankan supaya kualiti ubat simpanan sejuk kekal terpelihara.

Rujukan

  1. Coleiro, D. (2012). Storage of Medicines and Medical Devices. Diambil daripada http://www.um.edu.mt/__data/assets/pdf_file/0016/153160/Storage_of_Medicines_and_Medical_devices.pdf
  2. PL Technician Tutorial, Stay Cool: Storing Meds in the Fridge or Freezer. Pharmacist’s Letter/Pharmacy Technician’s Letter. Disember 2012.
  3. Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. (14 Oktober 2015). Perjalanan Jauh Bersama Ubat Ubatan. Youtube diambil daripada https://youtube.com/watch?v=q-DpJlsc-eI
Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis : Zuhailah bt. Mohd Shafawi
Akreditor : Kamariah Shamsinar bt. Kamarul Baharin

Artikel Berkaitan

Aspirin

Apa Itu Aspirin? Aspirin atau nama bahan aktif Acetyl Salicylic

Ubat Antidiabetik Dan Kehamilan

Bagi wanita yang mengalami diabetes semasa kehamilan, plasenta menghasilkan hormon yang boleh menganggu tindakan insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah. Maka, ia menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan boleh menjejaskan kesihatan bayi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,089

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia