A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Vaksin Rotavirus

Pengenalan: Kepentingan Vaksinasi

Rotavirus dinamakan kerana bentuknya yang kelihatan seperti roda (‘rota’ bermaksud roda dalam bahasa Latin) apabila dilihat melalui mikroskop elektron. Rotavirus adalah virus yang paling biasa menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk yang boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak di kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia. Penyakit rotavirus amat mudah berjangkit dan hampir semua kanak-kanak dijangkiti sebelum atau pada usia 5 tahun. Di Malaysia, kira-kira 22% hingga 50% daripada kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh rotavirus.

Electron micrograph of rotavirus

Rajah 1: Mikrograf elektron untuk rotavirus.

Rotavirus tersebar dengan mudah melalui tangan-ke-mulut disebabkan oleh sentuhan dengan najis daripada orang yang dijangkiti. Kebanyakan kanak-kanak akan pulih sendiri daripada jangkitan. Walau bagaimanapun, sesetengah kanak-kanak juga dimasukkan ke hospital kerana muntah dan cirit-birit yang teruk dengan kehilangan banyak cecair badan yang boleh membawa maut. Mujurlah, jangkitan ini boleh dicegah melalui vaksin terhadap rotavirus.

Vaksin rotavirus adalah vaksin hidup dan apabila diberikan kepada bayi, pertahanan badan semula jadi akan menghasilkan antibodi terhadap rotavirus untuk mencegah cirit-birit dan muntah yang disebabkan oleh rotavirus. Pada masa ini, terdapat 2 jenis vaksin rotavirus di pasaran Malaysia, iaitu siri 2 dos dan 3 dos. Kedua-duanya terbukti selamat dan berkesan dalam mencegah cirit-birit yang teruk di kalangan kanak-kanak . Berdasarkan data dari kajian klinikal, vaksin rotavirus didapati berkesan untuk mencegah 85% hingga 98% daripada penyakit rotavirus yang teruk dan mencegah 74% hingga 87% daripada semua penyakit rotavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2008, kira-kira setengah juta kanak-kanak mati akibat jangkitan rotavirus dan telah menyumbang kepada kira-kira 5% daripada semua kematian kanak-kanak di seluruh dunia. WHO mengesyorkan vaksin rotavirus disenaraikan ke dalam program imunisasi kebangsaan terutamanya di negara-negara yang berisiko tinggi bagi penyakit rotavirus yang teruk dan kadar kematian yang tinggi akibat jangkitan virus tersebut.

Indiksi dan kumpulan sasaran

Vaksin rotavirus tidak termasuk di dalam program imunisasi kebangsaan. Vaksin ini boleh diberikan kepada bayi berusia 6 minggu dan ke atas bagi mencegah cirit-birit dan muntah yang disebabkan oleh jangkitan rotavirus dan boleh diberikan daripada usia 6 minggu hingga 32 minggu bergantung kepada jenis vaksin yang diberikan. Walaubagaimanapun, vaksin ini tidak boleh diberikan jika:

  • Bayi pernah mengalami reaksi alahan yang teruk terhadap vaksin rotavirus atau alahan kepada mana-mana komponen dalam vaksin.
  • Bayi menghidap penyakit gangguan genetik yang jarang berlaku yang boleh menjejaskan sistem pertahanan badan dan dikenali sebagai Severe Combined Immunodeficiency (SCID).
  • Bayi mengalami sejenis penyumbatan usus (teleskopi pada bahagian usus atau intussusception).
  • Bayi dilahirkan dengan kecacatan dalam usus yang boleh menyebabkan penyumbatan usus.

Vaksinasi perlu ditangguhkan sekiranya bayi mengalami jangkitan yang teruk dan demam dengan suhu yang tinggi, cirit-birit dan/atau muntah.

Dos dan cara pengambilan

Jadual di bawah menunjukkan dos untuk jenis-jenis vaksin rotavirus:

Dos
Jarak masa dos
Vaksin siri 3 dos boleh diberikan sehingga usia 32 minggu Dos pertama diberikan pada bayi pada usia 6 hingga 12 minggu. Dos seterusnya diberikan pada jarak masa sekurang-kurangnya 4 minggu di antara setiap dos. Jadual vaksinasi perlu dilengkapkan sebelum bayi berusia 32 minggu.
Vaksin siri 2 dos boleh diberikan sehingga usia 24 minggu Dos pertama diberikan pada bayi daripada usia 6 minggu. Dos seterusnya diberikan pada jarak masa sekurang-kurangnya 4 minggu. Jadual vaksinasi perlu dilengkapkan sebelum bayi berusia 24 minggu.

Rotavirus vaccine is given by mouth only

Rajah 2: Vaksin rotavirus diberi melalui mulut sahaja.

  • Kedua-dua jenis vaksin diberi melalui mulut.
  • Jika bayi termuntah keluar kebanyakan dari dos vaksin tersebut, dos gantian boleh diberikan pada lawatan yang sama jika bayi diberi vaksin jenis siri 2 dos. Walau bagaimanapun, untuk bayi yang diberi vaksin jenis siri 3 dos, dos gantian tidak perlu diberikan. Bayi tersebut perlu menerima dos vaksin seterusnya mengikut jadual yang ditetapkan.
  • Vaksin rotavirus boleh diberikan kepada bayi pra-matang dengan jadual vaksinasi yang sama seperti bayi yang cukup bulan.
  • Vaksin rotavirus boleh diberikan tanpa mengira pengambilan makanan, cecair atau susu ibu, sama ada sebelum atau selepas vaksinasi.

Kesan-kesan sampingan yang mungkin dialami

Seperti semua jenis vaksin, terdapat kemungkinan penerima vaksin mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi. Kebiasaannya,kesan-kesan sampingan adalah tidak serius dan bersifat sementara. Kesan sampingan yang biasa termasuk cirit-birit, muntah dan cepat marah.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan kecil bayi boleh mengalami reaksi alahan yang serius dengan tanda-tanda dan gejala-gejala seperti ruam, bengkak pada muka dan tekak, kesukaran bernafas, denyutan jantung yang cepat, pening dan lemah.

Kesan sampingan iaitu bayi mengalami penyumbatan usus (teleskopi pada bahagian usus atau intussusception) dilaporkan sangat jarang berlaku. Ibu bapa dinasihatkan supaya memerhatikan bayi mereka jika mengalami tanda-tanda dan gejala-gejala seperti sakit perut serta menangis dengan teruk, muntah berterusan, darah dalam najis, perut bengkak dan/atau demam bersuhu tinggi.

Nota peringatan

Amaran dan langkah berjaga-jaga

Seperti vaksin lain, tiada vaksin yang 100 peratus berkesan dan vaksin rotavirus mungkin tidak sepenuhnya melindungi semua kanak-kanak yang diberikan vaksinasi yang lengkap mengikut jadual. Vaksin-vaksin ini tidak akan memberi perlindungan terhadap cirit-birit dan muntah yang disebabkan oleh kuman selain daripada rotavirus.

Ibu bapa dinasihatkan supaya membasuh tangan mereka selepas menukar lampin anak-anak kerana najis berkemungkinan mempunyai virus vaksin rotavirus dalam minggu pertama selepas pengambilan vaksin.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memberi vaksin rotavirus untuk anak-anak mereka jika:

  • Bayi telah menerima pemindahan darah atau produk darah termasuk immunoglobulin (sejenis antibodi) dalam tempoh 6 minggu.
  • Bayi mempunyai sebarang penyakit gastrousus yang kronik.
  • Bayi berhubungan rapat contohnya, dengan ahli keluarga yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.
  • Bayi mempunyai masalah pertumbuhan.
  • Bayi mempunyai sebarang penyakit atau mengambil ubat-ubatan yang boleh melemahkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan.

Vaksin Rotavirus dan Vaksin Lain

Vaksin rotavirus boleh diberikan bersama-sama dengan vaksin lain yang disyorkan seperti difteria, tetanus, batuk kokol/ pertusis, Haemophilus influenzae jenis b, polio tidak aktif, hepatitis B, pneumokokal dan meningokokus kumpulan C.

Cara penyimpanan

Kedua-dua jenis vaksin mesti disimpan di dalam peti sejuk pada suhu 2 hingga 8 darjah Celsius, dilindungi daripada cahaya dan tidak boleh dibekukan.

Kesimpulan

Vaksin rotavirus adalah cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan rotavirus. Vaksin adalah terbukti berkesan untuk mencegah penyakit jangkitan rotavirus yang teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak. Selain risiko penyumbatan usus (intussusception) yang sangat rendah, vaksin rotavirus adalah dianggap selamat dan diterima baik oleh pengguna. Walaupun vaksinasi bagi rotavirus bukan sebahagian daripada jadual imunisasi kebangsaan di Malaysia, ibu bapa dinasihatkan supaya berjumpa doktor bagi mendapatkan vaksinasi ini untuk melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan rotavirus. Amalan kebersihan diri yang baik seperti mencuci tangan juga adalah penting dalam mengawal penyebaran jangkitan rotavirus.

Rujukan

  1. Hsu, V.P., Abdul Rahman, H., Wong, S.L., Ibrahim, L., Yusoff, A.F., Chan, L.G., et al. (2005). Estimates of the burden of rotavirus disease in Malaysia. Journal of Infectious Diseases, 192 (Supplement 1), S80-S86.
  2. Poo, M.I. & Lee, W.S. (2007). Admission to hospital with childhood gastroenteritis in Kuala Lumpur, Malaysia. Medical Journal of Malaysia, 62(3), 189-193.
  3. World Health Organization (2013). Rotavirus vaccines. WHO position paper – January 2013. Weekly Epidemiological Record, 88, 49-64.
  4. Centers for Disease Control and Prevention (2012). Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Disease (12th ed.). Washington DC: Public Health Foundation.
  5. Palmer, E. (1978). [Rotavirus]. Retrieved February 25, 2015 from http://phil.cdc.gov/phil/details.asp?pid=197
  6. Rotavirus Vaccination (n.d.). Retrieved February 25, 2015 from http://www.cdc.gov/vaccines/vpd-vac/rotavirus/default.htm?s_cid=cs_074
Semakan Akhir : 16 Mei 2016
Penulis/Penterjemah : Lim Bee Yee
Akreditor : Azura bt. Abdullah

Artikel Berkaitan

Ginkgo Biloba

Apa Itu Ginkgo Biloba? Ginkgo Biloba adalah antara salah satu

Apa itu radiofarmaseutikal?

Radiofarmaseutikal merupakan sejenis ubat yang mengandungi bahan radioaktif dan digunakan untuk tujuan perubatan; iaitu mendiagnos atau merawat sesuatu penyakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,359

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia