PENGENALAN
Lebah adalah sejenis serangga yang boleh menyengat seseorang. Sengatan daripada spesis serangga ini kadangkala amat menyakitkan. Pada individu yang alah kepada sengatan lebah, tindak balas anafilaktik serius yang mungkin membawa maut, boleh berlaku.
GEJALA DAN TANDA
Adalah penting untuk membezakan sengatan lebah dan gigitan serangga lain. Racun atau toksin serangga yang menyengat juga agak berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, tindak balas badan kepada sengatan lebah dan serangga adalah berlainan dari satu spesies dengan spesies yang lain.
Sengatan lebah biasanya menyebabkan tindak balas setempat yang boleh dicirikan oleh:
- Kemerahan, bengkak, sakit dan gatal di tempat sengatan
- Kesakitan biasanya akan hilang dengan cepat, tetapi bengkak boleh bertahan selama lebih daripada satu hari.
Sungguhpun demikian, seseorang mungkin mengalami tindak balas sistemik atau alahan berikutan sengatan lebah, yang dicirikan oleh:
- Benjolan pada permukaan kulit serta gatal-gatal seluruh badan
- Bengkak pada mulut atau tekak atau kedua-duanya
- Pernafasan yang berbunyi ‘ wheezing’
- Sesak nafas atau kesukaran untuk bernafas
- Loya
- Muntah
- Keresahan
- Sakit dada
Dalam kes yang teruk, kesukaran bernafas yang serius, tidak sedarkan diri boleh berlaku, malah boleh membawa maut.
KOMPLIKASI
Sengatan yang banyak boleh menyebabkan komplikasi yang serius (seperti kerosakan otot atau kegagalan buah pinggang) dan berakhir dengan kematian.
Sengatan tunggal di dalam mulut atau tekak pula boleh mengakibatkan pembengkakan pada saluran pernafasan di kalangan kanak-kanak. Masalah yang serius mungkin berlaku dalam tempoh beberapa jam pertama selepas disengat atau mungkin tertangguh selama beberapa hari kemudian.
Kanak-kanak kecil dan warga emas merupakan kumpulan yang amat berisiko tinggi untuk mendapat tindakbalas yang lebih serius terhadap sengatan lebah.
RAWATAN
Langkah Bantu Awal:
- Langkah pertama dalam rawatan berikutan sengatan lebah adalah mencabut penyengat yang tertinggal di tempat sengatan. Penyengat perlu dikeluarkan secepat mungkin tanpa mengambil kira kepada kaedah yang digunakan.
(Kajian menunjukkan tiada perbezaan pada jumlah racun yang dapat masuk ke dalam tubuh seandainya penyegat di keluarkan secara mencubit atau dikikis. Sebaliknya, kelewatan mengeluarkannya, walaupun hanya beberapa saat, boleh mengakibatkan lebih banyak racun di suntik masuk). - Tekapkan ais pada bahagian yang di sengat untuk mengurangkan bengkak
(Setelah sisa penyengat dikeluarkan, kesakitan dan bengkak dapat dikurangkan dengan menuam dengan ketulan ais di tempat sengatan) - Rehat dan tinggikan anggota badan yang terkena sengat
Dapatkan nasihat perubatan secepat mungkin (2 peratus individu yang di sengat boleh mendapat kejutan anafilatik terhadap protein tertentu dalam racun sengatan. Ini boleh mengancam nyawa dan ianya memerlukan rawatan kecemasan) - Satu suntikan adrenalin akan diperlukan pada individu yang mengalami tindakbalas renjatan atau ‘shock’.
- Imunisasi tetanus selalunya disyorkan.
Bahagian yang di sengat mungkin terasa sakit untuk beberapa jam. Bengkak dan gatal mungkin akan berterusan selama seminggu. Elak daripada menggaru kerana ia hanya akan meningkatkan lagi rasa gatal dan bengkak.
Risiko mengalami sesak nafas adalah lebih tinggi sekiranya individu terkena lebih dari 10 sengatan atau terkena sengatan di dalam hidung, mulut, tekak; akibat dari tindakbalas anafilaktik atau pun pembengkakan di tempat sengatan.
PENCEGAHAN
- Elakkan diri dari mendekati lebah dan tebuan.
Adalah penting sebagai peringatan bahawa sengatan tebuan madu dapat menghasilkan ‘pheromones’yang boleh “memanggil” tebuan lain datang untuk menyerang
RUJUKAN
-
Visscher P, Vetter R, Camazine S (1996). “Removing bee stings.”. Lancet 348 (9023): 301–2.
-
Balit C, Isbister G, Buckley N (2003). “Randomized controlled trial of topical aspirin in the treatment of bee and wasp stings”. J. Toxicol. Clin. Toxicol. 41 (6): 801–8.
-
Glaser, David. “Are wasp and bee stings alkali or acid and does neutralising their pH them give sting relief?”. www.insectstings.co.uk. http://www.insectstings.co.uk/sting-acid-or-alkali.shtml. Retrieved 2007-05-03.
-
John Murtagh’s Patient Education, Fifth edition, page 213.
-
John Murtagh, General Practice, Third Edition, page 1323.
Semakan Akhir | : | 13 Jun 2012 |
Penulis | : | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |
Penterjemah | : | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |
Akreditor | : | Dr. Rosnah bte. Ramly |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |