Apa itu cacing rambu atau cacing cambuk?
Nama cacing rambu atau cacing cambuk boleh dikenali berdasarkan kepada ciri-ciri bentuk cacing dewasa. Cacing dewasa berkuran diantara 3-5 cm panjang dan boleh hidup diantara 1-3 tahun.
Ia membenamkan hujung badannya pada dinding usus besar manusia.
Cacing rambu atau cacing cambuk betina boleh menghasilkan lebih dari 10,000 telur dalam masa sehari dan dikeluarkan dalam najis manusia.
Apakah ‘trichuriasis’?
‘Trichurisasis’ ialah jangkitan yang disebabkan oleh cacing rambu atau cacing cambuk. Ia sering berlaku di kalangan kanak-kanak.
Bagaimanakah ia berjangkit?
Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak makan makanan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing. Juga boleh berlaku apabila kanak-kanak memasukkan jari tangan ke dalam mulut selepas bermain dengan tanah yang tercemar. Telur-telur cacing tersebut akan menetas di dalam usus besar kanak-kanak.
Apakah tanda dan gejala?
Jangkitan ringan (kurang dari 100 cacing)
- Kemungkinan tiada sebarang tanda dan gejala.
- Kadang-kala kanak-kanak mengalami kembung perut, cirit birit, sembelit atau perut rasa tidak selesa (sebu).
Jangkitan teruk (melebihi 100 -1000 cacing) kemungkinan diikuti dengan tanda dan gejala berikut:-
- Sakit perut.
- Muntah.
- Cirit-birit (kemungkinan mengandungi darah)
- Pucat (kurang darah).
- Hilang selera makan.
- Susut berat badan.
- Bahagian akhir usus besar terkeluar ( Rectal Prolapse).
- Pembesaran terencat.
Apakah bahaya jangkitan cacing rambu atau cacing cambuk?
Bagi kes yang teruk, dehidrasi dan kekurangan darah berlaku akibat daripada cirit-birit berdarah. Bahagian akhir usus besar terkeluar kadang-kala berlaku.
Bagaimanakah anda tahu anak anda dijangkiti cacing rambu atau cacing cambuk?
Apabila anak anda buang air besar dan najisnya mengandungi telur cacing rambu atau cacing cambuk. Ianya boleh dipastikan melalui pemeriksaan mikroskopik ke atas najis anak anda.
Apakah rawatannya?
Rawatan adalah berkesan dengan ubat makan (Albendazole untuk satu hari sementara Mebendazole untuk 3 hari). Rawatan ini perlu diulangi mengikut keperluan (jika masih terdapat tanda-tanda jangkitan selepas 2 minggu rawatan diberi).
Pencegahan
- Basuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan.
- Elakkan anak anda daripada bermain di tanah yang tercemar dengan telur cacing rambu atau cacing cambuk.
- Basuh makanan yang mungkin tercemar dengan telur cacing rambu atau cacing cambuk dengan bersih.
Semakan akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. R. Sukumar a/l Rajaretnam |
Penyemak | : | Dr. Zainab bt. Kusiar |