Apa itu Fibroadenosis?
Fibroadenosis (penyakit payudara Fibrocystic) adalah ketulan abnormal yang tidak merbahaya (benign) di payudara, menyebabkan payudara rasa berketul ketika diperiksa dan kadangkala boleh terasa sakit. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh perubahan hormon semasa remaja pertama kali datang haid (permulaan haid) dan wanita yang pra-menopaus.
Gejala dan tanda
- Lebih kerap dihadapi oleh wanita berumur dari 30-50 tahun
- Sakit terutama bila disentuh dan terasa bengkak
- Tanda ini lebih ketara ketika hendak datang haid
- Biasanya sakit berkurangan selepas haid
- Saiz ketulan fibroadenosis boleh berubah –ubah
- Boleh terasa ketulan pada payudara
- Ketulan fibroadenoasis boleh terdapat pada satu atau kedua-dua payudara
- Kebanyakan sista (cysts) muncul 5 tahun sebelum putus haid (menopause)
Komplikasi
Jika ketulan fibroadenoasis diperiksa dan dibiarkan tanpa pembedahan, ia mungkin perlu dikeluarkan pada suatu masa jika terdapat perubahan pada saiz ketulan, atau ketulan itu masih dapat dirasai. Ketulan fibroadenoasis jarang bertukar menjadi kanser.
Rawatan
- Mamografi jika ketulan dapat dirasa pada usia lebih daripada 40 tahun
- Biopsi dan sitologi jika ketulan dapat dirasai
- Aspirasi dan sitologi jika sista (cysts) dapat dirasai
- Jika payudara anda terasa sakit, terdapat beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk melegakan rasa sakit.
Cara-caranya adalah seperti yang disenaraikan di bawah:
- Menggunakan mandian panas, pek pemanas, atau pek ais untuk membantu meredakan kesakitan.
- Memakai coli sokongan yang sesuai untuk mengurangkan pergerakan dan melegakan ketidakselesaan payudara.
- “Mengurut payudara menggunakan minyak urut atau minyak pati yang dicairkan”
- Gel tahan sakit dan losyen boleh membantu mengurangkan sakit payudara, tetapi ia boleh juga menyebabkan gatal, kemerahan dan melepuh pada sesetengah orang. Namun, bahan ini tidak harus digunakan jika anda mengandung atau menyusukan anak.
- Analgesik (ubat tahan sakit) mengikut nasihat oleh anggota kesihatan terlatih.
Pencegahan
Kementerian Kesihatan menyarankan agar semua wanita melakukan pemeriksaan klinikal payu dara secara berkala dan melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP).
- Jika anda terasa ketulan semasa pemeriksaan sendiri payudara, anda disarankan untuk mendapat pemeriksaan selanjutnya oleh anggota kesihatan terlatih di klinik berdekatan.
- Pemeriksaan payudara secara teratur sangat penting kerana ia akan dapat mengesan sebarang perubahan yang kecil di peringkat awal sebelum anda mempunyai sebarang tanda atau gejala lain.
- Semua wanita berusia lebih 40 tahun yang berisiko kanser payudara, adalah dipelawa untuk melakukan ujian mamogram.
- Anda boleh menghubungi klinik yang terdekat untuk pemeriksaan klinikal dan ujian yang diperlukan.
Pemulihan / Prognosis
Prognosis adalah sangat baik. Ketulan fibroadenosis secara umumnya akan sembuh sendiri dan tidak membawa sebarang risiko untuk berubah menjadi kanser. Pemeriksaan klinikal payudara sendiri secara berkala adalah dinasihatkan untuk mengesan perubahan pada payudara anda di peringkat yang lebih awal.
Rujukan
- John Murtagh’s Patient Education, Fifth edition
- Iglehart JK, Smith BL. Diseases of the breast. In: Townsend CM Jr, Beauchamp RD, Evers BM, Mattox KL, eds. Sabiston Textbook of Surgery. 18th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 34
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis/Penterjamah | : | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |
Akreditor | : | Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid |
Penyemak | : | Dr. Nazhatussima bt. Suhaili |