1. Pengenalan
Anak lahirnya seperti sehelai kanvas putih dan ibu bapalah yang mencorak kanvas itu dengan pelbagai warna. Sesungguhnya, peranan ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak sangat besar dan penting. Jika dicorakkan dengan baik maka baik dan cantiklah kanvas itu, jika dicorakkan secara sambil lewa dan buruk maka begitulah coraknya.Kepentingan ibu bapa dalam penerapan nilai-nilai yang baik sangatlah menjadi keutamaan sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak dilahirkan anak-anak itu melainkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
2. Kepelbagaian Gaya Asuhan
Gaya asuhan boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis dan terpulang kepada ibu bapa tersebut untuk memilih gaya asuhan untuk dipraktikkan. Walaubagaimanapun, pemilihan gaya asuhan ini selalunya dipengaruhi oleh budaya sesuatu tempat tersebut. Contohnya, negara barat seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom lebih menganggap anak-anak mereka sebagai kawan manakala negara yang mengamal budaya ketimuran seperti Malaysia, China dan Indonesia mendidik anak berlandaskan prinsip “sayang anak tangan-tangankan”. Oleh yang demikian, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum memberi kata putus berkaitan jenis gaya asuhan yang terbaik untuk semua.
Baumrind (1971) menjelaskan gaya asuhan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu gaya asuhan autoritatif, gaya asuhan autoritarian dan gaya asuhan permisif. Ibu bapa yang peka akan mendapatkan maklumat mengenai ketiga-tiga jenis asuhan ini sebelum memilih gaya asuhan yang sesuai untuk mereka praktikkan di dalam keluarga mereka. Azizi & Jumat (2010) menyatakan ibu bapa seharusnya tidak terlalu terikat kepada satu-satu gaya sahaja, malah sebaliknya mengamalkan pelbagai gaya mengikut keperluan dalam mendisiplinkan anak-anak.
3. Jenis – Jenis Gaya Asuhan
Ibu bapa tidak seharusnya menjadi terlalu tegas dan dalam masa yang sama tidak menjadi terlalu lembut dalam mengasuh anak-anak. Gaya asuhan dan gaya pembelajaran amat penting dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang cemerlang dan terbilang (Norhaniyanti, 2010).
Diagram 1: Jenis-jenis gaya asuhan ibu bapa |
3.1 Gaya Asuhan Autoritatif
Terdapat dua faktor yang menjadi kayu ukur dalam setiap jenis gaya asuhan iaitu tahap pengawalan dan kebertanggungjawaban. Bagi gaya asuhan ini, faktor mengawal dan bertanggungjawab terhadap anak-anak berada pada tahap seimbang. Ibu bapa mempunyai tahap mengawalan dan tanggungjawab yang rasional. Mereka yang mempraktikkan gaya asuhan jenis ini bersifat lebih demokratik dan secara tidak langsung membentuk anak-anak yang bertanggung jawab, berfikiran positif, kompeten dan aktif bersosial. Ibu bapa yang autoritatif juga melahirkan remaja yang lebih berdikari dan bijak meletakkan batas di dalam tingkah laku mereka.
Disamping itu, gaya asuhan autoritatif menjadikan “give and take” atau “memberi dan mengambil sebagai prinsip utama. Remaja yang lahirnya dari didikan gaya asuhan jenis ini mempunya keyakinan diri yang tinggi dan lebih berani meluahkan pendapat. Kanak-kanak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang demokratik (autoritatif) cenderung menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai perasaan ingin tahu tinggi,berdedikasi, dapat mengawal diri, puas hati dengan diri dan bersikap positif terhadap rakan sebaya (Baumrind, 1989).
3.2 Gaya Asuhan Autoritarian
Remaja yang menunjukkan tingkah laku memberontak, bimbang, pendendam, pemalu, cemas dan kurang bermotivasi merupakan hasil dari gaya asuhan jenis autoritarian. Ibu bapa mereka mempunyai sifat mengawal yang tinggi tetapi sangat rendah tahap tanggungjawab yang ditunjukkan. Anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri dan sifat untuk berdikari yang sangat rendah.Gaya asuhan ini tidak langsung memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk melakukan perkara yang mereka suka. Faktor mengawal yang tinggi ini akan menyebabkan anak-anak hanya akan menuruti arahan ibu bapa tanpa berfikir dan akhirnya menjadikan mereka seorang yang pasif. Berdasarkan Bee dan Boyd (2002), gaya keibubapaan autoritarian ini menggambarkan ciri-ciri kesan negatif terhadap konsep kendiri anak kerana anak akan mempunyai kemahiran sosial yang lemah, menjadi individu yang terlalu agresif atau terlalu pasif serta mempunyai mood yang tidak menentu.
3.3 Gaya Asuhan Permisif
Ibu bapa yang pemisif akan menunjukkan sikap kawalan yang rendah disamping tahap tangungjawab yang tinggi. Mereka sangat mesra dengan anak-anak mereka sehinggakan tiada lagi batas hormat antara ibu bapa dan anak-anak. Remaja yang lahir dari keluarga yang mempraktikkan gaya asuhan ini lebih impulsif dan mempunyai permintaan yang melampau. Mereka dikatakan kurang menjelajah, kurang berdikari dan mempamerkan kecenderungan untuk bersifat bebas atau tidak dapat mengawal diri. Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan pemisif ini terlalu memanjakan anak-anak mereka. Kekurangan kawalan dari ibu bapa ini juga menjurus kepada tingkah laku remaja yang agresif dan gagal dalam persekolahan semasa kanak-kanak .Mereka sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial seperti seks bebas, pengambilan alkohol dan dadah semasa remaja.
4. Kesan Tingkah laku Remaja
Dewasa ini, negara kita kerap kali dikejutkan dengan pelbagai insiden berkaitan anak. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Stern dan Smith (1995) mendapati sebahagian besar pesalah juvana dibesarkan melalui corak gaya asuhan yang bersifat penolakan daripada ibu bapa mereka. Remaja yang mendapat tahap kawalan yang baik dari ibu bapa mereka sangat kurang melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat atau devian.
5. Faktor-faktor Luar yang Mempengaruhi
Sememangnya anak-anak yang lahirnya suci banyak dipengaruh oleh didikan ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun, faktor-faktor luaran yang wujud di sekeling kita tidak dapat dinafikan mampu mempengaruh tingkah laku anak-anak. Antara faktor yang dikatakan menjadi pengaruh kuat terhadap tingkah laku remaja ialah persekitaran. Apabila anak-anak dikelilingi persekitaran yang tidak baik seperti jenayah berlaku secara berleluasa, bahan-bahan terlarang seperti dadah mudah didapati dan kurang penguatkuasaan undang-undang.Selain itu, persekitaran di rumah juga menjadi penyebab remaja mempamerkan tingkah laku devian.
7. Rumusan
Peranan ibu bapa dalam membesarkan dan mendidik anak-anak sangatlah penting. Remaja merupakan satu fasa mengenal diri sendiri, dalam proses itu mereka akan terlebih dahulu mengenali dunia dan dirinya agar dapat membentuk konsep kendiri yang baik. Gaya asuhan yang betul dan mantap sangat diperlukan dalam membentuk remaja yang kompeten dari segi kognitif, bermotivasi tinggi, berkeyakinan tinggi dan bersosial dengan berjaya. Pilihlah gaya asuhan terbaik yang akhirnya akan melahirkan anak-anak penyejuk hati.
Rujukan
- Corak Didikan Ibu Bapa Dan Kesannya, http://anjakanparadigmamental.blogspot.com/2012/12/corak-didikan-ibu-bapa-dan kesannya.html
- Gaya asuhan ibu bapa mempengaruhi tingkah laku dan sikap anak-anak, http://scilikmolek69.blogspot.com/2012/05/minggu-4-gaya-asuhan-ibu-bapa.html
- Muktarudin, N. (2010). Hubungkait Antara Gaya Asuhan Dan Gaya Pembelajaran Terhadap Masalah Sosial Dan Masalah Pembelajaran Di Kalangan Remaja, Universiti Utara Malaysia.
- Perkembangan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, http://perkembangankanakkanak.blogspot.com/2012/05/kanak-kanak-dan-keluarga tanggungjawab.html
- Yahaya, A. dan Aliju.M. J. (2010). Kaedah Asuhan Ibu Bapa, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
- Yahaya, A. dan Bahari. M. S. (2010). Gaya Asuhan Ibu Bapa Remaja Terhadap Tingkah Laku, Fakulti Pendidikan,Universiti Teknologi Malaysia.
Semakan Akhir | : | 1 Mac 2017 |
Penulis | : | Hairulnizam bin Abdullah |
Akreditor | : | Ruhana binti Mahmod |