Pengenalan
Masalah penglihatan pada kanak-kanak kerap kali terabai. Hal ini mungkin kerana mereka terlalu kecil dan muda untuk mengadu serta tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan penglihatan jelas. Masalah ini turut ditambah dengan sikap sebilangan ibu bapa yang tidak percaya dengan aduan anak-anak mereka sendiri. Hanya ibu bapa yang prihatin sahaja dapat mengenal pasti masalah penglihatan anak-anak melalui perlakuan mereka dalam aktiviti seharian.
Hakikatnya, penglihatan kanak-kanak sangat penting kerana ia merupakan deria yang perlu dirangsang sejak awal lagi agar dapat berkembang dengan baik dan normal. Kelewatan merawat boleh mengakibatkan kecacatan penglihatan seumur hidup.
Pembentukan Struktur Dan Perkembangan Mata Bayi
Mata bayi mula berkembang di dalam janin sejak berumur dua minggu lagi. Dalam tempoh kurang empat minggu, kesemua struktur penting mata sudah mula terbentuk. Pada waktu yang penting ini, struktur mata juga mudah tercedera. Sebagai contoh, pengambilan dadah terlarang atau mengalami demam campak atau penyakit serius yang lain ketika mengandung boleh mengakibatkan struktur mata janin menjadi tidak normal, rosak atau terbantut perkembangannya. Ketika kandungan mencecah tujuh bulan, mata janin akan terus membesar dan saraf yang menyambung mata ke otak mula terbentuk.
Struktur mata telah mula kelihatan |
Bayi sudah boleh mengerdipkan mata dan aktiviti otak berkaitan penglihatan telah berfungsi |
Walaupun bayi anda dilahirkan normal tanpa sebarang kecacatan fizikal namun itu tidak bermakna kita sudah boleh berasa lega. Hal ini kerana, sewaktu lahir, mata manusia hanya 70% matang dan terdapat 30% ruang lagi untuk berkembang menjadi satu organ deria yang normal.
Justeru itu, ibu bapa dan penjaga tidak harus memandang remeh tentang hal ini kerana sebarang gangguan atau kerosakan visual mampu memberi impak buruk terutama kepada perkembangan pembelajaran anak-anak.
Saringan Penglihatan Kanak-Kanak Sekolah – Jadikan Ia Satu Rutin Tahunan
Penyaringan penglihatan merupakan satu kaedah asas untuk mengesan masalah penglihatan pada kanak-kanak. Ia patut menjadi rutin pada semua kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan tanpa mengira kewujudan aduan dari kanak-kanak. Hal ini kerana terjadinya rabun tidak hanya bergantung kepada faktor genetik malah boleh dikaitkan dengan faktor persekitaran seperti banyak melibatkan aktiviti jarak dekat sebagai contoh penggunaan komputer, gajet dan kerja sekolah yang terlampau banyak.
Program ‘Pre-school Eye Screening’ yang dijalankan di tadika-tadika bagi mengesan rabun di peringkat awal
Para guru boleh membantu Unit Kesihatan Sekolah dalam rutin saringan penglihatan murid-murid di sekolah
Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke hospital atau Klinik Optometri berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan mata
Terdapat banyak kes ibu bapa dan guru tersalah meletakkan anak-anak di sekolah atau kelas pendidikan khas kerana menyangka anak-anak mempunyai masalah pembelajaran dan tidak dapat mengikuti kelas dengan lancar sedangkan hakikatnya anak-anak tersebut mempunyai rabun penglihatan yang boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata. Maka di sinilah pentingnya kanak-kanak mendapatkan ujian saringan penglihatan sebelum memulakan persekolahan.
Gejala / Tanda
Kebiasaannya, kanak-kanak tidak mampu membezakan penglihatan yang normal dengan tidak normal memandangkan mereka mungkin menganggap semua yang dilihat itu adalah normal. Ia sekaligus membuatkan kanak-kanak tidak mengadu apa-apa masalah penglihatan kepada ibu bapa mereka.
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga harus peka dengan tabiat penglihatan anak-anak supaya dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi termasuk keluhan dari anak-anak yang kadangkala memberi petunjuk tentang tahap penglihatan mereka.
Antara Tanda-Tanda Kabur Penglihatan Yang Dapat Dikesan
1. Kedudukan kepala yang abnormal (kepala senget/teleng) ketika memfokus contohnya ketika menonton televisyen dan membaca.
2. Juling
3. Membaca atau menulis pada jarak yang sangat dekat antara muka dan bahan bacaan.
4. Kesilapan atau lambat menyalin apa yang ditulis oleh guru di papan hitam/putih.
5. Kerap meniru kawan di sebelah berbanding menyalin dari papan hitam/putih atau lebih gemar mendekati papan hitam/putih jika diarahkan menyalin.
6. Gemar menonton televisyen pada jarak yang dekat. Jika dijauhkan dari televisyen, anak gemar mengecilkan mata untuk memfokus.
7. Selalu menggosok mata walaupun bukan ketika mengantuk dan kerap mengerdipkan mata.
9. Mata kerap berair secara berlebihan.
10. Gemar menutup sebelah mata ketika memfokus contohnya ketika membaca atau menonton televisyen.
11. Mengelak atau tidak gemar dengan aktiviti dekat seperti mewarna dan membaca atau aktiviti jauh seperti bermain bola.
12. Kerap mengadu sakit kepala atau mata sakit/penat.
13. Sukar menganggar jarak.
14. Mengadu melihat objek menjadi dua (double vision.)
Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Penglihatan Kanak-Kanak
a) Ralat Refraktif (rabun)
Rabun boleh bermula seawal lahir atau ketika masih kanak-kanak mahupun setelah dewasa. Rabun boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya faktor keturunan dan persekitaran. Terdapat dua jenis rabun jauh yang perlu diketahui iaitu myopia (Rabun jauh @ Short-sightedness) dan hyperopia (Rabun dekat @ Long-sightedness).
Sepanjang usia persekolahan, sistem visual kanak-kanak turut berkembang selari dengan perkembangan fizikal yang lain. Oleh itu, pemeriksaan rabun secara rutin tahunan adalah digalakkan dan peningkatan kuasa cermin mata setiap tahun adalah normal dalam tempoh ini. Ini kerana aktiviti yang memerlukan fokus pada jarak dekat secara kerap seperti membuat ulangkaji dan membaca boleh menyebabkan peningkatan rabun.
Oleh itu, bagi mengawal peningkatan rabun yang ketara, kanak-kanak sangat digalakkan menjalani aktiviti masa lapang di luar rumah yang mempunyai jarak fokus yang lebih luas dan jauh berbanding dengan hanya bermain gajet.
Penggunaan cermin mata akan dinasihatkan ke atas seseorang atas keperluan fungsi penglihatan tidak mengira umur
Penggunaan gajet secara berlebihan boleh menjadi punca rabun
b) Juling
Kanak-kanak bermata juling mempunyai masalah memfokus menggunakan kedua-dua matanya pada satu objek secara serentak yang seterusnya boleh menyebabkan penurunan tahap penglihatan atau mata malas (amblyopia). Juling terjadi disebabkan oleh paksi kedua-dua bola mata tidak selari dan melibatkan pergerakan otot-otot mata. Ia boleh berlaku pada satu mata atau kedua-duanya sekali.
Kanak-kanak yang berumur lebih daripada setahun dan mula menampakkan kejulingan perlu dibawa menjalani pemeriksaan mata. Hal Ini kerana walaupun juling tidak berjangkit, tetapi ia adalah kekal dan darjah kejulingan boleh menjadi lebih besar sekiranya tidak dirawat lebih awal. Sekiranya darjah kejulingan terlalu besar, pembedahan otot mata perlu dilakukan.
Amblyopia bukanlah sejenis penyakit mata. Ia tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana keadaannya yang tidak nyata namun dapat dikesan melalui pemeriksaan penglihatan. Amblyopia adalah suatu keadaan tahap penglihatan yang kurang daripada normal tanpa ada sebarang kerosakan atau penyakit mata yang lain.
Amblyopia terjadi disebabkan rabun yang tidak dirawat daripada awal usia lagi. Rabun yang dibiarkan tanpa pembetulan boleh mengakibatkan saraf mata (retina) menjadi lemah kerana imej cahaya yang memasuki mata tidak terfokus dengan tepat di atas retina. Keadaan mata amblyopia ini juga turut boleh menyebabkan juling. Mata amblyopia yang tidak dirawat akan kekal kabur seumur hidup walaupun dengan pemakaian cermin mata, kanta sentuh mahupun prosedur pembedahan refraktif seperti LASIK.
d) Ptosis (mata kuyu)
Ptosis adalah keadaan di mana kelopak mata atas ‘jatuh’ atau ‘turun’ lebih rendah daripada yang sepatutnya. Ia boleh berlaku sama ada pada satu mata mahu pun kedua-dua mata. Ptosis mungkin boleh menjadi lebih teruk apabila otot mata individu dalam keletihan. Ptosis kongenital adalah ptosis yang wujud sejak kanak-kanak dilahirkan.
Keadaan ini selalu disalahtafsir dengan “mata malas“ sedangkan mata malas (amblyopia) tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Ptosis yang ketara dan tidak dirawat akan menghalang kemasukan cahaya ke dalam mata dan menyebabkan saraf mata (retina) tidak dirangsang seperti yang sepatutnya. Ini menyebabkan saraf mata lemah dan seterusnya menjadi amblyopia.
e) Penyakit mata : Katarak
Katarak terjadi apabila kanta kristalin dalam mata menjadi kabur dan hilang kelutsinaran. Anak mata akan kelihatan putih jika katarak terlampau tebal. Katarak selalu dikaitkan dengan usia tua namun ia juga boleh terjadi pada bayi dan kanak-kanak. Congenital Cataract adalah katarak pada bayi yang baru lahir. Ia selalu dikaitkan dengan jangkitan rubella pada ibu yang sedang mengandung. Justeru, imunisasi rubella adalah penting untuk semua wanita.
Katarak yang berlaku pada kanak-kanak biasanya jenis katarak sekunder iaitu yang disebabkan kemalangan atau kecederaan seperti tercucuk paku, pensil atau terkena hentakan bola hoki.
Terdapat juga beberapa penyakit mata lain yang boleh mengganggu penglihatan anak-anak seperti Congenital Glaucoma dan parut pada kornea dari kecedaraan mahupun jangkitan.
Kesimpulannya, masalah penglihatan kanak-kanak sangat penting untuk dirawat pada usia muda, sebelum ia mengganggu perkembangan fungsi penglihatan yang lain dan seterusnya mampu memberi kesan negatif kepada pembelajaran, perkembangan sosial dan emosi, peluang pekerjaan serta kualiti hidup di masa hadapan.
Nasihat / Panduan
- Ambil berat dengan keluhan dan tabiat penglihatan anak-anak anda.
- Menjaga kesihatan bayi yang masih dalam kandungan dan mengambil vaksin seperti yang disarankan.
- Memastikan anak-anak menjalani aktiviti yang sihat dan seimbang.
- Menerima keadaan masalah penglihatan anak-anak dengan hati terbuka dan positif untuk membuat rawatan di peringkat awal.
- Pastikan anak-anak anda mendapat pemeriksaan mata seawal usia 3 tahun.
Rujukan
- Masalah Penglihatan Kanak-kanak, Haliza Abdul Mutalib, 2013, ISBN 978-983-46-1025-8.
- Menjamin Visual Normal, Yeo Li Shian, http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz3m7JfuqBG
- Ptosis Kongenital, Mami Baby Magazine, Mac 2013
- Refractive Error and Visual Impairment in School-Age Children in Gombak District, Malaysia Pik-Pin Goh, Yahya Abqariyah, Gopal P. Pokharel, Leon B. Ellwein, Volume 112, Issue 4, Pages 678–685, April 2005
- Vision Problems of Preschool Children, http://www.allaboutvision.com/parents/preschool.htm
Semakan Akhir | : | 17 Disember 2015 |
Penulis | : | Pn. Fadhliah Binti Husin |
Akreditor | : | Pn. Nor’aini Binti Anuar |