A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Kecelaruan Proses Pusat Auditori

Kecelaruan Proses Pusat Auditori

Apa Kecelaruan Proses Pusat Auditori (CAPD)?

Pusat auditori merupakan sebahagian daripada Sistem Saraf Pusat (Central Nervous System) yang berfungsi sebagai tempat pentafsiran deria pendengaran. Secara amnya, Kecelaruan Proses Pusat Auditor (CAPD) merujuk kepada pusat auditori di otak yang mengalami gangguan untuk memproses dan menggunakan maklumat yang didengar melalui telinga. Oleh itu, CAPD turut dikatakan sebagai masalah pendengaran kerana otak gagal memahami sumber yang diterima.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa masalah CAPD bukanlah seperti autism atau kerencatan akal yang melibatkan gangguan fungsi otak di peringkat yang lebih tinggi. CAPD hanya melibatkan gangguan kepada proses pemahaman maklumat auditori. Namun tidak dinafikan CAPD juga boleh berlaku bersama kecacatan atau kecelaruan lain yang melibatkan kemahiran bahasa, literasi dan tumpuan (Witton 2010).

CAPD turut dikenali dengan ringkasan nama lain iaitu Kecelaruan Proses Auditori- (Auditory Processing Disorder – APD) sahaja. Walaupun ramai yang mengaitkannya dengan golongan kanak-kanak, CAPD juga boleh terjadi kepada golongan dewasa.

Apakah tanda-tanda CAPD?

CAPD sukar dikenalpasti kerana kebanyakan tanda-tanda yang ditunjukkan turut dikaburi dengan masalah tingkah laku yang lain. Tanda-tanda CAPD yang biasa ialah:

  • Kurang tumpuan dan sukar memahami perbualan dalam suasana bising.
  • Kemahiran mendengar yang lemah, mudah terganggu dan sukar memberi tumpuan dalam aktiviti yang melibatkan keupayaan pendengaran untuk tempoh masa yang lama.
  • Sukar mengikuti dan memahami pertuturan yang laju.
  • Kemahiran memori auditori yang lemah; seperti mengingati senarai arahan yang banyak.
  • Sukar memahami turutan bunyi lingustik yang hampir sama; contohnya dua perkataan yang berbeza tetapi mempunyai bunyi yang hampir serupa seperti /adik/ dan /batik/.
  • Sukar menguasai kemahiran pemahaman mendengar yang lebih tinggi seperti jenaka, teka teki, penggunaan bahasa teknikal atau  bahasa puitis dan banyak lagi.
  • Lemah dalam menguasai kemahiran di bidang akademik; termasuk membaca, mengeja atau masalah pembelajaran yang lain.

Apakah penyebab CAPD?

  1. Boleh terjadi dalam sejarah keluarga
  2. Kecederaan pada bahagian otak akibat trauma
  3. Masalah pendengaran yang berlanjutan seperti masalah lelehan telinga

Bagaimana mengesahkan CAPD?

Terdapat beberapa ciri penting yang perlu diambil kira sebelum membuat pengesahan CAPD. Individu terbabit haruslah;

  • Memiliki kepintaran (IQ) yang normal, tanpa masalah bahasa
  • Tiada masalah pendengaran
  • Tiada masalah tumpuan dan tidak melibatkan kecelaruan utama yang lain seperti Autism

Ujian pengesahan perlu dijalankan oleh Audiologis di dalam bilik terkawal bunyi. Pendengar perlu memberi tumpuan kepada pelbagai isyarat bunyi dan memberi tindak balas kepadanya. Ujian-ujian yang dibuat memerlukan seseorang itu berumur sekurang-kurangnya 7-8 tahun kerana faktor kematangan otak. Walaupun tiada sistem penilaian utama yang digariskan, pengesahan CAPD perlu melalui ujian persepsi auditori yang piawai.  

Apabila CAPD telah disahkan, individu terbabit akan menjalani latihan pemulihan  bersama Terapis Pertuturan atau Audiologis bagi mengatasi masalah kecelaruan auditori yang telah dikenalpasti secara spesifik, mengikut individu.

Bagaimana CAPD dirawat?

Banyak kajian dan garis panduan mencadangkan bahawa rawatan dan pengurusan CAPD adalah sangat bergantung kepada keperluan individu terbabit. Tujuan utamanya adalah untuk memperbaiki masalah kecelaruan auditori yang telah dikenalpasti yang dialami oleh individu terbabit.

Tiada satu rawatan pun yang mampu merawat CAPD secara langsung. Oleh itu, adalah penting untuk melibatkan profesional pelbagai bidang seperti Terapis Pertuturan, Psikologis dan Audiologis bagi pengesahan dan pengurusan CAPD. Keadaan ini membolehkan individu terbabit menerima sokongan dan pemulihan dari aspek yang lebih luas (Witton 2010).

Apa yang boleh dilakukan untuk membantu pesakit CAPD?

  1. Mengubah suasana komunikasi dan mendengar
    • Penggunaan Alat Bantuan Mendengar (Assistive Listening Devices-ALDs); mampu memperbaiki cara penyampaian maklumat dengan mengurangkan kebisingan sekitar.
    • Duduk dekat dengan sumber yang hendak didengar, supaya maklumat yang diperolehi adalah lebih terang dan jelas.
    • Memberi arahan dengan menggunakan cara yang lebih ringkas dan mudah, seperti memberikan arahan kedua selepas arahan yang pertama dapat diselesaikan.
  2. Menguasai strategi gantian dalam membantu pendengar memperbaiki fungsi otak yang lebih tinggi. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan aktiviti mendengar berdasarkan kecelaruan auditori yang telah dikenalpasti,ke dalam rutin kehidupan harian.
    • Memperbanyakkan aktivti untuk memperbaiki kemahiran memori auditori
    • Meningkatkan aktiviti memperbaiki kemahiran tumpuan
    • Menambahkan aktiviti yang melibatkan kemahiran penyelesaian masalah
  3. Berlatih secara langsung melalui terapi atau latihan auditori
    • Latihan satu dengan satu bersama terapis
    • Program berasaskan suasana rumah, suasana sekolah atau di pusat-pusat latihan yang khusus
    • Latihan dengan menggunakan bantuan komputer

Sekiranya terdapat kemusykilan berhubung perkara yang dibincangkan di sini, sila hubungi mana-mana hospital atau pusat kesihatan berdekatan, yang ada menawarkan perkhidmatan Audiologi.

Rujukan

  1. American Academy of Audiology (2010) American Academy of Audiology Clinical Practice Guidelines. Guidelines for the Diagnosis, Treatment and Management of Children and Adults with Central Auditory Processing Disorder.
  2. American Speech-Language-Hearing Association: Understanding Auditory Processing Disorder in Children. Retrieved from: http://www.asha.org/public/hearing/Understanding-Auditory-Processing-Disorders-in-Children/
  3. British Society of Audiology. 2011. Practice Guidance. An Overview of Current Management of Auditory Processing Disorder (APD). British Society of Audiology
  4. Central Auditory Processing Disorder. Retrieved from: http://www.learningrx.com/central-auditory-processing-disorder.htm
  5. Child and Youth Health : Auditory Processing Disorder Retrieved from: http://www.cyh.com/healthtopics/healthtopicdetails.aspx?p=114&np=306&id=2330
  6. Jane R. M.& Carol F: (2008) Pediatric Audiology: Diagnosis Technology & Assessment. New York: Thieme
  7. Kids Health : About Auditory Processing Disorder. Retrieved from: http://kidshealth.org/parent/medical/ears/central_auditory.html
Semakan akhir : 10 Mac 2014
Penulis : Khadijah Azura bt Salim
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Alat Bantu Pendengaran : Teknologi RIE (Receiver-In-The-Ear)

RIE (receiver-in-the-ear) merupakan alat bantu pendengaran dengan kedudukan receiver atau speaker diletakkandi dalam salur telinga. Ini merupakan inovasi alat bantu pendengaran jenis belakang telinga yang memberi bunyi yang lebih baik dan mengecilkan saiz alat bantu pendengaran. Kebiasaannya alat ini dihubungkan dengan dome atau insert eartip. namun boleh juga menggunakan ear mould bergantung kepada tahap masalah pendengaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,108

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia