A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Keganasan Rumah Tangga dan...

Keganasan Rumah Tangga dan Penderaaan Kanak-Kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan keganasan sebagai penggunaan kekerasan atau kekasaran, samada mengancam atau benar-benar, secara sengaja, yang mungkin mengakibatkan kecederaan, gangguan emosi, atau keresahan

Pengenalan

Keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak adalah isu yang membimbangkan dan memberikan impak kepada individu dan keluarga. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan keganasan sebagai penggunaan kekerasan atau kekasaran, samada mengancam atau benar-benar, secara sengaja, yang mungkin mengakibatkan kecederaan, gangguan emosi, atau keresahan. Dalam artikel ini, kita akan meneliti pelbagai bentuk keganasan, sebagaimana yang diinterpretasikan oleh Akta 521 – Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta 611 – Akta Kanak-Kanak 2001, dengan fokus khusus kepada mangsa keganasan dan penderaaan dan impak penderaaan terhadap kanak-kanak.

Keganasan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentafsirkan keganasan sebagai penggunaan kekerasan atau kekasaran, sama ada mengancam atau benar-benar, secara sengaja, terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti, yang mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan. 

Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada keganasan atau penderaan fizikal sahaja; ia juga boleh merangkumi penderaan emosi, psikologi, dan kewangan. Berikut adalah tindakan atau perlakuan utama yang dikatakan keganasan rumah tangga berdasrakan Akta 521 – Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

  1. Menanamkan rasa takut dengan ancaman kecederaan fizikal: Keganasan rumah tangga adalah termasuk dengan sengaja mewujudkan rasa takut pada mangsa atau membuatkan mangsa berasa terancam dengan kecederaan fizikal. Ini adalah termasuk sebarang ancaman lisan, tingkah laku agresif atau sebarang tindakan yang dilakukan untuk menimbulkan ketakutan.
  2. Mendatangkan kecederaan fizikal: Keganasan rumah tangga adalah termasuk perbuatan yang menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa, sama ada melalui sentuhan fizikal secara langsung atau dengan sengaja mewujudkan keadaan yang berkemungkinan berlakunya kecederaan. Pelaku mengetahui bahawa tindakan mereka boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
  3. Memaksa dengan paksaan atau ancaman: Keganasan rumah tangga merangkumi segala perbuatan atau tindakan memaksa mangsa, menggunakan kekerasan atau ancaman, untuk untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan yang yang mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya. Ini termasuk perbuatan berbentuk seksual atau sebarang kelakuan atau perbuatan yang bertentangan dengan kehendak mangsa
  4. Mengurung  atau menahan: Mengurung atau menahan mangsa di luar kehendak mereka adalah suatu bentuk keganasan rumah tangga. Ini termasuklah pengurungan secara fizikal atau menggunakan ancaman untuk menyekat kebebasan mangsa.
  5. Kemusnahan atau kerosakan harta benda: Pelaku dengan sengaja menyebabkan kemusnahan atau kerosakan harta benda dengan tujuan untuk menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.

 Akta keganasan rumah tangga ini terpakai apabila dilakukan oleh seseorang ahli keluarga terhadap ahli keluarga lain, termasuk:

  1. Isteri atau suaminya;
  2. Bekas isteri atau suaminya;
  3. Kanak-kanak;
  4. Orang dewasa tidak berkeupayaan; atau
  5. Mana-mana anggota lain keluarga

Akta Kanak-Kanak 2001 adalah suatu akta yang menggabungkan dan meningkatkan undang-undang yang berkaitan dengan pemeliharaan, perlindungan, dan pemulihan kanak-kanak. Akta ini tidak hanya melindungi kesejahteraan kanak-kanak tetapi juga membina masyarakat yang prihatin dan komited dalam melindungi kanak-kanak.

Istilah kanak-kanak dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membawa makna yang tertentu yang penting untuk diketahui, terutamanya apabila berkaitan dengan undang-undang dan peraturan.

  1. Definisi kanak-kanak mengikut umur: Kanak-kanak merujuk kepada seseorang yang berumur di bawah lapan belas tahun. Maksudnya, jika seseorang itu belum mencapai umur lapan belas tahun, mereka dianggap sebagai kanak-kanak di mata undang-undang.
  2. Definisi kanak-kanak berhubung dengan prosiding jenayah: Dalam kes jenayah, definisi kanak-kanak merujuk kepada seseorang yang telah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah seperti yang dinyatakan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Akta Kanak-Kanak 2001 memberi penekanan terhadap perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak. Akta ini memastikan bahawa kanak-kanak dijaga dan dilindungi dari sebarang bentuk ancaman dan bahaya. Berikut adalah beberapa aspek utama akta ini:

  1. Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak: Mana-mana individu yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan kanak-kanak melakukan suatu kesalahan jika mereka yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan, atau bertindak dengan cuai dengan cara yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Ini termasuk menyebabkan atau membenarkan perkara sedemikian berlaku. Selain itu, penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan menyebabkan atau membenarkan perkara itu berlaku juga dianggap sebagai suatu kesalahan.
  2. Aktiviti di Jalanan atau Premis: Mana-mana individu melakukan suatu kesalahan jika mereka menyebabkan atau mengakibatkan seorang kanak-kanak, atau membenarkan kanak-kanak jika mereka bertanggungjawab terhadap kanak-kanak tersebut, berada di mana-mana jalan, premis, atau tempat untuk aktiviti tertentu seperti mengemis, menerima sedekah, menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk penjualan, menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau sebarang aktiviti haram lain yang menyalahi undang-undang atau yang boleh membahayakan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
  3. Penjagaan dan Pengawasan: Jika anda seorang ibu bapa, penjaga, atau seseorang yang menjaga kanak-kanak, anda mempunyai kewajipan untuk menyediakan penjagaan dan pengawasan yang sepatutnya bagi kanak-kanak itu. Meninggalkan kanak-kanak tanpa penjagaan yang sewajarnya, untuk tempoh yang tidak munasabah, atau dalam keadaan yang tidak sesuai dalam semua keadaan, dianggap sebagai satu kesalahan.
a) Contoh penderaan fizikal kanak-kanak
(Sumber: www.pioneerhouselearning.com)
  b) Contoh kecederaan badan pada kanak-kanak
(Sumber: www.justiceforchildren.org)

c) Lelaki sebagai mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan
(Sumber: www.chaufeaudumur.hubpages.com)

Akta Kanak-Kanak 2001 juga berfungsi untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk ekploitasi, termasuk ekploitasi seksual dan pelacuran. Berikut adalah beberapa aspek utama akta ini yang perlu anda ketahui:

  • Ekploitasi: Mana-mana individu melakukan kesalahan apabila terlibat dalam sebarang aktiviti dengan niat untuk mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan pelacuran, sama ada di dalam Malaysia atau di luar negara,. Ini adalah termasuk menjual, menyewakan atau selainnya memberikan, atau membeli atau menyewa atau selainnya memperoleh milikan, kanak-kanak untuk tujuan pelacuran, serta mendapatkan atau memperoleh kanak-kanak untuk aktiviti seksual atau pelacuran.
  • Tipu Daya dan Pemerdagangan kanak-kanak: Mana-mana individu melakukan kesalahan apabila menggunakan cara tipu daya untuk membawa kanak-kanak masuk atau keluar dari Malaysia untuk tujuan pelacuran. Ini termasuklah membuat atau menggunakan cara fraud atau perdayaan, pernyataan palsu, atau dakwaan palsu. Mereka juga melanggar undang-undang  apabila dengan sengaja membawa masuk ke Malaysia, menerima atau menyorokkan kanak-kanak yang diperolehi untuk tujuan pelacuran.
  • Penahanan: Mana-mana individu melakukan kesalahan apabila menahan kanak-kanak di dalam sesuatu rumah pelacuran atau di mana-mana tempat dengan niat supaya kanak-kanak itu akan diambil bekerja atau digunakan bagi maksud pelacuran, yang bertentangan dengan kemahuan kanak-kanak itu
  • Mengiklan, Melanggan, dan Pengantara: Mana-mana individu melakukan kesalahan apabila menyiarkan atau mempamerkan iklan atau notis di mana-mana tempat, atau menerima iklan atau notis itu untuk disiarkan atau dipamerkan, atau mendapatkan maklumat bagi menawarkan seseorang kanak-kanak bagi tujuan pelacuran. Mereka juga melakukan kesalahan bertindak sebagai pengantara dengan cara membantu atau menyubahati atau mengawal pelacuran kanak-kanak dan melanggan atau menyewa seseorang kanak-kanak untuk memberi perkhidmatan seks sebagai balasan berharga
  • Cubaan untuk melakukan sebarang perbuatan tersebut di atas dianggap sebagai kesalahan di bawah undang-undang.

Impak ke atas Mangsa

Impak Keganasan Rumah Tangga

  • Pelaku dan Penggunaan Dadah: Pencetus utama keganasan ialah pasangan yang berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol; mangsa jarang mengambil dadah atau alkohol sebelum insiden.
  • Menyalahkan Diri Sendiri: Wanita agak tidak lagi menyalahkan diri mereka sendiri atas pelakuan keganasan tersebut. Peralihan perspektif ini mencerminkan trend positif ke arah kesedaran bahawa mereka tidak perlu perlu memikul tanggungjawab atas penderaan yang berlaku.
  • Kecederaan dan Keterukan: Sebahagian besar wanita melaporkan perbuatan ganas yang teruk dan akibatnya mengalami kecederaan.
  • Kurang Laporan Polis: Walaupun mengalami kecederaan yang teruk, majoriti wanita tidak melaporkan perbuatan ganas tersebut kepada pihak polis.
  • Bertahan Selagi Mampu: Kajian menunjukkan bahawa terdapat bilangan wanita yang lanjut usia lebih cenderung untuk kekal dalam hubungan dan tinggal bersama pendera mereka; mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kepercayaan tradisional dan ketakutan untuk hidup bersendirian.
  • Tempoh Penderaan: Tempoh penderaan adalah lebih panjang bagi wanita yang berusia, menunjukkan bahawa mereka mungkin menghadapi cabaran untuk memutuskan hubungan tersebut.
  • Implikasi Kesihatan Mental: Kajian menunjukkan mangsa yang lebih berusia menghadapi kadar masalah kesihatan mental kronik yang lebih tinggi dan lebih cenderung untuk menggunakan ubat penenang dan antidepresan. Ini menunjukkan keperluan kritikal untuk sokongan dan intervensi bagi kumpulan ini.
  • Impak Semasa Kanak-Kanak: Kajian ini mendedahkan bahawa wanita yang terdedah kepada keganasan rumah tangga semasa kanak-kanak dan dewasa mengalami kesan kesihatan mental yang lebih ketara.
  • Sebahagian besar penderaan bermula sewaktu kehamilan, sering kali dilakukan oleh bapa kepada anak yang belum lahir, menimbulkan ancaman yang serius kepada ibu dan anak. Akibatnya, mungkin membawa kepada keguguran, kecacatan, dan juga kematian ibu dan janin.

Pendedahan kepada keganasan rumah tangga memberi impak yang mendalam kepada kanak-kanak dan golongan muda, mencetuskan pelbagai tindak balas yang tidak seharusnya digeneralisasikan. Adalah penting untuk menyedari bahawa pengalaman setiap individu adalah unik, dan kanak-kanak mempunyai kapasiti untuk tumbesaran dan pemulihan walaupun menghadapi trauma. Berbeza dengan andaian, tidak semua kanak-kanak selamanya terjejas secara kekal oleh kehidupan dalam keganasan rumah tangga (Mullender et al., 2002, hlm. 121). Sesetengah kanak-kanak yang mengalami keganasan rumah tangga mungkin menghadapi masalah dalam akademik, manakala yang lain mungkin cemerlang di sekolah sebagai salah satu cara untuk melepaskan diri daripada cabaran tersebut (Sterne dan Poole, 2010, p. 23). Begitu juga, sesetengah pelajar akan mendapati persekitaran pendidikan sebagai sumber kestabilan, manakala yang lain mungkin menganggapnya mencabar. Adalah penting untuk mempertimbangkan pelbagai tindak balas di kalangan kanak-kanak yang terkesan oleh keganasan rumah tangga.

Keganasan rumah tangga melangkaui had umur. Sterne dan Poole (2010) menekankan bahawa tempoh pendedahan kepada keganasan rumah tangga mempunyai kesan yang lebih ketara terhadap tahap stres kanak-kanak berbanding keterukan penderaan itu sendiri. Kesan yang disebabkan oleh keganasan rumah tangga merangkumi pelbagai aspek termasuk fizikal, emosi, tingkah laku, kognitif dan sosial, dengan kesan-kesan ini sering bertindih dan saling berkaitan antara satu sama lain. Walaupun kesannya merentasi kumpulan umur yang berbeza, kajian telah membincangkan kesan keganasan rumah tangga terhadap tiga kumpulan umur anak-kanak: kanak-kanak berumur 1–4 tahun, kanak-kanak berumur 5–10 tahun dan remaja berumur 11–16 tahun. Adalah penting untuk diingatkan bahawa keadaan dan konteks individu sangat mempengaruhi pengalaman dan tindak balas kanak-kanak. Berikut ialah kesan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak mengikut kumpulan umur:

Impak ke atas Kanak-Kanak Prasekolah Umur 1-4 Tahun:

Impak keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak berumur 1-4 tahun adalah ketara. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak prasekolah yang terdedah kepada keganasan pasangan intim dan penderaan fizikal mungkin menghadapi kesukaran dalam perkembangan psikososial mereka (Harper et al., 2018). Pendedahan kepada keganasan ini boleh membawa kepada masalah emosi, dan kanak-kanak prasekolah ini mungkin mengalami kebimbangan perpisahan ataupun separation anxiety, terutamanya dan selalunya daripda ibu yang tidak mendera. Oleh kerana mekanisme daya tindak mereka yang terhad pada usia ini, kanak-kanak prasekolah ini mungkin bertindak balas terhadap keganasan dengan menyisihkan diri dari segi tingkah laku dan psikologi (Baker dan Cunningham, 2009).

Sesetengah kanak-kanak prasekolah yang sensitif dan terganggu terhadap kebisingan yang terjadi oleh keganasan keluarga, mungkin akan cuba untuk mengabaikan atau menutup bunyi tersebut, dan secara tidak sengaja menyukarkan mereka untuk berinteraksi di persekitaran sekolah. Mereka mungkin bertindak balas terhadap konflik antara ibu bapa dengan menyisihkan diri, mengalami kegelisahan, terlibat dalam permainan yang berulang-ulang, menunjukkan tingkah laku regresif, sukar untuk berdikari, mengalami gangguan tidur, tantrum atau kesukaran untuk memahami.

Impak ke atas Kanak-Kanak Berumur 5-10 Tahun:

Keganasan rumah tangga turut memberi kesan kesan yang mendalam kepada kanak-kanak berumur antara 5 dan 10 tahun. Kanak-kanak ini mungkin mengalami kebimbangan perpisahan atau separation anxiety akibat keganasan rumah tangga, yang boleh membawa kepada tingkah laku seperti kerap berpegang ataua berpaut pada ibu, berpura-pura sakit, atau membuat masalah di sekolah dengan harapan untuk dibenarkan pulang. Dari segi fizikal, keganasan rumah tangga boleh mengakibatkan kecederaan, masalah pemakanan, dan keadaan berkaitan stres seperti asma (Calder dan Regan, 2008).

Dari segi emosi, kesannya dapat dilihat melalui masalah dalam pembelajaran, masalah kehadiran, kesukaran untuk memberi tumpuan, gangguan tidur, menjauhkan diri, rasa tidak selamat, rasa bersalah, kemurungan, dan harga diri yang berkurangan. Dari segi tingkah laku, kanak-kanak ini mungkin menunjukkan perubahan dalam tingkah laku mereka, menunjukkan ketidakstabilan, agresif, kemarahan, hiperaktif, dan, dalam beberapa kes, terlibat dalam buli (Pesuruhjaya Kanak-kanak, 2018). Trauma daripada persekitaran rumah juga boleh berlanjutan ke kehidupan di sekolah, menyebabkan ketakutan berterusan dan meningkatkan sifat berjaga-jaga di kalangan kanak-kanak ini.

Impak ke atas Remaja Berumur 11-16 Tahun:

Apabila kanak-kanak meningkat remaja, kesan keganasan rumah tangga boleh menjadi lebih kompleks. Remaja serta kanak-kanak yang memasuki usia remaja  yang mengalami masalah keganasan rumah tangga mungkin akan ada perasaan menyalahkan diri sendiri, menghadapi kemurungan, mempunyai kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, menunjukkan tingkah laku berisiko, menunjukkan kecenderungan untuk melakukan jenayah, mempunyai hubungan sosial yang lemah, kehilangan minat untuk belajar, dan mengalami gangguan pemakanan (Pesuruhjaya Kanak-kanak, 2018).

Kajian juga menunjukkan bahawa kesan keganasan rumah tangga boleh berbeza berdasarkan jantina. Kanak-kanak perempuan sering menyembunyikan masalah mereka, yang boleh menyebabkan penyisihan diri, kebimbangan dan kemurungan. Sebaliknya, kanak-kanak lelaki, walaupun menghadapi kebimbangan dan kemurungan, mungkin menzahirkan masalah mereka melalui tingkah laku yang agresif atau perilaku yang bercorak antisosial (Baldry, 2007).

Kesan Keganasan Pasangan Intim

Mengenai keganasan pasangan intim, kerapatan hubungan selalunya membawa risiko yang lebih tinggi. Seorang wanita lebih cenderung untuk mengalami kecederaan daripada pasangannya berbanding dengan orang yang tidak dikenali (Bachman dan Saltzman, 1995). Spektrum kecederaan yang dihadapi mangsa keganasan adalah sangat luas, termasuklah lebam, calar dan luka, dan sehinggalah kepada kecederaan yang lebih teruk seperti melecur, patah tulang, kecederaan otak, dan juga kecederaan yang mengubah kehidupan seperti kecederaan pada penglihatan, pendengaran, sendi dan organ dalaman. Risiko yang paling teruk: kematian.

Keganasan pasangan intim membawa implikasi kesihatan yang teruk kepada mangsa, terutamanya wanita, tetapi tidak secara eksklusif:

  • Kesan Fizikal: Wanita dan lelaki yang menjadi mangsa keganasan pasangan intim melaporkan kecederaan, selalunya tertumpu di sekitar kepala, leher atau muka. Kesan fizikal keganasan pasangan intim merangkumi pelbagai kecederaan, termasuk lebam, luka, melecur, patah tulang, kecederaan otak, tikaman, luka tembakan, dan kerosakan dalaman yang teruk (Stark et al., 1981). Lebam dan luka biasanya berlaku terutamanya di kawasan seperti di kepala, muka, leher, payudara dan perut. Mangsa ini juga menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi pelbagai masalah kesihatan, termasuk asma, gangguan gastrousus seperti sindrom iritasi usus, sakit kepala yang kerap, sakit kronik dan jangkitan seksual.
  • Kesihatan Mental: Kesan pada kesihatan mental juga adalah membimbangkan, seperti boleh membawa kepada masalah kemurungan, kebimbangan, gangguan stres pasca trauma (PTSD), pemikiran untuk membunuh diri dan penyakit mental kronik. Selepas mengalami keganasan, mangsa biasanya mengalami kejutan, penafian, ketakutan, dan penyisihan diri, sama seperti tindak balas terhadap peristiwa trauma yang lain (Burgess dan Holmstrom, 1974; Walker, 1979; Browne, 1987; Herman, 1992). Mangsa keganasan lebih dibebani dengan masalah kemurungan, pemikiran bunuh diri, dan percubaan bunuh diri (Hilberman dan Munson, 1978; Kilpatrick et al., 1985; Stark dan Flitcraft, 1988). Pemandiri juga sering menghadapi masalah psikologi yang berterusan, termasuk kemurungan, kebimbangan, harga diri yang rendah, rasa bersalah, rasa malu, penyalahgunaan alkohol dan dadah, dan gangguan stres pasca trauma (PTSD) (Walker, 1979; Burnam et al., 1988; Winfield et al. ., 1990; Herman, 1992).
  • Perbezaan Jantina: Keganasan pasangan intim memberi kesan kepada mangsa lelaki dan wanita, tetapi wanita sering menghadapi penganiayaan yang lebih teruk. Kesan ke atas kesihatan fizikal dan mental wanita sangat ketara, dengan tiga kali ganda wanita melaporkan kesihatan fizikal dan mental yang buruk berbanding dengan mereka yang tidak pernah mengalami keganasan sedemikian. Prevalens menunjukkan perbezaan yang ketara tentang kesan negatif di kalangan wanita yang pernah mengalami keganasan, terutamanya seperti gangguan tidur, batasan dalam aktiviti harian, sakit kronik dan sakit kepala yang kerap.
  • Kesan kepada Kanak-Kanak: Impak daripada keganasan pasangan intim turut dirasai oleh kanak-kanak. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keganasan rumah tangga selalunya mengalami kesan psikologi, sosial, fizikal dan kognitif. Kesan ini, termasuk kesukaran dalam mengawal emosi dan menunjukkan tingkah laku yang mengganggu atau disruptif, yang mana sebahagiannya berkaitan dengan kesan fisiologi stres yang berterusan.
  • Kesan Ekonomi: Keganasan pasangan intim meninggalkan beban ekonomi yang besar kepada mangsa. Mangsa sering mengalami kehilangan produktiviti, ketidakhadiran di tempat kerja atau sekolah, pengangguran, dan pendapatan yang tidak stabil.

Kesan-Kesan Keganasan Seksual

Rogol dan serangan seksual biasanya dilihat sebagai tindakan atau perbuatan ganas yang mendatangkan bahaya fizikal yang ketara. Pemandiri keganasan seksual mengalami kemudaratan yang berpanjangan dan mendalam, mencetuskan kesan kepada kesihatan yang merumitkan. Adalah penting untuk menyedari bahawa tidak semua pemandiri bertindak balas dengan cara yang sama terhadap peristiwa traumatik ini. Kesannya boleh berbeza disebabkan oleh faktor-faktor peribadi seperti sejarah kesihatan mental, keupayaan untuk menghadapi dan mengatasi krisis, dan rangkaian sokongan yang sedia ada.

Beberapa persepsi penting:

  • Kesan Fizikal: Sebilangan besar individu yang pernah dirogol bimbang tentang kemungkinan kecederaan atau kematian semasa serangan berlaku (Kilpatrick et al., 1992). Sesetengah wanita turut mengalami kecederaan fizikal yang teruk (Kilpatrick et al., 1992). Serangan seksual juga boleh mengakibatkan penularan penyakit kelamin (STD) dan, dalam sesetengah kes, mengakibatkan kehamilan. Risiko jangkitan STD juga berbeza-beza, termasuk potensi penularan penyakit seperti HIV (Jenny et al., 1990).
  • Trauma Mendalam: Trauma berikutan kejadian rogol melangkaui insiden yang berlaku. Mangsa biasanya menghadapi spektrum kesan fizikal dan psikologi, selalunya memerlukan perhatian perubatan yang terperinci (Waigant et al., 1990; Koss et al., 1991; Kimerling dan Calhoun, 1994). Kajian juga mendedahkan pelbagai kesan terhadap kesihatan mental, seperti kemurungan, kebimbangan, penyalahgunaan bahan, gangguan tidur dan gangguan stres pasca trauma (PTSD). Kesan ini amat ketara, dengan kira-kira separuh daripada individu yang didiagnosis dengan gangguan bipolar pernah menjadi mangsa serangan seksual.
  • Peningkatan Risiko Bunuh Diri: Mangsa serangan seksual menghadapi kemungkinan yang lebih tinggi untuk cuba membunuh diri atau membunuh diri, iaitu empat kali ganda lebih tinggi berbanding populasi umum. Tambahan pula, prevalens gangguan pemakanan adalah dua kali ganda lebih tinggi di kalangan mangsa. Kajian di AS terhadap tentera wanita menunjukkan bahawa serangan seksual menggandakan risiko cubaan bunuh diri, berbanding dengan wanita tanpa sejarah trauma sedemikian.
  • Kesan Kepada Kesihatan Jangka Panjang: Individu yang pernah mengalami serangan seksual sering bergelut dengan masalah kesihatan yang berpanjangan, termasuk keadaan seperti sakit pelvis kronik, sindrom prahaid, gangguan gastrousus, serta kesakitan yang berterusan seperti sakit kepala dan sakit belakang. (Koss dan Heslet, 1992; Dunn dan Gilchrist, 1993; Hendricks-Mathews, 1993).
  • Gerak Balas Sosial: Kesan psikologi akibat serangan seksual sangat dipengaruhi oleh respons yang diterima oleh mangsa daripada rangkaian sosial, komuniti perubatan dan sistem keadilan jenayah. Persekitaran yang penyayang dan sokongan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan jangka panjang trauma ini.

Impak Penderaan Kanak-Kanak

Masa kanak-kanak merupakan tempoh kritikal untuk perkembangan dan tumbesaran, namun sesetengah kanak-kanak terpaksa menanggung realiti yang menyakitkan seperti penderaan fizikal dan seksual. Kajian terkini mendedahkan kesan yang berpanjangan akibat penderaan, dengan memberi penekanan kepada kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental dan fizikal.

Penderaan fizikal dan seksual semasa kanak-kanak meninggalkan kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap individu, melampaui dan jauh melebihi peristiwa traumatik tersebut. Kajian menunjukkan kaitan yang membimbangkan antara penderaan kanak-kanak dan peningkatan mudahnya terdedah kepada masalah kesihatan mental sepanjang hayat seseorang.

  • Kesihatan Mental: Kanak-kanak yang pernah mengalami penderaan fizikal atau seksual menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan mental sepanjang hayat mereka. Kajian menunjukkan terdapatnya kaitan dengan keadaan seperti kemurungan, pemikiran bunuh diri, dan juga cubaan bunuh diri. Risiko ini lebih tinggi bagi mereka yang mengalami penderaan sewaktu perkembangan awal kanak-kanak.
  • Penyalahgunaan Bahan dan Tingkah Laku Berisiko: Kesan penderaan kanak-kanak turut berlanjutan kepada penyalahgunaan bahan dan tingkah laku berisiko. Mereka yang pernah mengalami penderaan lebih cenderung untuk merokok, menyalahgunaan alkohol dan mengambil dadah. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak, tetapi juga meningkatkan risiko berkaitan dengan penyalahgunaan bahan  yang berpanjangan.
  • Kesihatan Fizikal: Penderaan kanak-kanak memberikan implikasi yang besar terhadap kesihatan fizikal. Obesiti dan penyakit kronik tertentu seperti arthritis, ulser dan migrain telah dikaitkan dengan sejarah penderaan.
  • Kitaran Keganasan: Penderaan kanak-kanak boleh membawa kepada kitaran keganasan. Mangsa lelaki dan perempuan yang mengalami penderaan seksual sewaktu kanak-kanak berisiko untuk menjadi mangsa semula apabila dewasa. Selain itu, mereka mungkin juga terjebak dalam obsesi seksual dan agresif. Pola ini juga mempengaruhi tingkah laku yang agresif dan ganas atau delinkuen, terutamanya mereka yang pernah mengalami penderaan seksual sewaktu kanak-kanak.
  • Membawa Senjata dan Pemangsaan Semula: Penderaan kanak-kanak juga berkait rapat dengan pembawaan senjata di kalangan remaja. Mereka yang pernah didera secara fizikal semasa kanak-kanak lebih cenderung untuk membawa senjata. Pengalaman penderaan seksual sewaktu kanak-kanak menyumbang kepada kira-kira satu perempat daripada laporan pemilikan senjata oleh remaja perempuan di AS. Hubung kait yang membimbangkan ini menekankan impak atau kesan yang meluas terhadap komuniti akibat penderaan kanak-kanak.

Peranan Forensik Dalam Kes Keganasan Rumah Tangga Dan Penderaan Kanak-Kanak

Pemeriksaan Perubatan Forensik Klinikal dan Penjagaan Perubatan Mangsa:

Penjagaan perubatan dan pemeriksaan forensik klinikal adalah satu keperluan bagi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak. Untuk memastikan pendekatan yang sensitif dan teliti, langkah-langkah berikut perlu diambil:

  • Iringan Pegawai Polis:
    Seorang pegawai polis harus menemani mangsa ke hospital untuk mengekalkan kesinambungan bukti dan menyelaraskan butir-butir penyiasatan yang sedang dijalankan.

  • Penerangan mengenai Pemeriksaan Forensik Klinikal:
    Pegawai polis perlu menjelaskan tujuan pemeriksaan forensik klinikal kepada mangsa, memastikan mereka memahami tujuan dan prosedur tersebut dijalankan.

  • Mendapatkan Keizinan dan Persetujuan Daripada Mangsa:
    Pakar Perubatan Forensik perlu mendapatkan keizinan dan persetujuan daripada mangsa, memastikan mereka dimaklumkan sepenuhnya tujuan dan prosedur tersebut dijalankan dan mempunyai keupayaan mental untuk memberikan persetujuan.

  • Jantina Doktor Yang Melakukan Pemeriksaan:
    Mangsa diberi keutamaan untuk diperiksa oleh doktor wanita. Mangsa perlu diberitahu sekiranya keutamaan jantina doktor pilihan mereka tidak dapat dipenuhi yang bergantung pada doktor yang sedia ada.

  • Pengendalian Kes Yang Melibatkan Lebih Daripada Satu  Mangsa:
    Apabila terdapat kes yang melibatkan lebih daripada satu  mangsa, adalah penting untuk menugaskan Pakar Perubatan Forensik yang berbeza untuk memeriksa mangsa yang berbeza. Walau bagaimanapun, jika ini tidak dapat dilaksanakan, prosedur yang ketat mesti dipatuhi untuk mengelakkan pencemaran bahan bukti.

  • Protokol Pencegahan Pencemaran:
    Dalam kes yang melibatkan lebih daripada satu  mangsa, Pakar Perubatan Forensik perlu menukar barang pakai buang dan peralatan yang telah digunakan dengan barang pakai buang dan peralatan yang baru untuk pemeriksaan seterusnya bagi mencegah bahan pencemaran bukti. Pakar perubatan forensik perlu menukar Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang telah digunakan kepada yang baru untuk pemeriksaan seterusnya bagi mengelakkan pencemaran.

  • Bilik Pemeriksaan dan Peralatan:
    Kakitangan perubatan yang terlatih perlu memastikan bilik pemeriksaan Klinikal Forensik dilengkapi dengan kelengkapan perubatan yang sesuai.

Mendapatkan Keizinan Dan Persetujuan Daripada Mangsa untuk Pemeriksaan Forensik Klinikal

Keizinan dan persetujuan daripada mangsa ialah prinsip dan etika asas dalam pemeriksaan forensik klinikal bagi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak. Ia bertujuan untuk memastikan penghormatan terhadap autonomi dan maruah individu yang terlibat di samping menegakkan hak mereka sewaktu proses pemeriksaan. Proses mendapatkan keizinan dan persetujuan daripada mangsa adalah dinamik dan memerlukan perhatian yang teliti dan pelbagai pertimbangan.

Berikut adalah perkara penting yang perlu difahami mengenai keizinan dan persetujuan daripada mangsa:

  1. Makluman Mengenai Pemeriksaan Dan Keupayaan Untuk Memberikan Keizinan Dan Persetujuan:
    Mangsa hendaklah dimaklumkan sepenuhnya tentang proses pemeriksaan, tujuan pemeriksaan, potensi risiko dan manfaat sebelum mendapatkan keizinan dan persetujuan daripada mangsa. Mangsa juga mesti mempunyai keupayaan mental untuk memberi persetujuan, dan memahami implikasi keputusan mereka.

  2. Keizinan Dan Persetujuan Boleh Dibatalkan:
    Keizinan dan persetujuan bukanlah sesuatu yang tetap; ia adalah satu proses yang berterusan. mangsa mempunyai hak untuk menarik balik keizinan dan persetujuan mereka pada bila-bila masa sewaktu pemeriksaan. Pakar forensik mesti menghormati hak mangsa dan menghentikan peperiksaan jika diminta.

  3. Keizinan dan Persetujuan Mesti Disaksikan dan Ditandatangani:
    Keizinan dan persetujuan mesti disaksikan dan ditandatangani oleh pesakit, mengesahkan kesediaan mereka untuk menjalani pemeriksaan secara sukarela. Dalam kes penderaan kanak-kanak, penglibatan pegawai Pasukan Perlindungan Kanak-kanak adalah penting. Selain itu, jika ibu bapa atau penjaga hadir, tandatangan mereka juga boleh diperolehi.

  4. Penglibatan Pegawai Perubatan atau Pakar Perubatan Forensik:
    Pegawai perubatan yang berkelayakan atau pakar perubatan forensik sepatutnya bertanggungjawab untuk mendapatkan keizinan dan persetujuan, memastikan mangsa berasa selesa dan memahami proses.

Pemeriksaan Fizikal Am

Pemeriksaan fizikal yang teliti dan menyeluruh merupakan komponen penting dalam penyiasatan forensik klinikal bagi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak. Proses pemeriksaan ini melibatkan langkah-langkah dokumentasi yang teliti dan proses pencegahan untuk mengelakkan pencemaran bahan bukti. Berikut adalah aspek penting pemeriksaan forensik klinikal:

  1. Langkah-Langkah Pencegahan:
    Bagi mengekalkan integriti bahan bukti, langkah-langkah pencegahan dilaksanakan untuk mengelakkan pencemaran. Pakar perubatan forensik haruslai memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan mematuhi prosedur yang ketat sepanjang pemeriksaan forensik klinikal.

  2. Pemeriksaan Fizikal:
    Pemeriksaan fizikal bermula dengan pendekatan sistematik dari kepala ke kaki. Ini memastikan bahawa tiada kecederaan atau bukti yang terlepas, dan memberikan penilaian menyeluruh terhadap keadaan mangsa.

  3. Sampel Forensik Klinikal:
    Sampel forensik klinikal diambil jika perlu sewaktu pemeriksaan. Sampel ini boleh merangkumi cecair badan, swab, atau sebarang bukti yang berkaitan yang boleh membantu mengenal pasti pelaku atau mengesahkan laporan mangsa. Teknik swab biasanya digunakan untuk mengumpul sampel cecair badan Kapas dilembabkan dengan air steril yang disediakan. Kawasan yang dikenalpasti dilap dengan swab yang lembap. Seterusnya, swab kering kedua digunakan untuk lap sebarang cecair badan yang tinggal.

  4. Penilaian Trauma Fizikal:
    Pemeriksaan fizikal merangkumi penilaian terhadap trauma fizikal. Ini termasuklah trauma mulut, luka, lebam, melecet, kesan gigitan, kesan tendangan, kesan ikatan tangan, kesan pita ikatan dan lain-lain kesan cekikan.

  5. Dokumentasi Terperinci:
    Pakar perubatan forensik bertanggungjawab perlu merekodkan semua penemuan secara terperinci sebagai hasil pemeriksaan fizikal. Pakar perubatan forensik perlu merekod keseluruhan pemeriksaan, pemerhatian terhadap tingkah laku dan emosi, dengan mengambil kira bahawa setiap individu bertindak balas kepada keadaan tertekan dengan cara yang berbeza. Penemuan negatif, yang menunjukkan ketiadaan kecederaan atau bukti tertentu, adalah penting dan harus didokumenkan. Maklumat ini menyumbang kepada penilaian menyeluruh tentang keadaan mangsa. Pakar perubatan forensik menggunakan gambarajah untuk merekodkan kecederaan yang dialami oleh mangsa dengan tepat. Gambarajah ini memberikan gambaran visual lokasi dan jenis kecederaan, membantu dalam penerangan dan penafsiran sewaktu prosiding undang-undang.

Promosi Kesedaran dan Sokongan

Membanteras keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak memerlukan pendekatan yang komprehensif, iaitu melibatkan kesedaran, sokongan dan usaha yang berkesan. Dengan memahami kesan terhadap mangsa, terutamanya kanak-kanak, dan peranan profesional dalam penjagaan mangsa, kita boleh berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang dan mempunyai perasaan belas kasihan. Kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memberikan sokongan dan keadilan yang berkesan kepada mangsa yang terkesan oleh perbuatan keji ini di bawah bidang kuasa Akta 574 Kanun Keseksaan.

  1. Akses kepada Sumber:
    Kebanyakan mangsa mempelajari tentang sumber undang-undang dan mendapatkan sokongan melalui pusat perlindungan. Tempat perlindungan ini menawarkan pendidikan mengenai kitaran keganasan dan sumber-sumber komuniti yang penting.

  2. Meningkatkan Kesedaran:
    Kesedaran tentang kesan keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak adalah langkah pertama ke arah perubahan. Kempen kesedaran yang meluas dan inisiatif komuniti boleh memainkan peranan penting untuk menangani isu yang mendesak ini.

  3. Intervensi Awal dan Sokongan:
    Intervensi yang tepat pada masanya adalah penting. Program yang bertujuan untuk mencegah keganasan rumah tangga dan menawarkan sokongan kepada mangsa dan anak-anak mereka boleh memutuskan kitaran trauma, memberikan laluan ke arah pemulihan.

  4. Peranan Sistem Penjagaan Kesihatan:
    Pekerja sosial dan profesional kesihatan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menangani keganasan rumah tangga. Penilaian berkala dan pendidikan adalah kunci untuk membantu mangsa mendapatkan sokongan yang diperlukan.

  5. Sokongan Khusus:
    Mewujudkan kumpulan sokongan dan program kaunseling khusus untuk mangsa keganasan rumah tangga yang boleh memberikan mereka sumber-sumber untuk membebaskan diri daripada kitaran penderaan.

  6. Pemerkasaan:
    Adalah penting untuk menyedari bahawa keganasan rumah tangga tidak mengenal had umur. Usaha mesti dipergiatkan untuk memastikan mangsa boleh mengakses bantuan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan tanpa keganasan.

  7. Pembaharuan Dasar:
    Kerajaan dan institusi perlu mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa. Polisi harus memastikan akses kepada kaunseling, pusat perlindungan dan sokongan undang-undang bagi mereka yang terkesan oleh keganasan rumah tangga.

Kesimpulan

Keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak adalah isu serius yang memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat. Dengan memahami pelbagai bentuk keganasan, mengecam mangsa keganasan serta penderaan dan memberikan sokongan untuk individu dan keluarga yang terkesan, kita boleh berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat. Hanya melalui usaha bersama kita boleh membanteras keganasan dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Rujukan

  1. Devaney, J. (2015). Research Review: The Impact of Domestic Violence on Children. Irish Probation Journal, 12, 79-94. http://www.probation.ie/website/probationservice/websitepublishingdec09.nsf/Content/Irish+Probation+Journal+2015+Years
  2. Horwitz, A. V., Widom, C. S., McLaughlin, J., & White, H. R. (2001). The Impact of Childhood Abuse and Neglect on Adult Mental Health: A Prospective Study. Journal of Health and Social Behavior, 42(2), 184–201. https://doi.org/10.2307/3090177
  3. Lloyd M (2018) Domestic Violence and Education: Examining the Impact of Domestic Violence on Young Children, Children, and Young People and the Potential Role of Schools. Front. Psychol. 9:2094. doi: 10.3389/fpsyg.2018.02094
  4. National Policing Improvement Agency 2008, Guidance on Investigating Domestic Abuse, United Kingdom.
  5. National Research Council. 1996. Understanding Violence Against Women. Washington, DC: The National Academies Press. https://doi.org/10.17226/5127.
  6. Recent Rape/Sexual Assault: National Guidelines on Referral and Forensic Clinical Examination in Ireland 3rd edition 2014.
  7. Rivara F, Adhia A, Lyons V, Massey A, Mills B, Morgan E, Simckes M, Rowhani-Rahbar A. The Effects of Violence on Health. Health Aff (Millwood). 2019 Oct;38(10):1622-1629. doi: 10.1377/hlthaff.2019.00480. PMID: 31589529.
  8. Undang-Undang Malaysia, Akta 521, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
  9. Undang-Undang Malaysia, Akta 611, Akta Kanak-Kanak 2001, Pindaan Januari 2006.
  10. Wilke, D. J., & Vinton, L. (2005). The Nature and Impact of Domestic Violence Across Age Cohorts. Affilia, 20(3), 316–328. https://doi.org/10.1177/0886109905277751

 

Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis / Penterjemah : Hafiz bin Rommali
Penyemak : Nurazira binti Azizan

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,093

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia