Pengenalan
Sejak zaman dahulu, kematian dikatakan berlaku pada detik semua tanda kehidupan penting telah berhenti secara berkekalan. Dari zaman ke zaman, kematian dapat dipastikan melalui pemberhentian pernafasan secara spontan, tetapi sejak terciptanya stethoscope di abad ke-19 pemberhentian degupan jantung dianggap sebagai tanda kematian yang penting. Dengan perkembangan teknologi zaman sekarang, bantuan pernafasan, penerusan degupan jantung dan rawatan gangguan electrolyte, menyebabkan penambahbaikkan kelangsungan kehidupan.
Akibat serta-merta daripada pemberhentian fungsi jantung dan pernafasan ialah kematian otak. Akan tetapi, apabila kematian otak berlaku, penggunaan bantuan pernafasan dan ubatan penerusan degupan jantung akan menggantikan fungsi jantung untuk terus berdegup pada suatu ketika. Proses kematian sebegini akan lebih berlarutan dan bercelaru. Ini menyebabkan keluarga dan penjaga pesakit mengalami ketegangan semasa melalui proses di atas. Ini akan menghalang proses kematian dengan cara yang bermaruah.
Definasi
Kematian otak ialah keadaan di mana kehilangan berkekalan keseluruhan fungsi otak, termasuk pangkal otak
Kriteria
Ini adalah diagnosis klinikal yang dipastikan mengikut kriteria neurologi yang ketat dan ianya menyumbang hanya 1% daripada keseluruhan kematian. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi, kriteria penghalangan yang perlu dipertimbangkan dan kriteria diagnostik yang jelas perlu dipatuhi sebelum kematian otak disahkan. Dua pakar berpengalaman dalam pengesahan kematian otak dan diberi kuasa oleh pihak hospital berkenaan akan memeriksa pesakit secara bebas. Keseluruhan proses ini akan diulang selepas tempoh masa sekurang-kurangnya enam jam selepas pemeriksaan pertama, dan tidak semestinya melibatkan kedua-dua pakar yang sama. Masa pengesahan kematian adalah selepas pemeriksaan yang kedua.
Pengiktirafan dan penerimaan
Seseorang yang telah disahkan mengalami kematian otak dianggap sudah mati. Ini kerana otak adalah organ yang menentukan fungsi kehidupan secara keseluruhan atau tidak, dan fungsi otak tidak boleh diganti oleh mesin. Dengan itu, otak adalah organ yang menentukan kematian atau kehidupan seseorang.
Diagnosa kematian otak :
Syarat – syarat
Kesemua perlu dipenuhi.
- Pesakit adalah dalam keadaan koma yang teramat sangat, tidak mampu bernafas dengan sendiri dan memerlukan bantuan pernafasan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum pemeriksaan.
- Sebab koma berlaku diketahui dan mencukupi untuk menerangkan keadaan pesakit.
- Kerosakan otak yang berkekalan dan tidak boleh dirawati.
Kriteria penolakan
- Koma disebakan oleh gangguan metabolik atau endokrin, keracunan ubat dan suhu badan yang rendah ( suhu asas kurang dari < 32°C atau 90°F)
- Sindrom Guillian-Barré dan Sindrom Locked-in
- Koma di mana puncanya tidak dapat dikenalpasti
- Bayi dilahir tidak cukup bulan (preterm neonates)
Kriteria diagnostik
Kesemua perlu dipenuhi.
- Koma yang teramat sangat, tidak responsif dan tidak memberi tindakbalas, Glasgow Coma Score (GCS) 3/15
- Kegagalan refleks pangkal otak (memeriksa refleks secara dari atas ke bawah pangkal otak) disahkan melalui ujian di bawah :-
- Refleks cahaya ke atas anak mata – tiada respons terhadap cahaya terang kedua-dua belah mata
- Refleks oculocephalic (Respons Doll’s eye) – ketiadaan pergerakkan mata
- Respons motor bagi saraf yang mengawal otot-otot muka – tiada respons
- Refleks kornea – tiada respons penutupan mata
- Refleks vestibulocochlear (ujian Caloric) – tiada pergerakkan mata ke arah rangsangan air sejuk
- Refleks oropharyngeal – tiada respons
- Reflex tracheobronchial – tiada rangsangan batuk pada sedutan cecair bronkial
- Apnoea disahkan melalui ujian apnoea – tidak adanya pernafasan spontan apabila PaCO2 > 60mmHg
Perkara lain yang perlu ditimbangkan
Pesakit yang tidak memenuhi KESEMUA syarat-syarat di atas tidak boleh disahkan kematian otak dan kematian otak HANYA boleh dilakukan di hospital yang mempunyai fasiliti rawatan kardio-pulmonari rapi untuk pesakit yang koma.
Bagi kanak-kanak, garis panduan tambahan diperlukan.
- Tempoh masa di antara kedua-dua pemeriksaan adalah dipanjangkan bergantung kepada umur pesakit
- 7 hari – 2 bulan : 48 jam
- 2 bulan – 1 tahun : 24 jam
- > 1 tahun : 12 – 24 jam
- Ujian tambahan, elektroenkefalografi (EEG) dicadangkan bagi mereka yang berumur kurang dari satu tahun
Sekiranya, beberapa aspek ujian tidak boleh dilakukan atau dinilaikan, maka kata sepakat mengenai penggunaan ujian – ujian tambahan mungkin berguna di dalam situasi tersebut.
Ujian – ujian tambahan yang boleh digunakan
- Angiografi serebral – untuk mengenalpasti ketiadaan pengaliran darah arteri di dalam otak pada tempat kemasukkan saluran darah arteri ke otak
- Transcranial Doppler Ultrasonografi
- Pengimejan Nuklear – untuk mengenalpasti ketiadaan pengedaran darah serebral atau tanda “empty skull”
- Elektroenkefalografi (EEG) – untuk memastikan tiada aktiviti elektrikal di dalam otak sekurang-kurangnya 30 minit semasa rakaman dan memenuhi semua spesifikasi teknikal untuk kematian otak
Rujukan
Consensus Statement on Brain Death 2003 (Ministry of Health, Academy of Medicine Malaysia & Malaysian Society of Neurosciences)
Semakan Akhir | : | 20 Jun 2014 |
Penulis/Penterjemah | : | Dr. Santhi Puvanarajah |
Akreditor | : | Dato’ Dr. Md. Hanip b. Rafia |
Penyemak | : | Dr. Mohd Sufian b. Adenan |