A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kenapa Gigi Saya Menjadi Jarang?

Pengenalan

Senyuman yang menawan merupakan satu ciri estetik yang menjadi idaman ramai orang. Menjelang abad ke-21 ini, semakin banyak penekanan diberikan kepada kesihatan mulut dan kepentingannya sebagai satu komponen utama kesihatan umum. Gigi yang tersusun cantik tanpa ruang diantaranya adalah menjadi matlamat yang cuba dicapai oleh kebanyakan anggota masyarakat. Oleh yang demikian, apabila pergerakan gigi yang tidak diingini berlaku, ia menjadi satu isu yang membawa impak yang negatif kepada diri seseorang itu.

Pergerakan gigi yang tidak diingini ini, boleh menyebabkan gigi kita menjadi jarang. Ia juga boleh menyebabkan perubahan orientasi gigi iaitu gigi boleh terputar atau menjadi condong. Perubahan-perubahan ini mempunyai impak negatif keatas paras rupa dan fungsi pengunyahan seseorang individu. Fungsi pengunyahan yang tidak efisien boleh menyebabkan gangguan nutrisi dan masalah kesihatan, manakala rupa paras yang merosot boleh menjejaskan keyakinan diri. Impak kesihatan mulut keatas kehidupan memang jelas dan ianya tidak dapat diasingkan daripada kesihatan tubuh.

Dalam keadaan mulut yang sihat, gigi kita kekal ditempat yang sepatutnya melalui keseimbangan daya yang bertindak ke atas gigi. Gigi kita sentiasa dikenakan atau menerima daya tolakan dari pelbagai arah. Contohnya, lidah kita mengenakan daya tolakan yang akan mencuba menolak gigi keluar, tetapi daya tolakan ini dilawan dan diseimbangkan oleh daya daripada otot bibir yang cuba menolak gigi ke dalam. Hasilnya, gigi kita kekal ditempat asal. Tambahan kepada ini, setiap batang gigi kita akan membantu gigi yang bersebelahan untuk kekal ditempat asal dengan cara tidak memberikan ruang untuk bergerak. Selain itu, gigi kita juga mempunyai ligamen-ligamen kecil (ligamen periodontal) yang berfungsi sebagai alat pautan gigi kepada tulang rahang. Ligamen ini turut membantu mengelakkan pergerakan gigi yang tidak normal.

Sebab

Pergerakan gigi yang tidak normal berlaku bila terdapat gangguan kepada keseimbangan daya di dalam mulut. Ini boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu:

  1. Pergerakan yang tidak berkaitan dengan penyakit
  2. Pergerakan yang berkaitan dengan penyakit

Pergerakan Yang Tidak Berkaitan Dengan Penyakit

Punca utama pergerakan gigi jenis ini adalah ketiadaan gigi gantian yang sesuai selepas gigi dicabut. Walaupun ianya tidak berlaku kepada semua orang, namun peratus kejadian pergerakan jenis ini adalah agak tinggi di kalangan masyarakat.

Apabila salah satu daripada gigi kita dicabut, maka wujud satu ruang kosong dalam susunan gigi. Jika gigi yang dicabut itu tiada penggantinya, lama-kelamaan gigi yang bersebelahan mungkin akan bergerak kedalam ruang kosong tersebut. Lebih banyak gigi yang dicabut, lebih banyak ruang akan terbentuk dan ini mungkin menyebabkan pergerakan lebih banyak gigi. Akhirnya, gigi menjadi jarang dan menjejaskan paras rupa.

*ilustrasi dari http://www.rydedentalcare.com.au/

Sebab-sebab lain yang mungkin boleh menyebabkan pergerakan sebegini adalah rawatan ortodontik yang tidak sempurna dan kehausan tampalan gigi. Individu yang memakai pendakap sebagai rawatan ortodontik boleh mengalami risiko pergerakan gigi yang tidak diingini sekiranya mereka tidak patuh kepada arahan pakar ortodontik. Kejadian pergerakan gigi selepas rawatan ortodontik selesai boleh berlaku bila pesakit tidak mematuhi arahan pemakaian pendakap boleh tanggal yang bertujuan untuk menstabilkan kedudukan gigi pada posisi yang baru.

Tampalan gigi yang berada di mulut untuk masa yang lama akan jadi haus. Kehausan tampalan gigi ini boleh mengakibatkan ruang kecil terbentuk dan sedikit sebanyak boleh menyebabkan pergerakan gigi, terutamanya pada tampalan di antara gigi. Walaupun pergerakan ini adalah kecil, ia mampu menjejaskan penampilan pesakit.

Pergerakan Yang Berkaitan Dengan Penyakit

Punca utama pergerakan jenis ini adalah Penyakit Gusi juga dikenali sebagai Penyakit Periodontal. Penyakit gusi adalah penyakit yang berupaya merosakkan tisu penyokong gigi. Secara amnya, tisu penyokong gigi kita terdiri daripada gusi dan tulang dan kerosakan kepada struktur penyokong ini boleh menyebabkan kehilangan gigi. Penyakit gusi ini disebabkan oleh kuman yang hidup dalam mulut kita. Kuman ini jika dibiarkan membiak dengan terlalu banyak akan mencetuskan proses keradangan gusi dan seterusnya kemusnahan tulang penyokong gigi. Amalan pembersihan gigi yang kurang efisien akan menyebabkan penyakit gusi awal atau dikenali sebagai Gingivitis. Simptom yang lazimnya dialami oleh seseorang yang menghidap penyakit awal ini adalah pendarahan gusi bila memberus gigi. Jika tidak dirawat, penyakit ini akan parah dan merebak ketahap Penyakit Periodontitis. Pada peringkat ini, tulang penyokong gigi akan musnah dengan tindakbalas toksin dari bakteria dan gigi akan menjadi longgar. Lama-kelamaan gigi yang longgar ini akan menjadi jarang. Keadaan ini, jika terus tidak dirawat, akan menyebabkan kehilangan gigi.

Penyakit gusi merupakan penyakit yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia. Statistik daripada National Oral Health Survey in Adults pada tahun 2010 menunjukkan bahawa sebanyak 94% daripada populasi Malaysia menghidap penyakit gusi. Angka ini amat merisaukan kerana ia merupakan kenaikan sebanyak 4.0% daripada kajian yang serupa yang dijalankan pada tahun 2000. Apa lagi jika diambilkira faktor-faktor penyumbang seperti penyakit kencing manis yang tidak terkawal, amalan kehidupan yang tidak sihat, tabiat merokok, serta paras stres yang tinggi, penyakit gusi ini boleh mencapai tahap epidemik.

Gambar dari http://www.buccasana.es/

Rawatan

Untuk merawat kejadian gigi menjadi jarang, punca pergerakan gigi perlu dikenal pasti dan dirawat dengan sewajarnya.

Sekiranya, pergerakan gigi disebabkan oleh penyakit gusi, individu tersebut perlu dirawat oleh Pakar Pergigian Periodontik. Penyakit gusi perlu dirawat dan dikawal. Setelah rawatan gusi selesai, cara-cara untuk merawat kejarangan gigi boleh dirancang. Salah satu cara yang efektif adalah rawatan ortodontik untuk menyusun semula gigi jarang dan menggantikan gigi yang telah hilang sekiranya perlu.

Gambar dari World J Orthod 2009;10:350–360

Pilihan rawatan ini juga disyorkan untuk merawat pergerakan gigi yang tidak berkait dengan penyakit. Setelah ruang antara gigi ditutup melalui rawatan ortodontik, gigi yang telah dicabut perlu digantikan. Antara pilihan rawatan panggantian gigi yang hilang adalah gigi palsu, jambatan pergigian dan implan gigi.

* Gigi yang hilang digantikan dengan sebatang implan gigi

Pencegahan

Cara terbaik untuk mengelakkan gigi kita daripada menjadi jarang adalah melalui penjagaan kesihatan mulut yang optima. Dengan mencegah penyakit gusi dan kehilangan gigi, pergerakan gigi yang tidak diingini boleh dielakkan. Penjagaan higin mulut adalah tanggungjawab diri kita sendiri. Seseorang individu itu harus kenal tanda-tanda awal penyakit gusi dan karies gigi. Sekiranya tanda-tanda awal penyakit ini dapat dikesan, rawatan awal boleh dilakukan untuk memulihkan keadaan mulut tanpa berlakunya kerosakan kekal.

Selain penjagaan higin mulut yang optimum, lawatan berkala ke klinik pergigian adalah penting untuk mengekalkan mulut yang sihat. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, doktor pergigian anda sedia membantu.

Rujukan

  1. Eduardo Y.S, Bonsiva S. Treatment Of A Periodontally Compromised Patient With Mini-Implant Anchorage. World J Orthod 2009;10:350–360.
  2. Lang N.P, Lindhe J. Clinical Periodontology and Implant Dentistry. Fifth edition 2008.
  3. Storey E. The nature of tooth movement. American Journal of Orthodontics 1973;3:292314.
Semakan Akhir : 5 Ogos 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Renukanth a/l Patabi Cheta Raman
Akreditor : Dr. Sa’adiah bt. Yusoff

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,120

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia