A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Lalat: Anggaran Jangka Masa...

Lalat: Anggaran Jangka Masa Kematian

Dalam siasatan forensik, kehadiran lalat membantu pakar forensik, doktor, dan ahli entomologi untuk menganggarkan jangka masa kematian

Entomologi Forensik

Entomologi forensik adalah salah satu cabang ilmu entomologi berkaitan dengan aplikasi pengetahuan tentang serangga untuk tujuan penyiasatan forensik, terutamanya dalam konteks kematian dan kejadian jenayah. Ia melibatkan kajian dan analisis serangga yang ditemui pada mayat atau dalam sekitar tempat jenayah untuk membantu menentukan jangka masa post mortem (PMI) atau waktu sejak kematian terjadi, mengenal pasti lokasi mayat jika berlaku pemindahan tempat kejadian, serta menyiasat kejadian-kejadian seperti serangan serangga atau kontaminasi serangga dalam situasi tertentu.

Sejarah awal penggunaan lalat dalam penyiasatan jenayah

Lalat digunakan dalam siasatan jenayah bermula seawal abad ke-13. Dalam sebuah buku yang berjudul ‘The Washing Away of Wrongs’, seorang penyiasat bernama Sung Chi ditugaskan untuk mencari suspek yang membunuh seorang pesawah menggunakan sabit. Sung Chi mengumpulkan semua pesawah di kampung itu dan meminta mereka membawa sabit masing-masing. Lalat telah mnghurung dengan cepatya pada salah satu sabit yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut. Hal ini telah mendedahkan suspek yang pada akhirnya mengaku melakukan pembunuhan itu. Ini membuktikan keupayaan deria luar biasa lalat yang membolehkan mereka mengesan kesan darah yang tidak lagi kelihatan dengan mata kasar.

Lalat dan Bedah Siasat

Dalam siasatan forensik, kehadiran lalat membantu pakar forensik, doktor, dan ahli entomologi untuk menganggarkan jangka masa kematian. Kajian menunjukkan lalat merupakan serangga pertama yang tiba pada mayat untuk bertelur. Kitaran hidup lalat terdiri daripada fasa telur, larva, pupa, dan lalat dewasa adalah berbeza mengikut spesies lalat. Oleh itu, identifikasi spesies lalat yang dijumpai pada mayat adalah sangat penting untuk membantu menganggarkan jangka masa kematian yang lebih tepat.

Jenis-jenis lalat

Pelbagai jenis lalat yang dijumpai pada mayat sering digunakan untuk menganggarkan jangka masa kematian. Terdapat dua family lalat yang biasanya digunakan dalam penyiasatan forensik iaitu Calliphoridae dan Sarcophagidae.

  1. Calliphoridae (Blow Flies)

    Blow flies merupakan salah satu kumpulan serangga yang paling penting dalam entomologi forensik kerana mereka cepat mengesan mayat yang mereput. Kebiasannya, mereka adalah serangga pertama yang tiba pada mayat untuk bertelur. Larva atau ulat yang menetas dari telur ini akan makan mayat yang membusuk, dan fasa larva ini dapat memberikan maklumat penting tentang masa kematian. Genus blow flies yang biasa dijumpai dalam kes-kes forensik termasuklah Lucilia (lalat Greenbottle), Calliphora (lalat Bluebottle), Chrysomya, Phormia (blow flies hitam) dan Cochliomyia (lalat New World screwworm).

  2. Sarcophagidae (Flesh Flies)

    Flesh flies adalah kumpulan lalat lain yang sering dikaji dalam entomologi forensik. Mereka juga tertarik kepada mayat yang membusuk dan dikenali sebagai lalat yang meletakkan larva hidup secara langsung di atas mayat berbanding telur. Proses ini dikenali sebagai ovoviviparity atau larviposition. Larva flesh flies merupakan pemangsa aktif yang memakan larva serangga lain yang terdapat pada mayat. Kehadiran dan peringkat perkembangan larva flesh flies dapat membantu dalam menganggarkan PMI. Genus flesh flies yang biasa dijumpai dalam kes-kes forensik termasuklah Sarcophaga, Wohlfahrtia dan Parasarcophaga (coffin flies).

Selain daripada blow Flies dan flesh flies, family lalat lain juga mungkin ditemui dalam penyiasatan forensik, tetapi kepentingannya lebih terhad dan kekerapan mereka dijumpai adalah rendah. Antara family ini termasuklah Muscidae (lalat rumah dan stable flies), Fanniidae (lalat rumah kecil), Piophilidae (cheese skippers), dan Stratiomyidae (soldier flies). Komposisi spesies dan jumlah lalat di tempat jenayah adalah berbeza mengikut lokasi geografi, cuaca, dan situasi ketika kematian berlaku. Pakar entomologi forensik mengumpul dan menganalisis serangga-serangga ini dengan teliti untuk memberikan pandangan yang penting berkaitan jangka masa kematian untuk membantu siasatan jenayah dan prosiding undang-undang.

Kitaran Hidup Lalat dan Anggaran Jangka Masa Kematian

Kitaran hidup lalat bermula dengan telur yang menetas menjadi larva (instar pertama, instar kedua, dan instar ketiga). Larva kemudiannya berubah menjadi pupa dan akhirnya menjadi lalat dewasa. Telur lalat biasanya ditemui di lubang hidung, mulut, mata, dan luka terbuka pada mayat. Telur akan menetas dalam tempoh 12 hingga 24 jam, dan larva melalui tiga fasa instar. Lebih kurang 72 jam kemudian, larva instar ketiga bergerak dari mayat ke kawasan yang lebih kering, di mana mereka membentuk pupa yang berkulit lebih keras. Selepas 90 jam berhibernasi, lalat dewasa yang baru muncul, bersedia untuk membiak dan meletakkan telur untuk generasi baru. Keseluruhan kitaran hidup dari telur hingga lalat dewasa mengambil masa kira-kira 9 hingga 14 hari, dan peringkat metamorfosis ini dapat digunakan untuk menganggarkan jangka masa kematian.


Sumber: https://www.nlm.nih.gov/exhibition/visibleproofs/galleries/technologies/blowfly.html

Dengan memahami proses perkembangan lalat yang ditemui pada mayat, seorang pakar forensik atau ahli entomologi dapat menganggarkan jangka masa kematian dengan mengenalpasti spesies lalat dan peringkat metamorfosis yang dikenalpasti. Ini dapat dicapai kerana perkembangan setiap fasa kitaran metamorfosis adalah mengikuti jangka masa yang tepat dan telah ditetapkan.

Sebagai contoh, larva instar ketiga spesies Chrysomya rufifacies (Keluarga: Calliphoridae) ditemui pada mayat. Dengan merujuk kepada kitaran hidup yang telah ditetapkan dan peringkat metamorfosis bagi spesies ini, ahli entomologi dapat menentukan bahawa larva tersebut berumur lebih kurang 5 hari. Berdasarkan penilaian ini, dapat disimpulkan bahawa mayat itu telah meninggal dunia sekurang-kurangnya 5 hari.

Dengan menganalisis spesies lalat, fasa perkembangan mereka, dan faktor-faktor alam sekitar di tempat jenayah dengan teliti, ahli entomologi forensik dapat memberikan pandangan kepada penyiasatan mengenai jangka masa kematian. Maklumat ini memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kes jenayah atau sebagai bukti dalam prosiding undang-undang. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mempertimbangkan pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi anggaran, seperti suhu, lokasi, dan tingkah laku serangga, untuk memastikan anggaran yang lebih tepat.

Faktor Mempengaruhi Anggaran Jangka Masa Kematian

Anggaran jangka masa kematian menggunakan teknik entomologi forensik adalah tepat. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi ketepatan anggaran ini:

  1. Suhu: Suhu persekitaran sangat mempengaruhi kitaran hidup lalat. Suhu tinggi mempercepat tumbesaran lalat, manakala suhu rendah akan melambatkannya. Kadar metamorfosis boleh berbeza berdasarkan naik turun suhu. Untuk mendapatkan anggaran jangka masa yang lebih tepat, suhu persekitaran di tempat kejadian jenayah perlulah diambil kira.
  2. Spesies lalat: Pelbagai spesies lalat mempunyai kitaran hidup yang berbeza. Contohnya, flesh flies (Sarcophagidae) terutamanya larviparous, mengeluarkan larva yang telah menetas terus pada mayat, dan ini memendekkan kitaran hidup mereka berbanding lalat yang bertelur (oviparous). Identifikasi spesies lalat yang dijumpai adalah penting untuk menentukan anggaran jangka masa kematian yang lebih tepat.
  3. Lokasi kejadian jenayah atau insiden: Lokasi mayat dijumpai juga mempengaruhi kehadiran telur lalat. Jika mayat dijumpai di kawasan terbuka, lalat lebih cenderung bertelur dengan cepat berbanding mayat yang dijumpai di kawasan tertutup atau di dalam bangunan. Lalat mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk masuk ke kawasan yang tertutup, dan ini menyebabkan perbezaan masa bertelur.

Walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi, entomologi forensik tetap menjadi salah satu kaedah berharga dan banyak digunakan dalam anggaran jangka masa kematian. Jika faktor-faktor ini diambil kira dan analisis sampel entomologi yang teliti dilakukan, ahli entomologi forensik dapat memberikan anggaran yang cukup tepat, sekaligus membantu siasatan kes jenayah dan prosiding undang-undang.

Rujukan

  1. Foran, D. (2007). Generating More Precise Post Mortem Interval Estimates with Entomological Evidence: Reliable Patterns of Gene Expression Throughout Calliphorid Larval and Pupal Development. Michigan State University.
  2. Amendt, J., Goff, M. L., Campobasso, C. P., & Grassberger, M. (Eds.). (2010). Current concepts in forensic entomology (pp. 1-376). London: Springer Netherlands.
  3. Tomberlin, J. K., & Benbow, M. E. (Eds.). (2015). Forensic entomology: international dimensions and frontiers. CRC press.
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis / Penterjemah : Mohd Shukri b. Ahmad
Penyemak : Nurhusni binti Mohammad Room

Artikel Berkaitan

ALAT CEGAH GERAK DALAM RADIOTERAPI

Alatan ini digunakan untuk memastikan kedudukan pesakit dalam keadaan stabil dan boleh dikekalkan tanpa dapat melakukan sebarang pergerakan. Ini kerana sedikit sahaja pergerakan sudah boleh mengakibatkan rawatan yang diberi tidak tepat sehingga menyebabkan sel kanser tidak terkena sinaran dan mungkin memudaratkan organ sensitif berhampiran yang tidak perlu menerima radiasi.

MRI ABDOMEN

Apa Itu Pemeriksaan MRI Abdomen Magnetic Resonance Imaging (MRI) Abdomen

PEMERIKSAAN CT KARDIAK

CT Kardiak ialah pemeriksaan jantung untuk mengetahui risiko penyakit jantung menggunakan imbasan CT. Pemeriksaan CT Kardiak dijalankan bagi melihat dan mengkaji salur darah ke jantung.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,117

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia