Kecederaan otak traumatik (KOT) adalah kecederaan yang kompleks dengan gejala dan kekurangan upaya yang pelbagai. KOT memberi kesan yang sangat mendalam ke atas individu yang terlibat dan ahli keluarganya. KOT adalah satu bentuk kecederaan otak yang disebabkan oleh kerosakan otak secara tiba-tiba. Bergantung kepada sumber trauma, KOT boleh menjadi kecederaan kepala sama ada kecederaan secara terbuka atau tertutup.
Jenis-jenis kecederaan otak traumatik
Terdapat dua jenis kecederaan otak traumatik.
- Kecederaan Kepala Terbuka : Ia juga dipanggil “kecederaan tertusuk”, di mana kecederaan ini berlaku apabila sesuatu objek (contohnya, peluru atau benda tajam) tertusuk ke dalam otak dan menyebabkan kerosakan pada bahagian otak tertentu. Simptom yang ditunjukkan adalah berbeza-beza bergantung kepada bahagian otak yang rosak.
- Kecederaan Kepala Tertutup: Kecederaan ini disebabkan oleh satu hentakan kepada kepala (contohnya, apabila kepala terhentak pada cermin kereta atau dashboard semasa kemalangan kereta). Akibatnya, masalah seperti keretakan tengkorak kepala, pendarahan dan darah beku dalam otak boleh berlaku.
Tanpa mengira punca trauma, KOT juga menyebabkan dua jenis kerosakan kepada otak : kerosakan otak peringkat awal, yang mana kerosakan yang berlaku memberi kesan serta-merta (contohnya, keretakan tengkorak, pendarahan, darah beku), dan kerosakan otak peringkat kedua, yang merupakan kerosakan otak yang berterusan dari semasa ke semasa selepas trauma (contohnya, tekanan darah meningkat dalam tengkorak , sawan dan bengkak pada otak).
Punca-punca kecederaan otak traumatik
Punca-punca KOT adalah seperti berikut :
- Jatuh
- Kemalangan melibatkan kenderaan bermotor (sbg. cth. kereta dan motosikal) dan pejalan kaki
- Akibat terkena hentaman atau pelanggaran (sbg.cth. terhantuk pada permukaan)
- Serangan ganas (sbg. cth. dipukul oleh objek tumpul)
Kecederaan akibat bersukan dan letupan / kecederaan semasa berperang juga salah satu punca utama KOT.
Kognitif dan komunikasi individu akibat daripada kecederaan otak traumatik
Masalah kognitif dan komunikasi yang disebabkan oleh kecederaan otak traumatik berbeza daripada seorang individu ke individu yang lain. Masalah-masalah ini bergantung kepada banyak faktor termasuk personaliti individu, kebolehan sebelum kecederaan dan keterukan bahagaian otak yang tercedera.
- Kesan kecederaan otak traumatik ke atas proses pemulihan
Kesan kerosakan otak biasanya teruk selepas kecederaan berlaku. Walau bagaimanapun, beberapa kesan daripada kecederaan otak traumatik mungkin boleh mengelirukan. Otak yang baru cedera sering mengalami kerosakan sementara akibat bengkak dan lebam yang dipanggil kontusi. Jenis kerosakan sebegini biasanya tidak kekal dan fungsi bahagian otak tersebut akan pulih kembali apabila bengkak atau lebam hilang. Oleh itu, adalah sukar untuk meramalkan dengan tepat sejauh mana masalah jangka panjang peringkat awal selepas kecederaan otak traumatik.
Sekiranya kecederaan otak adalah lebih tertumpu pada satu kawasan ia akan menyebabkan masalah jangka panjang dan kecacatan yang kekal. Proses baik pulih boleh berlaku apabila bahagian otak yang tidak cedera mula untuk mengambil alih fungsi bahagian otak yang terjejas. Otak kanak-kanak dikatakan lebih berkemampuan untuk pulih dengan cepat berbanding otak orang dewasa. Oleh itu, kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak mencapai kemajuan yang lebih baik berbanding orang dewasa dengan kerosakan otak dan keterukan yang sama.
Bagi keterukan kecederaan otak yang sederhana hingga sangat teruk, bengkak boleh menyebabkan tekanan ke atas bahagian bawah otak yang dikenali sebagai batang otak. Batang otak berfungsi mengawal keadaan sedar seseorang individu. Ramai individu yang mengalami jenis kecederaan seperti ini berada dalam keadaan tidak sedar yang dipanggil koma. Seseorang yang dalam keadaan koma boleh benar-benar bertindak balas kepada apa-apa jenis rangsangan seperti bunyi yang kuat, sakit, atau bau. Dalam keadaan lain, ada yang boleh bergerak, membuat bising, atau memberi tindak balas apabila rasa sakit tetapi mereka tidak sedar pada keadaan sekeliling. Mereka ini juga didapati tidak boleh berkomunikasi. Sesetengah yang berjaya pulih daripada koma, mereka menjadi peka dan dapat berkomunikasi.
-
Masalah kognitif
Bagi individu yang sedar, kecacatan kognitif yang sering dikaitkan akibat daripada kecederaan otak traumatik termasuk mempunyai masalah memberi tumpuan bagi tempoh masa tertentu, masalah menyusun apa yang difikir, dan mudah keliru atau lupa. Sesetengah individu akan mengalami kesukaran mempelajari maklumat baru. Ada juga yang tidak dapat mentafsir tindakan orang lain dan menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk bersosial. Apa yang mereka katakan atau apa yang mereka lakukan sering tidak sesuai dengan keadaan. Ada pula yang mengalami kesukaran menyelesaikan masalah, membuat keputusan, dan merancang. Pertimbangan sesuatu perkara juga terjejas.
-
Masalah bahasa
Masalah bahasa juga berbeza-beza. Masalah utama yang dihadapi adalah kesukaran mencari perkataan, lemah dalam membuat ayat dan sering memberi penerangan dan penjelasan yang salah dan panjang-lebar. Ini disebabkan oleh masalah pemahaman atau kesukaran mencari perkataan yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, apabila meminta bantuan mencari di mana letaknya kasut semasa hendak keluar rumah, individu itu akan berkata “Benda yang saya guna masa lari dekat padang”. Mereka juga mempunyai masalah untuk memahami jenaka, sindiran dan kiasan seperti “kaki bangku” atau “kacang lupakan kulit”. Individu yang mempunyai kecederaan otak trauma sering tidak menyedari kesilapan mereka dan boleh menjadi kecewa atau marah dan menyalahkan orang lain kerana masalah komunikasi mereka terutama terhadap orang yang mereka sedang bercakap. Kebolehan membaca dan menulis juga boleh terjejas berbanding daripada mereka yang hanya mempunyai masalah untuk bertutur dan masalah pemahaman sahaja. Kebolehan matematik sama ada menyelesaikan masalah yang mudah atau kompleks juga boleh terjejas.
-
Masalah pertuturan
Pertuturan yang dihasilkan oleh individu yang mempunyai kecederaan otak traumatik mungkin lambat, tidak jelas dan sukar atau mustahil untuk difahami jika bahagian otak yang mengawal pergerakan otot untuk bertutur sudah rosak. Masalah pertuturan ini dipanggil disatria. Individu ini juga mungkin mengalami masalah menelan yang dipanggil disfagia. Sesetengah individu yang lain mungkin juga mempunyai masalah apraksia, di mana kekuatan dan koordinasi otot pertuturan tidak terjejas tetapi individu mengalami kesukaran menyatakan perkataan dengan betul dengan konsisten. Sebagai contoh, seseorang berulang kali boleh tersekat-sekat untuk menghasilkan perkataan “bola” ketika diminta mengulanginya, tetapi kemudian dapat berkata “saya akan main bola petang ini” secara tiba-tiba dan spontan.
Cara untuk meningkatkan keupayaan berkomunikasi individu selepas kecederaan otak traumatik
Berikut adalah beberapa pendekatan yang digunakan untuk membantu komunikasi individu akibat kecederaan otak traumatik.
Maklum balas secara berstruktur : mendapatkan maklumat daripada seseorang yang boleh dipercayai tentang aspek komunikasi yang lancar dan cara untuk melakukannya adalah sangat berguna. Ini dapat membantu jika maklum balas diberikan selepas sahaja perbualan berlaku. Maklum balas perlu menekankan kebolehan komunikasi individu tersebut serta ruang yang boleh diperbaik.
Penggunaan rakaman video semasa perbualan : menayangkan kembali rakaman video perbualan sangat membantu dalam mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ketika berkomunikasi.
Model : Terapis Pertuturan atau rakan berbual boleh menunjukkan dan memberi contoh cara-cara untuk berkomunikasi pada situasi yang berbeza-beza.
Membentuk, memberi isyarat, dan mengurangkan isyarat : membentuk merujuk kepada mengukuhkan perubahan tingkah laku yang positif sehingga tingkah laku komunikasi yang disasarkan tercapai, memberi isyarat merujuk kepada memberi petunjuk atau panduan untuk membantu meningkatkan keupayaan berkomunikasi, dan mengurang merujuk kepada pengurangan memberi isyarat secara beransur-ansur.
Berlakon dan latihan : Berlakon dan latihan komunikasi pada situasi berbeza sangat membantu meningkatkan keupayaan untuk berkomunikasi.
Maklum balas positif : memberi pujian dan galakan untuk tingkah laku yang positif boleh membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Sebagai contoh, individu boleh mendapat mata ganjaran untuk setiap kali beliau menunjukkan tingkah laku yang positif (sbg. cth. memulakan perbualan) atau tidak melakukan tingkah laku negatif (sbg. cth. mengganggu orang lain).
Kerja rumah : mempraktis untuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian adalah sangat penting. Semakin banyak latihan berkomunikasi dibuat di luar sesi terapi, lebih cepat perubahan positif boleh berlaku.
Komunikasi alternatif : Bagi individu yang mengalami masalah komunikasi yang sangat teruk, sokongan komunikasi alternatif (Papan Komunikasi dan Teknologi Komunikasi) seperti isyarat anggota badan, penggunaan buku komunikasi bergambar dan aplikasi melalui alat telekomunikasi dan media seperti telefon dan tablet boleh digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi supaya individu tersebut dapat meluahkan perasaan dan keinginan serta mengelakkan kekecewaan dan kemurungan akibat tidak boleh bercakap.
Rujukan
- Social Communication and Traumatic Brain Injury: A Guide for Professionals, retrieved from http://www.tbicommunity.org/resources/publications/professional_education_social_comm.pdf September 10, 2015.
- Traumatic Brain Injury (TBI), retrieved from http://www.asha.org/public/speech/disorders/TBI/, September 10, 2015.
- Traumatic Injury Resource Guide: The Bridge to a Meaningful Recovery, retrieved from http://www.neuroskills.com/brain-injury/cognitive-and-communication-disorders.php, September 10, 2015.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Mohd Azmarul bin A Aziz |
Akreditor / Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |