Pengenalan
Miopia patologikal adalah suatu jenis rabun jauh di mana saiz bola mata bertambah panjang sehingga kuasa rabun jauh menjadi terlalu tinggi. Keadaan ini boleh berlaku pada semua peringkat umur namun lazimnya melibatkan umur di antara 30 hingga 50 tahun.
Kajian menunjukkan miopia patologikal bagi pesakit berumur kurang dari 50 tahun biasanya disebabkan pertumbuhan saluran darah halus yang tidak matang dan mudah pecah pada lapisan kapilari darah dalam mata (koroid) yang seterusnya menyebabkan pendarahan dalam retina. Miopia patologikal juga dikaitkan dengan beberapa penyakit sistemik dan penyakit okular seperti Sindrom Down, Sindrom Marfan, albinism okular dan retinopati pada bayi pramatang.
Struktur Anatomi Bola Mata
Ciri-ciri Klinikal Miopia Patologikal
i) Saiz Bola Mata Yang Sangat Panjang & Kuasa Miopia Yang Terlalu Tinggi
Secara purata, saiz bola mata yang normal bagi manusia adalah sepanjang 24.0mm. Kuasa rabun diukur dengan unit Dioptre (D). Lazimnya, pesakit miopia patologikal mempunyai panjang bola mata melebihi 26.0mm manakala kuasa miopia yang tinggi di antara -6.0D sehingga -40.0D. Ini dapat dilihat melalui pemakaian cermin mata dengan kanta yang sangat tebal. Oleh itu, sesetengah pesakit miopia berkuasa tinggi lebih suka kanta lekap sebagai alternatif.
Perbezaan Antara Saiz Bola Mata Normal Dan Bola Mata Panjang.
Pesakit Memakai Cermin Mata Dengan Kanta Yang Tebal.
ii) Stafiloma
Stafiloma ialah sejenis benjolan yang terbentuk pada bahagian belakang bola mata apabila lapisan retina dan sklera bola mata menjadi nipis akibat proses pemanjangan bola mata yang berterusan.
iii) Degenerasi Makula
Retina terdiri daripada beberapa lapisan nipis. Proses pemanjangan bola mata yang berterusan akan menyebabkan terjadinya rekahan pada lapisan retina terutamanya di kawasan periferi retina. Rekahan ini membolehkan saluran darah baru yang tidak matang daripada lapisan koroid tumbuh menerusi celah rekahan retina tersebut. Saluran darah yang tidak normal ini akan mudah pecah menyebabkan berlaku pendarahan di antara lapisan retina. Sekiranya ia terjadi dikawasan makula retina maka ia boleh menyebabkan kebutaan
Pertumbuhan Salur Darah Abnormal Di Lapisan Koroid Pada Retina.
iv) Retina Tertanggal
Pesakit miopia patologikal mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami keadaan retina tertanggal. Ia terjadi apabila rekahan yang berlaku pada lapisan retina yang nipis terutama di bahagian periferi mengakibatkan kebocoran bendalir dari dalam bola mata dan seterusnya menyebabkan lapisan retina meregang dan boleh tertanggal
Gejala Dan Tanda-tanda
Pesakit yang mempunyai miopia patologikal akan mengalami gangguan penglihatan yang disebabkan oleh gangguan pada fungsi retina sehingga menjejaskan ketepatan memfokus mata. Antara tanda dan gejala yang dialami adalah seperti berikut:
i)Herotan imej – imej yang dilihat kelihatan bengkok dan bentuknya tidak sekata.
ii)Perubahan persepsi/penglihatan warna
Kerosakan pada lapisan retina yang mengandungi sel-sel peka warna akan menyebabkan gangguan untuk melihat dan mentafsir warna. Contohnya apabila pesakit miopia patologikal melihat warna hijau, kualiti warna dari segi kecerahan dan intensiti warna hijau itu tidak sama dengan persepsi penglihatan warna hijau yang normal.
iii)Skotoma
Skotoma ialah halangan pada medan penglihatan. Pesakit akan berasa seperti ada halangan untuk melihat objek pada jarak jauh dan juga dekat. Ini akan menyebabkan masalah ketika mengecam muka, menonton televisyen, memandu dan membaca buku akibat terdapat skotoma pada penglihatan tengah pesakit. Miopia patologikal boleh menyebabkan kebutaan apabila sebahagian besar kawasan penglihatan kawasan tengah terjejas sehingga meninggalkan sedikit sahaja penglihatan yang baik pada kawasan periferi.
Skotoma Pada Medan Penglihatan Tengah.
iv)Tanda-Tanda Akibat Retina Tertanggal
Pesakit perlu prihatin dengan beberapa tanda yang boleh dialami akibat daripada penanggalan retina misalnya melihat cahaya seperti kilat, melihat apungan objek halus berlegar pada pandangan mata, dan/atau melihat gangguan seperti tirai/langsir menutupi pandangan. Pemeriksaan mata secepat mungkin adalah diperlukan jika pesakit mengalami tanda-tanda seperti ini.
Rawatan Dan Pengurusan Pesakit
Rawatan bagi miopia patologikal adalah terhad kerana proses pemanjangan bola mata tidak boleh dikawal. Antara rawatan yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan sinaran laser untuk mematikan salur-salur darah koroid yang tumbuh secara abnormal bagi mengelakkan kerosakan yang progresif kepada lapisan retina. Namun proses rawatan laser ini boleh juga merosakkan tisu-tisu retina yang sihat di sekitar kawasan yang dilaser.
Selain rawatan laser, terdapat rawatan alternatif yang lebih selamat boleh dilakukan untuk memelihara fungsi penglihatan pesakit iaitu kaedah terapi fotodinamik menggunakan suntikan ubat ke dalam retina secara berkala. Antara ubat yang sering digunakan adalah seperti suntikan Verteporfin (Visudyne) dan Lucentis.
Bagi pesakit yang mempunyai penglihatan terhad, penggunaan alat bantuan penglihatan boleh membantu pesakit menjalankan rutin harian dengan mudah. Contoh alat bantuan penglihatan adalah kanta pembesar untuk tugasan jarak dekat dan teleskop untuk penglihatan jauh. Selain itu, modifikasi secara bukan optikal juga boleh dilakukan untuk membantu penglihatan iaitu dengan membesarkan saiz tulisan pada skrin komputer dan menggunakan topi atau cermin mata hitam untuk mengurangkan silau.
Langkah-Langkah Penjagaan Mata
Pemeriksaan funduskopi secara rutin oleh pakar mata yang bertauliah perlu dilakukan bagi memantau sebarang perubahan patologikal pada retina dan seterusnya dapat mengurangkan risiko menjadi buta. Kesedaran dan pendedahan awal tentang tanda-tanda dan simptom gangguan penglihatan adalah penting untuk diketahui oleh pesakit miopia patologikal. Pesakit juga perlu mengenali jenis tanda dan simptom yang memerlukan pemeriksaan retina dan rawatan kecemasan/segera daripada pakar mata untuk memelihara fungsi penglihatan.
Selain itu, penglibatan dalam aktiviti sukan perlu dielakkan untuk mengelakkan komplikasi retina akibat tekanan dan hentakan seperti dalam sukan lompatan, larian, dan sukan bola. Pesakit juga perlu mendapatkan konsultasi dan pengesahan daripada pakar mata sebelum melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan retina yang boleh menyebabkan kebutaan.
Pemeriksaan Retina/Funduskopi.
Rujukan
Isi kandungan/nota
- Jack J. Kanski; Clinical Ophthalmology – A Systematic Approach; 6th Edition; Butterworth Heinemann 2007.
- eyeassociates.com/pathological-myopia.
- fightingblindness.ie/pathologicalmyopia.
- http://optometrist.com.au/dealing-degenerative-myopia/
- lowvision.org/pathologicalmyopia.
Gambar/ Imej
- http://seputar-inspirasi.blogspot.my/2012_06_01_archive.html
- https://c3.staticflickr.com/3/2126/2105552252_6e0c72f74a_n.jpg
- http://optometrist.com.au/wp-content/uploads/2012/07/degenerative-myopia.jpg
- http://ehp.niehs.nih.gov/122-a12/
- http://www.medicinenet.com/image-collection/retinal_detachment_picture/picture.htm
- http://www.optik-dormann.de/vergroessernde-sehhilfen/
- http://www.thebrunettediaries.com/tips-to-ease-eye-strain-caused-due-to-computers/
Semakan Akhir | : | 17 Disember 2015 |
Penulis | : | Pn. Nur Faiza Binti Jaafar |
Akreditor | : | Pn. Nor’aini binti Anuar |