Apakah itu penjagaan pranatal?
- Ia adalah pemeriksaan kesihatan yang berkala apabila anda disahkan mengandung.
- Tujuan lawatan adalah untuk memantau kesihatan ibu dan kandungan disamping mewujudkan hubungan baik antara anda dan kakitangan kesihatan.
- Kedua-dua keperluan perubatan dan psikologi anda akan ditangani.
- Perkhidmatan ini dikendalikan oleh petugas yang terlatih di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan.
Apa itu lawatan tempah (booking)?
Lawatan tempah (booking) adalah lawatan pertama anda ke klinik penjagaan pranatal.
- Ini adalah lawatan mustahak untuk mengenal pasti dan menguruskan sebarang komplikasi kesihatan ( jika ada ) dan melakukan saringan faktor-faktor risiko yang mungkin dialami semasa tumbesaran janin dan akibatnya.
- Ia perlu dilakukan sebaik sahaja anda disahkan mengandung.
- Masa yang disyorkan bila anda mengandung kurang dari 12 minggu.
- Lawatan pertama mungkin terlewat bagi kandungan anda tetapi masih dianggap lawatan tempah.
Semasa lawatan tempah, jururawat akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan:
- Perihal pusingan haid anda
- Sejarah peribadi
- Sejarah keluarga
- Sejarah perubatan dan pembedahan
- Sejarah kandungan lampau (jika ada)
- Latar belakang ekonomi dan sosial
Selepas sesi temuduga jururawat akan melakukan pemeriksaan fizikal.
Seterusnya anda perlu menjalani ujian di makmal.
Apabila anda selesai dengan proses tadi, terpulang kepada keadaan dan keputusan temuduga, pemeriksaan dan ujian makmal, rawatan diberikan mengikut kesesuaian.
Sebelum pulang, tarikh lawatan susulan anda akan diberi mengikut persetujuan anda
Jururawat akan memberikan salinan kad pranatal untuk disimpan oleh anda dan untuk dibawa bersama semasa lawatan ke klinik. Keseluruhan proses mengambil masa 1- 2 jam bergantung kepada beban kerja klinik semasa lawatan anda.
Apakah yang dilakukan semasa lawatan susulan pranatal?
- Semasa lawatan ini tahap kesihatan dan keadaan kandungan anda akan dinilai dan dipantau.
- Penglibatan keluarga terutama suami dan waris adalah digalakan:
- Untuk sokongan emosi bila diperlukan.
- Menggalakan mengikut nasihat dan program penjagaan pranatal.
- Membantu mengenalpasti keperluan dan kehendak ibu.
- Berbincang bagi merancang kelahiran.
- Saringan HIV kepada suami atau pasangan jika diperlukan dalam kes tertentu.
- Berikut adalah ativiti-aktiviti yang dilakukan semasa lawatan susulan:
- Sejarah ringkas dari lawatan akhir pranatal yang telah direkodkan.
- Pengambilan berat badan dan tekanan darah.
- Ujian air kencing untuk protein dan gula.
- Ketinggian rahim direkodkan di carta yang ditetapkan untuk pemantauan tumbesaran janin.
- Kedudukan janin
- Dinilai selepas kandungan 32 minggu.
- Jika kedudukan janin tidak tepat, pemeriksaan ultrasound untuk kenal pasti kedudukan uri.
- Denyutan jantung janin akan direkodkan.
- Imunisasi (diberikan bila sampai tempoh).
- Ujian darah rutin atau apabila diperlukan
Berapa kerapkah lawatan pranatal?
Dicadangkan lawatan pranatal seperti berikut:
- Sebelum 28 minggu – sebulan sekali
- 28 – 35 minggu – setiap 2 minggu sekali
- 36 minggu dan keatas – setiap minggu
Lawatan rumah akan juga dilakukan berdasarkan keperluan.
Bagaimana saya akan tahu bayi kandungan saya membesar dengan sihat?
Semasa lawatan pranatal kedua ibu dan kandungan anda akan dinilai dan dipantau. Di sini disenaraikan aktiviti-aktiviti yang membantu petugas kesihatan untuk memantau kebaikan janin:
- Mengukur ketinggian rahim (saiz perut anda)
- Pemantauan pertambahan berat badan bagi setiap lawatan
- Pemeriksaan ultra sound bagi menilai tumbesaran dan kedudukan janin.
- Carta pergerakan janin – anda perlu mengira kekerapan tendangan janin dalam masa 12 jam
- Denyutan jantung janin anda – dengan menggunakan mesin Daptone membolehkan anda mendengar denyutan jantung janin anda.
- Cardiotocography (CTG ) – mesin yang digunakan untuk menilai keadaan janin jika dikhuatiri janin tidak membesar dengan baik.
Di mana saya boleh mendapat bantuan?
- Di semua klinik kesihatan kerajaan (di kenali sebagai Poliklinik Komuniti, Klinik Kesihatan, Klinik Desa)
- Klinik swasta
- Hospital swasta
Bahan rujukan
- KKM (2003). Garispanduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu Dan Bayi Edisi 3 (Versi Semakan)
- KKM (2002). Perinatal Care Manual.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Nor Filzatun Borhan |
Akreditor | : | Dr. Heselyn Hussein Cik Nor Azima Shahudin |
Penyemak | : | Dr. Rafaie bin Amin |