A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Peralatan Perlindungan Diri (PPE)

Peralatan Perlindungan Diri (PPE)

Peralatan Perlindungan Diri (PPE) melindungi pekerjaan kesihatan daripada dua bahaya utama, iaitu radiasi dan agen biologi (virus, bakteria, dan lain-lain). Agen biologi boleh berpindah dari individu ke individu melalui sentuhan secara langsung atau tidak langsung.

Peralatan Perlindungan Diri (PPE) melindungi pekerjaan kesihatan daripada dua bahaya utama, iaitu radiasi dan agen biologi (virus, bakteria, dan lain-lain). Agen biologi boleh berpindah dari individu ke individu melalui sentuhan secara langsung atau tidak langsung. Pekerja kesihatan sentiasa berhubung dengan pesakit. Oleh itu, mereka memerlukan PPE yang melindungi mereka daripada sebarang jangkitan. Antara cara jangkitan yang dapat dikurangkan dengan PPE termasuklah melalui sentuhan antara individu, penyebaran titisan, penularan melalui udara, dan objek yang tercemar. Menurut WHO, ciri-ciri utama PPE termasuklah:

Kategori

Ciri-ciri

Reka bentuk

  1. Melindungi membran mukus
  2. Mengurangkan jumlah elemen PPE
  3. Menyediakan pandangan tanpa halangan
  4. Membolehkan keupayaan berkomunikasi
  5. Menggunakan reka bentuk manusia untuk saiz dan keselesaan

Prestasi bahan

  1. Mampu melindungi sepanjang tempoh bekerja
  2. Mampu menahan pelbagai proses penyahjangkitan berulang
  3. Pembungkusan dibuat untuk tahan paparan iklim tropika.

Keinginan prestasi bahan

  1. Protokol memakai dan menanggalkan PPE dengan langkah minimum
  2. Pelupusan PPE dengan cara yang tidak toksik dan mesra alam

Berikut adalah contoh-contoh PPE yang biasanya digunakan di hospital:

PPE

Deskripsi

Sarung tangan

Sarung tangan dipakai oleh pekerja kesihatan untuk melindungi tangan mereka daripada darah, cecair badan, atau permukaan yang tercemar. Sarung tangan ini boleh diperbuat daripada getah asli (latex), nitril, atau vinil, bergantung kepada alahan individu dan jenis pendedahan.

Topeng muka

Topeng muka, seperti N95 atau topeng muka surgikal melindungi pernafasan. N95 menapis sekurang-kurangnya 95% daripada zarah di udara, termasuk titisan pernafasan kecil yang mengandungi agen penyakit berjangkit. Topeng muka surgical melindungi daripada titisan yang lebih besar tetapi memberi penapisan yang kurang daripada N95.

Pelindung muka & kaca mata perlindungan

Pelindung muka dan kaca mata perlindungan melindungi mata, hidung, dan mulut daripada percikan, semburan, dan titisan pernafasan. Penutup muka menutupi keseluruhan wajah, manakala kaca mata perlindungan melindungi mata sahaja. Ia memberikan perlindungan terhadap bahaya cecair dan percikan, serta titisan pernafasan yang mungkin berbahaya kepada pekerja kesihatan.

Gaun

Gaun pakai buang digunakan untuk melindungi pakaian dan kulit pekerja kesihatan daripada jangkitan. Gaun ini bertindak sebagai penghalang bagi mengelakkan percikan darah, cecair badan, dan bahan berjangkit yang lain.

Pelitup kepala & kasut

Pelitup kepala (contohnya topi bouffant) dan pelitup kasut digunakan untuk mengelakkan kontaminasi rambut dan kasut.


Sumber: https://www.who.int/bangladesh/emergencies

PPE bagi kes bedah siasat

Dalam kes bedah siasat, PPE adalah sangat penting untuk melindungi pekerja kesihatan kerana pemeriksaan individu yang telah meninggal dunia memberi risiko pendedahan kepada agen berjangkit. Prosedur bedah siasat melibatkan pengendalian cecair badan, tisu, dan organ. Ini memerlukan langkah yang sesuai oleh kakitangan bedah siasat untuk melindungi diri daripada risiko kesihatan yang mungkin timbul.

PPE

Deskripsi

Sarung tangan berlapis

Dalam prosedur bedah siasat, pemakaian sarung tangan dua lapis adalah biasa. Sepasang utama sarung tangan yang diperbuat daripada getah asli (latex), nitril, atau bahan sesuai lain dipakai untuk pemeriksaan, dan pasangan kedua diperbuat daripada bahan yang berbeza dipakai di atas yang pertama untuk menyediakan lapisan perlindungan tambahan.

Gaun penuh

Kakitangan bedah siasat memakai gaun penuh atau gaun kalis air yang memberikan perlindungan penuh daripada percikan dan sentuhan cecair badan dan tisu. Gaun ini kalis air dan menutupi keseluruhan tubuh, termasuk lengan dan kaki, untuk memberikan perlindungan menyeluruh semasa pemeriksaan dan pengendalian mayat.

Pelindung muka penuh & kaca mata perlindungan

Pelindung muka penuh atau kaca mata perlindungan digunakan untuk melindungi mata, hidung, dan mulut daripada percikan, darah, dan bahan berjangkit yang lain.

Pelitup kepala

Kakitangan bedah siasat sering memakai topi bouffant atau pelitup rambut yang lain bagi mengelak rambut jatuh ke kawasan bedah siasat dan mungkin tercemar.

Pelitup kasut

Pelitup kasut pakai buang dapat mengelak pemindahan bahan pencemar dari bilik bedah siasat ke kawasan lain.

Respirator

Bergantung kepada kes bedah siasat dan risiko pendedahan, perlindungan pernafasan mungkin diperlukan. Ini termasuk N95 atau respirator lain yang sesuai untuk melindungi daripada agen berjangkit dari udara.

Apron

Perlindungan tambahan seperti apron atau sarung lengan yang kalis air mungkin digunakan untuk menutup kawasan tertentu, seperti bawah lengan  semasa menjalankan prosedur bedah siasat.


Sumber: https://doi.org/10.3389/fpsyg.2022.901244

Selain itu, beg dan bekas khas biohazard diperlukan untuk mengumpul dan membawa tisu, organ, dan sampel dengan selamat untuk analisis seterusnya. Kebersihan tangan adalah penting sebelum memakai PPE, selepas menanggalkan, dan setiap kali ada potensi pencemaran semasa prosedur bedah siasat. Basuh tangan dengan sabun dan air atau menggunakan sanitizer tangan berasaskan alkohol adalah penting.

Kakitangan bedah siasat harus menerima latihan mengenai penggunaan PPE yang betul, termasuk cara memakai dan menanggalkannya dengan selamat, dan mengikuti prosedur standard untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan mereka. Selain itu, penggunaan kawalan kejuruteraan, seperti ventilasi yang mencukupi di bilik bedah siasat, dapat meningkatkan lagi keselamatan semasa prosedur bedah siasat dilakukan. Jika kes bedah siasat melibatkan penyakit berjangkit atau patogen yang tidak diketahui, pihak berkuasa kesihatan tempatan dan pakar kawalan jangkitan mungkin menyediakan garis panduan dan cadangan khusus untuk penggunaan PPE berdasarkan sifat kes dan risiko pendedahan yang mungkin timbul.

Rujukan

  1. Changes to Ebola Protection worn by U.S Hospital workers
  2. Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur
  3. https://www.who.int/teams/health-product-policy-and-standards/assistive-and-medical-technology/medical-devices/ppe
  4. Loibner, M., Barach, P., Wolfgruber, S., Langner, C., Stangl, V., Rieger, J., … & Zatloukal, K. (2022). Resilience and protection of health care and research laboratory workers during the SARS-CoV-2 pandemic: analysis and case study from an Austrian high security laboratory. Frontiers in psychology13, 901244.
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis : Mohd Hilmi bin Saidin
Penyemak : Nurhusni binti Mohammad Room

Artikel Berkaitan

KERJAYA JURU X-RAY DIAGNOSTIK

Juru X-ray Diagnostik merupakan anggota profesional kesihatan bersekutu yang menggunakan X-ray untuk menghasilkan imej bagi tujuan diagnosis seseorang pesakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,993,660

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-09-06 06:54:26
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia