A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Peranan Sains Forensik Dalam...

Peranan Sains Forensik Dalam Sistem Keadilan Jenayah Malaysia

Undang-undang jenayah di Malaysia terbahagi kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes masih belum diselesaikan disebabkan pelbagai faktor seperti kekurangan bukti atau petunjuk yang sesuai

Pengenalan

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia tidak terkecuali daripada aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara dan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membentuk sebuah sistem keadilan jenayah yang berkesan dan cekap bagi memastikan pihak yang melakukan kesalahan ditangkap, diadili, dan dihukum dengan sewajarnya. Undang-undang jenayah di Malaysia terbahagi kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes masih belum diselesaikan disebabkan pelbagai faktor seperti kekurangan bukti atau petunjuk yang sesuai. Bagi mengatasi isu ini sekaligus mengurangkan kadar jenayah, aplikasi sains forensik ke dalam sistem keadilan jenayah menjadi sangat penting.

Peranan Sains Forensik dalam Sistem Keadilan Jenayah

Sains forensik adalah cabang ilmu yang menggabungkan pengetahuan saintifik dengan aplikasi undang-undang untuk membantu siasatan jenayah, kenalpasti bahan bukti, dan menyediakan analisis yang berkaitan. Ia melibatkan penggunaan berbagai teknik dan kaedah saintifik untuk mengumpulkan, menganalisis, dan menafsirkan bukti fisik atau digital yang berkaitan dengan suatu kejadian jenayah. Walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam Kanun Tatacara Jenayah (CPC) Malaysia, teknik sains forensik adalah digunapakai secara meluas dalam amalan agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan kehakiman.

Sistem undang-undang Malaysia mengakui kepentingan bukti saintifik dalam perbicaraan jenayah. Hasilnya, makmal sains forensik di Malaysia, termasuk unit khas seperti Bahagian DNA Jabatan Kimia, secara aktif bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menyediakan bukti sokongan yang boleh digunapakai semasa siasatan dan perbicaraan mahkamah. Kerjasama ini dapat memperkukuhkan sistem keadilan dan memastikan keadilan dapat ditegakkan berdasarkan bukti saintifik yang tepat dan boleh dipercayai. Kepentingan sains forensik dalam sistem keadilan jenayah Malaysia boleh dilihat melalui pelbagai aspek antaranya:

  1. Pengumpulan dan Pengendalian Bahan Bukti: CPC menggariskan prosedur khusus untuk pengumpulan, pemeliharaan, dan pengendalian bahan bukti dalam siasatan jenayah. Teknik sains forensik, termasuk analisis cap jari, profil DNA, dan analisis balistik digunakan oleh agensi terlibat untuk mengumpul dan memelihara bahan bukti yang diperoleh dari tempat kejadian jenayah dan sumber berkaitan.

  2. Keterangan Pakar: CPC membenarkan penglibatan saksi pakar, seperti ahli sains forensik, untuk memberi keterangan di mahkamah. Pakar-pakar ini dipanggil untuk menerangkan laporan dan analisis saintifik yang rumit dan relevan dengan kes tersebut. Hakim akan menentukan kepentingan bahan bukti yang dikemukakan tersebut berdasarkan keterangan pakar terlibat.

  3. Rantaian Bahan Bukti: CPC menekankan kepentingan mengekalkan rantaian bahan bukti bagi memastikan integriti dan kesahihan bahan bukti di mahkamah. Dokumentasi yang teliti dan terperinci tentang pengendalian bahan bukti adalah penting bagi mencegah kontaminasi dan pengubahan yang boleh menggugat kebolehpercayaan analisis forensik.
  4. Laporan saintifik: Saintis Forensik di Malaysia dikehendaki menghasilkan laporan saintifik yang komprehensif berdasarkan analisis yang dijalankan. Laporan-laporan ini akan digunapakai sebagai bukti sokongan bagi membantu siasatan dan pendakwaan yang disabitkan.

Contoh Kes :

  1. Altantuya Shaariibuu

    Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu melibatkan bukti DNA bagi membantu siasatan dan perbicaraan. Altantuya Shaariibuu, seorang Wanita Mongolia, telah dibunuh pada tahun 2006, dan kes ini telah mendapat perhatian meluas seluruh dunia disebabkan cara kematian beliau dan penglibatan suspek-suspek terkemuka.

    Bukti DNA memainkan peranan penting dalam identifikasi mangsa dan hubungkait suspek dengan tempat kejadian. Semasa siasatan dilakukan, sampel DNA telah dikumpulkan dari pelbagai sumber, termasuk tempat kejadian jenayah, barang-barang milik mangsa dan suspek.

  2. Canny Ong

    Rakyat Malaysia mungkin tidak akan pernah melupakan pembunuhan kejam Canny Ong yang mendapat perhatian dari pelbagai pihak media. Kes ini adalah salah satu daripada ribuan kes jenayah yang diselesaikan oleh penyiasat dan pendakwa, berdasarkan bukti saintifik.

    Seksyen Forensik Jabatan Kimia telah berjaya menghubungkait pelaku dengan mangsa menggunakan bukti biologi (DNA). Dalam kes ini, kesan air mani atau kesan sperma dari yang pelaku yang diperoleh daripada pakaian yang dipakai oleh mangsa. Selain itu, kesan darah mangsa juga ditemui pada jeans yang dimiliki oleh pelaku.

    Kehadiran kedua-dua bukti ini telah mengkaitkan si pelaku dengan mangsa tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Kesimpulan

Sains forensik telah menjadi komponen penting dalam sistem undang-undang Malaysia untuk membantu siasatan kes-kes jenayah melalui kemajuan dalam sains dan teknologi. Kerjasama semua pihak yang berkaitan untuk membangun dan meningkatkan sains forensik adalah penting untuk memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan wajarnya tanpa keraguan yang munasabah.

Rujukan

  1. Kanun Keseksaan (Akta 574)
  2. Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593)
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis : Saravanakumar a/l Maniam
Penyemak : Nurhusni binti Mohammad Room

Artikel Berkaitan

Ruam Panas

Ruam panas juga dikenali sebagai ruam gatal berbintik kecil dan merah yang berlaku kepada bahagian kulit yang boleh menjadi tersangat gatal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,993,710

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-09-06 06:54:26
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia