“Ada lubang kecil di hadapan telinga saya”
Rajah 1 : Preauricular Sinus (Source: https://s-media-cache ak0.pinimg.com/originals/e6/b1) |
Pengenalan
“Preauricular sinus” (pre=depan, auricular=telinga, sinus=bukaan kecil) adalah lubang kecil yang biasanya terdapat di hadapan cuping telinga luar . Ia adalah kecacatan kongenital (kecacatan semasa kandungan ibu) yang kadang-kadang di kenalpasti ketika bayi tersebut dilahirkan. Namun begitu, sinus preauricular biasanya menjadi lebih ketara setelah bayi semakin besar. Ia juga dikenali sebagai fistula telinga kongenital, fistula pre-auricular kongenital, lubang kecil depan telinga atau sista preauricular.
Kebanyakan individu yang mempunyai sinus preauricular tidak mempunyai apa-apa gejala atau masalah. Justeru bagi mereka, tiada sebarang rawatan yang diperlukan. Namun begitu bagi sesetengah individu yang mengalami jangkitan yang berulang dan bernanah pada kawasan sinus tersebut, pembedahan perlu dilakukan.
Sinus boleh berlaku di kedua-dua belah telinga (bilateral) dalam 25-50 % kes, dan diwarisi secara genetik atau keturunan (Scheinfeld). Sinus di sebelah kiri telinga adalah lebih kerap berbanding kanan bagi individu yang mempunyai sinus pada sebelah telinga sahaja (unilateral). Penglibatan lelaki dan wanita adalah sama.
Ciri Klinikal
Sinus preauricular sering dikesan sebagai lubang kecil di hadapan cuping telinga.
Rajah 2 : Preauricular Sinus |
Pesakit yang mempunyai sinus preauricular boleh mengalami keradangan pada muka atau bisul di hadapan telinga disebabkan jangkitan kuman di dalam lubang tersebut.
Di antara ciri klinikal lain ialah:
- Sakit
- Lelehan nanah melalui sinus
- Bengkak di sekitar sinus
- Radang/ kemerahan kulit
- Ulser
Rajah 3 : Sinus Preauricular | Rajah 4 : Lelehan Nanah |
Terdapat beberapa sindrom kecacatan pada muka secara kongenital seperti sindrom Treacher Collins dan branchio-oto-renal yang berkaitan dengan sinus preauricular
Komplikasi
Kehadiran “Sinus preauricular” sahaja tanpa sebarang masalah tidak memerlukan sebarang rawatan Ianya tidak akan membawa mudarat dan mengancam nyawa.
Diantara komplikasi yang boleh berlaku ialah:
- bengkak muka dengan kulit berwarna merah (selulitis muka – Rajah 5)
- bengkak cuping telinga dengan telinga menjadi merah ( Perichondritis – Rajah 6)
- Parut yang besar (keloid – hyperlink : Ear keloid – Rajah 7)
- Telinga tidak selesa
Rajah 5 : Selulitis Muka | Rajah 6 : Perichondritis | Rajah 7 : Keloid |
Rawatan
Kebanyakan sinus preauricular tidak mendatangkan sebarang masalah dan tiada rawatan spesifik yang diperlukan. Walau bagaimanapun, jika sinus preauricular itu mengalami komplikasi yang berulangkali seperti nanah, pembedahan sinus adalah disyorkan oleh doktor.
Rawatan ketika pesakit mengalami jangkitan sinus seperti keradangan kulit, ialah dengan antibiotik. Jika bernanah atau bisul, nanah mesti dikeluarkan dengan cara membuat pembedahan kecil. Nanah perlu dihantar ke makmal untuk kultur bagi memastikan penggunaan antibiotik yang betul dan spesifik kepada kuman yang dikesan.
Rajah 8 : Pembedahan untuk membuang sinus preauricular (Source: https://otolaryngologynews.files.wordpress.com/2011/09/comet.jpg?w=320&h=240) |
Tonton Video “Preauricular Sinus Excision”
Prognosis
Secara umumnya, “Sinus Preauricular” mempunyai prognosis yang baik.
Rujukan
- Amer I, Falzon A, Choudhury N, Ghufoor K. Branchiootic syndrome–a clinical case report and review of the literature. J Pediatr Surg. 2012 Aug. 47:1604-6.
- Diseases of Ear, Nose and Throat, 4th edition (2007), PL Dingra, Elsevier
- Choi SJ, Choung YH, Park K, Bae J, Park HY. The variant type of preauricular sinus: postauricular sinus. Laryngoscope. 2007 Oct. 117(10):1798-802.
- I P Tang, MD, S Shashinder,S Kuljit, K G Gopala : Outcome of Patients Presenting with Preauricular Sinus in Tertiary Centre – A Five year Experience. Med J Malaysia. 2007 March. Vol 62.
- Scheinfeld NS, Silverberg NB, Weinberg JM, Nozad V. The preauricular sinus: a review of its clinical presentation, treatment, and associations. Pediatr Dermatol. 2004 May-Jun. 21(3):191-6.
Semakan Akhir | : | 24 Julai 2017 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Eshamsol Kamar b. Omar |
Akreditor | : | Dr. Faridah bt. Hassan |