Pengenalan
Trend berkahwin lewat dilihat semakin berkembang apabila ramai yang lebih mementingkan kerjaya berbanding membina keluarga. Mengikut kajian pada tahun 2010, seramai 2.5 juta penduduk daripada 28.3 juta penduduk Malaysia adalah bujang. Sebanyak 37.8% daripadanya adalah terdiri daripada golongan lelaki dan selebihnya (32.2%) adalah wanita dan angka ini dijangka meningkat saban tahun. Jadi tidak hairanlah semakin ramai yang menghidap sindrom kesunyian terutamanya lelaki. Sindrom kesunyian adalah tindak balas emosi yang kompleks dan tidak menyenangkan terhadap pengasingan atau kurangnya perhubungan dengan individu yang lain. Biasanya melibatkan perasaan gementar terhadap perhubungan dengan orang lain sama ada pada masa sekarang dan masa hadapan. Ia disebabkan oleh beberapa faktor dan dalam konteks ini ia disebabkan oleh faktor sosial.
Simptom
- Fizikal – pening kepala, sakit badan, kesihatan merosot
- Mental – mudah tertekan, paranoid, mudah panik dan sering gelisah
- Kurang tenaga – sukar tidur, kerap terjaga atau tidur terlalu banyak
- Masalah pemakanan – hilang selera makan, pertambahan atau kehilangan berat badan yang cepat
- Berperasaan negatif – tiada harapan, keinginan membunuh diri, rasa tidak berguna
- Penyalahgunaan bahan – terlalu banyak minum arak, merokok, penyalahgunaan ubat dan dadah
Kesan/Akibat
- Kemurungan dan risiko membunuh diri meningkat
- Peningkatan tahap tekanan
- Hubungan sosial tidak seperti individu normal yang lain
- Meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, obesiti, tahap kolesterol meningkat dan tekanan darah meningkat
- Kualiti tidur berkurang kerana kerap terjaga seterusnya menyebabkan mudah letih sama ada fizikal ataupun mental
- Antisosial
- Lemah dalam membuat keputusan
- Kurang daya ingatan dan pembelajaran
- Penyalahgunaan dadah dan minuman keras
Rawatan dan Pencegahan
- Mengenal pasti kesunyian adalah sesuatu yag perlu diubah
- Memahami kesan kesunyian terhadap hidup anda sama ada fizikal ataupun mental
- Mengharapkan yang terbaik. Tumpukan pada pemikiran dan sikap yang positif terhadap sesuatu perhubungan berbanding menjangkakan penolakan
- Berhubung dengan rakan dan keluarga. Sentiasa berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga dapat menghindari perasaan sunyi dan tersisih
- Melakukan aktiviti luar. Menghadiri majlis-majlis sosial, beriadah, membeli – belah atau melakukan aktiviti sosial yang lain
- Melibatkan diri dengan masyarakat. Mencuba hobi yang baru atau lama, menyertai kelab atau mempelajari kemahiran-kemahiran yang baru
- Menjadi sukarelawan dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti amal
- Dapatkan sokongan dan bantuan daripada kaunselor atau orang yang dipercayai
- Menjalani terapi untuk membantu mengurangkan kemurungan dan perasaan gemuruh
- Mengambil ubat-ubatan untuk merawat simptom-simptom kesunyian dalam jangka masa yang pendek
Rujukan
- https://en.wikipedia.org/wiki/Loneliness
- https://www.psychologytoday.com/blog/connections/200905/epidemic-loneliness
Semakan Akhir | : | 3 Februari 2016 |
Penulis | : | Mohd Saifuddin bin Zainordin |
Akreditor | : | Ruhana binti Mahmod |