A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Tabiat yang Memudaratkan Kesihatan...

Tabiat yang Memudaratkan Kesihatan Mulut

Tabiat seperti menghisap ibu jari, menghisap botol susu, menggigit jari kuku, menggumam makanan dan menggigit benda asing boleh menyebabkan masalah seperti karies awal , tergigit pipi dan bibir, ulser, gigi patah, abrasi gigi, maloklusi dan sebagainya.

Pengenalan

Gaya hidup anda boleh memberi kesan kepada kesihatan gigi dan kesihatan umum. Oleh itu adalah penting untuk menjauhkan diri daripada tabiat yang memudaratkan kesihatan gigi. Tabiat seperti menghisap ibu jari, menghisap botol susu, menggigit jari kuku, menggumam makanan dan menggigit benda asing boleh menyebabkan masalah seperti karies awal , tergigit pipi dan bibir, ulser, gigi patah, abrasi gigi, maloklusi dan sebagainya.

Tabiat yang memudaratkan Kesihatan Mulut

Menghisap ibu jari

Menghisap ibu jari adalah normal di peringkat awal.
Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap ibu jari di antara umur 2 hingga 4 tahun.
 

Menghisap ibu jari menjadi masalah apabila ia berterusan sehingga gigi kekal hadapan tumbuh dan tabiat ini boleh menyebabkan:

  • Jongang gigi depan atas
  • Masalah gigitan

    Gigitan terbuka hadapan – gigi tidak bertemu apabila mulut ditutup

Bagaimana anda boleh membantu menghentikan tabiat ini?

Anda dapat membantu anak anda menghentikan menghisap ibu jari dengan petua berikut:

  • Membalut ibu jari. Ini dapat mengubah karakter jari dan menarik perhatian kanak-kanak semasa ia memasukkan jari ke dalam mulut.
  • Sapukan perasa yang tidak menyenangkan seperti quinine atau lada pada ibu jari. Ini dapat membuatkan ibu jari atau jari berasa tidak menyenangkan dan kanak-kanak tidak akan memasukkannya ke dalam mulut
  • Berikan pujian, ganjaran dan perhatian apabila anak anda tidak menghisap ibu jari.
  • Pastikan mulut anak anda sibuk dengan melibatkanya dalam nyanyian lagu atau memainkan alat muzik.
  • Sentiasa memastikan tangannya dipenuhi dengan permainan.
  • Kanak- kanak yang lebih tua selalunya memahami akan penjelasan tentang kesan menghisap jari pada gigi.
  • Dapatkan nasihat profesional jika tabiat ini berterusan selepas gigi kekal hadapan tumbuh (7 – 8 tahun)

Menggunakan botol susu untuk jangka masa berpanjangan

Menggunakan botol susu untuk suatu jangka masa yang lama dan berpanjangan oleh kanak – kanak berumur lebih 18 bulan boleh menyebabkan kerosakan gigi. Ini berlaku kerana gigi terdedah kepada keadaan asid lebih lama dan menyebabkan gigi rosak. Asid terhasil apabila bakteria di dalam mulut bertindak dengan gula dalam minuman manis. Keadaan ini lebih buruk untuk kanak- kanak yang lebih berusia kerana lebih banyak gigi yang sudah tumbuh di dalam mulut. Jika botol diperlukan oleh anak yang berumur lebih dari satu tahun, gantikan kandungan botol dengan air putih/kosong sahaja

Bagaimana cara mencegah / menghentikan menggunakan botol untuk jangka masa yang lama?

  • Jangan biarkan anak anda tidur dengan botol yang mengandungi cecair manis
  • Selepas setiap kali menggunakan botol, gunakan kain bersih yang lembut untuk mengelap gusi dan gigi anak anda perlahan-lahan. Ini dapat membuang plak yang mengandungi bakteria dan gula berlebihan
  • Menggalakkan anak anda untuk minum dari cawan pada usia enam bulan dan beransur-ansur
  • Menghentikan penggunaan botol pada usia satu tahun

Menggigit kuku

Menggigit kuku boleh menyebabkan masalah pergigian seperti luka pada gusi dan maloklusi gigi hadapan.

http://ts4.mm.bing.net/th?id=H.4888051957366831&pid=15.1&H=284&W=160
     
http://ts3.explicit.bing.net/th?id=H.4628777705736758&pid=15.1&H=89&W=160

Bagaimana cara mencegah / menghentikan tabiat menggigit kuku?

  • Mengetahui kesan menghisap jari pada gigi untuk menggalakkan tabiat itu dihentikan
  • Sapukan pengilat kuku yang pahit pada kuku. Rasa yang tidak menyenangkan akan mencegah anda daripada menggigit kuku jari
  • Kuku jari haruslah dipotong pendek untuk mengurangkan kemungkinan kuku digigit.
  • Terapi perilaku bermanfaat jika diperlukan

Menggigit benda asing

Menggigit benda asing seperti pen dan pensil boleh memudaratkan kesihatan mulut seperti kecederaan pada mukosa dan gusi, gigi patah dan sebagainya.

Bagaimana cara mencegah / menghentikan menggigit benda asing?

  • Untuk kanak-kanak, pastikan semua benda asing dijauhkan dari jangkauannya
  • Bagi kanak-kanak yang lebih tua/berusia atau orang dewasa
    • Tandakan pen / pensil dengan bahan yang selamat tetapi pahit untuk tidak menggalakkan tabiat menggigit
    • Lekatkan pita sekitar akhir pen/ pensil yang biasanya digigit untuk bertindak sebagai peringatan
    • Jika ingin gigit, pilih pengganti yang sihat seperti batang saderi atau lobak merah
    • Gunakan penutup pensil yang kenyal pada akhir pensil / pen

Menggumam makanan

Keadaan dimana makanan disimpan di tepi mulut (dalam pipi) untuk satu tempoh masa sebelum menelannya. Kebiasaan ini selalunya dilihat dilakukan oleh kanak-kanak keperluan khas seperti pesakit cerebral palsy. Menggumam makanan meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi.

Bagaimana cara mencegah / menghentikan menggumam makanan?

  • Dinasihatkan supaya makan dengan baik. Memastikan makanan dikunyah dengan baik sebelum ditelan
  • Ibu bapa dan penjaga perlu memastikan makanan yang disediakan mengandungi konsistensi yang betul, tidak terlalu kering dan mudah untuk ditelan.
  • Individu yang mempunyai keperluan khas seperti cerebral palsy memerlukan bantuan dalam memberikan makanan untuk mencegah penggumaman makanan.

Rujukan

  1. Bruerd B and Jones C: Preventing baby bottle tooth decay: eight-year results. Public Health Rep. 1996 Jan-Feb; 111(1): 63–65.
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research: Nail Biting: Does it cause long-term damage? (2014)
  3. Williams TI: Behaviour Research and Therapy, (2007) Volume 45, Issue 5, May 2007, Pages 989–99
  4. http://www.mamapedia.com/article/ (2013)
  5. http://www.webmd.com/mental health/pica/ (2013)
  6. http://www.webmd.com/mental health/thumbsucking/ (2013)
  7. Medline Plus. National Institute of Health Website (2013)

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Leslie S. Geoffrey
Akreditor : Dr. Savithri a/p Vengadasalam
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

 

Artikel Berkaitan

Snek Terbaik Untuk Gigi Anda

Adakah anda pernah memikirkan sama ada snek yang anda ambil sihat atau memudaratkan kesihatan, khususnya kesihatan gigi? Mungkin sebahagian dari anda sangat prihatin dengan isu ini, sebaliknya mungkin sebahagian lagi tidak peduli.

Korona dan Jambatan Pergigian : Jenis-Jenis Bahan

Jenis-jenis bahan yang disyorkan untuk pembuatan korona atau jambatan anda, akan bergantung kepada beberapa faktor tertentu iaitu kedudukan gigi (hadapan atau belakang) dimana korona atau jambatan akan diletakkan, sama ada anda mempunyai tabiat mengisar gigi dan sekiranya anda mempunyai alahan kepada logam tertentu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,089

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia