A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ujian HbA1c

Pengenalan

Ujian hemoglobin A1c (HbA1c, A1C, or Hb1c) digunakan untuk menentukan purata kepekatan glukosa dalam plasma darah. Hemoglobin merupakan protein dalam sel-sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. HbA1c terbentuk apabila glukosa bergabung dengan hemoglobin dalam sel darah merah untuk membentuk glycated haemoglobin.

Kepentingan Ujian

Ujian ini dilakukan untuk:

  1. mendiagnosis pesakit dengan diabetes mellitus (kencing manis)
  2. menentukan keberkesanan pengawalan (monitoring) rawatan pesakit diabetes mellitus
  3. mengenalpasti pesakit yang berisiko tinggi untuk mendapat diabetes

     

    Diabetes mellitus adalah suatu keadaan yang disebabkan oleh hiperglisemia (glukosa tinggi dalam darah) akibat daripada ketidakupayaan badan untuk menggunakan glukosa darah untuk menjana tenaga. Dalam diabetes jenis satu, pankreas tidak menghasilkan atau tidak merembeskan insulin. Oleh yang demikian, glukosa darah tidak dapat diproses untuk disimpan dan digunakan oleh sel-sel tertentu di dalam tubuh. Dalam diabetes jenis dua, samaada pankreas tidak membuat insulin yang cukup atau sel-sel tidak dapat menggunakan insulin dengan betul. Komplikasi kencing manis yang melibatkan mata, buah pinggang, saraf dan saluran darah jantung, otak dan hujung kaki adalah keadaan biasa untuk kedua-dua bentuk penyakit diabetes tersebut.

     

    Tahap HbA1c adalah berkadar terus dengan kepekatan glukosa di dalam plasma darah dan jangka hayat sel darah merah dalam kitaran hidupnya, biasanya merangkumi tempoh 120 hari (tiga bulan). Jika paras glukosa tinggi, ujian hemoglobin A1c akan turut tinggi. Oleh itu, ujian HbA1c memberi ukuran tepat kandungan glukosa darah dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelumnya. Justeru, bagi pesakit yang telah didiagnosis penyakit diabetes mellitus (kencing manis), ujian HbA1c ini akan dilakukan dua hingga tiga bulan sekali untuk menilai tahap keberkesanan rawatan bagi pesakit tersebut.

    Hb1Ac 1 

    Gambar 1: Pembentukan glycated haemoglobin oleh glukosa pada sel-sel darah merah

    Kaedah Ujian

    Pada masa kini, terdapat pelbagai kaedah/ metodologi ujian berbeza yang digunakan untuk menjalankan ujian HbA1c. Secara umumnya, ujian ini boleh dijalankan melalui:

    1. Makmal Klinikal/ Patologi

      Hampir ke semua makmal patologi di hospital besar kerajaan menyediakan perkhidmatan ujian ini termasuk beberapa buah klinik kesihatan di seluruh Malaysia. Pesakit akan dirujuk oleh Pegawai Perubatan ke hospital atau klinik kerajaan yang berkaitan untuk menjalankan ujian ini samaada untuk tujuan monitoring (kawalan) atau screening (saringan) penyakit diabetes berdasarkan status kesihatan semasa pesakit tersebut. Sampel darah akan diambil daripada pesakit dan dihantar ke makmal untuk dianalisa. Di dalam makmal, sampel darah tersebut akan dianalisa menggunakan peralatan mesin/ auto analyser khusus untuk ujian HbA1c.

      Antara kaedah ujian yang sering digunakan di makmal klinikal/ patologi adalah seperti:

      1. Cation-exchange Chromatography
      2. Boronate Affinity or Affinity-binding Chromatography
      3. Immunoassays

      Hb1Ac 2

      Gambar 2: Contoh peralatan automasi di makmal yang menggunakan kaedah Cation-exchange Chromatography.

       

      Hb1Ac 3

      Gambar 3: Contoh peralatan automasi di makmal yang menggunakan kaedah Boronate Affinity or Affinity Binding Chromatography

    2. Point-of-Care Testing (POCT)

      Melalui kaedah ini, sampel darah pesakit tidak perlu dihantar ke makmal kerana pegawai perubatan boleh menjalankan ujian di dalam wad atau berdekatan pesakit (bedside testing/ site of patient care). Keputusan ujian adalah lebih cepat.

      Hb1Ac 4Hb1Ac 5

      Gambar 4: Contoh peralatan yang digunakan melalui konsep POCT

    Persediaan Ujian

    Pesakit yang ingin menjalankan ujian HbA1c tidak perlu berpuasa dan tiada sebarang persediaan khusus sebelum sampel darah diambil untuk dianalisa. Bergantung kepada kaedah ujian yang akan digunakan, sampel darah akan diambil melalui salur darah vena di lengan (teknik phlebotomy) atau melalui teknik tusukan di jari (finger pricking) menggunakan lancet.

     

    Hb1Ac 6

    Gambar 5: Pengambilan sampel darah melalui teknik phlebotomy

    Hb1Ac 7

    Gambar 6: Pengambilan sampel darah melalui teknik finger pricking

    Kekerapan Ujian

    Persatuan Diabetes Amerika (American Diabetes Association) menyarankan agar ujian ini dijalankan kepada pesakit diabetes sekurang-kurangnya dua kali setahun. Namun, ujian HbA1c perlu dijalankan dua hingga empat kali setahun bergantung kepada jenis diabetes yang dihidapi oleh pesakit, tahap keberkesanan rawatan kawalan diabetes atau mengikut arahan doktor.

    Bagi pesakit yang baru didiagnosis diabetes atau diabetes yang tidak terkawal, pesakit perlu menjalani ujian ini dengan lebih kerap. Ujian ini juga boleh dipohon sekiranya seseorang itu didapati menghidapi diabetes berdasarkan simptom atau petanda peningkatan glukosa di dalam darah atau hyperglycemia seperti kerap berasa dahaga, kerap membuang air kencing, penglihatan yang kabur, mudah berasa letih dan luka lambat pulih.

    Keputusan dan Pelaporan Ujian

    Terdapat dua nilai berbeza bagi setiap keputusan ujian iaitu keputusan mengikut format NGSP dan keputusan mengikut format IFCC. Kedua-dua nilai ini dinyatakan dalam setiap laporan bagi ujian HbA1c. Nilai keputusan ujian adalah berbeza mengikut jenis pesakit:

    Jenis pesakit
    Nilai NGSP
    Nilai IFCC
    Bukan diabetes (normal) <5.7 % <39 mmol/mol
    Diabetes 6.5% atau lebih tinggi 48 mmol/mol atau lebih tinggi
    Berisiko tinggi mendapat diabetes 5.7% – 6.4% 39-46 mmol/mol

    *NGSP – National Glycohemoglobin Standardization Program
    *IFCC – International Federation of Clinical Chemistry

    Walaubagaimanapun, bagi pesakit diabetes, penetapan sasaran nilai keputusan ujian A1c adalah berbeza bergantung kepada tempoh masa pesakit menghidapi diabetes, penyakit lain yang dihidapi oleh pesakit diabetes atau beberapa komplikasi yang disebabkan oleh penyakit diabetes seperti kerosakan buah pinggang dan penyakit jantung serta menghidapi komplikasi gula dalam darah yang rendah (hypoglycemia).

    Limitasi Ujian

    Ujian HbA1c tidak boleh menunjukkan tahap glukosa sebenar dalam darah dan keberkesanan kawalan diet diabetes sekiranya ujian dijalankan seawal tiga hingga empat minggu.

    Bagi pesakit atau seseorang yang mempunyai variasi hemoglobin (hemoglobin variant) seperti sel hemoglobin Sickle (Sickel cell hemoglobin) atau hemoglobin S, jumlah hemoglobin A akan berkurangan dan ini akan mempengaruhi keputusan diagnosis atau saringan ujian HbA1c.

    Keputusan ujian HbA1c juga rendah (falsely low) dan tidak begitu tepat sekiranya ujian dijalankan pada pesakit yang menghidapi anemia, pendarahan yang teruk atau sel darah merah pecah (hemolysis). Nilai A1c pula akan menjadi tinggi (falsely high) sekiranya pesakit adalah iron-dificient atau kurang zat besi (iron) dalam darah.

    Seseorang yang telah menjalani pemindahan darah (blood transfusion) dalam tempoh kurang tiga bulan, juga akan mempunyai nilai A1c yang kurang tepat dan tidak akan menunjukkan keputusan sebenar keberkesanan rawatan kawalan diabetes.

    Rujukan

    1. https://labtestsonline.org/understanding/analytes/a1c/
    2. http://www.ngsp.org/ifccngsp.asp
    3. http://www.webmd.com/diabetes/guide/glycated-hemoglobin-test-hba1c
    4. Henrichs, Helmut R.: HbA1c – Glycated Hemoglobin and Diabetes Mellitus – 1st edition – Bremen: UNI-MED, 2009
    Semakan Akhir : 21 Jun 2016
    Penulis : Mohammad Jefrizain bin Mokhtar
    Akreditor : Siti Gayah bt. Loman

Artikel Berkaitan

Adakah Anda Hamil?

Pengenalan Setiap wanita yang berkahwin menginginkan kehamilan. Kehamilan merupakan suatu

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,096

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia