Pengenalan
Pengambilan pil pencegah kehamilan merupakan salah satu kaedah untuk menhalang kehamilan. Pil ini adalah sediaan yang mengandungi kombinasi hormon estrogen dan progestin atau progestin sahaja. Pil yang mengandungi progestin sahaja boleh diambil oleh wanita yang sedang menyusukan anak atau mengalami rasa mual apabila mengambil estrogen. Terdapat banyak jenis pil pencegah kehamilan yang berdaftar di Malaysia dan ianya boleh didapati tanpa preskripsi doktor.
Marvelon
Ubat jenama Marvelon mengandungi Desogestrel 150mcg dan Ethinylestradiol 30mcg. Selain daripada jenama Marvelon, terdapat jenama lain dengan bahan aktif yang sama yang berdaftar di Malaysia seperti Desolon dan Regulon. Setiap pek Marvelon mengandungi 21 biji tablet. Pembungkusan pada strip ditandakan dengan hari-hari dalam seminggu bagi mengingatkan anda untuk mengambil ubat setiap hari.
Bagaimana Marvelon Bertindak?
Marvelon berfungsi dengan menghalang pengeluaran ovum dari ovari. Ia juga boleh mengubah lapisan uterus yang akan menyukarkan pembentukan ovum. Selain daripada itu, Marvelon turut meningkatkan kepekatan cecair faraj (vaginal fluid) bagi menghalang sperma sampai ke ovum.
Arahan Khas Pengambilan Marvelon
Marvelon perlu diambil setiap hari selama 21 hari. Anda perlu mula mengambil semula Marvelon dari pek baru selepas tamat tempoh 7 hari tanpa pil Marvelon. Semasa tempoh 7 hari tanpa pil, anda akan mengalami pendarahan (withdrawal bleeding). Jika anda tidak mengalami pendarahan semasa tempoh tanpa pil, anda mungkin tidak hamil. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak mengalami pendarahan sebanyak dua kali berturut-turut, anda perlu mendapatkan nasihat doktor. Ini kerana anda mungkin hamil, dan sekiranya anda hamil pengambilan Marvelon adalah dilarang.
Sekiranya anda ingin mendapatkan perlindungan kehamilan dengan segera, anda perlu mengambil Marvelon pada hari pertama anda datang haid. Jika tidak, anda perlu mengambil kawalan kehamilan tambahan sekurang-kurangnya untuk tempoh 7 hari sehinggalah Marvelon mula berfungsi. Anda boleh merujuk kepada doktor atau ahli farmasi bagi mengetahui sama ada anda perlu mengambil kawalan kehamilan tambahan.
Situasi yang akan menyebabkan keberkesanan Marvelon berkurangan dan anda perlu mengambil kawalan kehamilan tambahan adalah seperti berikut:
- Terlupa untuk mengambil dos seterusnya melebihi 12 jam
- Mengambil ubat yang mempunyai interaksi dengan Marvelon
- Mengalami cirit birit, muntah dan sakit perut atau penyakit lain yang boleh menganggu penyerapan ubat
Sekiranya situasi di atas berlaku semasa dalam tempoh 7 hari terakhir pek anda, anda perlu mengambil pil dari pek seterusnya. Oleh kerana tiada jarak dalam pengambilan pil, anda tidak akan mengalami pendarahan di hujung pek pertama. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan mengalami kedatangan haid semasa mengambil pil dari pek kedua. Anda sepatutnya mengalami pendarahan selepas selesai mengambil pil dari pek kedua. Maklumat tambahan mengenai perkara ini boleh didapati dari doktor atau ahli farmasi.
Adakah Marvelon Sesuai Untuk Anda?
Marvelon tidak sesuai untuk semua orang dan terdapat golongan yang tidak boleh mengambil Marvelon. Doktor dan ahli farmasi perlu mengetahui sejarah perubatan anda. Antara penyakit yang menyebabkan seseorang tidak boleh mengambil Marvelon adalah seperti berikut:
- Angin ahmar/strok, serangan jantung atau penyakit arteri koronari (seperti angina pectoris) atau keadaan yang menunjukkan tanda pertama angin ahmar/strok.
- Tekanan darah tinggi yang teruk
- Penyakit kencing manis dengan komplikasi
- Paras kolesterol atau triglycerides yang tinggi
- Migraine
- Penghisap rokok tegar (melebihi 15 batang sehari) dan melebihi 35 tahun
- Dijadualkan untuk menjalani pembedahan
- Pendarahan pada faraj (vaginal bleeding) tanpa sebab
- Hamil atau dijangka hamil
Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami
Berikut adalah antara kesan sampingan yang mungkin dialami oleh anda apabila mengambil Marvelon. Anda perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya anda berasa terlalu sakit.
- Sakit kepala
- Kekejangan yang menyakitkan akibat kedatangan haid
- Loya
- Sakit belakang
- Cirit birit
- Muntah
- Batuk
- Migraine
- Kenaikan berat badan
- Alahan/alergi
- Kemurungan
- Sukar untuk tidur, resah
- Sakit perut
Ubat-ubatan Yang Mempunyai Interaksi Dengan Marvelon
Antara ubat-ubatan yang mempunyai interaksi dengan Marvelon adalah seperti berikut:
- Ubat-ubatan bagi rawatan epilepsi/sawan (phenytoin, barbiturates, carbamazepine, topiramate dan sebagainya)
- Ubat-ubatan bagi rawatan penyakit tuberkulosis (rifampicin, rifabutin dan sebagainya)
- Ubat-ubatan bagi rawatan jangkitan HIV atau penyakit AIDS (ritonavir dan sebagainya)
- Antibiotik bagi rawatan penyakit berjangkit (metronidazole, penicillins, tetracyclines dan sebagainya)
- Antifungal (griseofulvin dan sebagainya)
- Agen menurunkan paras kolesterol (clofibrate dan sebagainya)
- Ubat cair darah
- Herba St. John’s Wort
- Ubat darah tinggi
- Ubat kencing manis dan insulin
- Prednisone
- Ubat penenang (benzodiazepines, barbiturates dan sebagainya)
- Ubat kemurungan (clomipramine dan sebagainya)
- Cyclosporine
Sila rujuk dengan doktor dan ahli farmasi untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan yang sedang anda ambil mempunyai interaksi dengan Marvelon.
Perkara-Perkara Yang Perlu Diketahui
- Pil kontraseptif boleh menghalang kehamilan sekiranya ia diambil secara berterusan.
- Marvelon perlu diambil pada masa yang sama setiap hari.
- Marvelon tidak melindungi anda daripada mendapat jangkitan HIV atau penyakit kelamin (sexually transmitted disease). Jika anda mempunyai risiko HIV atau penyakit kelamin, anda dan pasangan anda perlu menggunakan kondom.
- Sekiranya anda bertukar dari pil pencegah kehamilan yang lain kepada Marvelon, rujuk dengan doktor dan ahli farmasi untuk mengetahui masa yang terbaik untuk mengambil Marvelon.
- Membaca risalah maklumat ubat sebelum mula mengambil Marvelon.
- Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui masa yang sesuai mengambil Marvelon setelah bersalin atau mengalami keguguran.
- Penggunaan pil pencegah kehamilan adalah tidak disarankan bagi wanita yang sedang menyusukan anak.
- Anda perlu mengetahui risiko pengambilan hormon pencegah kehamilan sebelum memulakannya. Antara risiko pengambilan kombinasi hormon adalah seperti berikut:
- Penggumpalan darah
- Kanser payu dara
- Kanser serviks
- Ketumbuhan hati
- Penyakit pundi hempedu
Rujukan
- Laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (www.bpfk.gov.my)
- Electronic Medicine Compendium United Kingdom. eMC Medicine Guides – Marvelon; Last updated 05.03.15.
- MARVELON – Product Monograph (Consumer Information) by Merck Canada Inc.; Last updated 12 Jun 2014.
- Medicine.Net – Oral Contraceptives. Retrieved 03.03.15, http://www.medicinenet.com/oral_contraceptives/article.htm
- WebMD – Birth Control Pills. Retrieved 03.03.15, http://www.webmd.com/sex/birth-control/birth-control-pills
Semakan Akhir | : | 14 Jun 2016 |
Penulis | : | Norizyani bt. Hanafi |
Akreditor | : | Narimah bt. Mohd Yusof |