Pengenalan
Secara amnya, gigitan lintah dan pacat tidak akan menyebabkan kesakitan. Namun, air liur lintah dan pacat mempunyai antikoagulan iaitu bahan yang akan mengakibatkan darah sukar membeku. Ini akan mengakibatkan pendarahan yang sukar untuk berhenti dari luka mangsa.
Lazimnya, lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota badan mangsa akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun, keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian kemaluan serta dubur.
Rajah 1 : Struktur Badan Lintah
Rajah 2 : Struktur Badan Pacat
Tanda/Gejala
Pada peringkat awal, gigitan lintah dan pacat akan mengakibatkan pendarahan yang aktif. Namun, jika terdapat kehilangan darah yang banyak dan tidak terkawal, mangsa akan mengalamai renjatan dan akan kelihatan pucat dan lesu.
Rajah 3 : Diserang Pacat
Komplikasi
Bahaya boleh mengancam mangsa khususnya yang mempunyai latar belakang masalah anemia (kekurangan hemoglobin dalam darah) sekiranya digigit oleh lintah dan pacat yang banyak. Selain daripada itu, mangsa yang mengambil ubat untuk mencairkan darah juga akan berhadapan dengan pendarahan yang teruk. Luka gigitan juga boleh menyebabkan kegatalan yang teruk dan risiko untuk mendapat jangkitan.
Rawatan Awal
- Menyuruh mangsa untuk bertenang / tidak panik.
- Jangan menarik lintah atau pacat yang sedang melekap kerana ini boleh mengakibatkan lapisan kulit terkoyak dan meningkatkan risiko jangkitan.
- Pastikan sebarang petua yang digunakan untuk menanggalkan lintah dan pacat hendaklah bebas daripada sebarang pencemaran dan kekotoran.
- Cuci luka akibat gigitan dengan air bersih dan sabun.
- Luka yang mempunyai pendarahan aktif perlu ditekan menggunakan kain bersih sehingga pendarahan berhenti.
- Elakkan menggaru pada kesan gigitan.
- Tuamkan dengan air di bahagian yang terasa gatal kerana ia juga boleh mengurangkan bengkak.
- Jika digigit lintah dan pacat yang banyak, dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999.
Rawatan Hospital
- Ubat penahan sakit, ubat tahan gatal dan antibiotik (jika perlu).
- Krim pelembap juga akan diberikan untuk disapu di bahagian kesan gigitan bagi mengurangkan kegatalan.
Pencegahan
Ancaman gigitan lintah dan pacat dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian, antaranya :
- Elakkan diri daripada menghampiri kawasan lembap dan basah.
- Jangan merendam anggota badan di dalam lumpur, paya dan sebagainya terlalu lama
- Sentiasa berwaspada dan memeriksa tubuh badan terutamanya pada bahagian kaki jika berada di kawasan lembap dan basah.
- Gunakan pakaian dan alat pelindung diri yang sesuai ketika melalui atau berada di kawasan yang lembap, khususnya kawasan yang terdapat lintah dan pacat.
Rehabilitasi
- Pastikan tempat luka sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya.
- Sentiasa bersihkan diri dan persekitaran tempat tinggal.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
- Kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes.
- Pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima.
Rujukan
- Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia
- Medicinal Leeth Theraphy (Dr. P. Daniel Ward, Dr. Shan R. Baker). Victoria Poisons Information Centre: Leechs Victoria Poisons Information Centre.
Semakan Akhir | : | 10 Mei 2024 |
Penulis | : | Amin Zafri bin Abd Rahman |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah |