Pengenalan
Aplian fungsi adalah aplian ortodontik yang digunakan untuk membetulkan maloklusi kegigian dengan menggunakan bantuan aplikasi daya daripada otot orofasial dan pengubahsuaian tumbesaran rahang. Aplian fungsi kebiasaannya digunakan untuk membetulkan kegigian maloklusi kelas II dan juga sesetengah kegigian maloklusi kelas III. Aplian ini tidak mempunyai komponen aktif yang dapat menggerakkan gigi, oleh sebab itu ia tidak boleh membetulkan ketidakaturan susunan gigi.
Jenis-jenis Aplian Fungsi
Aplian fungsi boleh dikategorikan kepada :-
- Aplian fungsi boleh tanggal (contohnya activator, bionator, aplian frankel, aplian twin-block)
- Aplian fungsi tetap (contohnya aplian herbst)
Ia boleh juga dikategorikan kepada :-
- Aplian pasif tooth-borne (activator, bionator, aplian herbst, aplian twin-blok)
- Aplian aktif tooth-borne (aplian modifikasi activator dan bionator)
- Aplian tissue-borne (aplian frankel)
Indikasi Aplian Fungsi
Secara amnya aplian fungsi diindikasikan kepada kanak-kanak yang sedang dalam peringkat tumbesaran yang aktif, bermotivasi untuk memakai aplian fungsi serta mempunyai skeletal kelas II yang sederhana.
Aplian fungsi digunakan untuk membetulkan maloklusi skeletal kelas II dengan menggalakkan pertumbuhan tulang rahang bawah.
Rawatan
Apabila remaja yang mempunyai skeletal kelas II yang sederhana dipakaikan dengan aplian fungsi, tulang rahang bawah secara langsung akan diposisikan pada kedudukan hadapan dan secara tidak langsung kepala condylar pada tulang rahang bawah akan tertarik ke hadapan. Daya tarikan kepada kepala condylar ini menyebabkan proses tumbesaran dan pembentukan semula tulang berlaku pada fossa glenoid. Seterusnya, perubahan tumbesaran tulang ini akan menyebabkan perubahan kepada skeletal dan bentuk muka kanak-kanak tersebut.
Gambar rajah menunjukkan keadaaan apabila condylar tulang rahang tertarik ke hadapan yang menyebabkan proses pembentukan semula tulang berlaku pada fossa glenoid.
Kesan-kesan aplian fungsi terbahagi kepada dua iaitu perubahan pada dento-alveolar dan perubahan pada skeletal. Perubahan pada dento-alveolar menyumbang 60-70% iaitu dengan merencatkan pertumbuhan gigi maksila ke arah bawah dan ke hadapan, menggalakkan pertumbuhan dan pergerakan ke arah mesial gigi molar bawah, menyebabkan retroklinasi gigi kacip atas dan proklinasi gigi kacip bawah.
Kesan terhadap skeletal pula menyumbang kepada 30-40% perubahan termasuk menggalakkan proses pembentukan semula tulang pada condylar dan glenoid fossa, menghalang pertumbesaran rahang atas, penambahan tinggi muka dan penambahan panjang tulang rahang bawah.
Kriteria penggunaan aplian fungsi
Pemeriksaan secara klinikal dilakukan untuk memastikan kesesuaian pesakit menggunakan aplian fungsi. Pesakit diminta untuk menggerakkan rahang bawah dan ke hadapan sehingga mencapai kegigian sisi ke sisi antara gigi kacip atas dan bawah, sekiranya bentuk muka pesakit bertambah baik maka rawatan dengan aplian fungsi akan dipertimbangkan. Kesan aplian fungsi adalah paling baik sekiranya aplian ini digunakan semasa kanak-kanak tersebut dalam peringkat tumbesaran aktif (pubertal growth spurt), biasanya 10-12 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan 12-14 tahun bagi kanak-kanak lelaki.
Pesakit yang dirawat semasa peringkat tumbesaran aktif akan menunjukkan perubahan yang ketara pada skeletal dengan penggunaan alat ini, manakala pesakit yang dirawat sebelum atau selepas jangka masa ini menunjukkan perubahan yang ketara pada kegigian sahaja. Oleh itu, aplian fungsi adalah sebaik-baiknya digunakan kepada pesakit yang hampir atau dalam jangka masa peringkat tumbesaran aktif. Fasa ini boleh diperiksa berdasarkan kaedah cervical vertebrae maturation (CVM).
Cara pemakaian aplian
Pesakit dinasihatkan untuk memakai aplian fungsi dalam jangka masa yang singkat pada permulaan bagi membiasakan diri dengan aplian tersebut. Seterusnya, meningkatkan masa pemakaian secara berperingkat/perlahan untuk beberapa minggu pertama. Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bertutur pada permulaan namun, pesakit perlulah belajar untuk menyesuaikan diri dan keadaan itu akan bertambah selesa kemudian. Untuk memperoleh kesan yang maksimum, aplian fungsi perlulah dipakai sekurang-kurangnya 12 jam sehari. Semua aplian fungsi boleh tanggal kecuali twin-block yang seharusnya dikeluarkan ketika makan. Bagi aplian fungsi tetap, pesakit dinasihatkan untuk tidak menggigit makanan yang keras dan melekit, melakukan pergerakan yang tidak terkawal/kuat untuk mengelakkan risiko aplian patah atau tercabut.
Jangka masa rawatan
Jangka masa rawatan adalah berbeza-beza mengikut jenis aplian fungsi yang digunakan seperti jadual di bawah:-
Jenis aplian fungsi |
Jangka masa rawatan |
Twin block |
12-15 bulan |
Aplian herbst |
8-12 bulan |
Aplian frankel |
15-24 bulan |
Andresen activator |
2-2.5 tahun |
Bionator |
12-16 bulan |
Berikut adalah contoh kes klinikal yang dirawat menggunakan aplian fungsi jenis modifikasi Bionator, diikuti dengan pemakaian aplian tetap. Jangka masa rawatan adalah 28 bulan (12 bulan menggunakan aplian fungsi dan diikuti 16 bulan dengan aplian tetap).
Contoh Gambar Perawatan dengan Aplikasi Fungsi
Rujukan
- Profitt WR, Fields HW, Sarver DM. Contemporary Orthodontics.5th Edition. Elsevier 2014
- Clark WJ. Twin Block Functional Therapy: Applications in Dentofacial Orthopaedics. 2nd Edition. Mosby 2002.
- Wong RWK, Alkhal HA, Rabie ABM. Use of cervical vertebral maturation to determine skeletal age. Am J Orthod Dentofacial Orthop. 2009 Oct;136(4):484.e1-6
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Tan Ying Ying |
Penterjemah | Dr. Sharina bt. Sharudin | |
Akreditor | : | Dr. Ahmad Burhanuddin b. Abdullah |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |