Penjagaan Kesihatan Pergigian Ketika Hamil
Perubahan-perubahan hormon ketika mengandung mendedahkan ibu (yang tidak menjaga kesihatan pergigian yang baik) terhadap risiko penyakit pergigian berterusan. Sebarang jenis infeksi (akibat penyakit gigi atau gusi) ketika hamil boleh memberi risiko berat terhadap kesihatan bayi didalam kandungan. Ini adalah kerana penyakit boleh merebak dari ibu kepada bayi di dalam kandungan melalui berbagai cara. Antara komplikasi yang terkenal akibat infeksi berterusan adalah risiko bayi lahir pra matang dan bayi lahir kurang berat badan .
Nasihat Awal Sebelum Mengandung
Sekiranya anda memerlukan rawatan pergigian, anda adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebelum mengandung lagi. Dengan cara ini, anda boleh mengelak dari mendapat semasa mengandung dan boleh mengelak radiasi ke atas bayi dalam kandungan.
Pemeriksaan Gigi Semasa Mengandung
Jika anda telah disahkan mengandung, dapatkan pemeriksaan gigi seawal mungkin. Di Malaysia , ibu mengandung (bertaraf kerakyatan Malaysia) berhak untuk mendapat pemeriksaan gigi dan rawatan mudah dengan percuma di klinik kerajaan.
Penjagaan Gigi Semasa Mengandung
Berus dan flos gigi anda dengan tekun setiap hari . Lakukannya dengan teliti untuk memastikan semua permukaan dibersihkan dengan berkesan. Sebaik-baiknya bersihkanlah gigi anda setiap kali selepas makan. Penjagaan gigi yang baik boleh mengurangkan risiko jangkitan di dalam mulut ketika mengandung.
Setidak-tidaknya pembersihan mulut harus dilakukan dua kali sehari iaitu sekali waktu pagi dan sekali lagi diwaktu malam sebelum tidur.
Pemilihan Berus Gigi Dan Flos Gigi
Belilah berus gigi yang sempurna. Memberus gigi dengan berus elektrik dan ubat gigi berfluorida boleh meningkat kebersihan. Pilihlah berus gigi yang:
- Mempunyai bulu berus yang lembut atau sederhana lembut ,
- Mempunyai bulu berus yang lebat dan
- Pilihlah berus yang sesuai dengan saiz mulut anda.
Selain itu, beli juga flos gigi yang sesuai untuk mengeluarkan plak dicelah-celah gigi anda. Pilihan flos adalah seperti di bawah ;
- Mengandungi lilin ( jika sudah fasih dengan kaedah memflos gigi)
- Tidak mengandungi lilin (jika pertama kali menggunakannya)
- Mengandungi perisa (pudina, strawberi dll) – jika perlu perasa
- Berwarna (putih, hijau, merah dll) – untuk mudah lihat plak gigi
Alahan Semasa Mengandung
Sekiranya anda mengalami alahan dan kerap muntah :
- Kumurlah mulut dengan air untuk membilas keluar asid di dalam mulut.
- Minum air masak secukupnya untuk mengurangkan kesan asid.
- Jangan terus menggosok gigi selepas muntah ,tetapi tunggulah seketika dahulu sebelum memberus gigi
- Memberus gigi ketika lumuran asid berada di dalam mulut selepas muntah boleh menghakis permukaan gigi dengan lebih pantas. .
Kumuran Untuk Mengatasi Masalah Alahan Semasa Mengandung
Asid menghakiskan lapisan luar pergigian ketika mengalami alahan. Justeru itu, gunakanlah kumuran mengandungi fluorida untuk berkumur. Ini boleh membantu remineralisasi lapisan gigi yang telah dihakis asid. Pilihlah perasa yang mempunyai bau yang menyenangkan supaya tidak terasa loya.
Bawalah Berus Gigi Dan Ubat Gigi di Dalam Beg
Simpanlah berus gigi dan ubat gigi di dalam beg apabila kemana-mana. Mengidam makanan manis adalah kebiasaan bagi ibu hamil. Oleh itu, memberus gigi selepas makanan manis boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan gigi.
Diet
Benih gigi bayi mula membentuk seawal 6 minggu dalam kandungan. Pembentukan gigi memerlukan zat kalsium. Kalsium boleh terdapat didalam produk tenusu , kekacang dan sayur hijau. Ibu hamil harus berhati-hati apabila memilih makanan. Kekerapan pengambilan minum berkarbonat (bergas) atau makanan yang manis dan melekit boleh menyebabkan karies.
Kenyataan “ibu hamil akan hilang sebatang gigi dengan setiap kali mengandung”
Kenyataan ini tidak berasas. Ibu hamil mempunyai risiko kerana perubahan hormon dan masalah alahan tetapi kehilangan gigi boleh dicegah melalui :
- menjaga kebersihan gigi dengan baik
- pengawasan diet yang sihat
- berjumpa dengan dr gigi dengan segera apabila ada tanda-tanda kerosakan .
Adakah Anda Perlu Mengambil Ubat Suplemen Fluorida Ketika Hamil ?
Tidak perlu. Pengambilan suplemen fluorida semasa mengandung tidak mungkin memberi kesan yang banyak kepada bayi yang sedang membesar kerana ubat fluorida ketika diambil tidak mungkin menyeberangi plasenta.
Tampalan Dan Rawatan Pergigian Semasa Hamil
Jika anda belum pernah hadir ke klinik pergigian ketika hamil, sekarang adalah masanya. Doktor gigi bukan sahaja boleh memeriksa keadaan gigi anda, disebaliknya anda juga boleh mendapatkan tips kesihatan pergigian yang berguna sepanjang kehamilan. Jika anda memerlukan rawatan tampalan , doktor gigi juga akan membuat keputusan mengenai rawatan yang terbaik untuk anda. Kebanyakkan wanita hamil akan memilih tampalan serwarna dibanding tampalan amalgam .Walau bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan tampalan amalgam (yang mengandungi sedikit mercuri) pernah memberi kesan sampingan kepada kesihatan ibu hamil.
Masalah Pergigian Ketika Hamil
Bukan sesuatu yang luar biasa bagi wanita hamil untuk mengalami masalah pergigian seperti bengkak mulut, gigi berlubang dan gusi berdarah semasa mengandung. Keadaan ini biasanya boleh dicegah dengan pengamalan memberus gigi yang baik dan menggunakan flos pergigian. Sekiranya memerlukan rawatan , anda harus datang ke klinik pergigian dengan segera. Kebanyakan doktor gigi memilih untuk tidak mengambil x-ray atau melakukan rawatan rumit pada trimester pertama .Oleh kerana ibu hamil mungkin tidak selesa untuk berbaring di kerusi pergigian di trimester terakhir, trimester kedua biasanya adalah masa terbaik untuk mendapat rawatan pergigian
Keadaan Kesihatan Mulut Ibu Boleh Menjejas Kesihatan Bayi di Dalam Kandungan
Penyelidikan menunjukkan bahawa keadaan negatif dalam mulut ibu boleh menjejas kesihatan pergigian bayi. Lebih teruk keadaan penyakit di dalam mulut ibu , lebih banyak kemungkinan kuman-kuman ini boleh dipindahkan kepada bayi melalui sentuhan harian seperti perkongsian makanan dan sentuhan jari bayi ke dalam mulut ibu. Oleh sebab itu, ibu hamil digalakkan mendapatkan segala rawatan pergigian sebelum bayi dilahirkan. Selain itu, ibu dan bayi berkongsi saluran darah.Jadi ,sebarang penyakit di dalam mulut ibu boleh merebak melalui saluran darah ini untuk menjejaskan kesihatan bayi. Oleh itu, ibu hamil yang mengalami penyakit gusi telah dikaitkan dengan bayi lahir dengan berat badan rendah dan juga risiko kelahiran bayi pramatang.
Senarai Semak Untuk Ibu Hamil
- Dapatkan pemeriksaan gigi semasa mengandung
- Beruslah gigi anda dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida
- Flos gigi setiap hari
- Kurangkan makanan manis dan snek mengandungi gula
- Datanglah keklinik untuk membuat pemeriksaan pra natal
- Pastikan pengambilan kalsium di dalam diet anda mencukupi untuk memastikan pertumbuhan gigi dan tulang yang sihat.
Rujukan
- López NJ, Smith PC, Gutierrez J. Higher risk of preterm birth and low birth weight in women with periodontal disease. J Dent Res 2002;81(1):58–63.
- Prenatal Radiation Exposure: A Fact Sheet for Physicians (CDC) @ http://www.bt.cdc.gov/radiation/prenatalphysician.asp
- Saini R1, Saini S, Saini SR Periodontitis: A risk for delivery of premature labor and low birth weight infants..J Nat Sci Biol Med 2011 Jan;2(1):50-2. doi: 10.4103/0976-9668.82321.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Lydia Mason ak Lionel |
Akreditor / Penyemak | : | Dr. Sharol Lail bin Sujak |