A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keabnormalan Tisu Keras Pergigian di Kalangan Kanak-kanak

Keabnormalan dan kecacatan tisu pergigian di kalangan kanak-kanak adalah perkara biasa. Ia boleh menyebabkan kebimbangan di kalangan ibu bapa apabila mendapati gigi anak mereka tidak tumbuh ataupun mempunyai bentuk-bentuk yang ganjil.

Pengenalan

Keabnormalan dan kecacatan tisu pergigian di kalangan kanak-kanak adalah perkara biasa. Ia boleh menyebabkan kebimbangan di kalangan ibu bapa apabila mendapati gigi anak mereka tidak tumbuh ataupun mempunyai bentuk-bentuk yang ganjil. Pengesanan dan maklumat tepat penting untuk mengelakan rawatan awal tidak terjejas. Kecacatan ini disebabkan masalah yang berlaku semasa peringkat-peringkat perkembangan pergigian.

Artikel ini akan mengutarakan beberapa keadaan yang biasa berlaku dikalangan kanak-kanak.

Tidak normal dalam kuantiti gigi

1. Gigi natal dan neonatal

Pertumbuhan gigi pertama sangat ditunggu oleh ibubapa. Walaubagaimanapun kemunculan gigi yang terlebih awal (pramatang) boleh terjadi pada 1:2000-3000 kelahiran. Oleh kerana kejadian ini jarang berlaku, ada sesetengah kepercayaan yang mempercayai kepercayaan karut dan dongeng bahawa gigi ini membawa petanda baik dan ada juga yang buruk. Justeru itu, ada ibu yang berbelah bahagi untuk mengekalkan gigi yang baru tumbuh.


Rajah 1. Gigi Natal sudah tumbuh semasa di lahirkan

Apakah gigi natal dan neo natal?

Gigi natal merujuk kepada gigi yang ada dalam mulut apabila seseorang bayi lahir.

Gigi neonatal merujuk kepada gigi yang tumbuh dalam 1 bulan pertama selepas lahir.

Gigi kacip rahang bawah adalah gigi natal dan neonatal yang kerap di temui di kalangan bayi. Ada juga gigi kacip atas dan geraham pertama yang tumbuh ketika bayi dilahirkan. Kebiasaannya gigi-gigi ini belum terbentuk sepenuhnya lalu menyebabkan ia longgar serta mudah tertanggal semasa menyusu.

Apakah yang menyebabkan gigi natal dan neonatal?

Natal dan neonatal adalah kebiasaannya sebahagian dari kegigian susu yang normal. Ini bermakna apabila ianya di cabut awal, tiada lah lagi gigi pengganti sehingga gigi kekal tumbuh pada usia 6-7 tahun.

Penyebab sebenar gigi natal dan neonatal ini tumbuh awal, masih belum diketahui. Ia mungkin disebabkan oleh kedudukan benih gigi ini yang tidak normal semasa bayi didalam kandungan. Faktor lain mungkin adalah jangkitan, malnutrisi, demam yang berpanjangan, rangsangan hormon dan faktor baka.

Bagaimanakah bentuk gigi ini?

Saiz dan bentuknya sama seperti gigi susu atau kelihatan meruncing dan berwarna putih ke kekuningan. Keradangan gusi disekeliling gigi ini disebabkan oleh gigi ini yang longgar seperti di rajah 2


Rajah 2 Gigi natal sudah tumbuh dan di sebelahnya masih di dalam gusi

Komplikasi

Gigi yang longgar membahayakan jika tertanggal dan termasuk dalam saluran pernafasan bayi. Masalah lain adalah seperti ketidakselesaan semasa menghisap susu ibu, kerana boleh menyebabkan ulser pada lidah bayi dan payudara ibu.

Rawatan

Cabutan awal adalah disarankan, jika gigi ini didapati sangat longgar kerana gigi ini boleh tertanggal dan mengancam saluran pernafasan. Jika gigi ini ketat di dalam mulut, ia boleh di biarkan sahaja.

2. Hypodontia

Hypodontia adalah keadaan kekurangan bilangan gigi dari jumlah yang normal secara semulajadi.

Anodontia pula adalah keadaan ketiadaan gigi secara semulajadi.

Keadaan ini agak kerap terjadi. Implikasi jangka panjang melibatkan keabnormalan rupa paras, kurang keyakinan diri, kebolehan bertutur dan mengunyah. Keadaan ini terjadi di kalangan 3%-6% dari jumlah penduduk.

Rawatan

Rawatan untuk keadaan ini bergantung kepada kedudukan gigi yang tiada. Kebiasaannya rawatannya adalah menggantikan gigi yang tiada; menggunakan aplian yang boleh tertanggal seperti gigi palsu atau aplian tetap seperti korona,jambatan atau implan. Bagi mendapatkan hasil yang lebih baik,rawatan orthodontik terlebih dahulu di lakukan sebelum menempatkan aplian-aplian tersebut.

3. Gigi berlebihan (supernumerary)

Supernumerari adalah gigi yang lebih dari jumlah yang biasa. Ini mungkin disebabkan oleh gangguan semasa perkembangan awal gigi. Biasanya didapati di antara dua gigi kacip atas yang dipanggil mesiodens. Bentuknya tidak normal; bentuk lancip atau kon. Ia boleh di dapati di bahagian lain rahang juga (rujuk gambar 3). Gigi yang berlebihan ini boleh menyebabkan gangguan proses normal pertumbuhan gigi. Jika ditinggalkan di dalam rahang ia juga boleh menyebabkan hakisan pada gigi yang berhampiran atau mengalami pembentukan sista.

Rawatan

Cabutan gigi ini adalah disarankan seawal mungkin bergantung kepada bentuk dan kedudukan gigi itu. Pakar pergigian pediatrik boleh menasihati masa yang sesuai untuk mencabut gigi itu. Pemeriksaan gigi yang berkala dapat mengelakkan masalah akibat gigi ini.

Ketidaknormalan saiz atau bentuk gigi

Keadaan ini boleh dikategorikan mengikut bentuk yang dillihat

1. Dens evaginatus

Dens evaginatus ialah struktur gigi yang tidak normal berupa unjuran yang keluar dari permukaan gigi. Apabila unjuran ini terdapat di bahagian belakang gigi hadapan ia juga dipanggil kuspa talon. Kebiasaanya unjuran ini muncul dari permukaan mengunyah gigi geraham kecil. Keadaan ini di panggil ‘gigi geraham leong’ (rajah 3). Struktur gigi yang tidak normal ini mengandungi enamel, dentin dan tisu pulpa. Masalah akan timbul sekiranya unjuran ini pecah semasa proses pengunyahan harian lalu menyebabkan ketidakvitalan (mati)gigi tersebut akibat terdedah kepada jangkitan pada tisu pulpa.


Rajah 3 : Gigi Geraham Leong

Rawatan

Keadaan ini memerlukan rawatan segera. Rawatan pergigian perlu dijalankan untuk mengelakkan unjuran ini patah dan menyebabkan komplikasi. Doktor pergigian boleh memberikan rawatan pencegahan.

2. Kuspa Talon

Kuspa talon adalah kuspa yang lebih dan menyerupai bentuk kuku burung helang. Ia kelihatan seperti bonjolan yang tumbuh dari bahagian belakang gigi kacip. Keadaan ini jarang terdapat pada gigi susu. Kuspa talon yang besar boleh mengganggu gigitan normal.


Rajah 4 : Gigi kacip yang mempunyai kuspa talon

3. Dens invaginatus

Dens invaginatus ialah lekukan bahagian enamel dan dentin yang kelihatan seperti jurang atau alur di permukaan gigi. Biasanya terdapat pada gigi kacip atas. Ini akan menyebabkan kawasan ini sukar untuk di bersihkan dan mudah untuk mengalami kerosakan gigi.

Rawatan

Pengesanan awal penting supaya rawatan pencegahan dapat di laksanakan. Biasanya rawatannya adalah pengapan fisur iaitu menutup lekukan tersebut dengan bahan pergigian

4. Gigi Kembar

Ini boleh di bahagikan kepada gigi kembar yang bercantum dan gigi kembar yang bercambah (geminasi)

Gigi kembar yang bercantum

Gigi kembar ialah apabila dua gigi yang bercantum membentuk menjadi satu (Rajah 5). Fenomena percantuman ini bergantung kepada masa perbentukan, ia boleh menjadi percantuman lengkap atau separa. Kejadian ini lebih kerap terjadi pada gigi kacip kegigian susu. Jika terjadi pada gigi kekal ini ia akan menyebabkan masalah estetik. Di antara 2 gigi yang bercantum ini akan ada alur yang dalam yang menyebabkan gigi sukar di bersihkan dan tidak boleh menggunakan flos.


Rajah 5 menunjukkan gigi kembar

Rawatan

Alur antara dua gigi ini mudah menjadi karies dan perlu di tampal dengan awal. Jika ia melibatkan masalah estetik, Doktor Pergigian boleh membaiki supaya kelihatan semula jadi.

5. Gigi kembar Germinasi (Bercambah)

Germinasi adalah keadaan di mana satu gigi membahagi untuk membentuk dua gigi. Walaubagaimana pun pembahagian gigi ini selalunya tidak lengkap dan mengakibatkan saiz gigi menjadi besar, mempunyai satu akar dan satu kanal. (Rajah 6). Kejadian ini juga sering terjadi pada gigi kacip pada kegigian susu.


Rajah 6 Menunjukkan gigi kembar geminasi

Rawatan

Rawatannya adalah sama untuk gigi kembar dan bergantung kepada tahap keabnormalan gigi itu.

Keabnormalan pada warna gigi >> Gigi Berubah Warna

Rujukan

  1. Meechan, J.G. (2005). Oral pathology and oral surgery. In Welbury, R.R., Duggal, M.S., Hosey, M-T. (3rd Eds.), Paediatric Dentistry (pp 157). Oxford. Oxford University Press.
  2. Cameron, A.C., Widmar, R.P. (Eds.). (1997). Paediatric Oral Pathology. In Handbook of Paediatric Dentistry (pp. 146-148). London. Mosby.
  3. Crawford, P.J.M., Aldred, M.J. (2005). Anomalies of tooth formation and eruption. In Welbury, R.R., Duggal, M.S., Hosey, M-T. (3rd Eds.), Paediatric Dentistry (pp 314-315). Oxford. Oxford University Press.
  4. Cunha, R.F., Boer, F.A.C., Torriani, D.D., Frossard, W.T.G. (2001). Natal and neonatal teeth: review of the literature. Pediatr Dent 23: 158-162.
  5. Cameron, A.C., Widmar, R.P. (Eds.). (1997). Paediatric Oral Pathology. In Handbook of Paediatric Dentistry (pp. 150). London. Mosby.
  6. Mupparapu, M., Singer, SR., Goodchild, JH. (2004). Dens evaginatus and dens invaginatus in a maxillary lateral incisor: Report of a rare occurance and review of literature. Australian Dental Journal 48 (4):201-203.

 

Semakan Akhir : 21 Ogos 2014
Penulis : Dr. Lorend Telajan Achol
Penterjemah : Dr. Aminah bt. Marsom
Akreditor : Dr. Laila bt. Abd. Jalil

 

 

Artikel Berkaitan

Anak Tidak Bekerjasama Untuk Rawatan Pergigian

Sejumlah besar kanak-kanak terlalu takut dengan rawatan pergigian, yang mana ini telah menyebabkan kanak-kanak ini susah untuk menerima rawatan pergigian secara konvensional. Terdapat beberapa teknik untuk membantu anak-anak anda lebih menerima rawatan pergigian.

Gigi Kekal Lewat Tumbuh

Pertumbuhan gigi dianggap lewat apabila gigi itu masih belum tumbuh bila kanak-kanak telah mencapai umur 8½ – 9 tahun ke atas.

Venir Gusi

Venir gusi adalah prostesis yang dipakai di bahagian hadapan gigi atas, bertujuan untuk mengembalikan rupa bentuk mukogingiva dan estetika di kawasan dimana tisu-tisu periodontal adalah kurang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,835

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia