Badminton merupakan salah satu sukan yang popular di negara kita. Walaupun ia sukan yang tiada sentuhan badan antara pemain, kecederaan masih boleh berlaku.
Kecederaan badminton selalunya jenis cedera lewah guna (overuse) yang terjadi disebabkan oleh penggunaan berulang pada tubuh badan yang terlibat.
Kecederaan pada anggota atas seperti bahu, siku dan pergelangan tangan selalu berlaku. Kecederaan pada anggota bawah seperti seliuh buku lali dan tendonitis patela disebabkan pergerakan yang berbeza seperti melompat dan berubah arah.
Terdapat beberapa tip keselamatan untuk mengelak anda dari tercedera:
-
Pemanasan dan regangan
Pemanasan selalunya diabaikan. Pemanasan yang baik memastikan otot dan sendi bersedia untuk melakukan pergerakan dan aksi seterusnya.
Berlari-lari anak dapat memastikan sistem jantung dan peparu bersedia serta memastikan bekalan oksigen berjalan lancar ke otot yang bekerja.
Aktiviti regangan aktif dan dinamik serta senaman spesifik berkaitan badminton juga harus dilakukan.
-
Penyejukan badan
Sesi penyejukan badan termasuklah berlari-lari anak serta regangan lembut. Tujuannya ialah mengurangkan kadar denyutan jantung secara beransur-ansur, membuang hasil kumuhan seperti asid laktik dan mengurangkan risiko kesakitan otot.
-
Gelanggang
Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup jika bermain di dalam dewan
Terdapat ruang yang mencukupi di luar gelanggang bagi memberi kebebasan untuk bergerak. Jika bermain di luar haruslah dipastikan bahawa gelanggang jauh dari ruang pejalan kaki serta sebarang bentuk halangan atau kemungkinan bahaya.
-
Peralatan
-
Raket
Raket yang lebih ringan dicadangkan bagi pemain yang baru mula kerana otot masih belum cukup kuat.
Pegangan pada raket yang terlalu kecil menyebabkan anda memegang dengan kuat dan memberi tekanan kepada otot pada pergelangan tangan.
Pegangan raket yang terlalu besar menyebabkan anda sukar untuk memegangnya secara betul.
Pegangan raket haruslah sentiasa kering bagi mengelakkan daripada tercampak semasa pergerakan mengayun.
-
Bulu tangkis
Gunakan bulu tangkis yang sah dan berkualiti.
-
Jaring badminton
Jaring haruslah diikat rapi supaya ianya tidak kendur. Tiang jaring mestilah bebas dari sebarang risiko tersepak serta permukaan tajam.
-
-
Pakaian
Kasut yang ringan, mempunyai cengkaman kuat pada permukaan gelanggang serta ciri menyerap hentakan dan sokongan yang baik.
Kasut jenis larian dan mempunyai tapak yang tebal dan tinggi dari permukaan lantai akan meningkatkan risiko kecederaan pada buku lali.
Taburan yang keras pada tumit kasut yang muat pada kaki anda akan mengelak kecederaan.
-
Kecergasan
Ini merangkumi daya tahan jatntung dan peparu, fleksibiliti serta kekuatan otot pada lengan dan pergelangan tangan.
Kemahiran badminton boleh dipelajari melalui latihan bersesuaian serta pengalaman.
-
Permainan
Ikut segala peraturan dan undang-undang permainan.
Pasangan beregu harus berlatih terlebih dahulu bagi memastikan persefahaman sesama sendiri dan mengelak pertembungan serta raket berlaga.
Jangan memukul bulu tangkis ke arah lawan kerana boleh terkena pada mata. Pastikan raket anda sentiasa ke arah atas untuk mengelak kemungkinan bulu tangkis yang mungkin datang ke arah muka.
-
Teknik
Pengetahuan mengenai jenis pukulan akan mengurangkan risiko cedera pada pergelangan tangan, siku dan bahu.
Teknik lompatan dan pendaratan penting bagi mengelak lutut tercedera.
Jika anda berada di hadapan pasangan anda, jangan menoleh ke belakang bagi melihat pukulan pasangan anda.
Rujukan
The Encyclopaedia of Sports Medicine: An IOC Medical Commission Publication, Clinical Practice of Sports Injury Prevention and Care.
Last Reviewed | : | 5 December 2015 |
Writer | : | Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi |
Translator | : | Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi |
Accreditor | : | Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid |