Apa itu cacing jarum atau cacing benang?
Cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran lebih kurang setengah inci panjang dan tinggal didalam usus. Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur.
Apakah ‘enterobiasis’?
Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai ‘enterobiasis’. Suatu penyakit yang biasa berlaku dikalangan kanak-kanak.
Bagaimanakah ia berjangkit?
Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang telah dijangkiti.
Apabila telah dijangkiti, kanak-kanak akan menggaru di kawasan dubur kerana gatal.
Telur-telur cacing jarum akan melekat di celah-celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur-telur tersebut akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.
Bagaimanakah ianya terjadi?
- Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat apa-apa tanda dan gejala.
- Namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan vagina.
Komplikasi
Tempat-tempat yang digaru tersebut mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.
Bagaimanakah anda tahu anak anda dijangkiti cacing jarum?
- Terdapat cacing di dalam najis anak.
- Telur-telur cacing jarum akan dapat dilihat melalui pemeriksaan dibawah mikroskop dengan cara melekatkan tape cellophane pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur-telur cacing jarum akan melekat pada tape tersebut.
Bagaimanakah ia dirawat?
- 1 dos ubat Albendazole atau Mebendazole diberikan dan diulang selepas 2 minggu.
- Rawatan ini perlu diberikan untuk semua ahli keluarga.
- Sapukan jelly petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau vagina).
- Cadar dan pakaian yang digunakan perlu direbus dan dibasuh dengan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur-telur cacing jarum.
Pencegahan
- Mandi dengan kerap.
- Gunakan cadar, pakaian dalam, pakaian tidur yang bersih.
- Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.
Semakan akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. R. Sukumar a/l Rajaretnam |
Penyemak | : | Dr. Zainab bt. Kusiar |