Pengenalan
Enema merupakan sediaan cecair yang dimasukkan ke dalam dubur untuk tujuan memudahkan nyah tinja (buang air besar).
Tujuan Penggunaan
Enema lazimnya digunakan untuk membersihkan usus besar bagi individu yang mengalami masalah sembelit. Selain itu, enema juga boleh digunakan untuk membersihkan usus besar sebelum pesakit menjalani prosedur kolonoskopi bagi mengesan penyakit tertentu seperti keradangan pada usus besar atau kanser kolon.
Teknik Penggunaan
- Basuh tangan dengan bersih dan keringkan tangan sebelum menggunakan enema.
- Pastikan anda/pesakit berbaring secara mengiring dengan sebelah kaki dirapatkan ke arah dada.
- Buka penutup enema dan masukkan enema ke dalam dubur secara perlahan-lahan. Jangan tolak secara paksaan kerana ini boleh mencederakan bahagian dubur.
- Tekan/picit enema tersebut sehingga kesemua cecair masuk ke dalam dubur.
- Keluarkan enema dari dubur secara perlahan-lahan.
- Kekalkan posisi tersebut sehingga ada keinginan untuk nyah tinja (buang air besar) yang biasanya berlaku dalam masa 2-5 minit.
Cara Penyimpanan
- Enema perlu disimpan pada suhu bilik, jauh daripada cahaya matahari atau kelembapan.
- Simpan ubat jauh daripada kanak-kanak.
- Jangan simpan atau menggunakan semula enema yang tidak habis.
Rujukan
- MIMS Gateway Service Portal
- www.drugs.com
- www.nps.org.au
- www.osha.gov.my
Semakan Akhir | : | 15 November 2013 |
Penulis | : | Hazlin bt. Othman |
Akreditor | : | Norhayati bt. Musa |