A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Perbidanan & Sakit Puan

Perbidanan & Sakit Puan

Haid

Soalan 1

Saya mempunyai masalah haid yang mana haid saya datang setiap dua minggu sekali. Adakah ini gejala penyakit atau normal? Sudah 2 bulan saya mengalami masalah ini. Saya diberitahu bahawa ia adalah akibat daripada ketidakseimbangan hormon. Adakah ianya memudaratkan?

Jawapan

Jika pada kebiasaannya haid saudari datang setiap bulan, tiba-tiba haid saudari datang dua minggu sekali, ini adalah tidak normal. Banyak faktor boleh menyebabkannya, seperti:-

  • Stres atau faktor psikologi yang lain,

  •  Masalah perubatan seperti penyakit tiroid,

  • Ketidakseimbangan hormon.

Saya syorkan untuk  saudari berjumpa doktor sakit puan untuk menjalani pemeriksaan lanjutan bagi memastikan saudari tidak mempunyai penyakit seperti yang dinyatakan. Rawatan hormon seperti menggunakan pil perancang boleh digunakan untuk membetulkan semula pusingan haid tetapi dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Kehamilan

Soalan 2

Saya sudah berumah tangga selama 1 tahun dan selama setahun ini sudah berbagai kaedah yang dicuba untuk mendapatkan anak dengan segera memandangkan kami telah menjangkau usia 40an kerana lewat berumah tangga. Saya memohon kepada pihak tuan untuk memberi nasihat dan pandangan untuk membolehkan kami mendapat zuriat.

Jawapan 2

Banyak proses yang mesti dilalui sebelum doktor dapat memastikan rawatan yang terbaik. Pada mulanya, tuan dan isteri akan diperiksa untuk memastikan kesihatan anda berdua adalah baik. Kemudian, proses bermula dari diri tuan sendiri dan kemudiannya kepada isteri tuan.

Untuk tuan, doktor akan pastikan kesuburan dari segi pemeriksaan fizikal alat kelamin serta pemeriksaan air mani.

Untuk isteri, doktor akan pastikan kesuburan dari segi pengeluaran benih serta tiada halangan atau penyakit dalam saluran reproduksi dari faraj, rahim, tiub dan ovari. Tahap kesuburan dapat dipastikan dengan jenis pemeriksaan hormon iaitu progesteron dan FSH/LH. Jika haid tetap, pemeriksaan darah untuk mengetahui paras serum progesteron perlu dibuat pada hari ke 21 dari hari pertama haid. Ini adalah untuk melihat sama ada ovulasi berlaku atau tidak. Paras hormon FSH/LH adalah untuk menentukan tiada PCOS (Polycytic Ovarian Syndrome) dan hanya dibuat sekiranya pesakit ada masalah berat badan berlebihan, rambut tumbuh di muka atau badan secara berlebihan dan mengalami kitaran haid yang tidak menentu. Darah untuk pemeriksaan ini diambil pada bila-bila masa dan tidak ada hari spesifik.

Jika isteri tuan tidak subur, maka dia akan disyorkan untuk mengambil ubat kesuburan, mulanya secara pil tetapi jika tidak berjaya, beralih kepada cara suntikan. Ubat ini hanya akan berjaya jika membuat kiraan yang tepat serta kesabaran tinggi. Jika  masalah lain dihidapi, mungkin  disyorkan cara IVF (In Vitro Fertilization) atau ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection).

Tetapi, proses untuk mendapat zuriat secara “moden” ini mengambil masa yang lama. Oleh itu, tuan dinasihatkan supaya banyak bersabar dan lalui proses tersebut secara satu persatu dan ‘step by step’

Soalan 3  

Saya telah mengalami keguguran pada 10 Jun yang lepas. Kandungan saya pada masa itu ialah 6/52. Berapa lama masa yang perlu saya ambil untuk mengandung semula? Jika saya mengandung apakah komplikasinya? Terima kasih.

Jawapan 3

Puan, kebanyakan keguguran yang berlaku tidak akan berulang melainkan jika puan mengalami kelainan rahim ataupun menghidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis yang serius, penyakit buah pinggang dan lain-lain. Puan boleh mencuba untuk hamil kembali apabila puan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Dari segi perubatan moden, puan sudah mula boleh hamil selepas 3 bulan  keguguran. Terima kasih.

Soalan 4

Saya mengalami keguguran dua tahun lepas, tetapi saya masih belum hamil sehingga kini.  Apakah keguguran boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil?

Jawapan 4

Keguguran pada kebiasaannya bukan penyebab kemandulan, melainkan pesakit tersebut mengalami penyakit radang pelvis (Pelvic Inflammatory Disease) atau jangkitan lain akibat komplikasi daripada keguguran tersebut. Ini akan menyebabkan kerosakan atau menghalang tiub fallopian dan akan memberi kesan kesukaran untuk hamil secara normal. Tiub falloppio ini boleh diperiksa dengan kaedah “Hysterosalphingogram“, iaitu dengan memasukkan cecair ke dalam tiub tersebut dan diperiksa dengan sinar x atau dengan pembedahan kecil di perut. Amat jarang sekali jika semasa kaedah mencuci rahim (Evacuation of Retained Products of Conception –  ERPOC) dijalankan dengan terlalu agresif boleh menyebabkan berlakunya “adhesion” (melekat atau parut) yang akan menyebabkan pesakit sukar untuk hamil. Pada kebiasaannya pesakit tiada haid atau mengeluarkan darah haid yang sedikit selepas prosedur tersebut.

Umur anda masih muda lagi, baru 28 tahun. Jika anda masih lagi sukar untuk hamil selepas 2 tahun keguguran, sila dapatkan rawatan dan pemeriksaan daripada pakar perbidanan. 30% kemungkinan tiub falloppio anda tersumbat atau rosak. Biarpun begitu, anda dan pasangan anda masih lagi mempunyai peluang untuk hamil yang baik kerana wujudnya pakar perbidanan di hospital kerajaan dan swasta yang boleh memberikan rawatan kehamilan termasuk kaedah tabung uji.  Berdasarkan kepada pemeriksaan pakar tersebut, langkah seterusnya akan dibincangkan dengan anda suami isteri.

Soalan 5

Saya ingin mengetahui apakah tanda – tanda kehamilan luar rahim. Adakah ujian air kencing dapat mengesan kehamilan luar rahim dan apakah risikonya?

Jawapan 5

Tanda-tanda kehamilan luar rahim adalah seperti berikut:

  • Tidak datang haid

  • Tanda-tanda mengandung

  • Sakit di bahagian bawah perut ( abdomen ), sakit mungkin terus-menerus atau sekali-sekala

  • Pendarahan dari faraj

Tanda-tanda lebih serius termasuk:

  • Sakit di bahu (shoulder tip pain)

  • Pening-pening serta pitam

Ujian air kencing dapat memastikan adakah anda hamil tetapi TIDAK dapat memastikan lokasi kandungan tersebut. Risikonya – jika tidak dirawat iaitu dengan melakukan pembedahan – akan terjadi pendarahan berterusan yang boleh menyebabkan maut. Selain dari itu, risiko lain adalah ketidaksuburan serta kemungkinan mendapat kandungan luar rahim yang berulang (dengan risiko 20 % ).

Soalan 6

Saya baru menjalani pembedahan laparoscopy membuang endometriosis 2 minggu yang lalu. Dan selepas ini doktor mencadangkan saya untuk menjalani rawatan terapi hormon (treatment hormon theraphy) tetapi saya keberatan untuk membuat rawatan ini disebabkan kesan sampingan rawatan tersebut. Juga saya bercadang untuk hamil secepat yang mungkin, oleh itu saya khuatir ini akan memberi kesan pada kesuburan saya nanti.

Bolehkah saya terus cuba untuk hamil tanpa membuat rawatan terapi hormon kerana dari apa yang saya faham hamil juga boleh merawat endo kerana sepanjang proses kehamilan, tiada kitaran menstruasi (cycle menstual) berlaku pada seseorang wanita.

Jawapan 6

Terdapat beberapa jenis rawatan hormon untuk endometriosis. Ini termasuk hormon seperti : kumpulan progestegens, danazol, gestrinone, GnRH agonist seperti goserelin, leoprolide, triptorelin serta pil perancang keluarga. Oleh sebab  endometriosis merupakan penyakit yang kronik, berterusan dan mungkin berulang : maka tujuan untuk rawatan menggunakan kaedah hormon adalah untuk “mematikan” atau menghapuskan fokus-fokus penyakit ini terutama yang tidak terlihat pada mata kasar dengan  menimbulkan keadaan sama seperti  kehamilan atau  menopaus (pseudo-pregnancy/pseudomenopause state). Rawatan cara ini selalunya adalah dari 4 hingga 6 bulan sahaja.

Pemberian hormon selepas pembedahan bergantung kepada beberapa faktor seperti “stage” atau keterukan penyakit puan. Selalunya pemberian hormon akan diberi jika “stage” 3 atau 4. Tetapi kadangkala, “stage” 1 atau 2 juga tidak terkecuali, lebih-lebih lagi jika terdapat gejala-gejala penyakit yang berterusan. Rawatan ini juga berkemungkinan dapat memulihkan ketidaksuburan. Saya syorkan supaya  puan berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini dengan pakar yang membuat rawatan pada puan. Mungkin terdapat sebab mengapa puan perlu untuk mengambil hormon tersebut.

Ya, memang hamil dapat merawat endometriosis. Perlu diingat perkara sebaliknya iaitu, endometriosis juga dapat menyebabkan ketidaksuburan. Oleh itu, jika dibiarkan tanpa rawatan maka mungkin memakan masa untuk mendapat kandungan kerana endometriosis belum dihapuskan sepenuhnya. Puan perlu menimbangkan keputusan puan melalui beberapa aspek.

Fibroid

Soalan 7

Apakah itu fibroid dan punca serta kaedah rawatannya? Apakah ia merbahaya kepada bayi dalam kandungan?

Jawapan 7

Uterine fibroid merupakan ketumbuhan bukan kanser pada rahim. Dianggarkan 20 – 50% daripada wanita akan mendapat fibroid dalam hayat mereka. Ia paling kerap terjadi di kalangan wanita berumur 30’an dan 40’an. Punca sebenar terjadinya fibroid tidak diketahui. Kebanyakan fibroid yang kecil tidak memberi masalah kepada wanita. Fibroid yang lebih besar boleh menyebabkan masalah datang haid yang banyak atau gejala-gejala yang lain.

Fibroid semasa mengandung biasanya tidak menimbulkan masalah serta jarang membahayakan janin atau ibu. Masalah yang mungkin timbul adalah posisi janin yang tidak betul ketika usia janin 8 bulan ke atas. Sekiranya semasa mengandung fibroid mengalami pembesaran secara tiba-tiba dan menyebabkan bekalan darah terganggu boleh menyebabkan kesakitan untuk beberapa hari. Keadaan ini juga dikenali sebagai red degeneration. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak membahayakan ibu.

Kadang-kadang fibroid boleh menyebabkan perdarahan yang lebih dari biasa selepas melahirkan bayi.

Semakan Akhir : 19 Mei 2009

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,886

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia