Pengenalan
Gamat yang juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea Cucumber merupakan sejenis hidupan laut daripada kelas Holothurioidea. Terdapat pelbagai spesis gamat, antaranya Sticophus variegatus, Holothuria atra dan Thelenota ananas. Gamat merupakan spesis tidak bertulang dan mempunyai badan yang lembut. Kepelbagaian bentuk silinder yang dimilikinya adalah menyerupai tumbuhan daratan timun, maka tidak hairanlah ia digelar Timun Laut.
Secara amnya, Timun Laut boleh membesar daripada beberapa millimeter hingga mencapai saiz melebihi dua meter panjang. Spesis ini terdiri daripada pelbagai kombinasi warna seperti putih, hitam, merah dan biru. Hidupan laut ini, mempunyai taburan habitat yang luas di seluruh dunia termasuk di perairan Malaysia, seperti Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Terumbu karang merupakan habitat utama hidupan ini.
Thelenota ananas
Stichopus varigatus
Di Malaysia, masyarakat Melayu mengenalinya sebagai gamat yang mana ia amat sinonim dengan perubatan tradisional Melayu. Gamat akan disediakan daripada sumber mentah sebagai hidangan makanan atau diproses untuk digunakan sebagai perubatan alternatif mahupun untuk tujuan kecantikan. Gamat yang diproses pula boleh dijadikan minyak untuk penyembuhan luka atau rawatan penyakit kulit dan juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. Gamat juga boleh disapu pada wajah dan badan untuk mendapatkan kulit yang cantik
Masyarakat Cina pula mengenali gamat sebagai haishen yang membawa maksud Ginseng Laut. Gamat telah disenaraikan sebagai ramuan perubatan tradisonal dalam buku Bencao Gangmu iaitu materia medica, hasil tulisan Li Shizhen. Menurut perspektif perubatan Cina, gamat boleh menyihatkan darah dan organ penting (jing) termasuk menguatkan buah pinggang (qi). Justeru, gamat biasa digunakan untuk merawat kelesuan badan dan masalah urinasi. Gamat juga akan dijadikan hidangan makanan sebagai sumber tenaga dan adakalanya, ia merupakan salah satu sajian istimewa bagi sambutan perayaan tertentu seperti sambutan Chinese Spring Festival. Menu gamat ini adalah dipercayai sebagai simbol panjang umur.
Kandungan protein dalam gamat boleh setinggi 55%, disamping nutrien lain seperti mucopolysaccharides (10-16%) dan saponin, manakala kandungan lemak dalam gamat adalah rendah. Mucopolysaccharides merupakan bahan dalam pembentukan kartilaj tulang yang amat berguna untuk mengurangkan masalah sakit sendi. Selain daripada itu, Vitamin E yang terkandung dalam cecair badan gamat mempunyai aktiviti antioksida yang berfungsi dalam sistem pertahanan badan. Ini akan mengurangkan risiko seseorang untuk dijangkiti penyakit dan dapat mengekalkan kesihatan badan.
Gamat Sebagai Produk Tradisional Di Malaysia
Pada masa ini, produk yang mengandungi gamat boleh dikategorikan sebagai makanan atau ubat bergantung kepada persembahan dan tujuan pengambilan produk. Justeru, keperluan pendaftaran produk tersebut adalah bergantung kepada klasifikasi produk tersebut sama ada sebagai makanan atau ubat.
Secara tradisional, produk berasaskan gamat digunakan sebagai penyembuh luka dan untuk memulihkan kesihatan badan. Oleh itu, sediaan gamat amat popular sebagai minuman dikalangan wanita selepas bersalin bagi tujuan tersebut. Disamping itu juga, produk gamat juga diambil oleh pesakit yang telah menjalani pembedahan sebagai penyembuh luka. Terdapat juga gamat yang diformulasikan bersama herba lain sebagai ubat batuk, minyak urut atau minyak angin.
Sehingga hari ini, produk berasaskan gamat sentiasa mendapat tempat dikalangan penggunanya. Walaubagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, produk yang mengandungi gamat bagi pengambilan secara oral (makan atau minum), perlu mengandungi maklumat amaran tambahan berikut pada label produk:
‘Please consult your pharmacist, doctor, or other healthcare providers about any other supplements / medications you are taking and other health care problems. There may be a potential for interactions or side effects’.
Pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan spesis gamat yang diambil sebagai makanan bagi mengurangkan risiko kesan sampingan akibat pengambilan gamat daripada spesis yang merbahaya.
Gamat Di Peringkat Global
Kajian awal menunjukkan bahawa gamat mengandungi nutrien yang boleh berfungsi sebagai antibakteria, antifungus, antikanser atau antiradang. Ini menunjukkan bahawa, gamat mempunyai kegunaan yang meluas dan tidak hanya terhad kepada penyembuh luka dan kesihatan umum sahaja.
Justeru, kajian saintifik yang lebih mendalam amat diperlukan bagi membuktikan bahawa gamat mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan selamat untuk dimakan, seterusnya dikomersialkan di peringkat tempatan mahupun global. Adalah menjadi harapan agar gamat atau Timun Laut ini akan terus bertapak di pasaran dan memberi manfaat berterusan terhadap kesejahteraan kesihatan sejagat.
Rujukan
- Osama Y. Althunibat, Ridzwan Bin Hashim, Muhammad Taher et. al. In Vitro Antioxidant and Antiproliferative Activities of Three Malaysian Sea Cucumber Species. European Journal of Scientific Research . 2009; 37 (3): p 376-387
- Hawa I, Zulaikah M, Jamaludin M, et. al. The potential of the coelomic fluid in sea cucumber as an antioxidant. Mal J Nutr. 1999; 5: p 55-59
- A Shahrulazua, AR Samsudin, MA Iskandar et. al. Malaysian Orthopaedic Journal. 2013; 7(1) : p 41-48
- D.B. James. Twenty Sea Cucumbers from Seas Around India. Naga, The ICLARM Quarterly. 2001; 24 (1-2) : p4-8
- The taxonomy and exploitation of sea cucumbers in Malaysia. No date [Cited 24/3/2015]. Available from http://www.spc.int/DigitalLibrary/Doc/FAME/InfoBull/BDM/10/BDM10_02_Baines.pdf
- Overview of sea cucumber farming and sea ranching practices in China. No date [Cited 24/3/2015]. Available from http://www.spc.int/DigitalLibrary/Doc/FAME/InfoBull/BDM/18/BDM18_18_Chen.pdf
- Sea Cucumber: Food And Medicine. No date [Cited 24/3/2015]. Available from http://www.itmonline.org/arts/seacucumber.htm
- http://bpfk.gov.my
Semakan Akhir | : | 04 Januari 2016 |
Penulis | : | Nordalila bt. Sabuan |
Akreditor | : | Datin Shantini a/p Thevendran |