A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Dewasa
  8. /
  9. Bahana Ketagihan Laman Sosial

Bahana Ketagihan Laman Sosial

Pengenalan

Memiliki akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan lain-lain telah menjadi satu kemestian pada setiap individu zaman sekarang Laman sosial telah menjadi keperluan dan ramai individu bergantung kepada laman sosial. Berdasarkan trend semasa, individu tidak boleh memisahkan gajet daripada diri mereka. Hampir setiap waktu ramai akan melihat telefon bahkan sanggup melakukan tindakan yang boleh membahayakan seperti menggunakan telefon sambil memandu. Mereka akan asyik menaip sesuatu di telefon pintar mereka tanpa menghiraukan orang di sekeliling dan perkara ini berlaku boleh dikatakan pada setiap peringkat umur.

Ketagihan didefinisikan sebagai tingkah laku kompulsif yang menyebabkan kesan negatif ke atas seseorang individu. Ketagihan akan menyebabkan seseorang individu berasa terlalu ingin melakukan aktiviti tersebut sehingga menjadi satu tabiat yang akan memberi kesan kepada aktiviti penting seperti kerjaya dan juga waktu bersama keluarga. Ketagihan kepada laman sosial juga adalah satu keadaan di mana seseorang individu itu telah terpengaruh kuat dengan laman sosial tertentu seperti Facebook, Instagram atau Google.

Pada Tahun 2014, pengguna Facebook di Malaysia dicatatkan seramai 10.4 juta orang, Twitter seramai 5.4 juta orang dan Instagram seramai 5.5 juta orang. Rajah di bawah merupakan sumber statistik mengenai pengguna laman sosial yang popular di Malaysia.

statistik mengenai pengguna laman sosial yang popular di Malaysia

(Sumber : http://blog.malaysia-asia.my/2015/03/malaysia-social-media-statistics-2014.html).

Punca-punca

Pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan ketagihan laman sosial ketika ini. Capaian kemudahan internet yang boleh diakses dengan mudah dewasa ini, menyumbang kepada penggunaan laman sosial yang semakin meningkat naik. Sambungan wi-fi juga boleh diperolehi secara percuma di premis-premis restoran makanan segera dan tempat-tempat awam. Ini menyumbang peningkatan ketara akses kepada laman sosial dan secara langsung mewujudkan ketagihan kepada pengguna. Laman sosial biasa digunakan untuk pelbagai tujuan seperti perniagaan online, perkongsian ilmu, pengajian secara atas talian dan penggunaan yang paling besar adalah bersosial bersama sahabat alam maya; sama ada dikenali ataupun tidak.

Selain itu, pakej kemudahan jalur lebar atau dikenali sebagai Broadband yang mampu milik yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi telah semakin memudahkan rangkaian ini diakses dengan hanya mencucuk USB di komputer riba masing-masing di mana-mana. Selain jalur lebar, kemudahan akses internet pada telefon pintar juga menjadi faktor penyumbang kepada ketagihan laman sosial.

Telefon pintar juga menjadi semakin murah secara tidak langsung setiap orang boleh memilikinya dan seterusnya meningkatkan kadar ketagihan terhadap laman sosial. Telefon pintar boleh dimiliki dengan harga serendah RM 100, dan paling minima telefon tersebut boleh memuat naik aplikasi Facebook dan juga Whats App.

Sikap individu yang sering mengisi masa terluang melayari internet juga menyebabkan individu tersebut ketagihan. Pada awalnya melayari internet adalah sekadar hobi berkecenderungan menjadi tabiat, Akibat terlalu kerap menggunakan telefon bimbit atau tablet akan mengganggu waktu-waktu penting seperti ketika bekerja atau sedang bersama keluarga. Ini menyebabkan hubungan menjadi renggang dan ingividu semakin jauh dari realiti.

Kesan dan Akibat

Individu yang telah ketagih dengan laman sosial, tidak menyedari bahawa aktiviti tersebut telah mengganggu rutin harian mereka. Banyak kesan dan akibat negatif akan berlaku natijah daripada ketagihan laman sosial. Beberapa kajian menunjukkan, apabila seseorang individu terlalu asyik melayari laman sosial akan menyebabkan perasaan cemburu dan tidak puas hati kepada pasangannya. Perasaan dan tingkah laku ini akan mengundang permulaan hubungan yang buruk dalam rumahtangga tersebut. Sama ada suami atau isteri, akan memberontak dan melakukan perkara yang mungkin mendatangkan kemarahan pasangan yang terlalu kerap dengan telefon pintar mereka atau mereka bersikap dingin dan seterusnya jika tidak dibendung boleh membawa kepada perceraian.

Ketagihan laman sosial juga akan menyebabkan seorang pekerja melengah-lengahkan tugasan yang diberikan. Penangguhan akan sering terjadi apabila gangguan daripada telefon yang selalu berada di dalam tangan masing-masing tidak mengira waktu kerana melayani perbualan di aplikasi Whats App atau sekadar melihat status rakan-rakan di Facebook sehingga tidak sedar masa terbuang dengan sia-sia. Jika hal ini berterusan, produktiviti sesebuah organisasi akan terkesan dan memberikan impak yang buruk kepada kerjaya individu tersebut.

Teknologi canggih membantu merapatkan hubungan yang jauh antara saudara-mara dan rakan-rakan. Hanya melalui satu klik di hujung jari, rakan di benua lain juga boleh kita hubungi. Walau bagaimanapun, fenomena ketagihan laman sosial ini menyebabkan hubungan yang renggang sesama ahli keluarga dan rakan-rakan yang berada di depan mata. Akibat terlalu asyik melayani kawan di alam maya, orang tersayang di depan mata diabaikan. Tiada lagi perbualan mesra berlaku antara bapa dan anak-anak, sebaliknya hanya keadaan sepi dan sunyi terjadi bila ahli keluarga berkumpul bersama-sama. Setiap daripada mereka sibuk dengan gajet di tangan masing-masing sehingga tidak sedar hubungan yang dekat semakin jauh.

Selain itu, ketagihan kepada laman sosial juga boleh mengundang hubungan yang tidak sihat di antara rakan-rakan di alam maya. Sebagai contoh, apabila terlalu kerap berhubung di atas talian, akan timbul permainan emosi Masalah ini akan mengundang lebih banyak keburukan jika tidak dicegah di peringkat awal.

Kaedah-kaedah Pencegahan

Seseorang yang telah ketagihan internet khususnya laman sosial akan cenderung untuk hilang tumpuan terhadap kehidupan hariannya. Bagi mereka yang ada ketagihan ini, perhubungannya dengan individu lain di sekeliling akan terjejas. Untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi, beberapa langkah dan strategi boleh diambil perhatian. Pertama, pastikan setiap hari kita telah menetapkan senarai keutamaan tugasan-tugasan yang perlu dilaksanakan pada hari tersebut. Tugasan tersebut perlulah diletakkan keutamaan mengikut keperluan yang telah ditetapkan.

Pembahagian masa yang sewajarnya juga sangat penting dalam kehidupan seharian dan juga dalam penggunaan laman sosial. Jika pembahagian masa tidak telus, banyak perkara yang akan terabai kerana banyak masa digunakan untuk melayari internet. Hadkan atau tetapkan masa yang diperlukan sehari untuk mengelakkan pembaziran waktu. Sebagai contoh, peruntukkan hanya satu jam sehari untuk melayari internet atau, setiap satu jam, hanya lima minit diberikan untuk penggunaan laman sosial. Pastikan keseimbangan masa sentiasa dijaga dengan teliti untuk kehidupan yang berkualiti.

Menetapkan objektif dan tujuan sebelum melayari laman web juga dapat membantu mengatasi ketagihan. Laman-laman web tertentu hanya dilawati ketika waktu rehat sahaja pada waktu bekerja dan selain waktu rehat hanya laman web yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan sahaja akan dibuka. Jadikan laman sosial sebagai medium sumber pengetahuan untuk meningkatlan peranan sebagai manusia yang cemerlang dan berkualiti juga untuk menambah ilmu dan kemahiran. Paling penting, kita perlu tahu tujuan utama kita melayari laman web tersebut supaya penggunaan secara optimum dan berfaedah dapat dipastikan.

Justeru itu, dalam kita memahami bahawa teknologi canggih ini memberikan banyak kebaikan, namun kesan-kesan negatifnya juga sangat banyak dan mengundang kepada banyak keburukan. Kesan negatifnya akan mengganggu aspek kesejahteraan individu dan hubungannya dengan kehidupan persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh daripada laman sosial tidak dinafikan dapat memberikan impak yang besar namun, hanya mereka yang bijak meletakkan keutamaan dan keseimbangan antara kehidupan sebenar dan aktiviti laman sosial sahaja yang akan dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan dalam kehidupan mereka seterusnya mendatangkan kebaikan kepada sesama manusia.

Rujukan

  1. http://personalweb.about.com/od/socialmediaaddiction/a/Social-Networking-Addiction.htm
  2. http://blog.malaysia-asia.my/2015/03/malaysia-social-media-statistics-2014.html
  3. http://eprints.utm.my/26348/1/JTVEE-06-2012-003.pdf 4. 4.http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwp2/p_2011_10184_8b481c6ffb0f41f69bdab8b7f9cbfd26.pdf
  4. http://www.omicsonline.org/social-networking-addiction-emerging-themes-and-issues-2155-6105.1000e118.pdf
  5. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7165-strategi-mengelakkan-ketagihan-internet

 

Semakan Akhir : 3 Februari 2016
Penulis : Nor Farhana binti Fizal
Akreditor : Tn Hj Hairol Kamal bin Ab Rahman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,875

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia