Pengenalan
Ramai yang beranggapan bahawa setiap ubat mempunyai fungsi dan tindakan yang sama antara seorang individu dengan individu lain. Namun begitu, hakikatnya sistem dalaman seseorang individu adalah berbeza dengan individu lain. Ini menyebabkan fungsi dan tindakan ubat tersebut mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan yang memudaratkan kepada individu lain.
Pesakit disarankan untuk ambil tahu nama ubat, dos yang diberikan oleh doktor, kekerapan pengambilan yang sepatutnya dan indikasi ubat tersebut. Ini bagi memastikan keberkesanan rawatan dan mengelakkan kesan mudarat ubat.
Segelintir masyarakat kita beranggapan amalan berkongsi ubat adalah amalan biasa. Berkongsi ubat bermaksud meminjamkan atau memberikan ubat yang menggunakan preskripsi atau tidak kepada orang lain selain daripada individu yang sepatutnya menerima ubat tersebut. Perkara ini sepatutnya tidak menjadi satu amalan. Pesakit harus bertanggungjawab dengan ubat yang diberikan dan sekiranya bekalan tidak mencukupi, pesakit sepatutnya kembali ke farmasi untuk mengambil bekalan.
Bahaya berkongsi ubat
Keperluan ubat adalah berbeza bagi setiap pesakit. Ubat diberikan oleh doktor adalah spesifik kepada pesakit mengikut keadaan semasa. Pemilihan jenis ubat dan dos bergantung kepada umur dan berat pesakit, sejarah alergik, status semasa penyakit dan kemungkinan interaksi yang timbul sekiranya ada mengambil ubat lain.
Semua faktor yang tertera di atas adalah berbeza antara seseorang individu dengan individu lain. Walaupun dua individu mempunyai jenis penyakit yang sama, rawatan yang terbaik bagi mereka tidak semestinya akan sama. Ini kerana, ubat yang terbaik bagi seseorang boleh menjadi ubat yang berbahaya kepada orang lain.
Semua faktor yang tertera di atas adalah berbeza antara seseorang individu dengan individu lain. Walaupun dua individu mempunyai jenis penyakit yang sama, rawatan yang terbaik bagi mereka tidak semestinya akan sama. Ini kerana, ubat yang terbaik bagi seseorang boleh menjadi ubat yang berbahaya kepada orang lain.
Contohnya, terdapat satu kes seorang lelaki berumur yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor. Bagaimanapun, keadaan beliau masih lagi tidak stabil walaupun dos telah dinaikkan sehingga maksimum dan diberikan tambahan jenis ubat yang lain. Akhirnya, pesakit tersebut memberitahu doktor bahawa beliau berkongsi ubat yang diberikan bersama isterinya yang juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Beliau berhenti mengambil ubat beberapa hari sebelum tarikh temujanji supaya tekanan darah beliau sentiasa tinggi dengan harapan dos dan jenis ubat ditambah dan beliau boleh berkongsi ubat yang diberikan bersama-sama isteri.
Amalan tersebut adalah berbahaya kerana ia boleh meningkatkan risiko kejadian strok dan serangan jantung walaupun pada awalnya tujuan berkongsi ubat adalah untuk membantu mengawal tekanan darah isteri beliau.
Sekiranya ubat yang dikongsi sebelum ini berfungsi dengan baik kepada individu A, ia tidak mungkin mempunyai kesan yang sama sekiranya berkongsi dengan individu B dan individu C. Biarpun berlaku pembaziran ubat seperti hampir tarikh luput, terdapat lebihan ubat dalam simpanan ataupun ubat tersebut tidak berkesan semasa mendapatkan rawatan sebelum ini, ubat-ubat tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada individu lain.
Dalam keadaan yang lain pula, berkongsi ubat boleh mendatangkan bahaya apabila individu yang menerima ubat tersebut tidak pernah berjumpa doktor untuk menentukan diagnosis penyakit yang dihidapi dan keperluan pengambilan sebarang jenis ubat, dos yang sepatutnya atau kemungkinan reaksi alahan.
Penyakit yang berbeza boleh mempunyai simptom yang sama, maka ubat yang dikongsi dengan orang lain mungkin tidak berkesan atau mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil. Sekiranya benar individu tersebut menghidapi penyakit yang berlainan, rawatan sepatutnya yang diterima telah dilambatkan. Ini mengundang kepada komplikasi akibat penyakit yang tidak dirawat.
Jenis ubat-ubatan
Sebelum mengambil ubat adalah penting untuk pesakit mengetahui jenis ubat tersebut kerana sedikit kesalahan dalam pengambilannya boleh mendatangkan kemudaratan.
Terdapat dua kategori ubat iaitu ubat yang tidak memerlukan preskripsi dan ubat yang memerlukan preskripsi.
- Ubat tidak memerlukan preskripsi
Ubat yang boleh diperoleh tanpa menggunakan preskripsi adalah seperti ubat demam contohnya paracetamol. Walaupun tidak digalakkan namun ia boleh dikongsi sekiranya mengetahui cara dan dos dengan tepat untuk diberikan kepada pesakit. Namun begitu, tidak semestinya ubat yang tidak memerlukan preskripsi ini adalah selamat untuk semua orang.
- Ubat memerlukan preskripsi
Bagi ubat yang memerlukan preskripsi seperti antibiotik atau penyakit kronik, ia sepatutnya tidak boleh dikongsi walaupun mempunyai jenis penyakit yang sama. Ini kerana, ubat yang diberikan mungkin berbeza di antara satu pesakit dengan pesakit yang lain. Doktor akan mempreskripsikan pesakit dengan ubat yang sesuai bagi merawat penyakit yang sedang dihidapinya.
Pemilihan ubat adalah secara spesifik kepada individu dan bergantung kepada sejarah penyakit seseorang individu, keputusan ujian darah dan sebagainya. Ada ubat diabetes yang tidak sesuai diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang. Status ubat tersebut tidak dapat dipastikan kesesuaiannya dengan orang lain. Ini akan mendatangkan kesan yang lebih buruk sekiranya dikongsi bersama individu yang sememangnya mempunyai masalah kesihatan.
Antibiotik contohnya, bertindak membunuh bakteria yang berlainan mengikut jenis antibiotik. Simptom penyakit yang sama mungkin bukan disebabkan oleh bakteria yang sama, maka penggunaan antibiotik yang sepatutnya digunakan adalah berbeza. Penggunaan antibiotik tanpa kawalan boleh meningkatkan kerintangan terhadap antibiotik.
Terdapat jenis ubat yang sama tetapi mempunyai kekuatan yang berlainan seperti Amlodipine 5mg dan 10mg, Enalapril 5mg, 10mg dan 20mg, Warfarin 1mg, 2mg, 3mg dan 5mg dan banyak lagi. Ubat-ubat ini adakalanya mempunyai corak pembungkusan yang sama. Ini boleh menyebabkan pesakit yang berkongsi ubat tidak menyedari bahawa dos-dos ubat ini adalah berlainan dan boleh menyebabkan kemudaratan kepada individu yang menerima ubat tersebut.
Selain itu, ubat pencairan darah seperti Aspirin juga boleh digunakan sebagai penahan sakit. Bagaimanapun, ia tidak boleh diberikan kepada individu yang berumur kurang dari 16 tahun kerana risiko kejadian Reye’s Syndrome. Adalah berbahaya sekiranya seseorang individu berkongsi ubat tersebut dengan kanak-kanak walaupun sekadar sebagai penahan sakit.
Ada juga ubat yang boleh menyebabkan kecacatan kepada janin sekiranya diambil oleh wanita mengandung. Perkongsian ubat tanpa arahan doktor ini meletakkan wanita tersebut dan kandungan dalam keadaan bahaya.
Kesedaran
Pelbagai program dijalankan bagi meningkatkan maklumat dan kesedaran kepada orang awam tentang penggunaan ubat yang betul dan secara berkualiti. Selain itu, maklumat tentang penyalahgunaan ubat seperti masalah berkongsi ubat juga diberikan. Kempen kenali ubat anda yang setiap tahun dijalankan di semua fasiliti hospital dan klinik kerajaan juga di tempat awam bertujuan untuk meningkatkan kepekaan pengguna supaya mengambil berat tentang ubat-ubatan yang diambil.
Pengguna disarankan untuk semak nama pada label ubat. Ia adalah khusus untuk pesakit tersebut dan tidak boleh dikongsi dengan pesakit lain. Mengetahui nama ubat, dos, kekerapan dan cara penyimpanan dengan tepat dapat memastikan keselamatan pengambilan ubat tersebut.
Apabila diperkatakan tentang ubat tradisional pula, berkongsi kegunaannya tanpa arahan doktor juga boleh memudaratkan pengguna kerana interaksi boleh berlaku dengan ubat yang diambil atau menyebabkan komplikasi kepada sistem tubuh.
Kesimpulan
Elakkan berkongsi ubat dengan sesiapa sahaja walaupun mempunyai simptom atau penyakit yang sama. Ubat yang selamat digunakan untuk kita tidak semestinya juga selamat untuk digunakan oleh orang lain. Perkongsian ubat di antara seorang individu dengan individu lain walau apa juga tujuan akan mengundang bahaya. Tindakan memberhentikan pengambilan ubat yang dikongsi adalah tindakan yang bijak. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya terdapat pertanyaan berkaitan ubat-ubatan.
Semakan Akhir | : | 14 Jun 2016 |
Penulis | : | Nurul Nasrah bt. Mohd Ariffin |
Akreditor | : | Munira bt. Muhammad |