Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk Negara. Isu warga tua ini dibincangkan melalui pelbagai aspek terutamanya aspek kesihatan. Masalah kesihatan warga tua akan berlaku bila jika keperluan untuk hidup sihat tiada / tidak dapat dipenuhi atau dicapai. Implikasi ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit itu seterusnya mengalami ketidakfungsian sosial. Dalam bidang perubatan yang menjurus kepada penyakit berkaitan warga tua dan rawatannya dikenali sebagai Geriatrik. Pesakit geriatrik bukan sahaja mengalami perubahan fizikal, malah mengalami perubahan dari aspek sosial, ekonomi dan emosi. Bagi ahli keluarga pula, mereka turut merasai cabaran dalam soal penjagaan dan pengurusan pesakit geriatrik. Antara penyakit yang dihidapi pesakit geriatrik adalah penyakit strok, penyakit kanser, insiden terjatuh (fall incident), parkinson dan dementia. Pengurusan kes pesakit geriatrik adalah merangkumi proses rawatan dan pemulihan ketika pesakit berada di hospital malah selepas discaj dari wad. Ia adalah keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan terhadap penjagaan pesakit geriatrik bagi mengelakkan peningkatan kemasukan mereka ke pusat jagaan. Di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jumlah kes pesakit geriatrik yang dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) meningkat dari 119 kes pada tahun 2021 kepada 209 kes pada tahun 2022. Jumlah kes ini meningkat sebanyak 43% berbanding tahun 2021.
Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) merupakan ahli dalam pasukan multi disiplin dalam pengurusan pesakit geriatrik. PKSP mendapatkan maklumat asas kesihatan pesakit geriatrik sebaik kes rujukan diterima. Selain mendapat maklumat asas demografi pesakit, pemahaman yang jelas mengenai keupayaan pesakit untuk melakukan aktiviti dan fungsi harian (ADL’s) adalah penting. Keupayaan melakukan harian (ADL’s) termasuklah berpakaian, mandi, makan minum, dandanan, mobiliti ke tandas, pengurusan ubat-ubatan dan sebagainya. Tahap ADL’s ini amat berbeza bagi pesakit geriatrik terlantar kerana mobiliti yang terjejas teruk.
PKSP terlibat dalam perbincangan antara pasukan multidisiplinari dengan ahli keluarga pesakit yang dikenali sebagai Family Conference. Pasukan multidisiplinari ini turut melibatkan Pegawai Perubatan, Jururawat, Pegawai Pemulihan CaraKerja, Pegawai Jurupulih Anggota, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi. Ini bertujuan untuk mengenalpasti sistem sokongan sosial pesakit geriatrik yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan pesakit kerana sokongan sosial menjadi elemen penting dalam penjagaan pesakit geriatrik terutama selepas dicaj daripada wad.
PKSP membuat lawatan ke rumah mengikut keperluan kes pesakit geraitrik yang bertujuan untuk:
- Mendapatkan pengesahan maklumat bagi membantu pesakit mendapatkan bantuan
- Mengetahui keadaan fizikal rumah pesakit bagi mendapatkan kesesuaian bantuan yang berkaitan
- Mewujudkan hubungan rapport yang baik pesakit dan keluarga
- Mengenal pasti masalah terbitan yang ada dalam keluarga pesakit
PKSP juga berperanan dalam menghubungkan pihak pesakit geriatrik dengan sumber-sumber komuniti yang sedia ada seperti program Home Help, Hospic dan sebagainya. Manakala di peringkat primer, PKSP terlibat dalam perkhidmatan sebagai ahli pasukan domisiliari, iaitu pasukan perawatan di rumah.
PKSP membuat penilaian sosioekonomi untuk mengenalpasti kekuatan kewangan pesakit geriatrik selain mengambil kira dari aspek sosial. Maklumat daripada hasil temubual dengan penjaga atau ahli keluarga, perbincangan pasukan intermultidisiplin dan lawatan ke rumah akan digunapakai dalam penyediaan laporan sosioekonomi untuk dirujuk ke agensi pemberi bantuan seperti Tabung Bantuan Perubatan (TBP) KKM, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Yayasan Buddhist Tzu Chi, Baitulmal/Zakat Negeri dan lain-lain, Keadaan pesakit geriatrik yang hilang upaya untuk berambulasi amat memerlukan penjagaan dan pemerhatian sepanjang masa daripada ahli keluarga/ penjaga bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius. Selain itu, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan, pesakit geraitrik terlantar juga memerlukan katil hospital, ripple mattress, ryles tube, susu khas, infusion pump, oxygen concentrator, alat bantu pendengaran, kerusi roda khas dan sebagainya. Kos pembelian ini menjadi beban dan masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan.
PKSP juga mengenalpasti untuk membantu penjaga atau ahli keluarga melalui terapi sokongan. Terapi sokongan bertujuan untuk:
- Mengurangkan sedih, perasaan cemas, marah dan tekanan pesakit malah penjaga/ ahli keluarga
- Memberi maklumat yang tepat mengenai status penyakit, komplikasi dan rawatan yang disyorkan kepada penjaga/ ahli keluarga pesakit
- Mendengar luahan dan keperluan penjaga/ ahli keluarga pesakit tanpa menghukum
- Memberi maklumat mengenai sumber-sumber komuniti yang sedia ada yang dapat membantu sepanjang proses rawatan dan pemulihan kepada penjaga/ ahli keluarga
- Memberi dorongan dan galakan kepada penjaga/ ahli keluarga supaya mereka faham dan membantu pesakit untuk komplian dengan rawatan yang disyorkan
- Bincang dengan penjaga/ ahli keluarga mengenai masalah penjagaan pesakit yang membawa kesan kepada kualiti penjagaan terhadap pesakit (care giver’s stress). Contoh:
-
- Adakah anda stress? Bimbang?
- Adakah terdapat orang lain yang membantu anda dalam menjaga pesakit?
- Anda sendiri ada masalah kesihatan?
- Adakah sesiapa yang mempengaruhi kebolehan anda untuk menjaga pesakit?
PKSP membantu mengurus pesakit geriatrik bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pesakit dan penjaga atau ahli keluarga. Menempatkan pesakit geriatrik di pusat jagaan adalah langkah terakhir yang diambil oleh PKSP selepas penjaga dan keluarga tidak dapat dikesan.
Rujukan
- Alan M. Adelman & Mel P. Daly (2003). 20 Common Problems Geriatrics. McGraw Hill International Edition. Health Professions Series.
- Barbara Berkman & Linda Harootyan (2003). Social Work and Helath Care in an Aging Society. Springer Publishing Company.
- Giselda Quintana Marques & Ivani Bueno de Almeida Freitas (2009). Pilot-experience in Home Care: Bedridden Aged Patients of a Basic Health Unit, Porto Alegre, Brazil.
- Siti Marziah Zakaria, Khadijah Alavi & Nasrudin Subhi (2013). Risiko Kesunyian Dalam Kalangan Warga Tua Di Rumah Seri Kembangan. Journal of Psychology & Human Development.
- Dasar Warga Emas Negara
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis | : | En. Khairul Naim Bin Azis |
Akreditor | : | En. Zulhan Bin Ambi |