- Apa itu vaksin?
Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.
Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. - Apakah kandungan vaksin?
Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.
Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya.
Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.
Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.
Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan. - Benarkah sesetengah vaksin dibuat menggunakan sel janin?
Sel janin digunakan untuk membuat lima jenis vaksin; iaitu rubella, cacar air, hepatitis A, kayap dan penyakit anjing gila (rabies). Ia digunakan untuk membiakkan virus-virus tersebut bagi penghasilan vaksin. Sel janin yang digunakan diperolehi dari dua pengguguran elektif yang dijalankan di Sweden dan England pada awal tahun 1960an.
Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal. Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:- Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.
- Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.
- Mengapakah formaldehid terkandung di dalam vaksin?
Formaldehid adalah bahan sampingan yang terhasil dari proses pembuatan vaksin. Formaldehid digunakan dalam proses penghasilan sesetengah vaksin untuk melemahkan virus (seperti virus polio dan hepatitis A) atau toksin bakteria (seperti toksin difteria dan tetanus). Hampir semua formaldehid dinyahkan semasa proses penghasilan vaksin dan yang tinggal hanya dalam kuantiti yang amat sedikit.
Formaldehid juga boleh ditemui dalam saluran darah manusia kerana ia merupakan bahan sampingan sintesis protein dan DNA. Kuantiti formaldehid dalam darah adalah sepuluh kali lebih tinggi berbanding kandungannya dalam vaksin. - Mengapakah antibiotik terkandung di dalam vaksin?
Antibiotik digunakan semasa proses penghasilan beberapa jenis vaksin untuk mencegah pencemaran bakteria. Terdapat kebimbangan sekiranya antibiotik ini boleh mendatangkan bahaya seperti tindakbalas allergik apabila mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan. Walau bagaimanapun, jenis antibiotik yang digunakan dalam vaksin seperti neomycin, streptomycin, polymixin B, chlortetracycline dan amphothericin B bukanlah antibiotik yang lazimnya menyebabkan kesan allergik. - Proses pembuatan vaksin
Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:- memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
- memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan
Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:
Rajah 1: Empat langkah dalam proses penghasilan vaksin- Pembiakan
Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin. - Pengasingan
Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan. - Penulenan
Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin. - Formulasi
Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.
Rajah 2: Proses penghasilan vaksin yang lemibatkan empat langkah
Sumber: Vaccine Fact Book 2012, page 58
Contoh: Penghasilan vaksin berunsurkan virus
Oleh kerana virus hanya membiak di dalam sel hidup, virus yang digunakan dalam vaksin dibiakkan di dalam sel (seperti telur ayam) atau sel Vero (seperti sel Vero). Setelah virus membiak, ia diasingkan daripada sel dan medium kultur sel. Beberapa teknik digunakan untuk proses pengasingan ini, seperti pemecahan sel menggunakan bahan kimia, sentrifugasi dan penapisan atau proses penyeragaman.
Proses seterusnya adalah penulenan virus, yang juga melibatkan beberapa teknik sentrifugasi, penapisan ultra, kromatografi atau penulenan menggunakan bahan kimia. Pada peringkat ini, virus juga dilemahkan secara kimia untuk penghasilan vaksin menggunakan virus yang dilemahkan.
Persediaan virus tadi kemudiannya dicampurkan dengan bahan lain untuk memastikan setiap dos vaksin mencapai kepekatan yang sesuai agar boleh diberikan secara selamat. Pada peringkat ini, vaksin boleh digabungkan dengan antigen lain (seperti vaksin measles-mumps-rubella). Produk yang telah dicampurkan diisi ke dalam botol atau picagari. Sesetengah vaksin dikering-bekukan pada peringkat ini bagi memanjangkan tempoh simpanan vaksin.
Contoh: Proses penghasilan vaksin berunsurkan bakteria
Bakteria tidak memerlukan sel hidup untuk membiak, maka ia dibiakkan dalam bioreaktor yang mengandungi media kultur khusus. Setelah dibiakkan, pengasingkan dilakukan secara sentrifugasi atau menggunakan teknik khusus bagi mengekstrak polisakarida. Proses penulenan adalah khusus kepada antigen yang digunakan, seperti pemendakan kimia atau pemeringkatan, penapisan ultra and langkah kromatografi. Pada peringkat ini, protein pembawa boleh digabungkan dengan vaksin polisakarida dan vaksin yang telah digabungkan kemudiannya ditulenkan melalui pelbagai teknik penapisan atau kromatografi. Produk yang telah ditulenkan kemudiannya digunakan sebagai vaksin. Pada peringkat ini juga produk boleh digabungkan dengan beberapa antigen lain. Sesetengah vaksin polisakarida mengandungi beberapa jenis polisakarida (seperti vaksin polisakarida pneumococcal mengandungi 23 polisakarida berbeza) manakala sesetengah vaksin berunsurkan bakteria digabungkan dengan bakteria lain dan/atau antigen virus (seperti vaksin difteria-tetanus-pertussis–Hepatitis B atau juga dikenali sebagai DTP-Hep B). - Bagaimana vaksin berfungsi
Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan. - Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi semasa masih bayi?
Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsangan sel pertahanan, seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan. - Adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit? Melalui imunisasi,
- Smallpox (cacar air) telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox (cacar air) adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada mangsa-mangsa yang dijangkiti.
- Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
- Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.
- Kita dilindungi dari barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.
- Anak saya sihat dan kuat. Mengapa dia perlu diberi imunisasi?
Tidak dapat dipastikan anak yang sihat akan sentiasa bebas dari dijangkiti penyakit cegahan vaksin. Penyakit boleh menjangkiti seseorang tanpa disangka. Sekiranya kanak-kanak telah diberi imunisasi, mereka akan terlindung dari penyakit cegahan vaksin dan sekiranya dijangkiti, kesan dan komplikasi akibat jangkitan tersebut tidak membahayakan. - Adakah vaksin memberi perlindungan 100% terhadap penyakit cegahan vaksin?
Keberkesanan vaksin tidaklah 100%. Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung. - Bukankah daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik dari imunisasi?
Bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semulajadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus tersebut, dan sembuh sepenuhnya dari jangkitan itu. Dalam proses tersebut, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang telah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semulajadi hasil dari jangkitan, tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan.
Vaksin menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun). Maka sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindakbalas yang berkesan bagi menyekat jangkitan tersebut atau mengurangkan keterukan gejalanya. - Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diperoleh dari imunisasi?
Tempoh perlindungan sesuatu vaksin berbeza-beza bergantung kepada jenis vaksin dan cara penghasilannya. Sesetengah vaksin memberi perlindungan sepanjang hayat, manakala terdapat vaksin yang boleh memberi perlindungan sehingga 30 tahun. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk memastikan perlindungan berterusan. - Mengapakah sesetengah vaksin diberi beberapa kali?
Sesetengah vaksin memberi perlindungan untuk tempoh terhad. Maka, dos tambahan (booster) diperlukan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) dan memastikan antibodi pada paras yang tinggi. Sekiranya anak anda tidak mengambil dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan, mereka tidak akan dilindungi dengan berkesan. - Vaksin perlu diberi mengikut jadual yang ditetapkan
Vaksin diberi mengikut jangkamasa yang telah ditetapkan. Ia bagi memberi peringatan dan ransangan kepada tubuh untuk menghasilkan perlindungan yang berkesan. Jangkamasa di antara dos vaksin bergantung kepada jenis vaksin tertentu.
Pastikan anak anda menerima kesemua dos lengkap pelalian dan patuhilah jadual imunisasi yang telah ditetapkan. Ia bagi memastikan anak anda mendapat perlindungan yang optimum.
Sekiranya anak anda tertinggal satu dos vaksin, sila maklumkan doktor / jururawat secepat mungkin. Tarikh baru untuk suntikan dos seterusnya akan diberikan. - Vaksin melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan)
Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’.
Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ia berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria/virus tersebut. Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan. Tanggungjawab kita untuk melindungi mereka. - Bagaimana vaksin dikatakan selamat sekiranya ia mengandungi kuman?
Vaksin dihasilkan dari keseluruhan atau sebahagian virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Virus / bakteria tersebut tidak berupaya untuk menyebabkan penyakit kepada kanak-kanak yang sihat. - Terdapat terlalu banyak vaksin untuk kanak-kanak, tidakkah sistem daya lawan jangkitan anak saya terlalu terbeban?
Vaksin tidak akan membebankan sistem daya lawan jangkitan (imun) kanak-kanak kerana sistem imun mereka boleh bertindakbalas terhadap pelbagai keadaan.Vaksin mengandungi antigen yang amat sedikit berbanding dengan pendedahan tubuh terhadap antigen asing melalui makanan, minuman dan aktiviti lain. Maka, lebih dari satu vaksin boleh diberi pada satu masa atau selepas tempoh tertentu, dan tidak akan membahayakan sistem imun kanak-kanak. - Adakah vaksin selamat, terutama bagi bayi dan kanak-kanak yang masih terlalu muda?
Sebelum vaksin dipasarkan secara komersial untuk digunakan, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Ia dipantau dengan ketat bagi menjaminkeselamatan penerimanya. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia akan mendaftarkan / meluluskan sesuatu vaksin sebelum ia boleh digunakan di Malaysia dan dimasukkan ke dalam program imunisasi. - Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan?
Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan dan yang berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius kesan dari pengambilan vaksin. Lazimnya kesan sampingan serius amat jarang berlaku.
Kementerian Kesihatan Malaysia memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan. Kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan Kerajaan mahupun swasta, syarikat vaksin dan orang awam boleh melaporkan kepada pihak Kementerian sebarang kesan sampingan yang dialami selepas penerimaan vaksin dengan menghubungi 03 – 7883 5400 atau melalui emel ke alamat: bpfk@bpfk.gov.my. - Adakah sebab mengapa seseorang tidak boleh diberi imunisasi?
Sentiasa berbincang dengan doktor / jururawat sebelum anak anda menerima sebarang vaksin. Sila maklumkan kepada doctor / jururawat sebarang sejarah perubatan keluarga dan sejarah penyakit atau alahan yang anak anda pernah alami. Ini akan membantu memastikan sama ada anak anda boleh menerima vaksin tertentu.
Individu berikut adalah dinasihatkan agar berbincang dengan doctor / jururawat sebelum menerima sebarang vaksin:- Pernah mengalami tindakbalas atau kesan sampingan serius setelah menerima suntikan vaksin tertentu
- Menghidap penyakit seperti barah (kanser), HIV/AIDS, kencing manis (diabetes), penyakit jantung atau paru-paru, serta lain-lain penyakit
- Sedang menerima rawatan untuk barah (kanser), rawatan steroid atau immunosuppressant; kerana rawatan-rawatan tersebut melemahkan sistem daya lawan jangkitan tubuh (imun)
- Sedang mengandung kerana sesetengan vaksin tidak disyorkan diambil semasa mengandung
- Sekiranya kurang sihat pada hari vaksin sepatutnya diberi, terutama sekiranya sedang mengalami gejala yang sederhana atau teruk.
- Mengapa orang dewasa perlu diberi imunisasi?
Ibu mengandung
Banyak penyakit boleh menjangkiti ibu mengandung dan kandungannya. Contohnya jangkitan hepatitis B, rubella dan tetanus (kancing gigi). Terdapat vaksin yang diambil diambil sebelum mengandung (seperti vaksin Hepatitis B dan vaksin rubella) atau semasa mengandung (seperti vaksin tetanus) yang akan mencegah pelbagai komplikasi kepada ibu mengandung dan kandungannya.
Perjalanan ke luar negara
Sesetengah penyakit adalah endemik (biasa berlaku) di beberapa negara di dunia. Oleh kerana itu, terdapat vaksin khusus yang disyorkan sebelum melawat ke negara yang berisiko berlaku jangkitan ini. Sebagai contoh, keperluan mendapatkan demam kuning (Yellow Fever) sebelum melawat ke negara-negara di benua Afrika; pelalian polio sebelum melawat negara Nigeria, Afghanistan atau Pakistan memandangkan negara-negara ini masih mempunyai kes poliomyelitis. Jemaah Haji pula perlu mendapat pelalian vaksin meningococcal ACW135Y kerana ia telah ditetapkan / diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Walaupun tiada peraturan yang ditetapkan untuk mengambil vaksin tertentu sebelum pergi ke luar negara, adalah satu langkah yang bijak untuk mendapatkannya. Ia bertujuan mencegah dari mendapat jangkitan penyakit semasa di luar Negara. Ia juga bagi menghalang dari menyebarkan jangkitan tersebut kepada orang yang disayangi setelah pulang ke tanahair.
Penyakit Bermusim
Vaksin memberi perlindungan terhadap penyakit bermusim seperti influenza yang berlaku setiap tahun. Vaksin tersebut boleh mencegah ketidakhadiran ke tempat kerja atau sekolah, kemasukan ke hospital atau kematian terutama apabila wabak berlaku. Warga emas dan individu dengan sistem imuniti yang lemah atau penghidap penyakit kronik adalah berisiko untuk mendapat komplikasi sekiranya dijangkiti penyakit bermusim, dan perlu mempertimbangkan pengambilan vaksin bermusim ini.
Warga Emas
Warga emas (berumur lebih 65 tahun) secara umumnya mempunyai sistem imuniti yang lemah. Mereka mudah terdedah kepada jangkitan penyakit cegahan vaksin. Oleh itu, warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin tertentu seperti vaksin pneumococcal dan influenza. - Isu Keraguan Dan Penolakan Vaksin Dan Imunisasi Oleh Golongan Yang Mengamalkan Perubatan Homeopati.
Terlalu sedikit kajian saintifik yang telah dijalankan ke atas persediaan homeopati, dan tiada kajian saintifik yang telah dijalankan ke atas persediaan homeopati yang digunakan untuk mencegah penyakit cegahan vaksin yang tersenarai dalam jadual imunisasi kebangsaan. Manakala keberkesanan vaksin konvensional telah terbukti melalui kajian berskala besar yang telah dijalankan untuk mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum ia digunakan dengan meluas. Oleh itu, keberkesanan persediaan homeopati dalam mencegah penyakit cegahan vaksin masih belum dibuktikan.
Terdapat beberapa produk homeopati yang dijual sebagai ‘vaksin’. Kebanyakan produk tersebut dihasilkan daripada proses pencairan pati (ekstrak) tisu berpenyakit atau pati tumbuhan kepada tahap di mana tiada bahan asal masih berbaki dalam hasil akhir produk sebelum ia dijual. Proses ‘succussion’ tersebut dikatakan boleh memindahkan kesan perlindungan dari bahan asal ke dalam air yang digunakan untuk proses pencairan tersebut. Namun, dari sudut biologi tiada penjelasan munasabah bagaimana pengambilan persediaan homeopati tersebut boleh mencegah jangkitan dan / atau penyakit.
Ramai pengamal homeopati yang menyokong pemberian vaksin konvensional untuk perlindungan terhadap penyakit cegahan vaksin. Di antaranya, Persatuan Homeopati Australia dan Persatuan Perubatan Homeopati United Kingdom mengesyorkan imunisasi melalui pemberian vaksin konvensional. Persatuan Pengamal Homeopati United Kingdom juga tidak menggalakkan ahlinya menasihati pesakit supaya menolak vaksin.
Presiden Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), Encik Zainul Azmi b. Ahmad juga sependapat dengan badan-badan homeopati antarabangsa seperti Persatuan Homeopati British, Fakulti Homeopati London, Jawatankuasa Homeopati Eropah, Jawatankuasa Induk Homeopati Eropah, Majlis Homeopati Antarabangsa dan Daftar Pengamal Homeopati Australia mengenai imunisasi. Imunisasi perlu diberi menggunakan vaksin konvensional. - Program Imunisasi Kebangsaan
Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950an. Perkhidmatan tersebut diberikan percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE). - Tugas-Tugas Kakitangan Kesihatan
- Sentiasa beri penerangan kepada pesakit atau ibubapa mengenai faedah imunisasi dan kepentingan mematuhi jadual imunisasi, sebelum vaksin diberikan.
- Maklumkan kepada pesakit atau ibubapa jenis vaksin yang akan diberikan.
- Terangkan dengan ringkas dan jelas kesan sampingan yang boleh dialami selepas suntikan vaksin.
- Berikan suntikan vaksin mengikut prosedur yang betul.
- Catatkan nama vaksin, nombor kelompok dan tarikh luput vaksin dalam buku atau kad kesihatan kanak-kanak.
Hukum Imunisasi mengikut pandangan Islam
Last Reviewed | : | 23 November 2015 |
Writer | : | Dr. Yeong May Luu |
Accreditor | : | Dr. Hjh. Faridah bt Abu Bakar |