Pengenalan
“Adakah anda mengalami sebarang alahan ubat?”
Anda mungkin diajukan soalan ini apabila anda berjumpa dengan seorang doktor atau ahli farmasi. Maklumat berkaitan sebarang alahan ubat yang anda alami adalah penting dan perlu dimaklumkan kepada mereka. Ini adalah kerana kesan buruk yang boleh berlaku disebabkan oleh ubat-ubatan.
Alahan ubat secara ringkasnya ditakrifkan sebagai tindak balas alahan yang disebabkan oleh tindakbalas ubat yang tidak normal. Tindak balas ubat ini terhasil disebabkan oleh tindak balas hipersensitiviti yang mana telah mendorong tindakbalas imunisasi diarahkan pada ubat. Tindak balas hipersensitiviti boleh diklasifikasikan dengan pelbagai jenis gejala yang dipanggil gejala alahan. Gejala alahan boleh menyebabkan gejala dalam hidung, paru-paru, tekak, sinus, telinga, perut atau pada kulit tidak kira sama ada tindak balas alahan berlaku serta-merta atau lambat, atau gabungan kedua-duanya.
Tanda-tanda & Kesan
Tindak balas terhadap ubat adalah berbeza bagi setiap individu. Seseorang yang mengambil ubat tertentu boleh mengalami ruam, manakala individu lain yang mengambil ubat yang sama mungkin tidak mengalami apa-apa kesan buruk. Semua ubat-ubatan mempunyai potensi untuk menyebabkan kesan sampingan, tetapi hanya 5% hingga 10% daripada kesan sampingan ubat adalah alahan.
Tindak balas alahan terdiri daripada ruam biasa hingga kepada tindakbalas sistemik yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengenal pasti tanda-tanda dan gejala alahan.
Kebanyakan tindak balas alahan tidak berlaku setelah ubat diambil buat pertama kali. Sebaliknya, pengambilan ubat yang kedua dan seterusnya yang akan mendorong tindak balas imunisasi. Contoh tindak balas alahan yang boleh berlaku adalah seperti berikut:
-
Anafilaksis
-
Tindak balas kulit contohnya ruam, gatal-gatal, sensitif terhadap cahaya (photoallergy) dan tanda kemerahan.
-
Kesukaran bernafas
-
Pitam
-
Degupan jantung tidak sekata (Arrhythmia)
-
Pembengkakan di bawah kulit (Angioedema)
-
Sakit sendi dan otot
Angioedema
Urticaria
Sumber: Economic Impact of Allergic Disease In Australia: Not to be Sneezed At, Australasian Society of Clinical Immunology and Allergy (ASCIA), November 2007.
Ruam pada kulit adalah gejala yang kerap terjadi bagi tindak balas alahan. Kadangkala, lepuh (blister) akan terjadi akibat ruam. Gejala lepuh amat menyakitkan dan biasanya menghakis permukaan mata, bibir, mulut dan bahagian kemaluan. Komplikasi yang serius ini dikenali sebagai Sindrom Stevens-Johnson.
Toxic Epidermal Necrolysis (TEN) jarang berlaku disebabkan oleh alahan ubat. TEN adalah tindak balas alahan yang boleh dikenalpasti melalui kulit yang mengelupas seperti pesakit yang melecur.
Kedua-duanya, Sindrom Stevens-Johnson dan Toxic Epidermal Necrolysis (TEN), boleh mengancam nyawa.
Anafilaksis adalah salah satu tindak balas alahan paling serius dan boleh membawa maut. Tindak balas ini selalunya bertindak dengan pantas dan mengambil masa beberapa saat atau minit. Gejala anafilaksis ialah:
-
Sesak hidung
-
Kesukaran bernafas
-
Batuk
-
Kulit kebiruan (cyanosis), termasuk bibir dan kuku.
-
Pitam dan hilang daya imbangan badan
-
Pening
-
Bimbang/resah
-
Kebingungan dan percakapan yang tidak teratur
-
Degupan jantung yang cepat
-
Berdebar-debar (palpitations)
-
Loya , muntah
-
Cirit-birit
-
Kekejangan otot
Ubat-ubatan yang kerap dikaitkan dengan alahan
Orang ramai boleh mengalami alahan kepada mana-mana ubat, akan tetapi terdapat sebahagian ubat yang lebih kerap menyebabkan alahan berbanding ubat-ubatan lain. Antibiotik merupakan punca alahan yang paling kerap dikaitkan dengan alahan ubat. Baru-baru ini, ubat kemoterapi dan antibodi monoklonal juga dikatakan mendorong tindak balas anafilaksis. Berikut adalah senarai ubat-ubatan yang paling kerap dikaitkan dengan alahan (atau bukan alahan dalam beberapa kes):
-
Penicillin (dan semua antibiotik yang berkaitan). Kira-kira 1 dalam 10 orang melaporkan bahawa mereka mempunyai sejarah “alahan” kepada penicillin. Namun demikian, kurang daripada 10% individu yang berfikir bahawa mereka alah kepada penicillin. alah kepada ubat tersebut. Walau bagaimanapun, orang yang benar-benar alah kepada penicillin terdedah kepada gejala anafilaksis yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, amat penting untuk memberitahu doktor anda tentang tindakbalas alahan ubat masa lalu anda.
-
Cephalosporins (dan semua antibiotik yang berkaitan). Tindak balas cephalosporins hampir menyamai tindakbalas penicillin. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa seseorang yang alah kepada penicillin boleh mendapat tindak balas alahan kepada cephalosporins kerana kedua-dua ubat tersebut mempunyai kaitan yang sama.
-
Sulfonamides (termasuk antibiotik, ubat oral diabetik dan beberapa ubat diuretik). Tindak balas ubat ini tidak jelas sama ada disebabkan oleh alahan atau proses immunologi lain. Tiada ujian yang tepat untuk menentukan jika seseorang itu alah kepada ubat-ubatan dalam kelas ini.
-
Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAID), termasuk aspirin, ibuprofen dan naproxen. Kelas ubat-ubatan ini boleh menyebabkan alahan dan bukan alahan seperti gatal-gatal/bengkak, memburukkan lagi asma dan menyebabkan anafilaksis. Tiada ujian yang tepat untuk menentukan jika seseorang itu alah kepada kelas ubat-ubatan ini.
-
Ubat Bius Setempat (Local Anesthetics). Tindak balas alahan kepada ubat bius setempat (novocaine, lidocaine) jarang berlaku, dan biasanya disebabkan oleh bahan-bahan lain di dalam ubat, seperti pengawet atau adrenaline (terdapat dalam local anesthetics untuk membuat ubat tahan lebih lama apabila disuntik).
-
Anestesia Am (General Anesthesia). Sesetengah ubat-ubatan yang digunakan semasa pembedahan kerap kali menyebabkan tindak balas alahan dan anafilaksis.
Kad Alahan Ubat
Oleh kerana terdapat kemungkinan pesakit mendapat ubat yang mereka alah dan kesan alahan boleh mengancam nyawa, pesakit dan ahli keluarga perlu dididik tentang ubat-ubatan yang diambil dan lain-lain ubat yang berpotensi bertindakbalas dengan ubat yang mereka alah. Di samping itu, pesakit yang dikenalpasti mempunyai alahan ubat perlu diberi kad alahan ubat. Kad tersebut akan dilengkapi dengan maklumat alahan dan nama ubat terlibat supaya pengamal penjagaan kesihatan dapat memberi ubat yang sesuai kepada pesakit. Pesakit dinasihatkan supaya membawa dan menunjukkan kad alahan ubat mereka kepada pengamal penjagaan kesihatan semasa mendapatkan rawatan atau bekalan ubat.
Kesimpulan
Alahan ubat jarang berlaku tetapi ianya boleh menyebabkan tindak balas dari kurang berisiko hingga mengancam nyawa. Oleh itu, amat penting untuk menyemak ubat-ubat yang perlu diambil bagi mengelak kejadian alahan ubat yang boleh mengancam nyawa seperti anafilaksis. Pesakit hendaklah sentiasa memaklumkan anggota kesihatan tentang alahan ubat yang pernah dialami apabila menjalani rawatan atau mendapatkan ubat-ubatan.
Semakan Akhir | : | 23 April 2014 |
Penulis | : | Mohd Azuwan bin Mohd Zubir |
Penyemak | : | Hazlin bt. Othman |