Pengenalan
Mata dan oral (mulut) dihubung terus oleh tulang maksila atau rahang atas pada kerangka fasial (muka). Oleh itu, masalah oral boleh menyebabkan tanda dan gejala pada mata. Banyak keadaan dan patologi di mulut boleh menyebabkan bengkak mata, Jangkitan kuman atau infeksi adalah punca yang paling kerap terjadi. Infeksi dari kawasan sekitar mata ataupun perebakan infeksi dari kawasan berhampiran boleh membawa kepada kebengkakan pada mata.
Punca
Bengkak mata yang berkait dengan masalah oral boleh berpunca dari faktor odontogenik atau bukan odontogenik.
Odontogenik bermakna masalah atau patologi yang bermula dari gigi atau struktur yang menyokong gigi. Struktur tersebut adalah gusi, ligamen periodontal yang menetapkan kedudukan gigi dan tulang alveolus dibawah gusi (Gambar A).
Hujung akar gigi rahang atas terutama gigi geraham dipisahkan dari sinus maksila oleh lapisan mukosa dan tulang yang nipis. Oleh itu infeksi dari gigi mudah merebak ke dalam kandungan sinus melalui kanal akar gigi.
Sekiranya lantai sinus retak atau patah semasa cabutan gigi, infeksi dari gigi atau gusi rahang atas berisiko melarat ke dalam sinus maksila.
Infeksi odontogenik yang merebak ke sinus jika tidak dirawat atau tidak terkawal seterusnya akan melibatkan tisu lembut sekitar pipi dan mata, menyebabkan pembengkakan terjadi.
Patologi seperti sista odontogenik (Gambar B) atau patologi lain dalam oral sekiranya terinfeksi juga boleh menyebabkan gejala bengkak mata.
Non-odontogenik adalah apabila bengkak mata disebabkan oleh keadaan bermasalah pada tisu lembut atau struktur tulang fasial dimana punca tidak berkait secara langsung dengan gigi.
Sebahagian besar tulang orbit mata disempadani oleh sinus maksila, sinus ethmoidal dan sinus frontal. Oleh itu infeksi dan patologi pada sinus boleh membawa kepada pembengkakan pada bahagian sekitar mata.
Perdarahan biasa berlaku seiring dengan kecederaan akibat trauma pada kawasan fasial. Kecederaan tisu lembut menyebabkan otot menjadi bengkak dan pengumpulan darah beku disekitar kawasan tercedera. Kecederaan yang mengakibatkan fraktur tulang pipi, rahang atas atau tulang sekitar mata lazimnya menyebabkan bengkak mata (Gambar C). Bengkak akan surut selepas beberapa hari tetapi saiz bengkak akan bertambah dan menjadi lebih luas sekiranya kawasan cedera terinfeksi.
Tanda & Gejala
Pesakit biasanya akan mengadu:
- Sakit gigi pada gigi rahang atas sebelum bengkak pada sekitar mata.
- Bengkak pada bahagian sekitar gigi rahang atas
- Bengkak pada pipi sehingga sekitar mata
- Sakit pada bahagian mata dan pipi yang lebih teruk jika membongkok
- Gagal membuka mata dengan luas
Infeksi yang tidak terkawal merebak ke struktur dan kawasan anatomi sekeliling. Seterusnya, kuman masuk ke dalam darah menyebabkan infeksi sistemik dengan tanda dan gejala seperti:
- demam yang berterusan,
- kelesuan dan kemurungan yang teruk serta
- dehidrasi – kekurangan air dalam badan
- Jumlah sel darah putih yang tinggi pada pemeriksaan darah
Pengimejan Diagnostik
Pemeriksan radiologi adakalanya perlu untuk memastikan punca infeksi. Imej radiologi juga memberi informasi berguna untuk merancang rawatan khusus yang diperlukan untuk mengatasi dan merawat punca infeksi tersebut.
Imej intraoral (Imej D) memadai untuk mengenalpasti punca infeksi odontogenik manakala pengimejan luar mulut (Imej E) di gunakan untuk pemeriksaan dan infeksi berkaitan sinus, rahang serta tulang fasial.
Rawatan
Preskripsi antibiotik membantu mengawal infeksi dari merebak tetapi protokol utama merawat infeksi adalah dengan menghapuskan punca infeksi . Punca infeksi yang tidak dirawat menyebabkan infeksi berulang.
Gigi penyebab infeksi perlu di cabut atau dirawat kanal akar. Abses atau pengumpulan nanah adakalanya perlu di salir keluar melalui insisi mukosa oral di dalam mulut atau luar mulut pada kulit.
Komplikasi
Infeksi yang telah merebak ke mata boleh membawa kesan sehingga hilang daya penglihatan Infeksi juga boleh merebak ke bahagian dasar otak . Infeksi tersebut merebak secara terus atau melalui darah dan boleh menyebabkan patologi seperti:
- Thrombosis Sinus Kavernous
- Keradangan Selaput otak (Meningitis)
- Pernanahan pada selaput otak (Subdural Empyema)
- Pernanahan dalam otak.
Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis atau bermasalah perubatan ketahanan sistem imun badan, kebarangkalian untuk perebakan infeksi hingga mendapat komplikasi adalah lebih tinggi .
Oleh itu, penjagaan kesihatan pergigian adalah penting. Pemeriksaan berkala dan rawatan awal di fasiliti kesihatan perlu untuk mengelak kemungkinan komplikasi serius berlaku.
Rujukan
- Oral and Maxillofacial Infections, 4th Edition 2002: Richard G. Topazian DDS (Author), Morton H. Goldberg DMD MD (Author)
- Oral & Maxillofacial Surgery Secrets: A.Omar Abu Baker & Kenneth J.Benson
- Origanoycocina.blogspot.com
Semakan Akhir | : | 16 Januari 2015 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Rithuan b. Awang |
Akreditor | : | Dr. Sutina bt. Kohir |