A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Diet Neutropenik – Diet...

Diet Neutropenik – Diet Untuk Sistem Imun Yang Lemah

Diet yang dikhususkan kepada individu yang mempunyai imuniti atau daya ketahanan badan yang lemah untuk melawan penyakit dipanggil Diet Neutropenik. Diet ini boleh melindungi pesakit daripada kuman / bakteria atau mikroorganisma yang berbahaya yang terdapat pada makanan dan minuman.

Apa Itu Diet Neutropenik?

Diet yang dikhususkan kepada individu yang mempunyai imuniti atau daya ketahanan badan yang lemah untuk melawan penyakit dipanggil Diet Neutropenik. Diet ini boleh melindungi pesakit daripada kuman / bakteria atau mikroorganisma yang berbahaya yang terdapat pada makanan dan minuman.

Individu dengan sistem imun yang lemah akan mengalami kesukaran untuk melindungi badan daripada serangan bakteria atau mikroorganisma berbahaya. Proses memasak secara menyeluruh dapat menghapuskan semua jenis bakteria dan mikroorganisma yang berbahaya.

Siapakah Individu Yang Mempunyai Sistem Imun Yang Lemah?

Mereka adalah :

  1. Individu yang perlu menjalani sesetengah rawatan kemoterapi atau rawatan terapi kanser yang lain.
  2. Individu yang menjalani pemindahan organ.
  3. Individu yang mengambil ubat menyekat atau menghalang keupayaan daya ketahanan badan terhadap penyakit (immunosuppressive drug).
  4. Individu yang menerima rawatan untuk HIV/AIDS.

Kenapa Perlu Diet Neutropenik?

Apabila sistem imun badan terjejas, individu tersebut tidak dapat melawan jangkitan kuman dengan baik. Pendedahan terhadap kuman yang terdapat di dalam makanan dan minuman perlu dihadkan agar risiko terkena jangkitan kuman tersebut dapat dikurangkan sehingga sistem imun badan pulih semula.

Prinsip Asas Diet Neutropenik

  1. Elakkan makanan dan minuman yang meningkatkan risiko jangkitan.
  2. Kurangkan risiko jangkitan dengan mengamalkan Amalan Keselamatan Makanan Yang Betul.
  3. Pastikan makanan dimasak dalam tempoh masa yang sesuai dan suhu yang betul.

Prinsip 1 : Makanan dan Minuman Yang Meningkatkan Risiko Jangkitan

KATEGORI ELAKKAN MAKANAN DAN MINUMAN SEPERTI :
Tenusu
  • Semua produk tenusu tidak terpastur seperti susu segar yang diperah terus dari haiwan (susu tidak terproses)
  • Keju yang tidak dipastur seperti Brie dan Camembert
  • Keju yang mengandungi kulat contohnya keju biru dan dan Keju Stilton
  • Yogurt yang mengandungi *probiotik, yogurt yang tidak dipastur atau yogurt buatan sendiri
  • Krim yang tidak dipastur dan kek krim yang segar
  • Ais krim lembut seperti Sundae.

*Probiotik = Bakteria baik yang dapat membantu kesihatan sistem pencernaa atau penghadaman manusia.

Daging, Ayam dan Ikan
  • Daging, ayam dan ikan mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna
  • Ikan mentah seperti Sushi dan Sashimi
  • Tiram/kerang mentah
  • Produk tempe
  • Ikan jeruk
  • Ikan dan daging salai.
Telur
  • Telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna seperti telur separuh masak
  • Kuning telur
  • Makanan yang mengandungi telur kuning yang cair contohnya mayonis buatan sendiri, sos hollandaise dan egg nog.
Buah-buahan dan Sayur-sayuran
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibasuh
  • Ulam-ulaman atau sayur mentah
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai kesan kerosakan atau ditumbuhi kulat
  • Buah-buahan lembut yang segar atau beku walaupun telah dibasuh seperti strawberi, raspberi dan beri biru
  • Jus buah-buahan atau sayur-sayuran yang tidak dipastur
  • Herba atau rempah yang tidak dimasak
  • Acar sayur / buah.
Salad
  • Salad dan sayur-sayuran yang digunakan untuk membuat salad yang tidak dibasuh
  • Salad yang diletakkan di bar salad di dalam restoran atau pasar raya
  • Salad siap dibungkus atau dibeli seperti Coleslaw.
Roti, Bijirin dan Produk Bijirin
  • Bijirin dan produk bijirin mentah seperti oat mentah dan tepung gandum
  • Bijirin dan produk bijirin yang tidak dimasak
  • Roti, rolls dan pastri dari kaunter layan diri.
Kekacang dan Buah-buahan Kering
  • Kekacang dan buah-buahan kering mentah
  • Kacang tidak dipanggang atau kacang dipanggang yang masih di dalam kulit
  • Kekacang dan buah-buahan kering yang disimpan di dalam bekas yang terbuka.
Pencuci Mulut
  • Produk pastri berisi krim yang tidak disimpan sejuk
  • Donut berinti krim atau kastard.
Lemak
  • Sos salad yang mengandungi keju yang telah disimpan lama (aged cheese) atau telur mentah yang disimpan di dalam bekas bersuhu sejuk.
Air dan Minuman
  • Air perigi
  • Ais dari restoran atau mesin ais layan diri
  • Minuman dari mesin layan diri
  • Smoothies dan jus sayur-sayuran yang dibuat di restoran dan bar jus buah-buahan.
  • Wain, bir tidak dipastur (boleh diambil hanya dengan nasihat doktor pakar).
Lain-lain
  • Dispenser Layan Diri untuk segala jenis sos, minuman dan makanan.
  • Madu tidak terproses
  • Jeruk dari tong jeruk
  • Herba atau rempah yang ditambah ke dalam makanan selepas proses memasak.

Prinsip 2 : Amalan Keselamatan Makanan Yang Baik dan Betul

  1. Semasa Membeli-belah
    1. Selalu semak dan pastikan tarikh Guna Sebelum (use by) sesuatu makanan dan minuman.
    2. Elakkan produk makanan dan minuman yang mempunyai kerosakan pada pembungkusan.
    3. Elakkan membeli makanan dari peti sejuk atau peti sejuk beku yang padat atau lebih muatan kerana kemungkinan besar makanan tersebut tidak disimpan sejuk seperti yang sepatutnya.
    4. Elakkan membeli makanan siap dimasak dan makanan mentah yang disimpan di dalam tempat atau peti sejuk yang sama atau kaunter yang tiada dinding pemisah antara kedua-dua bahan tersebut.
    5. Elakkan membeli makanan yang terbuka atau diletakkan di tempat yang terbuka sebagai contoh gula-gula pilih dan campur (picks and mix sweets).
    6. Elakkan membeli makanan yang diletakkan di bar salad atau kaunter masak sejuk (cook chilled).
    7. Pastikan anda membeli makanan sejuk atau sejuk beku di saat akhir pembelian dan gunakan bekas yang boleh mengekalkan suhu sejuk sekiranya perjalanan balik ke rumah memakan masa yang panjang.
    8. Simpan makanan mentah berasingan daripada makanan anda yang lain.
    9. Basuh tangan atau gunakan gel pembersih / pengesat tangan untuk membersihkan tangan selepas membeli-belah dan menyimpan makanan anda.
  2. Penyimpanan Makanan dan Minuman
    1. Pastikan suhu peti sejuk anda berada di antara julat suhu 0°C sehingga 5°C dan suhu peti sejuk beku anda pada atau di bawah suhu -18°C.
    2. Cuba untuk tidak memenuhkan peti sejuk anda kerana ia akan meningkatkan suhu dalaman peti sejuk tersebut.
    3. Pastikan makanan adalah benar-benar beku ketika diambil keluar dari peti sejuk beku.
    4. Nyah bekukan makanan yang beku di dalam peti sejuk (chiller), dan jangan sesekali menyejukbekukan semula makanan yang telah dinyah beku.
    5. Sentiasa tutup atau simpan daging, ikan atau ayam yang dinyahbeku atau mentah di dalam bekas yang tertutup dan diletakkan di bahagian bawah peti sejuk agar titisan air tidak jatuh dan makanan tersebut tidak menyentuh makanan lain yang disimpan bersama-sama.
    6. Telur sepatutnya disimpan pada suhu sejuk di dalam bekasnya.
    7. Guna dan simpan makanan seperti yang diarahkan oleh pengeluar makanan dan buang makanan yang telah luput tarikh.

    (Lihat video Menyimpan Makanan Siap Dimasak Secara Selamat)

    menyimpan makanan siap dimasak secara selamat - crop

  3. Penyediaan Makanan dan Minuman
    1. Sentiasa pastikan tangan dibasuh dengan air suam dan sabun sebelum dan selepas menyediakan makanan. Beri perhatian kepada bahagian belakang tangan anda dan di antara jari-jemari anda. Berikan perhatian istimewa kepada celah-celah kuku.
    2. Tangan hendaklah dibasuh setiap kali selepas keluar dari tandas, bersin dan selepas memegang haiwan peliharaan, rambut, peralatan kotor, sampah, makanan siap dimakan atau makanan mentah.

    (Lihat video Basuh Tangan)

    basuh tangan - crop

    Staphylococcus_aureus_VISA_2

    Gambar 1 : Staphylococcus aureus (sumber : en.wikipedia.org)
    (Bakteria yang biasa terdapat di dalam saluran pernafasan manusia dan pada kulit)

    BAKTERIA PADA TANGAN

    Gambar 2 : Jenis-jenis bakteria yang terdapat pada tangan seperti Staphylococcus aureus, E. Coli, Salmonella dan Bacillus cereus.

    1. Gunakan tuala yang berasingan atau gunakan tisu untuk mengeringkan tangan.
    2. Tutup setiap luka atau kecederaan dengan plaster kalis air.
    3. Jauhkan haiwan peliharaan dari permukaan ruang kerja, makanan dan pinggan-mangkuk.
    4. Pastikan setiap kain atau span yang digunakan sentiasa dibersihkan atau ditukar.
    5. Elakkan pencemaran silang pada makanan dengan cara menukar atau membasuh papan pemotong dan peralatan dapur yang digunakan untuk menyediakan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak.
    6. Disinfektan permukaan ruang kerja dengan kerap.
    7. Biarkan perkakas dapur, kutleri dan pinggan-mangkuk kering sendiri atau dikeringkan menggunakan pengering pinggan-mangkuk bukannya menggunakan tuala dapur.
    8. Basuh bahagian permukaan atas tin sebelum membukanya.
    9. Basuh sayur dan buah-buahan sebelum memakannya.

    (Lihat video Penyediaan Makanan Secara Selamat)

    penyediaan hidangan secara selamat - crop

  4. Semasa Memasak Makanan
    1. Nyah beku daging, ayam dan ikan di dalam peti sejuk bukannya pada suhu bilik (5°C sehingga 63°C) kerana pertumbuhan bakteria lebih cepat pada suhu bilik.
    2. Masak semua makanan sepenuhnya dan ia mesti sentiasa panas sepanjang masa.
    3. Masak daging sehingga jus daging hilang/kering.
    4. Panaskan ketuhar dahulu untuk memastikan makanan dimasak pada suhu yang disarankan. (Sila lihat Prinsip 3).
    5. Sentiasa patuh garis panduan yang disediakan oleh pengilang dan jangan pendekkan tempoh memasak.
    6. Makanan panas perlu dimakan dalam tempoh 2 jam selepas dimasak.
    7. Makanan sejuk perlu dimakan dalam tempoh 4 jam selepas penyediaan melainkan disimpan di dalam peti sejuk.
    8. Jangan panaskan semula makanan yang telah dimasak.
    9. Ketuhar gelombang mikro boleh digunakan untuk tujuan menyahbeku makanan dan juga untuk memanaskan makanan yang siap disediakan tertakluk kepada arahan oleh pengilang.
    10. Jangan letak makanan panas di dalam peti sejuk kerana tindakan ini akan meningkatkan suhu makanan lain yang disimpan bersama-sama seterusnya menjadikan makanan tersebut tidak selamat untuk dimakan.
    11. Sejukkan makanan dalam tempoh satu jam pada suhu bilik sebelum disimpan sejuk atau sejuk beku.

Prinsip 3 : Proses Memasak Dalam Tempoh Masa dan Suhu Yang Betul

Jenis Makanan **Suhu Memasak (°C) Tempoh Memasak
Stik dan daging panggang
62.8*
5 – 10 minit
Daging
73.8*
Ayam
73.8*
Daging khinzir dan ham
71.1*
Telur dan masakan yang mengandungi telur
71.1*
Makanan laut
62.7*

*Makanan perlu dimasak sekurang-kurangnya mencapai suhu dalaman yang minimum.

**Secara umum, makanan perlu dimasak dengan sempurna terutama bahagian dalaman makanan hendaklah mancapai suhu kepanasan sekurang-kurangnya 73°C selama 15 saat.

Tips Tambahan Yang Perlu Diketahui

  1. Makan di luar
    1. Pastikan makanan masih panas semasa dihidangkan dan dimasak dengan sempurna.
    2. Pilih makanan yang disediakan pada waktu yang sama anda hendak makan di tempat yang mempunyai kebersihan yang baik. Elakkan makanan dari bar salad, penjaja, gerai makanan dan van ais krim.
  2. Pemakanan yang baik
    1. Adalah penting untuk anda makan dengan baik bagi membantu badan melawan jangkitan kuman, menerima rawatan dengan baik dan memperbaiki k ekuatan badan.

Rujukan

  1. B. Gayle dan P.Micaela (2013), Food Safety When You Are Neutropenic- A Guide for People with Lymphoma by Lymphoma Association.
  2. London Haematology Dietitians Group (2012), Dietary Advice for Patients with Neutropenia by Leukaemia & Lymphoma Research.
  3. P. James, Neutropenic Diet by Department of Nutrition and Dietetics, Norfolk and Norwich University Hospitals NHS Foundation Trust.
  4. P. Seema dan H. Catherine (2008), Clinical Guideline For Dietary Management of Neutropenic Patients by University Hospitals of Leicester NHS Trust from www.library.leicestershospitals.nhs.uk
  5. S.Julie dan O. Morag (2014), Clinical Care Standard and Procedure Neutropenic Diet by NHS FORTH VALLEY from www.nhsforthvalley.com
  6. Stony Brook, Food Safety for Patients Who Are Immunosuppressed by University Medical Center from cancer.stonybrookmedicine.edu/system.
  7. UPMC (2013), Neutropenic Diet, Patient Education Material from www.upmc.com/patients-visitors/education/…/neutropenic-diet.aspx
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Norshariza binti Jamhuri
Akreditor : Noriati binti Ujang
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

Diet Ketogenik : Bolehkah Diet Merawat Epilepsi?

Epilepsi ialah gangguan gelombang otak yang boleh menyebabkan serangan sawan. Diet ketogenik menggunakan lemak sebagai sumber tenaga utama dan akan menyebabkan tubuh menghasilkan keton. Diet ini menyerupai tindak balas ketika kebuluran. Sesetengah pesakit epilepsi dapat menghalang kejadian sawan apabila tubuh menghasilkan keton.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,678

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia