A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kecemasan
  6. /
  7. Diserang Lintah dan Pacat...

Diserang Lintah dan Pacat : Rawatan Awal

Lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota badan mangsa akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya.

Pengenalan

Secara amnya, gigitan lintah dan pacat tidak akan menyebabkan kesakitan. Namun, air liur lintah dan pacat mempunyai antikoagulan iaitu bahan yang akan mengakibatkan darah sukar membeku. Ini akan mengakibatkan pendarahan yang sukar untuk berhenti dari luka mangsa.

Lazimnya, lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota badan mangsa akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun, keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian kemaluan serta dubur.

Rajah 1 : Struktur Badan Lintah

Rajah 2 : Struktur Badan Pacat

Tanda/Gejala

Pada peringkat awal, gigitan lintah dan pacat akan mengakibatkan pendarahan yang aktif. Namun, jika terdapat kehilangan darah yang banyak dan tidak terkawal, mangsa akan mengalamai renjatan dan akan kelihatan pucat dan lesu.

Rajah 3 : Diserang Pacat

Komplikasi

Bahaya boleh mengancam mangsa khususnya yang mempunyai latar belakang masalah anemia (kekurangan hemoglobin dalam darah) sekiranya digigit oleh lintah dan pacat yang banyak. Selain daripada itu, mangsa yang mengambil ubat untuk mencairkan darah juga akan berhadapan dengan pendarahan yang teruk. Luka gigitan juga boleh menyebabkan kegatalan yang teruk dan risiko untuk mendapat jangkitan.

Rawatan Awal

Rawatan awal boleh dilakukan oleh mangsa sendiri atau dengan bantuan orang di sekeliling. Langkah-langkah yang dapat diambil dengan segera adalah seperti:
 
  • Menyuruh mangsa untuk bertenang / tidak panik.
  • Jangan menarik lintah atau pacat yang sedang melekap kerana ini boleh mengakibatkan lapisan kulit terkoyak dan meningkatkan risiko jangkitan.
  • Pastikan sebarang petua yang digunakan untuk menanggalkan lintah dan pacat hendaklah bebas daripada sebarang pencemaran dan kekotoran.
  • Cuci luka akibat gigitan dengan air bersih dan sabun.
  • Luka yang mempunyai pendarahan aktif perlu ditekan menggunakan kain bersih sehingga pendarahan berhenti.
  • Elakkan menggaru pada kesan gigitan.
  • Tuamkan dengan air di bahagian yang terasa gatal kerana ia juga boleh mengurangkan bengkak.
  • Jika digigit lintah dan pacat yang banyak, dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999.

Rawatan Hospital

Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut :
  1. Ubat penahan sakit, ubat tahan gatal dan antibiotik (jika perlu).
  2. Krim pelembap juga akan diberikan untuk disapu di bahagian kesan gigitan bagi mengurangkan kegatalan.

Pencegahan

Ancaman gigitan lintah dan pacat dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian, antaranya :

  • Elakkan diri daripada menghampiri kawasan lembap dan basah.
  • Jangan merendam anggota badan di dalam lumpur, paya dan sebagainya terlalu lama
  • Sentiasa berwaspada dan memeriksa tubuh badan terutamanya pada bahagian kaki jika berada di kawasan lembap dan basah.
  • Gunakan pakaian dan alat pelindung diri yang sesuai ketika melalui atau berada di kawasan yang lembap, khususnya kawasan yang terdapat lintah dan pacat.

Rehabilitasi

  • Pastikan tempat luka sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya.
  • Sentiasa bersihkan diri dan persekitaran tempat tinggal.
  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
  • Kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes.
  • Pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima.

Rujukan

  1. Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia
  2. Medicinal Leeth Theraphy (Dr. P. Daniel Ward, Dr. Shan R. Baker). Victoria Poisons Information Centre: Leechs Victoria Poisons Information Centre.
Semakan Akhir : 10 Mei 2024
Penulis : Amin Zafri bin Abd Rahman
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah

Artikel Berkaitan

Digigit Anjing : Rawatan Awal

Air liur anjing boleh mengandungi kuman-kuman yang berbahaya seperti tetanus, rabies dan lain-lain lagi. Jika seseorang dijangkiti tetanus, ia boleh menyebabkan mengsa mengalami kekejangan otot dan boleh membawa maut. Begitu juga dengan rabies (penyakit anjing gila), jika tidak dirawat awal, risiko kematian adalah amat tinggi.

Sunburn (Selaran Matahari)

Sunburn atau selaran matahari biasanya terjadi kepada mereka yang terdedah kepada sinaran matahari dalam tempoh yang panjang ketika melakukan aktiviti luar

Demam Panas: Rawatan Awal

Suhu badan manusia yang normal adalah di antara 36.5 hingga 37.5°C. Seseorang itu dianggap mengalami demam apabila terdapat peningkatan pada suhu badan (secara amnya melebihi 37.5°C). Seseorang dikategorikan sebagai mengalami demam panas apabila suhu badan melebihi 39°C.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,669

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia